Monday, 11 November 2013

Hari Ini dan Semalam: Pengajaran Buat Kita

Gambar Hiasan

Cemas membaca berita di Sinar Harian semalam berkenaan dengan pelajar perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia yang disahkan meninggal dunia akibat tertekan dan stres. PEMBINA UKM mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa di atas musibah yang berlaku. 

Dr. Zainur Rashid, Pensyarah dari International Medical University (IMU) berkata, “ini bukanlah kisah yang pertama kerana telah ada beberapa kes yang berlaku sebelum ini di beberapa tempat yang lain. Itu tidak termasuk di kalangan mereka yang menghidap kemurungan (depression) dan terpaksa dirawat pakar psikiatri disebabkan tidak boleh menjalani kerjaya yang mulia tetapi cukup membebankan.”

Beliau berkata lagi, “pengajaran kepada kita semua terutamanya kepada para ibu bapa agar melihat dan menilai perkembangan anak-anak yang sedang membesar dengan hati yang terbuka. Kita boleh menggalakkan anak-anak kita menceburi apa-apa bidang kerjaya yang baik dan dalam masa yang sama kita harus memastikan kesesuaian dan kemampuan anak-anak kita yang akan bergelumang dengan kerjaya tersebut di sepanjang hidupnya.”

Setiap bidang kerjaya mempunyai syarat dan keperluannya yang tersendiri dan tidak semuanya sesuai dengan minat dan kemampuan anak-anak kita yang berbeza di antara satu sama lain. Pesanan beliau, "pilihan hidup ini sebenarnya sangatlah luas dan buatlah pilihan dengan hati yang terbuka dan jangan lupa untuk berusaha gigih, rajin berdoa dan kemudian bertawakkal kepada-Nya."

Walau bagaimanapun, sebagai mahasiswa, kita harus tahu akan pengurusan emosi yang sebaiknya untuk berhadapan dengan pelbagai situasi. Sebagai seorang Muslim pula, berdoa merupakan senjata bagi memohon pertolongan Allah. Amalan-amalan yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah juga perlu diamalkan supaya setiap saat kehidupan kita mendapat perlindungan dari-Nya.

Akhir kalam, tulisan ini bukanlah berniat untuk mengaibkan sesiapa akan tetapi ia merupakan suatu pengajaran buat kita agar sentiasa memandang masa hadapan dan berhati-hati agar kita tidak menyesal dikemudian hari. PEMBINA UKM sekali lagi mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan di atas musibah yang berlaku.

Sila klik berita di sini: http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pelajar-perubatan-ditemui-mati-1.219293#.Un7MxAJpldo.facebook

‘Meneraju Arus Mahasiswa’


Nurul Hajjar Atan
JK Media dan Promosi
PEMBINA UKM



0 comments:

Post a Comment

poster promo ikhwah
picture hosting