Jika dibuka Al-Quran yang mempunyai terjemahan,surah As-Saff, pasti kita akan menemukan banyak ayat yang sangat menyentuh hati dan menjentik kesedaran terutamanya bagi para du’at ataupun mereka yang menyeru ke arah kebaikan. Antaranya, ayat 2-3, ayat 4, dan ayat 10-14.
“Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu para penyokong agama Allah sebagaimana ‘Isa putera Maryam berkata kepada sahabat-sahabat setianya: Siapakah yang sanggup menjadi para penyokongku untuk menegakkan agama Allah? Jawab sahabat-sahabat setia itu: Kamilah para penyokong Allah. Lalu berimanlah segolongan dari Bani Israel dan segolongan yang lain pula menjadi kafir. Lalu kami bantukan orang-orang yang beriman itu mengalahkan musuh mereka dan mereka telah mendapat kemenangan.” (As-Saff,61:14)
Menurut tafsir Fi Zilalil Quran oleh As-Syahid Sayyid Qutb Rahimahullah, tujuan ayat tersebut ialah untuk menggambarkan satu pendirian, bukannya untuk memperincikan sebuah kisah. Mari kita renungi kembali ayat “Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu para penyokong agama Allah…” . ‘Penyokong’ yang disebutkan sebenarnya merupakan sifat yang membawa satu penghormatan yang lebih besar dari syurga dan nikmat yang melimpah!
Dan para sahabat Nabi Isa menyahut,
“Kamilah para penyokong Allah.”
Ini menunjukkan betapa mereka ini sanggup memikul tugas tersebut dan telah mendapat penghormatan gelaran ‘penyokong’ Allah. Dalam ayat 6 surah yang sama, jelas Nabi Isa telah datang menyampaikan berita gembira akan kedatangan seorang nabi dan agama yang baru namun apabila datangnya nabi yang dimaksudkan iaitu Nabi Muhammad, baginda diperangi dan dilemparkan tuduhan. Jadi jika Nabi Isa yang setia menyeru ke arah kebaikan dan sahabat Nabi Isa sanggup membela agama Allah, adalah lebih wajar untuk ummat Nabi Muhammad itu sendiri memikul tugas menyampaikan dan menegakkan agama Islam. Dan ayat yang seterusnya telah dijelaskan di dalam tafsir tersebut iaitu lalu mereka yang beriman dan berpegang teguh dengan aqidah yang benar telah dibantu oleh Allah mengalahkan mereka yang tidak beriman dan menyeleweng dari aqidah tauhid.
Dan apakah balasan dari Allah atas pengorbanan itu? “...dan mereka telah mendapat kemenangan.”
Dengan kekuatan hujah dan alasan yang kukuh, atau aqidah tauhid yang dipegang mereka itulah Allah telah mengurniakan kepada mereka kemenangan. Selaklah lembaran sirah, kisah Perang Uhud, Hijrah Rasulullah, kemaraan Sultan Al-Fateh menawan Konstatinopel dan banyak lagi siri perjuangan dan pengorbanan hamba-hamba Allah yang telah dibalasNya dengan kejayaan samada di dunia mahupun disimpan untuk ganjaran di akhirat kelak.
Akhir kata, moga kita dapat mencontohi para nabi dan sahabat yang bersusah payah berkorban apa sahaja demi menegakkan syiar Islam. Semoga yang menulis lebih mempraktikkan penulisannya, begitu juga dengan pembaca.
Mari bersama berusaha menjadi PENYOKONG Allah!
Penulis bebas,
Pembina UKM,
UKM