Alhamdulillah,
pada ketika ini kita telah memasuki tahun baru Hijrah. Dan waktu ini adalah
saat paling tepat untuk merenung kembali arah hidup kita, terutama yang
berkaitan dengan prinsip dan nilai yang menjadi asas aktiviti kita. Begitu juga
persepsi dan sudut pandangan kita dalam melihat kehidupan ini. Bukan mustahil, panduan hidup kita selama ini sebenarnya
salah atau kabur, sehingga menyebabkan berbagai permasalahan hidup yang
menyeksa diri kita sendiri.
Niat kita, hidup kita
Sering kali kita mendengar tentang hadis Nabawi yang
pertama yang diriwayatkan dari Amirul Mukminin Abu Hasfh ‘Umar bin al-Khathab
r.a, ia berkata:
“Aku
mendengar Rasulullah SAW bersabda, : “Sesungguhnya setiap amal itu tergantung
dari niatnya, dan sesungguhnya seseorang itu hanya mendapatkan sesuai dengan
apa yang diniatkannya. Barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya,
maka hijrahnya(dinilai) kepada Allah dan Rasul-Nya, dan barang siapa hijrahnya
kerana dunia yang hendak diraihnya atau kerana wanita yang hendak dinikahinya,
maka (hakikat) hijrahnya itu hanyalah kepada apa yang menjadi tujuan
hijrahnya”. Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.
Jelaslah di
sini menunjukkan niat seseorang sangat penting kerana ia akan menentukan
perjalanan kehidupan kita. Dan Allah memperlakukan kita sesuai dengan niat
kita. Tidak
terkira berapa banyak orang yang sengsara dalam mengharungi bahtera hidup ini
lantaran keliru memasang niat di awal perjalanan.
Orang yang
“tersalah niat” dalam mencari harta akan hidup bagai hamba sahaya. Ia melihat
wang dan kekayaan sebagai tujuan utama sehingga senantiasa dibayangi kefakiran
dan takut miskin.
Orang yang
“tersalah niat” dalam belajar menghabiskan hidupnya untuk perkara yang sia-sia.
Ia membuang energi untuk mengejar ijazah, bukan untuk menimba ilmu.
Padahal selembar kertas hanya memberikan kemuliaan palsu, bukan hakiki. Kaum
Muslimin khasnya, dan masyarakat dunia amnya, kita seharusnya memuliakan
seseorang kerana sumbangan yang diberikan, bukan kerana ijazah yang dipegang.
Orang yang
“tersalah niat” dalam berdakwah akan hidup dalam kebencian. Masyarakat
membencinya dan ia membenci mereka. Hakikat dakwah adalah simpati yang lahir
dalam hati lalu mendorongnya untuk menyelamatkan manusia daripada kesesatan dan
kebinasaan. Jika dakwah berakhir dengan kebencian, mesti ada yang salah dalam
motif dan niat awal dakwah tersebut.
Pakar Dunia, Jahil Akhirat
Dan yang
paling rosak adalah orang yang “tersalah niat” , bahkan “tidak punyai niat”
dalam menjalani kehidupan di muka bumi ini. Orang seperti ini tidak sedar arah
dan tujuan hidupnya. Bagi mereka hidup ini tidak lain setakat silih berganti
siang dan malam. Tidak ada hisab yang harus dipersiapkan dan tidak ada misi
yang akan dilaksanakan.
Hidup
seperti ini adalah hidup manusia yang tertutup mata hatinya. Mereka sangat
pandai dalam urusan dunia, namun sangat jahil tentang urusan akhirat. Sifat
seperti ini ada pada orang kafir namun sayangnya sifat ini turut berlaku dalam
kalangan profesional Muslim pada masa ini. Keadaan ini digambarkan oleh Imam
Hasan al-Basri sebagai berikut: “Kerana kepandaiannya, salah seorang daripada
mereka mampu mengetahui kadar emas hanya dengan mengetuk dengan jari. Namun, ia
tidak boleh melakukan solat dengan benar.” (Disebut oleh Ibn Kathir dalam
tafsirnya).
Orang yang lurus niatnya
Bagi
orang yang “lurus niatnya”, hidup ini adalah pentas untuk membuktikan kehambaan
dan penyerahan dirinya kepada Allah SWT. Dengan yakin ia berkata: “Sesungguhnya
solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah , Tuhan semesta
alam.”(Surah al-An’am 6:162)
Ucapan ini
kemudiannya dipraktikkan dalam setiap percakapan dan perlakuan yang ia lakukan
setiap hari. Bagi orang seperti ini, hidup hanya bermakna apabila ia digunakan
untuk memperoleh kebahagiaan akhirat. Setiap kali bekalan akhiratnya bertambah, hatinya
bergembira meskipun simpanan dunianya berkurangan. Hidup orang ini sentiasa
dalam ketenangan dan kebahagiaan di bawah naungan tawakal dan bersangka baik
kepada Allah SWT.
Konsep
kejayaan bagi orang seperti ini bukan diukur pada kekayaan atau jawatan, apatah
lagi pada ijazah atau ramainya pengikut. Namun, kejayaan hakiki ialah apabila
seseorang itu mampu menggunakan kekayaan,jawatan,ijazah dan karismanya untuk
melaksanakan hukum Allah SWT di muka bumi. Inilah kejayaan hakiki yang perlu
kita cita-citakan bersama.
Hijrah
Nah, pada awal tahun baru ini mari kita renungi sejenak
dan ajukan beberapa soalan asas berkenaan dengan hidup kita. Adakah niat dan
visi yang kita pegang selama ini benar? Ke manakah arah hidup kita selepas ini?
Apa ukuran kejayaan yang menjadi ukuran kita? Dan yang lebih penting, apakah target
yang mesti kita raih selama puluhan tahun hidup kita di dunia ini?
Setiap orang mesti mempunyai jawapan yang berbeza-beza.
Tulis jawapan anda besar-besar dan tampalkan di dinding bilik anda. Apabila
anda melakukannya, anda sebenarnya telah
selangkah menuju redha Allah. Terpulang kepada diri , apakah masih ingin
meneruskan perjalanan hijrah ini atau berhenti di tengah jalan. Wallahu a’lam.
#edited from solusi isu no.27
Nor Syamimi Che
Johari
Bendahari
PEMBINA UKM
0 comments:
Post a Comment