Kadang-kadang rasa ingin putus asa untuk berusaha mengubati
penyakit yang menimpa diri. Bahkan timbul tanda tanya mengapa diri ini diuji
sedemikian. Pelbagai cara dan ikhtiar telah dilakukan, baik dari segi rawatan
moden atau rawatan kampung. Terbit rasa kasihan kepada orang-orang yang telah
banyak berkorban serta ambil berat terhadap diri.
Namun, pernahkah kita sedar bahawa sakit itu boleh
menghapuskan dosa-dosa kita. Mungkin dengan sakit jugalah Allah ingin menegur
kita agar tidak terus terlalai dan terleka dengan dunia semata. Mungkin kita
lupa bahawa Allah telah berfirman :
“Dan apa jua bencana, kesakitan yang
menimpa kamu, maka ia adalah daripada tangan-tangan kamu sendiri ( dari
perbuatan salah dan dosa) dan ( dalam pada masa yang sama dikenakan bencana dan
sakit itu) Allah mengampunkan sebahagian besar dosa-dosa kamu”
( Surah Asy-Syura :30)
Bukankah sakit itu juga hasil daripada perbuatan kita
sendiri? Sama ada kita sedar ataupun tidak, mungkin kita terlupa untuk meminta
kepada Pencipta kita. Lupa untuk berdoa dan meminta kesembuhan dariNya.
"Apabila seorang hamba mukmin sakit, maka Allah mengutus
4 malaikat untuk datang padanya."
Allah memerintahkan :
1. Malaikat pertama untuk mengambil
kekuatannya sehingga menjadi lemah.
2. Malaikat kedua untuk mengambil rasa
lazatnya makanan dari mulutnya
3. Malaikat ketiga untuk mengambil
cahaya terang di wajahnya sehingga berubahlah wajah si sakit menjadi pucat.
4. Malaikat keempat untuk mengambil
dosanya
Tatkala
Allah akan menyembuhkan hamba mukmin itu, Allah memerintahkan kepada malaikat pertama,
kedua dan ketiga untuk mengembalikan kekuatannya, rasa lazat, dan cahaya di
wajah hambanya. Namun untuk malaikat keempat, Allah tidak memerintahkan
untuk mengembalikan dosa-dosanya kepada hamba mukmin. Betapa Allah sangat
menyayangi hamba-hambanya.
Usah rasa kesal dan berputus asa dengan sakit yang menimpa.
Adakalanya dengan sakit,kita akan lebih mengingati Allah dan melakukan
kebaikan. Berbaik sangka dengan Allah adalah yang sebaiknya. Tanamkan azam
untuk sentiasa meminta pertolongan dariNya disamping berusaha.
Solehah Azaman
Aktivis PEMBINA
Solehah Azaman
Aktivis PEMBINA
0 comments:
Post a Comment