Sebelum ini mahasiswa sentiasa dikaitkan isu kelesuan beraktivisme. Kini mahasiswa telah berubah 180 darjah dengan bertindak secara agresif pada tempatnya. Penyakit kelesuan mahasiswa perlu ditangani dengan sebetulnya kerana mahasiswa adalah pelapis pimpinan negara pada masa hadapan. Jika tersalah cara mengajarnya akan melahirkan bakal pemimpin yang tidak berkredibiliti, tidak amanah, tidak dapat tangani masalah, tidak amanah dan pelbagai lagi ciri yang tidak sepatutnya ada. Punca berlakunya perkara sedemikian berpunca kerana tersalah sudut dan kesempitan sudut pandang mahasiswa yang hanya terikat kepada pegangan 3K iaitu kafe, kuliah, katil. Ciri-ciri ini melahirkan mahasiswa yang langsung tidak nampak nilainya pada mata masyarakat.
Di sini dinyatakan beberapa sudut pandang baru yang seharusnya ada dalam diri setiap yang bergelar mahasiswa.
Mahasiswa adalah pemimpin pada hari ini
Mahasiswa sering dikaitkan sebagai pemimpin pada masa hadapan. Namun satu sudut pandang baru yang lebih tepat adalah mahasiswa juga adalah pemimpin pada hari ini yang mana untuk memimpin generasi intelektual sebaya dengan mereka. Sifat kepemimpinan perlu dilatih sejak dari awal lagi bukan menunggu hari esok, nescaya akan terlewat lah untuk melahirkan pemimpin yang berkualiti. Sabda Rasulullah s.a.w ,“ Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan ditanya tentang apa yang telah mereka lakukan.” Pengaruh mahasiswa sebagai golongan intelektual yang tidak bersifat individualistik harus digunakan sebaik mungkin untuk memimpin masyarakat kembali kepada kefahaman Islam yang sebenar di samping mahasiswa sendiri mesti mempunyai kefahaman Islam yang jelas terlebih dahulu.
Mahasiswa perlu membina kesarjanaan
Kekuatan ilmu merupakan faktor yang penting dalam menjana pembangunan negara. Oleh itu, mahasiswa sebagai rakan pembangunan negara perlu membina kesarjanaan dalam diri mereka. Kesarjanaan yang dimaksudkan ialah kemampuan mahasiswa bersaing berbekalkan ilmu untuk menampung keperluan negara pada masa akan datang. Mahasiswa harus menguasai pelagai bidang ilmu bukan sekadar satu sudut sahaja. Ini tidak bermakna peranan mahasiswa dalam memimpin masyarakat disisihkan tetapi harus diselarikan.
Mahasiswa pencorak kerajaan akan datang
Bangsa belia pada zaman kini semakin agresif dan berani. Inilah yang sepatutnya ada dalam diri setiap orang mahasiswa iaitu berani menyuarakan pendapat mereka dalam setiap perkara yang dilakukan dan ingin dilakukan oleh pihak kerajaan. Ini bertepatan kerana mahasiswa adalah bangsa intelektual yang tiada kepentingan politik dan sudah pastinya di bahu merekalah pemerintahan akan dipikul pada masa akan datang.
Gerakan mahasiswa perlu bersifat dinamik
Ada pepatah menyebut bahawa “mahasiswa adalah anak kepada masyarakat, dan setiap anak harus memberi manfaat kepada ibu bapanya (masyarakat).” Tenaga mahasiswa tidak seharusnya hanya berkisar tentang isu dalam universiti sahaja, tetapi perlu diperbanyakkan program-program yang mendekatkan mahasiswa dengan masyarakat supaya membentuk satu ikatan keprihatinan. Program kemasyarakatan yang dimaksudkan tidaklah cukup dengan khidmat sosial sahaja bahkan lebih dari itu. Mahasiswa perlu terlibat melampaui sudut politik, ekonomi, sahsiah dan pelbagai lagi. Antara contohnya ialah membantu masyarakat memahami Islam dengan lebih baik bukan dari sudut akhirat semata-mata tetapi meliputi dunia sekali.
Mahasiswa Islam mesti berpegang pada jati diri Islam sejati
Perkara yang paling penting bagi setiap orang Islam ialah mereka mesti menyedari bahawa mereka adalah seorang Islam dan wajib mentaati perintah Allah. Merujuk pada zaman sekarang, perkara sebaliknya yang berlaku. Didapati bahawa masalah sosial tidak pernah surut dalam masyarakat dan terus melenyapkan sifat akhlak mulia dalam diri pemuda-pemudi. Seluruh umat Islam tidak harus sekadar menyedarinya tetapi perlu membuat perubahan dalam masyarakat agar setiap umat Islam dapat mengembalikan jati diri Islam yang sejati. Tanpa ingin menunding jari, mahasiswa juga berperanan dalam perkara ini dan perlu juga membangunkan Islam dalam diri mereka terlebih dulu. Hassan Hudaibi pernah berkata, “ Tegakkan Islam dalam diri kamu, nescaya Islam akan tertegak dalam Negara kamu.”
Disunting dari kertas kerja himmah 2012
Amirul Hakimi
Pelajar Tahun 2 Sains Bahan
Fakulti Sains dan Teknologi