Tengah hari itu berjerebu. Ramai yang duduk mengirim pesanan minuman
sejuk daripada pelayan restoran. Karim
dan Abu tidak ketinggalan mengirim milo ais dan teh ais. Setelah melabuhkan
punggung, Abu ternampak seorang dari kalangan pelanggan restoran yang makan di
situ memberi sisa kepala ikan kepada kucing-kucing yang berkeliaran sekitar
restoran tersebut.
Abu mula bersuara, “Mesti seronok kan
jadi macam kucing? Hari-hari boleh meminta-minta makanan, makanan percuma,
hidup bebas tanpa hutang PTPTN, pastu bila besar mengawan, dapat anak,besarkan
anak. Kemudian boleh tidur kat mana-mana, dan ulang semula kitaran hidup sampai
mati.”
Karim yang masih berpeluh itu
membalas, “tu ah, seronok. Hidup happy go lucky hari-hari. Hidup aman tanpa perang. Tapi kau
kena ingat Abu, Allah menciptakan manusia lebih mulia daripada haiwan.”
“Tapi kenapa lebih mulia? Bukankah
kedua-duanya makhluk ciptaan Allah?” Balas Abu. “Kerana kita dikurniakan akal,
sungguhpun haiwan mempunyai naluri, tetapi tidak boleh mengatasi akal manusia.
Meskipun kedua-duanya diberi nafsu oleh Allah, manusia mempunyai akal untuk
memandu nafsu ke arah jalan yang diredhai Allah.” Jelas Karim dengan nada yang
penuh lemah lembut.
“Teh ais satu, milo ais satu siap.” Pelayan
itu memberi minuman kepada mereka. “Terima kasih bang,” Serentak Abu dan Karim
membalas.
“Oooo, maknanya kalau kita megikut
hawa nafsu, kita lebih rendah daripada haiwan. Tak gitu?” Dengan nada
seakan-akan memahami Abu berkata.
“Ya, tentu sekali.” Karim menyambung,
“Seperti dalam Surah Al-Furqan ayat 43-44, maksudnya:
Terangkanlah kepadaKu tentang orang-orang yang
menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya, maka apakah kamu dapat menjadi
pemelihara atasnya. Atau apakah kamu mengira bahawa kebanyakan mereka itu
mendengar dan memahami, mereka itu tidak lain hanyalah seperti binatang ternak
bahkan mereka lebih sesat jalannya dari binatang ternak itu. (Al-Furqan,25:43-44)
Kita akan jadi lebih hina sama
seperti haiwan ternak atau lebih lagi. Sebab asyik menurut nafsu
makan,tidur,seksual dan sebagainya.”
“Tetapi sekiranya kita beriman,
darjat kita lebih tinggi daripada malaikat. Kerana malaikat tidak mempunyai
nafsu. Peperangan melawan hawa nafsu ini peperangan yang lebih besar dan
berterusan, kita seharusnya sentiasa bermujahadah untuk melawan hawa nafsu,” Sambung
Karim panjang.
“Oh, lebihnya kita sebagai
orang islam adalah kita dikurniakan wahyu dari Allah s.w.t. Banyak ahli sains
dari zaman gelap Eropah meninggalkan agama mereka kerana isi kitab mereka telah
banyak diselewengkan oleh paderi-paderi mereka. Sedangkan Al-Qur’an yang
menjadi pegangan kita ini telah dijanjikan Allah akan kekal sehingga hari
kiamat, dan Al-Qur’an tidak mungkin bercanggah dengan hukum-hukum alam. Mana
mungkin Kalamullah bercanggah dengan Pencipta sendiri kepada hukum-hukum alam
ini? Justeru itu orang yang hanya menggunakan akal sahaja akan sesat, dan yang
menurut wahyu Allah akan terpandu ke jalan lurus, walau mereka boleh maju dari
segi ilmu dunia,” Karim membalas.
“Tapi,” Abu tertanya-tanya,
“Bukankah umat islam yang ada Al-Qur’an di tangan mereka sepatutnya lebih maju
berbanding orang barat?”
“Itulah peranan kita sekarang ini,
kita kan belajar dalam bidang sains di universiti, kitalah yang akan menaikkan
semula sarjana islam dalam bidang sains dan teknologi. Sekarang umat Islam
mundur akibat penjajahan pemikiran dari barat, dan masalah umat
islam sendiri yang tidak menyahut arahan Allah s.w.t. dalam surah Al-‘Alaq
ayat satu hingga lima, yakni membaca dan menulis. Sesungguhnya kita masih
kurang membaca dan menulis.”
Abu yang hanya mengangguk dari
tadi kini semakin faham akan nilai akal dan wahyu yang diberi oleh Allah
terhadap manusia. Milo ais yang disedut tadi semakin kurang isipadunya.
“Weh,
dah lambat ni, jom gerak.” Bicara Karim kepada Abu yang sedang asyik menggigit
ais. “Aah, wokeh, wokeh.” balas abu dengan mulut penuh dengan ais.
“Mana kau belajar semua yang
kau cerita kat aku tadi?” tanya Abu ketika memakai helmet.
“Kat Usrah.” Karim membalas
ringkas
“Siapa anjur?”
“PEMBINA”
“Nanti aku follow eh.”
“Ikut je laa.”
“Insya Allah.”
Najmuddin Bin Mohd Faudzir
Ketua Media PEMBINA UKM
Zoologi/1 UKM
0 comments:
Post a Comment