Wednesday, 26 February 2014

TUNTUTAN COMANGO SEPERTI BUDAK KECIL


BANGI, 21 Feb –  ”Kalau kita baca satu persatu tuntutan COMANGO, mereka  seperti budak kecil yang suka mengadu. Mereka seolah-olah ‘mengada-ngada’ pada UN, menceritakan satu persatu apa yang telah berlaku dalam Malaysia.”

Demikian komentar oleh Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Ustaz Ibrahim Mohd. Hassan sewaktu membaca beberapa petikan dalam laporan penuh COMANGO ketika berlangsungnya Forum ‘COMANGO Pengkhianat Negara’ di Dataran Panggung Seni, UKM.

“Contohnya, dalam isu kebebasan agama, mereka mengadu bahawa pihak gereja tidak dibenarkan menggunakan Kalimah Allah dalam ‘Herald Weekly’, mereka mendakwa larangan ini mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama” tambah beliau lagi.

Ustaz Ibrahim berkata, tidak dinafikan sememangnya terdapat beberapa tuntutan COMANGO yang benar-benar memperjuangkan hak asasi manusia seperti gaji minimum pekerja dan sebagainya. Walaubagaimana pun, beliau mengingatkan supaya umat Islam perlu memahami tabiat musuh Islam yang tidak akan menyerang Islam secara terang-terangan, sebaliknya mereka akan menggunakan muslihat.

Di samping meletakkan tuntutan  hak asasi manusia yang benar, COMANGO juga mengambil kesempatan dengan meletakkan  tuntutan yang mengancam Islam seperti tuntutan kebebasan beragama yang bertujuan membenarkan orang Islam murtad sewenang-wenangnya.

Beliau turut menyentuh isu NGO yang terlibat dalam COMANGO ini, antaranya ialah Sisters In Islam (SIS). Perjuangan mereka dalam menghapuskan hukum syariah ini jelas sewaktu mereka membela kes seorang model yang beragama Islam, Sri Kartika Dewi. Walaupun Kartika menuntut supaya dirinya dihukum mengikut syariat, namun golongan SIS tegas menghalang tindakan JAKIM melaksanakan hukuman terhadap model terbabit.

“Sebenarnya, badan-badan NGO ini menerima dana yang berpuluh-puluh ribu USD untuk mempromosikan liberal kepada seluruh negara”

“Taktik mereka juga sangat halus, iaitu dengan menggunakan proksi dalaman untuk bawa agenda barat dalam kalangan masyarakat di Malaysia supaya orang kita tak nampak ianya adalah sebuah ancaman”, jelas beliau lagi tentang penyebaran fahaman liberal di Malaysia.

Ustaz Ibrahim juga menyeru kepada seluruh umat Islam terutamanya golongan belia dan mahasiswa supaya manfaatkan laman media sosial seperti Facebook dan Twitter untuk menyebarkan maklumat mengenai ancaman COMANGO terhadap Islam di Malaysia.




 Wartawan PEMBINA UKM

0 comments:

Post a Comment

poster promo ikhwah
picture hosting