BANGI, 23 Mei – “Penyucian jiwa adalah penting kerana dengan jiwa yang bersih, dapat membentuk akhlak yang mulia.”
Demikian kata graduan
Maahad Qiraat Mansoura, Pn. Nadwa Kasim di dalam slot pengisian sewaktu Malam
Bina Iman dan Taqwa (MABIT) yang berlangsung di Masjid UKM. Menurut beliau, tazkiyah
itu berasal daripada perkataan ‘zakat’ yang membawa maksud suci manakala, ‘nafs’
itu pula bermaksud jiwa. Dalam proses penyucian jiwa itu, memerlukan mujahadah
yang tinggi untuk menghasilkan jiwa yang betul-betul bersih dan tenang.
“Cara mencapai
tazkiyatun nafs lebih kepada praktikal seperti ibadah solat, puasa, zikir,
bermuhasabah diri, ingat mati, membaca Al-Quran serta banyak lagi dan ibadat-ibadat
ini mestilah dilakukan dengan sempurna.
Setelah itu, beliau
menyampaikan mafhum di dalam surah Al-Anfal (8:2), iaitu tentang apabila
membaca ayat-ayat Al-Quran, semakin bertambahlah iman seseorang.
“Dengan adanya kefahaman
dalam ibadat yang dilakukan, barulah kita dapat menyucikan jiwa. Sebagai
contoh, apabila solat, kita faham bahawa kita adalah hamba yang hina, maka
solat itu akan menjadikan kita tidak sombong dan mudah patuh pada perintah
Allah seterusnya, tiada masalah apabila kita hendak berurusan dengan manusia.”
Menurutnya lagi, Allah
telahpun menceritakan tentang penyucian jiwa ini di dalam surah As-Syams di
mana, Allah bersumpah sebanyak 11 kali di permulaan ayat, dan kemudiannya
barulah Allah menjamin bahawa beruntunglah orang yang menyucikan jiwa ini pada
ayat yang ke-9. Antara lain, beliau turut memasukkan konsep puasa dalam cara
ingin memelihara syahwat.
“Terdapat tiga jenis
puasa; puasa orang awam, puasa orang khusus dan puasa orang super khusus.
“Perbezaan antara
ketiga-tiga ini adalah dari segi cara puasa mereka; jika orang awam, puasanya
adalah dengan tidak makan dan minum dan menahan syahwat bermula dari subuh
sampai maghrib, bagi orang khusus pula mereka turut melakukan benda yang sama
tetapi mereka menjaga anggota badan daripada perkara yang dilarang, manakala
orang super khusus turut melakukan
perkara yang dibuat oleh orang awam dan khusus, tetapi mereka juga puasa hati.”
Ulas beliau.
Setelah itu, beliau
mengingatkan kepentingan tazkiyatun nafs iaitu, menjadi tanggungjawab manusia
menyampaikan kebaikan dan cegah kemungkaran setelah kewafatan Rasulullah dan
penyucian jiwa merupakan satu-satunya syarat untuk kita menjadi orang yang
berjaya.
“Jiwa ini diibaratkan
gelas yang penuh lumpur, apabila tuang air, gelas tersebut menjadi kotor;
apabila jiwa kita kotor, masuklah benda baik sekalipun, tidak akan member manfaat
kepada diri mahupun orang lain.”
Tambah beliau lagi,
betapa pentingnya menjaga dan memperbaharui niat, agar jiwa bersih semula
setelah pelbagai usaha bisikan syaitan untuk memesongkan hati.
Program MABIT ini dijalankan
sebulan sekali dan merupakan satu daripada pakej Tarbiyah yang ditawarkan oleh
PEMBINA.
Maisarah Shahrain
Wartawan PEMBINA UKM
0 comments:
Post a Comment