Monday 30 April 2012

BEDUK DIKETUK : Sejauh mana kepekaanmu.


“Apabila beduk diketuk, tentulah ada yang rasa terkejut, tak senang, malah ada kalanya ‘bingit’. Namun sebaik menyedari untuk apa beduk itu diketuk, kita akan mula memberi perhatian,mendengarnya dengan teliti dan bertindak selaras dengan mesej yang dibawanya. Suara peringatan ada kalanya tidak perlu terlalu nyaring, namun cukup sekadar dapat didengar oleh telinga dan hati. Orang yang bijaksana akan lebih terkesan oleh bisikan berbanding jeritan.”


Begitulah sebahagian daripada kata-kata penerangan mengenai buku yang menarik ini. Sudah tentu ramai yang tidak asing lagi dengan karya penulis bernama Pahrol Mohd Juoi, yang kebanyakannya membangkitkan semangat dan kesedaran kepada si pembaca dengan madah-madah menusuk kalbu. Pastinya yang telah menelaah kebanyakan karyanya akan mendapatkan buku penulisan beliau yang terbaru ini. Bagi yang masih belum mengenali beliau, pasti akan kagum dan berusaha untuk mencari karya-karya beliau yang lain setelah membaca buku Beduk Diketuk ini.

Perbincangan yang kebanyakannya berkisar mengenai mentaliti masyarakat kini yang pada pandangan penulis adalah yang sepatutnya diperbetulkan antaranya terangkum dalam tajuk Kisah Solat Subuh berjemaah, Ingat Mati Tingkatkan Produktiviti dan berbagai-bagai lagi di samping hiasan ilustrasi yang tidak hanya mencuit hati tetapi penuh makna tersirat di setiap permulaan tajuk buku ini. Jika difikirkan, kebanyakan permasalahan yang berlaku dalam masyarakat dan negara kini adalah kerana kefahaman dalam diri setiap individu Muslim tentang Islam dan cara hidup. Salah faham yang berlaku kadang-kadang dilihat kecil dan tidak berpengaruh, tetapi sebetulnya, ia seperti ‘tip of iceberg’, kelihatan kecil di atas, tetapi rupanya banyak lagi permasalahan yang perlu diselesaikan di bawahnya.  

Antara isi menarik yang ingin dikupas melalui buku ini adalah mengenai demonstrasi. Yang mana penulis mengetengahkan isu masyarakat yang berdemontrasi di jalanan untuk mengecam tindakan Israel yang menindas rakyat Palestin. Tetapi pada waktu yang sama ‘menyokong’ produk dan cara hidup keluaran zionis yahudi ini sendiri seperti rokok, hiburan, judi, arak, riba dan sebagainya. Perkataan ‘menyokong’ di sini tidaklah bermaksud masing-masing yang berdemonstrasi itu mengamalkannya, ia lebih kepada maksud merelakan dan membiarkan ianya masuk dalam dunia kita dan menular dalam masyarakat kita, terutamanya masyarakat Islam. Kita tidak lagi mengamalkan Islam sepenuhnya. Hal ini hanya menyebabkan pihak mereka yang kita tentang dalam demonstrasi itu ketawa dan bertepuk tangan.

Sebaliknya, kita sepatutnya menekankan dahulu perkara yang penting seperti perintah Allah untuk solat, tinggalkan yang haram; riba,judi, hiburan yang melekakan dan sebagainya. Dengan itu kita sebenarnya berdemonstrasi setiap hari. Musuh lebih takut sekiranya kita semuanya mengamalkan cara hidup Islam sepenuhnya, seperti kata-kata dalam buku ini,

“Kadang-kadang musuh ketawa melihat kemarahan kita. Bangunkan remaja kita untuk solat Subuh berjemaah, Yahudi akan sakit hati. Tutup aurat remaja perempuan kita, Yahudi akan sakit hati. Tinggalkan riba, judi, arak, pergaulan bebas, insyaAllah, Yahudi akan gigit jari.”
“Tetapi kalau cara hidup kita mengikut telunjuk jari mereka, Zionis akan ketawa sekalipun berlambak-lambak bendera mereka kita bakar. Jeritan Allahuakbar dalam demonstrasi itu baik dan bersemangat, tetapi ucapan takbir dalam solat lima waktu lebih besar maknanya. Apakah Allah akan nilai laungan Allahuakbar daripada umat yang tidak solat?

Nasihat ini sebenarnya bukan sahaja merujuk kepada demonstrasi penentangan terhadap Zionis, tetapi ia boleh diaplikasikan kepada demonstrasi jalanan yang  pada dasarnya untuk menegakkan keadilan dan nilai kemanusiaan itu sendiri. Bukankah Islam itu bermaksud sejahtera, aman, kepatuhan dan penyerahan diri. Jadi mengapa tinggalkan panduan hidup yang diberikan oleh Pencipta kita untuk dilaksanakan manusia yang memegang ‘title’ Khalifah di muka bumi.

Akhir sekali, antara kata-kata yang perlu difikirkan adalah

“alangkah baiknya jika jeritan Allahuakbar dibuktikan dengan penegakan hukum Allah dalam seluruh sistem kehidupan sekali gus mengecilkan pandangan akal sendiri dalam menyusun dan mengatur kehidupan ini?”

Nurul Husna Zulkarnain.
Sains Aktuari
Fakulti Sains dan teknologi.
UKM

poster promo ikhwah
picture hosting