Dari An-Nawwas bin Sim'an r.a, dari Nabi SAW yang bersabda
:
" Kebajikan itu adalah budi pekerti yang baik. Dan dosa pula adalah apa yang tersimpul di dalam diri engkau dan engkau benci bahawa ia diketahui manusia mengenainya. "(Riwayat Muslim)
Dari Abi Wabishah bin Ma'bad r.a :
" Bahawa aku datang kepada Rasulullah SAW lalu baginda bertanya : ' Engkau datang bertanyakan erti kebajikan ? ' Aku menjawab : ' Ya '. Sabda Rasulullah SAW lagi : ' Tanyalah hati engkau. ' Kebajikan itu ialah apa yang mententeramkan diri engkau kepadanya serta mententeramkan hati. Manakala dosa pula ialah apa yang mengganggu jiwa dan meragui dalam dada, walaupun orang ramai telah memberikan engkau fatwa dan terus menfatwakan sesuatu’.” (Riwayat Imam Ahmad)
Berdasarkan
dua hadis di atas, Nabi S.A.W menjelaskan bahawa kebaikan itu adalah merupakan
akhlak yang baik, kerana sebaik-baik manusia adalah yang paling baik akhlaknya
dan dalam akhlak yang baik ada kemaslahatan bagi individu dan masyarakat, kecil
dan besar, lelaki dan perempuan.
Antara akhlak yang baik ialah
berbuat baik sesama manusia dan tidak menyakiti hati orang lain, bersopan
santun, tutur kata yang baik dan bersabar atas gangguan orang serta pemaaf.
Kebaikan itu adalah sesuatu yang dapat menenteramkan hati dan jiwa, sedangkan
dosa itu mempunyai dua alamat. Pertama, yang membimbangkan dan meragukan jiwa,
apabila pihak yang berkaitan tidak menyukai apabila orang lain tidak menyukai
dan mencelanya. Meskipun Ulama memberi fatwa, janganlah dipatuhi fatwanya itu,
selama mana masih ada keraguan dan kebimbangan dalam jiwa, kerana fatwa itu
tidak boleh menghapuskan keraguan itu selama mana keraguan itu benar adanya.
Diriwayatkan
bahawa akhlak terpuji itu merangkumi tiga perkara sebagaimana tersebut dalam
firman Allah S.W.T:
“Jadilah engkau seorang yang pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma’ruf serta berpalinglah dari orang-orang yang bodoh." (Surah Al-A’raf,7: 199)
Oleh itu, sebagai umat Islam kita
seharusnya berusaha untuk menjadi umat yang terbaik sepertimana yang telah
Allah sebutkan di dalam al-Quran. Perbezaan dosa dan pahala, baik dan buruk
serta hak dan batil mesti diketahui dengan sedalam-dalamnya supaya setiap apa
yang dilakukan berlandaskan syariat Allah S.W.T. Berfatwalah kepada hatimu dengan keimanan
supaya kamu merasa tenteram dan aman dengan setiap perkara yang membelenggu.
Oleh: Nurul Hajjar Atan (Ukhti Ansarullah)
Komunikasi Dasar Awam(FSSK)
UKM,Bangi
Komunikasi Dasar Awam(FSSK)
UKM,Bangi