PUTRAJAYA, 14 SEPTEMBER – PEMBINA UKM telah menganjurkan program
‘Rahsiaku Kini Milikmu’ bertempat di Masjid Besi, Putrajaya. Program yang
disertai oleh 50 orang pelajar perempuan tahun satu UKM ini bertujuan menjalin ukhuwah
antara pelajar tahun satu dan pelajar senior, selain memberi pendedahan kepada pelajar
tahun satu tentang kehidupan di Institut Pengajian Tinggi (IPT) serta berkongsi
rahsia kejayaan di dunia dan di akhirat.
Program bermula
dengan senaman ringkas dan diteruskan dengan sesi perkenalan setiap AJK
Program. Lagu tema ‘Sebuah Pertemuan’ dinyanyikan bersama-sama bagi menjalin kemesraan
antara peserta dan juga AJK program. Kemudian, peserta mengisi borang maklumat rakan-rakan
mereka dalam sesi taaruf. Sesi ini memberi peluang kepada peserta berkenalan di
antara satu sama lain dan mencari titik persamaan antara mereka.
Program
diteruskan lagi dengan slot perkongsian yang diberi tajuk ‘Langkah Bermula:
Sebagai Seorang Mahasiswa’ oleh Prof.Nor Bahiah binti Misran, pensyarah Fakulti
Kejuruteraan dan Alam Bina, UKM. Prof Bahiah berkongsi rahsia kejayaan beliau mendapat
gelaran profesor seawal umur 36 tahun dan cara-cara mengatasi halangan untuk berjaya
di IPT. Prof juga mengajak para peserta mengikuti program-program yang dapat menjana
kemahiran di samping menyertai usrah kerana program-program seperti ini dapat membantu
seseorang itu mendapat kejayaan dunia dan akhirat.
Seterusnya, slot ‘Bersama
PEMBINA’ disampaikan oleh Naib Presiden PEMBINA UKM, saudari Saidatul Akmal.
Slot ini bertujuan memperkenalkan PEMBINA, fokus – fokus
PEMBINA, dan aktiviti-aktiviti yang ditawarkan oleh PEMBINA.
Aktiviti ‘Pop
Kuiz’ menjadi selingan sebelum menyambung slot seterusnya. Soalan-soalan berkaitan
ibadah, sirah, akhlak dan PEMBINA adalah antara yang ditanya kepada peserta. Seramai
19 orang peserta berjaya menjawab soalan dan mendapat hadiah. Slot yang
terakhir ialah ‘Sharing is Loving’ di mana pelajar dibahagikan kepada enam kumpulan
dan setiap kumpulan disertai dua atau tiga orang senior. Slot ini melibatkan perkongsian
antara senior kepada junior. Akhir sekali, sesi bergambar diadakan dan juga makan
tengah hari bersama-sama. Program ini berakhir selepas solat zohor.
Majoriti peserta memberikan pandangan yang baik tentang program ini dan
berharap dapat menyertai program-program PEMBINA pada masa akan datang. PEMBINA
berharap program ini dapat memberi pendedahan awal tentang kehidupan di IPT dan
manfaat rohani kepada siswi khususnya pelajar UKM untuk menongkah arus di zaman
serba mencabar ini.
NURSAIDATUL AKMAL MOHD PUAAD
Naib Presiden PEMBINA UKM
0 comments:
Post a Comment