Sunday, 20 October 2013

HIMMAH 2.0


“MC: HIMMAH!
Peserta: PEMIMPIN UMMAH!”

Meremang hati ini tatkala mendengar seruan yang disahut oleh lebih 1000 peserta HIMMAH. Terasa membahang hingga ke urat nadi. Mungkin itulah semangat bakal pemimpin ummah. Tidak cukup dengan itu, ditambah dengan seruan “PEMBINA! (MC): KAMI PEMIMPIN YANG HEBAT! (Peserta)”. Sejujurnya, mulut ini sukar untuk menuturkan kalimah tersebut apatah lagi melaungkannya dengan penuh semangat. Namun, benarlah suasana itu mampu mempengaruhi kita untuk turut serta bersemangat.

Tetapi, disebalik laungan itu, terbit satu perasaan “Mampu ke aku nak jadi pemimpin ummah? Pemimpin yang hebat? Eeee, tak mungkin.” Itulah bisikan syaitan durjana yang sememangnya menjadi agenda mereka untuk mencampakkan rasa ragu dalam diri setiap Muslim. Mana mungkin mereka akan berdiam diri melihat kita bersemangat menegakkan agama Allah. Lebih-lebih lagi apabila mendengar laungan 1000 orang pemimpin muda. Sudah tentu makhluk ‘bertanduk’ itu bagai cacing kepanasan.
Semakin nakal si durjana menarik kita jauh daripadaNya, semakin nakal juga kita harus melawan arus itu, lantas merebut peluang untuk bersama-sama lebih dekat denganNya. Ya, kita perlu main tarik tali sampai mereka jatuh tersungkur kalau boleh.

Sepanjang program berlangsung, terdapat tiga pidato dan tiga kertas kerja yang dibentangkan, serta forum yang dibarisi panelis yang hebat. Pidato yang paling menarik perhatian saya ialah “Anda Harapan Negara” yang disampaikan oleh saudara Azlan Wildan. Pidato yang disampaikan penuh emosi yang seiring dengan ritma muzik latar. Pembentangan kertas-kertas kerja mahupun forum turut saya rasakan dapat menyedarkan akan kepentingan kepimpinan dalam diri individu.

Walaupun seseorang itu tidak dilantik sebagai pemimpin secara formal, namun cukup dengan pengaruh yang boleh dibawa dalam kelompok masyarakat. Sesuatu yang paling berharga yang saya dapat dalam HIMMAH ini ialah, kita tidak perlu takut atau teragak-agak sekiranya diberi tugas untuk memimpin. Mengapa tidak kita sahut cabaran itu dan rasakan sendiri bagaimana tugas pemimpin itu. Seperti kata-kata Hassan Al-Banna,

“Jika di hadapanmu ada segenggam gula pasir dan segenggam garam, bagaimana anda dapat membezakannya? Kita harus merasai kedua-duanya, kerana dengan merasainya, kita akan dapat membezakannya.”

Sekiranya kita menolak dengan alasan ‘tak bersedia’, persoalannya kenapa? Takut? Pernahkah kita berada dalam situasi itu? Sekiranya tidak, layakkah kita berkata sebegitu? Bak kata panelis forum, saudara Norzafry Norhalim yang mengamalkan prinsip ‘swim and swing’. Saya juga pernah beberapa kali menolak untuk berada dalam barisan kepimpinan. Namun, sekiranya bukan kita, siapa lagi? Kita sibuk menginginkan pemimpin yang bagus tetapi kita tidak pernah berusaha untuk menjadi seperti itu. Sibuk mengharap pada orang lain, lupa melihat diri sendiri.

Semoga semangat ini berterusan dan sematkan keberanian dalam diri. Jangan sampai suatu saat, musuh-musuh kita berkinja, bertepuk tangan melihat kejatuhan umat Islam sedang kita dalam keadaan leka. InsyaAllah sama-sama lahirkan pemimpin ummah yang berwibawa! 

Bagaimana?

Semuanya bermula daripada KITA! Ayuh!


Maisarah Shahrain
Media dan Promosi PEMBINA UKM



0 comments:

Post a Comment

poster promo ikhwah
picture hosting