Mengutip hikmah dari alam
Gambar Hiasan |
Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya) dan padanya ada kebun-kebun anggur, dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang berumpun dan yang tidak berumpun semuanya disiram dengan air yang sama dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa dan baunya). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya. (Surah Ar-Ra’d:4)
Alhamdulillah, segala pujian hanya
bagi Allah yang telah menciptakan segala kepelbagaian haiwan dan tumbuhan di muka
bumi ini. Sungguh, demi Allah, jika tiada tumbuhan-tumbuhan, haiwan-haiwan,
kulat, bakteria, protista, virus, maka hilanglah keseimbangan kehidupan dalam
dunia ini. Dalam kita melayari kehidupan ini, kita kadangkala terlepas pandang
akan perkara-perkara yang menjadi sumber tarbiyah kita sendiri yakni alam
ciptaan Allah di sekitar kita (UKM).
Perkara kecil yang besar
Gambar Hiasan |
Selalu apabila kita berjalan dari
perhentian bas PUSANIKA ke Fakulti Pengajian Islam, keadaannya sangat sejuk dan
dipenuhi tumbuhan hijau. Malah terdapat lumut-lumut yang berwarna hijau kekuningan
turut tumbuh di sekitar laluan pejalan kaki. Tahukan kalian lumut itu hanya
boleh tumbuh apabila udara disekitarnya betul-betul segar dan tidak tercemar,
lalu tidakkah kita mensyukuri akan nikmat yang besar ini, nikmat bernafas udara
yang segar? Bahkan ada di kalangan kita yang turut mencemarkan udara melalui
rokok, yang hanya mendatangkan kerosakan pada badan dan alam. Astaghfirullah.
Satu lagi perkara yang kita anggap
kecil seperti membuang sampah merata-rata yang sebenarnya menunjukkan akhlak
kita kepada alam. Sebagai contoh, habis memakan makanan ringan ‘Tam-Tam’ yang
dibeli di FST dibuang merata-rata dicelah-celah bangunan. Ditakdirkan pula air
bertakung, dan nyamuk bertelur. Selepas itu, tulis di ‘UKM Confession’ UKM ini
banyak nyamuk, sedangkan salah satu puncanya datang dari diri sendiri. Hal ini
seharusnya kita ambil peduli.
Tadabbur dan muhasabah
Merenung alam dan berfikir bukanlah
perkara yang membazir masa kerana menurut Dr Aidh bin Abdullah al-Qarni dalam
bukunya; Jagalah
Allah...Allah menjagamu,
antara cara untuk mendekatkan diri kepada Allah adalah melalui ciptaan-Nya.
Alam ini banyak mengajar hikmah kepada perkara dalam kehidupan kita dari
segenap sudut. Tidakkah kita boleh belajar dari akar-akar pokok di sekitar
lereng-lereng bukit di sebelah PTSL akan kerjasama yang kukuh antara
individu-individu sekelilingnya untuk menjaga tanah daripada runtuh. Subhanallah. Bukankah kita boleh
berbaik-baik dan saling menjaga masing-masing daripada saling bercakaran dan menimbulkan isu-isu kenegerian yang tidak
berkesudahan.
Penutup
Masih banyak
lagi perkara yang kita boleh contohi dari alam sekeliling kita, hanya perlu
berfikir dan bermuhasabah. Manusia sememangnya perlu diingatkan selalu melalui
peringatan-peringatan dari Allah dari semasa ke semasa. Hal ini demikian kerana
seorang manusia itu sifatnya pelupa. Jagalah Allah, Allah menjagamu. Jagalah alam,
akan tenang siang malam. Insya’ Allah.
Wallahu’alam.
NAJMUDDIN
MOHD FAUDZIR
AJK AKTIVISME
PEMBINA UKM.
0 comments:
Post a Comment