Mutakhir ini, mahasiswa sibuk
menghabiskan sisa-sisa kehidupan mereka di universiti dengan menjalani
peperiksaan atau menyiapkan segala tugasan yang masih tertangguh. Tak kurang
juga yang telah habis semua tugasan dan peperiksaan, hanya menghitung hari dan packing
pakaian untuk pulang ke pangkuan ayahanda dan bonda.
“Cuti
semester? Wow, bestnya!” Siapa yang tak suka cuti. Cuti merupakan suatu
nikmat yang sangat berharga. Kadang-kadang nikmat cuti ini disalahertikan. Ada yang
menganggap cuti adalah tempat untuk membalas dendam kerana sudah penat bersusah
payah di universiti. Waktu cuti adalah waktu untuk tidur dan tidak perlu memberatkan
kepala untuk banyak berfikir. Cukuplah, sudah banyak berfikir dan menelaah di
universiti. Betul ke mindsetting begini?
Seorang
mahasiswa yang proaktif di universiti tidak akan mensia-siakan waktu cuti
mereka. Jadilah mahasiswa yang sentiasa bersyukur dan memanfaatkan masa cuti
yang ada adalah untuk perkara yang berfaedah, lebih-lebih lagi cuti semester
pada kali ini jatuhnya bersamaan dengan bulan yang Barakah iaitu Ramadan. Sedarlah
akan hikmah yang Allah berikan tentang kemunculan Ramadan kali ini sangat
bermakna bagi kita kerana ia hadir ketika waktu kita sangat lapang. Tiada tugasan,
tiada peperiksaan dan tiada kenakalan rakan yang selalu mengajak kita untuk
berbuat perkara yang kurang memberi manfaat.
Didik
diri untuk berkata, “Cukuplah, kali ini aku akan menguasai diriku bukan lagi
nafsu yang menguasainya.” Tapi ingat, jangan sesekali menjadi hamba kepada
Ramadan, jadilah hamba yang sebenar-benarnya kepada Azza wa jalla.
Di
samping menjalani hari-hari yang bermakna sepanjang bulan Ramadan kelak, masih
banyak aktiviti lain yang boleh kita lakukan bagi memenuhi kelompangan masa
yang belum ditutupi. Semasa cuti semester nanti, cubalah mencari pekerjaan
separuh masa yang dapat menambah wang saku untuk diri kita sendiri bagi
menampung kehidupan akan datang di universiti. Dengan itu, kita dapat
mengurangkan beban ibu bapa sebelum wang pinjaman dan biasiswa masuk ke dalam
akaun bagi semester akan datang.
Seterusnya,
membantu ibu bapa di rumah juga merupakan suatu perkara yang sangat bermanfaat.
Apabila berada di rumah, ingatlah bahawa melihat wajah kedua ibu bapa juga akan
diberikan pahala oleh Allah. Oleh itu, sentiasalah bermuhasabah dan menghargai
masa-masa kita bersama mereka sementara mereka masih ada.
Akhir
kalam, cuti semester adalah masa yang sangat produktif bagi mahasiswa. Sentiasa
memperbaharui niat dan bermujahadah melawan nafsu adalah sebaik-baik perkara
yang dituntut pada manusia. “Majulah mahasiswa demi Islam yang tercinta.”
Universiti Kebangsaan Malaysia
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan