Sunday, 20 October 2013

HIMPUNAN MAHASISWA 2.0 (HIMMAH 2013)



UPM, 19 Oktober – Debaran yang ditunggu-tunggu telah tiba saat HIMMAH 2.0 memulakan acaranya yang bertemakan ‘Aktivisme dan Kepimpinan’. Bertempat di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), seramai 1000 mahasiswa hadir dalam majlis yang dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA). Kehadiran ini juga bermakna mereka adalah pemimpin ummah.

Majlis dimulakan dengan sesi menghangatkan suasana oleh saudara Hasan Syahidi selaku ‘Informal Master of Ceremony (MC)’. Ternyata aura dan semangatnya dapat dirasakan oleh hadirin yang berada di dalam dewan apabila suara mahasiswa berjaya menggegarkan dewan ini. Majlis diteruskan dengan ucapan aluan oleh pengarah, disusuli ucaptama oleh Presiden PEMBINA, Ustaz Ibrahim Hassan. Setelah itu, video ditayangkan seterusnya, merasmikan HIMMAH 2013.

Agenda himpunan ini diteruskan lagi dengan video kemunduran umat Islam. Kemudian, diteruskan dengan persembahan pidato oleh saudara Azlan Wildan yang berjaya mencuri perhatian para hadirin. Seterusnya, hadirin dibentangkan dengan kertas kerja pertama oleh Ustaz Fauzi Asmuni yang bertajuk ‘Kepentingan Penguasaan Islam dalam Pertembungan Tamadun’. Hadirin memberikan tindak balas yang baik sekali apabila ramai yang bertanyakan soalan dalam sesi soal jawab.



Begitulah himpunan ini diteruskan, di mana video, pidato, dan pembentangan kertas kerja silih berganti. Pidato kedua disampaikan oleh saudara Aidil Idham bertajuk ‘Kita Adalah Harapan Ummah’ setelah hadirin dipertontonkan dengan video motivasi dan diperdengarkan dengan pembentangan kertas kerja kedua oleh Encik Iqbal Hakim iaitu, ‘Beraktivisme dan Memimpin Suatu Tuntutan Muslim’. Kemudian, hadirin dihiburkan dengan persembahan oleh Fetya yang menyampaikan lagu rasmi PEMBINA, HIMMAH (Sujud Merdeka), dan Obor Semangat. Setelah itu, Ustaz Dr Aznan membentangkan kertas kerja yang ketiga, ‘Transformasi Minda: Kita Adalah Pemimpin’.

Majlis ditangguh sebentar pada jam 1.30 petang bagi memberi ruang kepada para hadirin untuk solat dan makan tengah hari, serta membeli-belah di gerai-gerai yang dibuka di dalam dewan. Kemudian, majlis diteruskan pada jam 2.20 petang dengan pidato ketiga oleh saudari Saidah bt. Suharto – Kemunduran Umat Islam Tinggal Kenangan. Setelah itu, forum mengambil-alih dengan barisan panelis hebat iaitu Norzafry Norhalim, Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal, dan Farah Alina Abdul Aziz bersama moderator, Azril Hanafi.
Majlis ditutup dengan pembacaan Resolusi HIMMAH 2013 oleh Ustaz Salman Abdul Rahman. Semoga dengan himpunan ini, dapat membakar semangat anak muda, belia seumpamanya dalam menerajui arus kepimpinan pada zaman ini.

HIMMAH - Pemimpin Ummah!


Maisarah Binti Mohd Shahrain
Wartawan PEMBINA UKM

0 comments:

Post a Comment

poster promo ikhwah
picture hosting