Thursday, 26 January 2017

CERPEN: SKRIN DAN MATA




   Nama aku Wani. Mungkin tidak perlu aku kongsikan nama penuh? Aku anak kelahiran Malaysia dan umur aku sekarang sudah mencecah 25 tahun.

   Perwatakan aku? Aku seorang wanita muslimah bertudung labuh dan alumni universiti awam yang terkemuka di Malaysia dan kini aku bekerja di salah sebuah industri dalam negara. Aku merupakan seorang yang ceria.

   Rupa paras aku? Sahabat aku tidak akan pernah memuji aku cantik tetapi orang lain mengatakan bahawa aku cantik. Alhamdulillah. Aku juga pandai dalam banyak hal kecuali ilmu agama dan aku masih belajar menuntut ilmu agama daripada murabbiyah. Aku pernah dan masih mengikuti badan dakwah dari sini juga aku mengikuti tarbiyah dan usrah. Malah, aku juga telah istiqamah melakukan solat tahajjud sejak Tingkatan Lima. Kalau adapun tertinggal, mungkin sekali dua.

   Orang mungkin ingat aku sempurna, mungkin tidak sepenuhnya, tetapi dalam banyak hal, aku serba boleh dengan izin Dia. Orang mungkin akan berkata bahawa aku tidak pernah melakukan dosa, mungkin ada setakat dosa kecil. Kata mereka juga apabila aku berdakwah, “Kau tak apa lah, baik. Tak macam kita orang, susah nak tutup aurat. Kau tak ada kat tempat kita orang, kau tak rasa.”
Mari aku kongsikan kisah aku. Mereka kata aku tidak pernah terlibat dengan dosa yang menghantui hidup aku dan menganggap aku sempurna. Mereka silap. Aku lain daripada perempuan lain. Mungkin mereka nampak, aku sempurna, baik, dan suci. Tidak. Bahkan aku merasakan aku lebih jijik dari mereka.

   Sejujurnya, aku tidak boleh bersendirian bahkan tidak boleh juga jika tidak menyibukkan diri dan aku tidak boleh terlihat mana-mana cerita yang mengghairahkan. Adakah engkau faham dosa apa yang aku sering lakukan? Ikuti kisah aku. kisah yang membuatkan aku terus mencari jalan kembali kepada Allah.

Skrin dan Mata

   Sudah cuba meneka apakah dosa aku? Mungkin saat membaca apa yang aku coretkan sebelumnya, lelaki dapat mengagak. Ya, aku punya satu nafsu yang kaum adam punyai yang mana tahap untuk mengawal nafsu aku itu sangat susah. Mungkin saat ini, engkau wanita di luar sana akan berasa jijik terhadap aku. Mustahil! Bagaimana engkau boleh membuatkan nafsu perempuan yang mampu dikawal itu sama tahap dengan nafsu lelaki? Bahkan mungkin juga engkau lelaki sedang berkerut dahi memikirkan mengapa wujud wanita seperti aku.

   Ya, memang wujud. Itulah aku. Sepanjang aku hidup, sejak aku mula ketagih akan video porno dan sepanjang itu jugalah setiap tahun, setiap bulan, aku cuba menambah baik amalanku supaya dapat menghapuskan segala dosa-dosa aku.

   Aku kongsikan perkara ini supaya engkau di luar sana, tidak mengulangi kesilapan aku! Jangan pernah berani untuk mula!

   Sewaktu aku di Tingkatan Tiga. Aku mula menjinakkan diri aku dengan komik ‘Manga’ secara atas talian. Pada mulanya aku hanya membaca ‘genre’ biasa. Menarik. Gaya penceritaan yang direka orang Jepun sangat luar biasa. Tetapi, perlahan-lahan aku terbaca akan cerita-cerita yang berkait dengan cinta dan tahap ilustrasinya menggambarkan perkara-perkara yang mengghairahkan salah satunya, rupa badan wanita. Pada awalnya, iman aku mengatakan, “Tidak!”. Namun, hari berganti hari aku mulakan langkah seterusnya dengan menonton ‘anime’ dengan ‘genre’ yang ‘negatif’. Mungkin tidak perlu aku huraikan ‘genre’ apa kerana mungkin ada antara engkau di luar sana tahu.
Perasaan aku? Aku takut tetapi pada masa yang sama aku nak, lagi dan lagi. Namun,seingat aku tika ini aku tidak lagi sampai ke tahap ketagih untuk menonton video porno yang sebenar.

   Jujur, aku tidak ingat sejak bila aku mula menonton video porno yang sebenar. Saat itu apabila aku mula kerana perasaan ingin tahu pada mulanya dan akhirnya aku ketagih. Jijikkan aku? Namun begitu, aku tak suka! Aku sedih dan menangis setiap kali selepas menonton kerana aku rasa penat. Bila mana aku ulang, tika itulah aku akan bertaubat. Mereka kata Allah akan menerima taubat hambaNya meskipun berulang-ulang kali kita melakukan dosa yang sama.

   Aku pernah futur. Aku pernah rasa seakan ingin berhenti berdakwah. Engkau bayangkan, aku buat semua, mutabaah amal malah tahajjud aku tak tinggalkan. Ikhtilat, semampunya aku jaga. Sebaliknya? Dosa mata aku tak pernah berakhir. Setiap kali aku bersendirian, mesti aku rasa seperti hendak menonton. Tidak! Aku akan paksa diri aku untuk sebut, “Inni Akhafullah” yakni “Aku takutkan Allah.” Aku istighfar. Aku menangis. Ya Allah, aku takut. Jangan biarkan aku ulang lagi ya Allah. Aku bergelut dengan diri sendiri. Melawan perasaan itu, engkau tahu betapa payahnya? Payah.
Setiap hari aku berdoa, ya Allah, jauhi aku daripada zina mata. Aku nak jadi seperti wanita lain. Dosa aku ni lagi jijik daripada mereka. Kenapa ya Allah? Kenapa aku jadi sedemikian ini? Aku rasa lebih baik aku bawa dosa-dosa mereka seperti aurat tak sempura, solat lewat, semuanya daripada aku terus membawa dosa semacam ni. Serius! Aku pernah minta sebegitu. Aku berasa bahawa sekurang-kurangnya aku tak perlu terlibat dengan dosa jijik macam ni. MasyaAllah. Hanya Allah yang Maha Mengetahui perasaan aku.

   Aku juga pernah teringin menjadi seperti wanita muslimah lain yang berjuang dalam satu usrah dengan aku. Berjuang dalam badan dakwah yang sama dengan aku. Setiap kali aku lihat wajah-wajah mereka, aku terasa sangat kerdil. Setiap kali aku mendengar ilmu yang dicurahkan, yang dikongsi oleh mereka, dalam hati aku menangis meronta.Ya Allah, hebatnya mereka. Sucinya mereka. Tertimbulnya dalam fikiran aku bahawa mustahil hidup mereka dinodai oleh dosa seperti aku.

   Aku juga pernah berasa sangat kecewa apabila aku pernah terbaca ada seorang wanita meninggalkan komentar di ‘Instagram’ berkenaan dakwah bagi mereka yang gemar menonton video porno. Masih lagi aku terbayangkan komentar yang dia tinggalkan, “ ..lebih jijik lagi jika ada perempuan yang ketagih juga video porno ni!...”.  Saat itu hati aku hancur. Aku tanya diri sendiri, jijik sangatkah aku? Ya Allah, apa Engkau tak pandang hambaMu ini? Jijik sangatkah aku yang sedang cuba untuk berhenti dari dosa ini?

Berhenti

   Sewaktu aku menuntut di universiti awam, aku mula mengaktifkan diri dalam sebuah badan dakwah. Menyibukkan diri agar aku dapat mengawal tabiat dosa aku itu. Dari situ, aku juga dikurniakan seorang sahabat yang sangat baik. Sahabat yang sama-sama berjuang dengan aku dalam badan dakwah ini. Pada saat inilah aku mula berkongsi masalah aku. Ya, pada mulanya dia sendiri terkejut tetapi mendengar kisah aku tidak membuatkan dia meninggalkan aku. Bahkan dialah satu-satunya orang yang tahu berkenaan kisah aku. Aku berkongsi agar dia dapat mengawal aku untuk tidak melakukan dosa itu jika aku bersendirian. Alhamdulillah, sejak aku dan dia tinggal serumah, aku sudah tidak lagi mengulangi perbuatan aku yang dahulu. Perlahan-lahan aku hilang rasa untuk menonton video tersebut.

   Pernah aku terfikir, siapalah yang mahukan aku sebagai isteri? Aku punyai dosa lampau yang jijik tetapi aku terus berdoa supaya Allah tidak membiarkan aku futur terlalu lama. Alhamdulillah, sekarang aku telah pun berkahwin. Baru sahaja berkahwin dengan seorang lelaki yang hebat bahkan lebih hebat lagi, dia tahu tentang dosa lampau aku dan berterusan menjaga aku agar aku tidak mengulangi lagi perbuatan itu. Kata suami aku, “Allah takkan pernah tolak taubat hambaNya”. Katanya lagi, aku hebat kerana tidak ketagih seteruk beberapa orang lelaki yang pernah meminta tolong daripadanya berkenaan tabiat dosa yang sama.

   Sahabat aku juga pernah berpesan untuk selalu bersyukur sebab Allah menguji aku begini. Kerana mungkin jika aku tidak diuji sebegini rupa, aku mungkin akan riak dan ujub kerana tidak pernah melakukan dosa-dosa besar. Terima kasih untuk nasihat ini sahabat.

   Terima kasih Allah, sebab tidak membiarkan aku kembali jatuh ke dalam dosa yang sama. Nasihat aku, engkau di luar sana yang terperangkap dengan dosa yang susah untuk engkau berhenti, percayalah, sejijik-jijik dosa engkau, ada lagi mereka di luar sana yang tenggelam dengan dosa yang lebih buruk tetapi mereka tak biarkan diri mereka tenggelam begitulah juga engkau. Jangan biarkan diri engkau tenggelam terus tanpa timbul kembali. Ingat, biarpun bertahun kau bertaubat namun kau masih mengulangi dosa yang sama, jangan sesekali berputus asa. Bahkan aku sendiri, bertahun-tahun mengambil masa untuk berhenti dan terus bertaubat.

   Kepada engkau yang mungkin tidak pernah terlibat dengan mana-mana dosa besar ataupun dosa berterusan, Jangan pernah ingat yang kita selamat. Syaitan itu berada di mana-mana sahaja untuk cuba menjatuhkan umat Islam. Kita tidak akan pernah tahu bila dan apa yang akan jadi pada masa depan. Janganlah memandang jijik pada manusia yang terperangkap dalam dosa. Bantu mereka. Tariklah mereka dari tenggelam. Tarik diri kita sendiri dari tenggelam.

Moga penulisan aku diredhai Allah.

-Anoii, 2017, PEMBINA UKM-


0 comments:

Post a Comment

poster promo ikhwah
picture hosting