Rejab merupakan salah satu bulan yang mulia di dalam kalendar bulan-bulan Islam. Kebiasaannya, apabila hampir menjangkau masuk ke bulan Rejab pasti umat Islam akan merasa kehangatan Ramadhan akan menjelma. Hal ini kerana, kita disunatkan untuk berdoa supaya Allah S.W.T memberi keberkatan kepada kita di bulan Rejab, Syaaban dan sampai kepada bulan Ramadan.
Bulan Rejab adalah termasuk di antara bulan-bulan haram di dalam Islam selain bulan Muharram, Zul Qaedah dan Zul Hijjah. Pelbagai spekulasi timbul berkaitan dengan ibadah berpuasa di bulan Rejab. Terdapat sebilangan pihak yang mengatakan bid’ah sekiranya kita berpuasa di bulan Rejab. Menurut al-Hafiz Imam Nawawi,
“ Tidak ada dalil yang kuat berkaitan puasa di bulan Rejab, namun tidak ada pula larangannya dan hukum asal puasa adalah sunat.”
Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Nabi S.A.W berpuasa di bulan haram dan Rejab termasuk di dalamnya (salah satunya).
Di samping itu, hari ini banyak Hadis Palsu yang diwar-warkan berkaitan kelebihan di bulan Rejab yang sering kita dengar. Bahkan ada juga segelintir umat yang bertaqlid dengan hadis ini sehingga menganggap ia benar-benar sahih daripada Nabi S.A.W. Antara Hadis Palsu yang disebarkan ialah
“ Bulan Rejab adalah bulan Allah, Syaaban adalah bulanku dan Ramadan adalah bulan umatku”
(sumber: lihat Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha`if, m.s. 95, Syria: Maktab al-Matbu`at al-Islamiyyah).
Hadis Palsu ini adalah antara senjata yang digunakan oleh orang Kafir bagi mengelirukan umat Islam. Jadi, berhati-hatilah semasa memberikan hujah dan pandangan menggunakan hadis sebelum mengetahui kesahihan sumber tersebut. Sesungguhnya perbuatan mereka-reka sabda Nabi S.A.W adalah perbuatan yang terkutuk dan termasuk dalam dosa-dosa besar. Berdasarkan hadis Nabi S.A.W,
“ Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka).
Walau bagaimanapun, bulan Rejab tetap mempunyai keistimewaannya yang tersendiri di mana banyak peristiwa penting yang berlaku di dalam bulan ini. Amalan-amalan yang kita lakukan di bulan ini pasti akan diterima Allah sekiranya niat yang tujukan hanya kepada Allah semata-mata. Sesungguhnya untuk mengamalkan ibadah puasa di bulan Rejab ini adalah harus akan tetapi janganlah sampai kita menjadikannya sebagai syariat daripada Allah Taala.
Oleh yang demikian, kita sebagai umat Islam hendaklah sentiasa berusaha menjadi Muslim yang ideal. Kita harus kuat dan patuh berpegang pada Al-Quran dan as-Sunah sebagai panduan hidup demi untuk kehidupan yang lebih sistematik. Tiada salahnya jika perkara yang dilakukan bukan daripada amalan Rasulullah selagi mana ia tidak bercanggah dengan syariat yang telah digariskan oleh Allah S.W.T. Akan tetapi sebagai Muslim yang berilmu dan intelektual, kita hendaklah sentiasa mencari kebenaran dan kesahihan sesuatu amalan yang dilakukan supaya perkara tersebut tidak sampai mensyirikkan Allah S.W.T. WALLAHU A’LAM.
Nurul Hajjar Binti Atan
Komunikasi Dasar Awam
Unit Media PEMBINA UKM