Thursday 17 May 2012

JOM TEMPAH TIKET KE SYURGA

Syurga merupakan destinasi impian terakhir setiap mukmin yang beriman. Keindahannya tak dapat dibayangkan dek pemikiran manusia yang terbatas ini. Mungkin ramai yang pernah membayangkan nikmat hidup di syurga, namun berapa ramai yang benar-benar berusaha untuk mengecapi nikmat itu?

Dalam surah Muhammad ayat 15, Allah SWT telah berfirman :

"Sifat Syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa (ialah seperti berikut): ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya, dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih. Dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keredhaan dari Tuhan mereka. (Adakah orang-orang yang tinggal kekal di dalam Syurga yang sedemikian itu keadaannya) sama seperti orang-orang yang tinggal kekal di dalam neraka dan diberi minum dari air yang menggelegak sehingga menjadikan isi perut mereka hancur? (Sudah tentu tidak sama)!"

MasyaAllah,indahnya gambaran Sang Pencipta mengenai suasana di syurga ini. Patutkah kita menggadai taman syurga nan indah ini semata kerana menjaga kebun di dunia yang tidak kekal ? Tepuk dada tanyalah iman.

 

Tahukah bakal ahli syurga sekalian (InsyaAllah), bahawa tiket ke syurga boleh ditempah seawal sekarang? Saya teringat kepada peristiwa Israk Mikraj dimana Nabi Muhammad ﷺ diangkat ke langit. Semasa Baginda ﷺ melalui syurga, Baginda terdengar bunyi yang cukup indah.Tak tergambar keindahan bunyi tersebut.

Jibril pun berkata,
"Sekiranya aku memberitahu itu bunyi apa,kau jangan terperanjat Ya Rasulullah, itu adalah bunyi tapak kasut".

Rasulullah ﷺ terkejut lalu menanyakan milik siapa bunyi tapak kasut itu.

Jibril pun menjawab,
 "Sekiranya aku memberitahu bunyi tapak kasut itu milik siapa,kau jangan terperanjat Ya Rasulullah, itu adalah bunyi tapak kasut Bilal Bin Rabah"

Baginda lebih terkejut kerana ketika itu Bilal masih hidup. Sebaik kembali ke bumi, Rasulullah ﷺ terus mendapatkan Bilal dan bertanyakan amalan Bilal yang telah menyebabkan Baginda ﷺ terdengar bunyi tapak kasutnya di syurga.

Jawab Bilal,
“Aku tidak melakukan sebarang amalan yang paling aku harapkan di sisiku, (melainkan) aku tidak bersuci (berwudhuk) pada satu-satu masa pada waktu malam atau siang melainkan aku akan solat dengan wudhuk tersebut, dengan apa yang tidak diwajibkan bagiku untuk solat (aku sentiasa menjaga wudhukku)”

Saksikan bagaimana Bilal yang menjaga wudhuknya telah ‘menempatkan’ bunyi tapak kasutnya di syurga semasa beliau masih hidup di dunia lagi. Betapa istimewanya hamba Allah yang bernama Bilal Bin Rabah ini.

Disini dapatlah disimpulkan bahawa amalan yang dilakukan semasa kita masih hidup di dunia ini adalah seperti satu tempahan tiket di akhirat kelak. Tiket ke syurga atau ke neraka, bergantung kepada amalan kita di dunia ini.

KEDIAMAN DI SYURGA

Pernahkah kalian mengimpikan sebuah kediaman mewah yang dikelilingi taman yang dihiasi pelbagai jenis bunga yang berwarna-warni dan indah? Mahukah kalian memiliki kediaman idaman kalian tanpa perlu membayar sesen pun? Kalian tidak perlukan duit yang banyak serta kontraktor dan arkitek yang hebat. Kalian hanya perlukan hati yang tawadhu dan ikhlas berzikir kepada Allah SWT. Mereka yang berzikir akan membina kediaman di syurga yang pastinya lebih indah dari mana-mana kediaman di dunia ini dan menurut hadith riwayat Ad Dalaimi, bilamana terhentinya zikir, maka pembinaan kediaman ini turut akan terhenti.

Rasulullah ﷺ juga pernah bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang membaca Subhanallah al-azim wa bihamdihi, maka akan ditanamkan baginya pokok kurma di syurga."

Begitu juga riwayat Ibn Majah daripada Abu Hurairah, Rasulullah ﷺ bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang membaca: 'Subhanallah, walhamdulillah, wa la ilaha illallah, wallahu akbar', akan ditanamkan baginya sebatang pokok di syurga.”

Terdapat juga satu peristiwa malam Israk dimana baginda Nabi ﷺ telah berlalu melintasi Nabi Ibrahim a.s.

Nabi Ibrahim bertanya: "Siapakah orang yang bersamamu itu wahai Jibril?"

Jibrail menjawab: "Ini Muhammad ﷺ."

Nabi Ibrahim lalu berkata: "Wahai Muhammad, perintahkan umatmu untuk memperbanyak menanam pokok di syurga. Sebab tanahnya sangat subur & kawasannya sangat luas."

Nabi ﷺ bertanya: "Bagaimanakah menanam pokok-pokok di syurga?

Nabi Ibrahim menjawab: "Ucapkan kalimat la hawla wa la quwwata illa billah." (Hadis Riwayat Imam Ahmad & disahihkan oleh Ibn Hibban)

Oleh itu, marilah sama-sama kita merebut peluang untuk menempah tiket ke syurga yang pastinya ‘tiket’ tersebut turut menjanjikan ganjaran-ganjaran percuma lain yang tidak ada tolok bandingnya dengan apa yang ada di dunia ini. Mulakanlah pembinaan kediaman impian anda dengan menjadikan berzikir serta amalan-amalan lain seperti solat sunat dan solat di masjid sebagai amalan kebiasaan setiap hari. Apalah sangat kediaman di bumi ini yang dengan mudahnya runtuh dengan sedikit gempa berbanding kediaman di syurga sana yang kekal abadi.

Ayuh usaha, mungkin hasilnya tidak nampak di dunia, tetapi Allah SWT telah menyediakan ‘hasil’ yang lebih indah di akhirat kelak.

"Dan bersabarlah, kerana sesugguhnya Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang yang berbuat kebaikan."(11: 115)

 Nani Rahayu Mohd Radzuan UKM, Bangi

poster promo ikhwah
picture hosting