Musim peperiksaan bakal tiba. Boleh dikatakan seluruh pelajar IPTA yang mengambil ijazah kini, sedang bertarung dengan musim peperiksaan. Begitu juga kepada warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang sedang menanti detik bermakna itu tiba. Pada akhir minggu kuliah ini nantilah, pelbagai ragam manusia terserlah. Yang pasti, pada saat dan ketika itulah, Perpustakaan Tun Sri Lanang (PTSL) akan dibanjiri warga UKM yang sebelum ini jarang-jarang ataupun tidak pernah langsung menjejakkan kakinya ke PTSL. Adat manusia, begitulah.
Satu daripada tabiat yang selalu dilakukan oleh pelajar universiti ialah, belajar di saat-saat akhir. Adakah bagus belajar di waktu genting sebegitu? Tepuk dada, tanya iman dan minda. Setiap orang dilahirkan berbeza-beza. Maka, cara hidup juga berbeza-beza. Bagi sesetengah orang, mereka lebih gemar belajar di saat-saat akhir kerana, tidak mudah lupa. Namun, sebahagian yang lain, suka bersedia dengan lebih awal supaya masa yang berlebihan itu boleh dimanfaatkan dengan menambahkan lagi ilmu di dada dan dapat melangkah dengan penuh yakin kedalam dewan peperiksaan.
Walaupun sudah acap kali menghadapi peperiksaan, namun debaran menghadapinya masih dirasai. Jika dikaji, faktor utama kepada perasaan ini adalah kerana, kurangnya persediaan untuk menghadapi peperiksaan. Jadi, apakah yang perlu kita lakukan?
1) Merancang– Lihat tarikh peperiksaan dan masa yang kita ada sebelum peperiksaan. Rancang masa yang sesuai untuk mengulangkaji pelajaran.
2) Mengorganisasi – Buat jadual belajar supaya tersusun segala urusan kita.
3) Memimpin – Pimpin minda dan hati untuk turut serta dalam perjuangan menelaah.
4) Kawal – Mengawal diri daripada melakukan perkara yang membuang masa.
5) Berdoa – Doa supaya urusan kita dipermudahkan.
6) Bertwakal – Sesudah usaha, serahkan segalanya pada Allah kerana Dia tahu apa yang terbaik.
Pendek kata, usaha, doa dan tawakallah dalam setiap perkara yang kita lakukan. Kesimpulannya, usah biar masa mendahului kita andai kita mahu berjaya. Sentiasa pegang masa itu dan hargainya. Sesungguhnya, masa yang terbuang tidak boleh diulang kembali. Firman Allah juga ada mengingatkan kita tentang masa :
“Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.” (Surah Al-Asr 103:1-3)
Mahukah kita dilabel manusia yang kufur akan nikmatNya? Masa adalah nikmat yang berharga yang perlu dihargai. Mari sama-sama menghargai masa agar tidak menyesal dikemudian hari. Sekian, ma’assalamah.
Maisarah Shahrain
Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan
Media PEMBINA UKM