Sunday, 30 June 2013

YANG MANA ANDA?


Mahasiswa hebat!


A, B dan C merupakan mahasiswa yang masih menuntut di salah sebuah universiti yang terkemuka di Perlis dalam tahun yang terakhir. Mereka bersahabat baik sejak memulakan pengajian di tahun yang pertama lagi dan mereka tinggal serumah. Walaupun mereka teman rapat dan akrab, namun mereka mempunyai perbezaan dalam banyak perkara.

A seorang mahasiswa yang sering menghabiskan masa di hadapan komputer ribanya. Beliau lebih gemar duduk di dalam bilik tanpa menghiraukan apa yang berlaku di persekitarannya. Beliau hanya keluar untuk ke kuliah, mencari makanan dan membeli barang keperluan. Dan selebihnya, masa beliau dihabiskan dengan menghadap komputernya.

B juga gemar menghadap komputernya, namun beliau tidak menghabiskan masanya begitu sahaja. Kadang-kadang beliau mengambil sedikit masa untuk menjenguk-jenguk ke tingkap, melihat keadaan yang berlaku di luar rumahnya. Tetapi beliau hanya gemar menjenguk di balik tingkap sahaja dan jarang keluar rumah.

Manakala C pula seorang mahasiswa yang jarang berada di rumah. Beliau sering keluar dan bergaul dengan masyarakat sekelilingnya serta mengambil tahu setiap perkara yang berlaku di sekelilingnya. Beliau hanya berada di rumah untuk menyiapkan tugasannya di hadapan komputer dan urusan-urusan yang penting. Selebihnya, beliau keluar untuk bersama-sama dengan masyarakat.

Suatu hari, berlaku sebuah kemalangan di hadapan rumah mereka. Ketika itu, A berada di dalam bilik menghadap komputernya, B pula sedang berehat sambil menjenguk ke tingkap, manakala C baru sahaja hendak keluar. Kemalangan tersebut menghasilkan bunyi dentuman yang kuat. A, B, dan C mendengar bunyi tersebut. Setelah mendengar bunyi tersebut, A terkejut buat seketika, namun selepas itu beliau meneruskan dengan menghadap komputernya. B juga terkejut dan beliau segera lantas bangun dan menjenguk ke tingkap untuk mengetahui apa yang berlaku. Beliau terus kaku di balik tingkap melihat kemalangan itu. Manakala C yang baru sahaja hendak keluar terus meluru ke tempat berlakunya kemalangan. Beliau segera bertindak dengan menelefon ambulans dan polis serta memanggil orang ramai untuk membantu mangsa yang kemalangan.

Dalam kemalangan tersebut, A, B, dan C telah memainkan peranan mereka masing-masing. A langsung tidak menghiraukan apa yang berlaku, B pula sekadar mengambil tahu tetapi tidak bertindak, manakala C pula mengambil tahu dan bertindak dengan situasi yang berlaku. Dan anda Mahasiswa, dalam kegawatan dan kepincangan yang berlaku dalam dunia Islam hari ini terutamanya di Malaysia, peranan manakah yang sepatutnya anda mainkan? A, B atau C?

“Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya.”
(Hadith riwayat Thabrani)

“Sebaik-baik manusia ialah yang memberi manfaat kepada manusia lainnya.”
(Hadith riwayat Bukhary)


Oleh: PEMBINA UNISZA

Link:http:
//www.facebook.com/photo.php?fbid=662602397087879&set=gm.610638512288017&type=1&theater

poster promo ikhwah
picture hosting