BANGI, 21 Feb – “Jika kita ingin melihat masa depan negara
tersebut, lihatlah pemuda-pemudi pada zaman tersebut”, ujar Ustaz Muhammad
Fauzi Asmuni , Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang
merupakan ahli panel di dalam Forum ‘COMANGO Pengkhianat Negara’ yang
berlangsung di Dataran Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Ustaz Fauzi telah menerangkan kedudukan Islam yang kukuh di
Malaysia dari sudut perlembagaan, institusi agama dan pembudayaan. Beliau
menyifatkan tuntutan COMANGO benar-benar mengancam Negara.
Beliau juga menyeru agar masyarakat Islam terutamanya
golongan belia supaya menghadkan masa melayari laman media sosial seperti
Facebook dan Twitter, sebaliknya lebih peka dan serius dalam memahami strategi
jahiliyah yang halus dan penuh muslihat seperti tuntutan COMANGO, yang
merupakan kesinambungan tuntutan IFC sebelum ini.
Beliau berkata Saidina Umar r.a. pernah menyebut, “akan
terungkai rungkaian Islam satu demi satu, apabila lahir dalam Islam satu generasi
yang tidak faham jahiliyah”.
Ustaz Fauzi turut berkata belia sekarang lebih berminat
dengan dua perkara, iaitu politik dan cinta, di mana perkara ini tidak terlalu
berat untuk mereka fikirkan berbanding permasalahan ummah.
“Sedangkan politik itu adalah pengurusan untuk melaksanakan
Islam dalam kehidupan, akan tetapi, orang sekarang ini melihat politik sebagai
sesuatu yang berpuak-puak dan lebih fokus kepada parti politik jika
dibandingkan dengan apa yang diperjuangkan.”
“Umat Islam perlu bersatu sebagaimana COMANGO bersatu!”,
saran Naib Presiden ISMA kepada hadirin yang hadir.
Forum ini dianjurkan bersama oleh Kelab Penyayang UKM, Rakan
Muda IPT dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Cawangan Bangi dalam
Karnival Kembara Islam di UKM. Forum ini telah mendapat perhatian daripada
mahasiswa dan mahasiswi UKM. Kira-kira 100 orang telah menghadiri forum ini
untuk mencakna isu COMANGO.
Wartawan PEMBINA UKM
0 comments:
Post a Comment