Thursday, 4 April 2013

SEBUAH PERTEMUAN #Bhg 2



‘Cantiknya!’ Awan bergerak perlahan-lahan di dada langit yang biru. Tiada apa yang cacat di situ. Inilah kelebihan tinggal di blok atas bukit. Keindahan alam dapat dilihat lebih luas, pemandangan di atas dapat dilihat dengan jelas dan pemandangan di bawah juga dapat dinikmati. Hari ini kak Nur pulang lewat sedikit. Katanya ingin mengambil angin di bumi KMNS ini.
Kepala ditoleh ke kiri.

“Cantik la awan petang ni,” ujarku sambil melihat kak Nur yang sedang asyik memandang ke langit. Kak Nur mengalihkan pandangannya ke arahku. Kepalanya dianggukkan tanda setuju dengan kata-kataku.
“Insyirah, cuba tengok lagi.” Kami berdua pun memandang semula ke langit.
“Insyirah, tahu tak, langit tidak sama setiap hari? Ada sahaja bentuk-bentuk awan yang berlainan setiap hari. Tak jemu nak tengok. Hebatkan?”
“Hebat..”
“Hebat Sang Pencipta yang menciptakan langit, awan, dan semua yang ada di bumi ini. Berkuasa mencipta dan mematikan. Masya Allahu la quwwata illa billah.”

“Kenapa Allah matikan kita kak?” tanyaku tiba-tiba.
“Allah s.w.t berfirman, maksudnya: “Setiap yang bernyawa itu akan merasai mati.” Semua benda yang hidup ini akan merasai kematian tidak kira tua mahupun muda, sakit mahupun sihat atau kaya mahupun miskin. Kehidupan di dunia ini hanya sementara sahaja, akhirat yang kekal abadi.” Kak Nur membetulkan tudungnya yang ditiup angin.

“Apa tujuan Allah menghidupkan dan mematikan manusia?” tanya kak Nur kepadaku seperti mengulangi pertanyaanku tadi. Selalu memang begitu, pertanyaanku akan dibalas dengan pertanyaan juga.
“Sebab…. sebab dunia ini hanya tempat persinggahan dan kita ada visi iaitu menuju syurga Allah.”
“Yup betul tu. Kita ini diibaratkan sebagai musafir yang berhenti di R&R hanya untuk melepaskan lelah dan mengumpul semula tenaga untuk meneruskan perjalanan menuju ke destinasi. Dunia ni tempat untuk kita kumpul amalan untuk bekalan ke alam akhirat nanti. Ok, jom tengok sini,” ujar kak Nur sambil membuka begnya dan mengambil Al-Quran terjemahannya.

Dia menyelak muka surat 562. ‘Surah Al-Mulk.’
“Akak nak Insyirah baca terjemahan ayat 1 hingga 2 ni.” Jari telunjuknya digerakkan di atas Al-Quran terjemahan.
Dengan lafaz basmalah aku memulakan bacaan.

Mahasuci Allah yang menguasai (segala) kerajaan, Dan Dia Mahakuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Mahaperkasa, Mahapengampun.”

“Untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya,” ulang Kak Nur dan memandangku sambil tersenyum. Itulah jawapan kepada soalannya tadi.

*********************************************************************************

‘…..Langkahmu tegap tegakmu sasa…Engkaulah…’
Mesej masuk. Melihat kepada nama yang tertera sudah membuat senyumku melebar. Lantas kubaca mesej itu.

‘Salam mahabbah. Kaifa haluki? Ana bikhoir. Semoga enti juga begitu. Insyirah, tarbiyyah itu bukanlah segala-galanya tetapi segala-galanya itu bermula dengan tarbiyyah. Semoga dipermudahkan segala urusanmu, perjalanan dakwahmu, kerja-kerja untuk ummah. Ingatlah, dakwah bukan jalan yang ditaburi bunga-bunga indah, dan bukan juga jalan yang rata semudah kaki melangkah. Sebaliknya dakwah adalah jalan yang penuh dengan kesusahan, kepayahan dan onak duri. Sungguhpun begitu, yakinlah bahawa penghujungnya adalah sebuah kemanisan. Sentiasa jaga amal dan mohonlah doa pada-Nya. Semoga kita dapat berjumpa satu hari nanti dan jika tidak, jumpa di syurga ye Insya Allah.’

Air mataku perlahan-lahan mengalir. Seperti ada tautan hati. Pengirim mesej ini seperti mengetahui aku berada dalam kepenatan dan kesedihan. Kak Nur sudah jauh, jauh beribu batu dariku. Sekarang kak Nur menetap di Jordan mengikut suaminya yang bertugas di sana. Dengan jarak yang jauh dan tidak diketahui bila pulangnya juga kesibukan yang melanda untuk mengejar Mardhotillah sudah tentu kami tidak dapat berjumpa setiap minggu seperti dulu. ‘Semoga ketemu di syurga’.
Pertemuan dengannya adalah perancangan Allah, perpisahan dengannya adalah perancangan Allah, berada di atas jalan dakwah ini juga perancangan Allah. Perancangan Allah itu sangat cantik. Alhamdulillah, syukur dengan segala nikmat yang Allah beri kepadaku.

Dan Dia telah memberikan kepadamu segala apa yang kamu mohon kepada-Nya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya.” (Surah Ibrahim,14:34)



Saidatul Akmal Binti Ahmad Puaad
Sains Makanan (FST)
Naib Presiden II 
PEMBINA UKM

poster promo ikhwah
picture hosting