Saturday 16 June 2012

Doa Untuk Aku



Doa untuk Aku
Diambil daripada salah satu cerpen dalam : Hidup Penuh Cinta
Oleh:Baharuddin Bekri/ PTS.

Pada waktu rehat, teman-teman semuanya keluar makan. Aku bersendirian, masih duduk di meje kerja. Di hadapanku ada limau-limau mandarin yang berselerak. Esok Tahun Baru Cina, maka perlu ada suasana tahun baru.
            Aku bersandar ke kerusi dan menutup mata. Aku membayangkan ada tangan kasar yang memegang pundak sebelah kiriku dengan lembut. Aku berpaling ke belakang. Seorang tua yang berjanggut putih tersenyum nipis. Dahi aku berkerut. Perlahan-lahan tangan kanan lelaki tua itu lucut dari pundakku.
            “Arahkan saya berdoa,” kata lelaki tua itu.
            Aku diam.
            “Saya boleh memberikan kamu doa,” kata lelaki tua itu.
            Aku masih diam.
            Lelaki tua itu menjongketkan kening.
            Aku menggaru kepala. “Doa yang bagaimana?”
            Lelaki tua itu tersenyum lalu berkata, “Doa berkenaan kebaikan dan kesejahteraan kamu.”
            “Mengapa perlu kamu berdoa untuk saya?” Aku bingung.
         “Kerana doa kamu kosong.”
            Lalu aku mengerutkan dahi dan meneliti lelaki tua di hadapan aku, dari kaki hingga rambut. Mengapa lelaki tua ini menuduh doa aku kosong?
            “Kamu ini siapa?” tanyaku lanjut.
            “Kamu tidak kenal saya? Saya adalah jiwa kamu. Saya sudah tua kerana tidak lagi diberi makan dengan doa-doa kamu yang ikhlas. Lalu kulit saya yang tegang menjadi kecut, rambut hitam menjadi putih, tubuh yang lincah kini perlahan dan saya yang sihat kini sakit.” Orang tua itu berkata sambil mengangguk-angguk.
            “Namun, saya tidak berjanggut,” kataku sambil mengusap dagu.
            “Eh, maaf. Saya terlebih-lebih. Memang kamu tidak berjanggut,” kata lelaki tua itu, lalu janggut putihnya hilang serta-merta.
            Aku diam. Kerut pada dahi sudah dibasahi peluh.
            “Tolong, arahkan saya berdoa untuk kamu,” rayu lelaki tua itu.
            Aku diam. Dahi cuba aku tegangkan kembali. Sedatik kemudian aku berkata, “Sekiranya kamu jiwa saya, mengapa kamu tidak berdoa sahaja? Mengapa perlu saya yang mengarahkan kamu berdoa?”
            “Seperti yang saya beritahu, saya adalah jiwa kamu yang lelah, lapar dan tua. Kamu memang ada berdoa, namun kamu berdoa tidak melalui saya. Doa kamu hanya pada lidah. Kamu hanya mengarahkan lidah kamu yang berdoa, tidak mengarahkan saya. Kamu tidak berdoa menerusi jiwa. Doa kamu sombong dan kosong. Tiada rintihan, tidak bersungguh dan tidak ikhlas. Saya mohon kamu berdoa melalui saya. Memohon saya yang berdoa kepada Tuhan.”
            “Jadi, tolong arahkan saya, jiwa kamu ini, berdoa sesuatu berkenaan diri kamu. Sekiranya tidak, pasti saya akan mati. Jangan hanya melalui lidah. Saya sudah tidak mampu lagi bertahan,” terang lelaki tua itu. Kedua-dua belah tangannya memegang pundak kanan dan kiri aku.
            Aku diam.
            Aku membuka mata, lalu berpaling ke belakang. Nyata lelaki tua itu sudah tiada. Sekarang masih waktu rehat dan sudah masuk waktu solat zuhur (bagi kawasan Kuala Lumpur dan sekitarnya). Pasti lelaki tua itu berharap aku mengarahkannya berdoa.

Hamizah Mohamad Hariri
(Pembina UKM)

poster promo ikhwah
picture hosting