Sebelum aku memasuki alam
universiti, aku sudah membayangkan ujian yang bakal aku hadapi kelak. Ujian
akan hadir dalam berbagai bentuk, di mana aku sendiri pun tidak tahu. Aku tidaklah
terlalu baik kerana aku juga mudah terpengaruh. Namun, itu bukanlah penghalang
aku untuk menjejakkan kaki ke alam universiti. Oleh itu, aku perlu hadapinya. Selepas
sahaja menamatkan alam pembelajaran di matrikulasi, aku bertekad untuk belajar
bersungguh-sungguh di alam universiti nanti. Dekan, itulah matlamat terbesarku.
Minggu orientasi adalah
minggu yang sangat memenatkan. Pelajar-pelajar perlu bangun seawal jam 3.00
pagi. Bukan untuk qiamullail, tetapi adalah untuk perjumpaan rasmi bersama senior, berlatih cheers dan sebagainya. Ku turuti minggu orientasi dengan hati yang
separuh. Tetapi aku bahagia, kerana taraf aku sudah bertukar dari seorang
pelajar sekolah kepada mahasiswa harapan Negara. (Sambil kepala mendongak ke
langit)
Pada suatu hari, aku
menghadapi kesukaran untuk mendaftar kursus. Biasalah, pelajar baru. Resah tak
keruan. Hati ini merasakan kalau aku tidak dapat mendaftar kursus ini, aku tak
boleh nak belajar dah. Tanya kawan, hampa kerana dia juga tidak tahu. Orang
paling dekat untuk aku tuju bantuan ialah kakak ipar aku, kak Siti yang bekerja sebagai pegawai pentadbir di
UNIMAS. Dengan harapan dia tahu bagaimana hendak menyelesaikan masalahku.
Namun, tanggapanku meleset apabila sistem yang dijalankan di UKM adalah berlainan dengan
UNIMAS. Namun, dengan rasa tanggungjawab, dia cuba hubungi seorang rakannya di
UKM untuk membantuku.
Asbab
hidayah Allah
Keesokan harinya, aku
menerima mesej dari seorang insan yang tak ku kenali. Kak Eton? Respon ku yang
pertama, apa agaknya nama penuhnya. Zaiton? Haha. Aku tergelak sendiri. Ada
juga nama orang macam ni pada zaman sekarang. Ah, abaikan! Apa yang penting pada
saat ini ialah, aku boleh minta bantuan dia. Dengan takdir Allah, nasib baik
kak Zaiton ni sanggup tolong aku. Bertubi-tubi soalan aku tanya padanya.
Akhirnya, aku berjaya selesaikan masalah ‘negara’ yang aku hadapi. Senang
sahaja rupanya, buat malu je.
Hari demi hari berlalu,
aku melalui hari perkuliahan macam biasa. Pergi kelas dengan sahabat baikku,
Ain. Tiba-tiba kak Zaiton mesej bertanya khabar. Rupa-rupanya dia nak ‘offer’ nota Fizik dari kawannya.
Pelajar baru, kan. Tapi aku dah dapat agak taktik dia nak ajak aku join usrah.
Takkan terpedaya (sambil tangan bersilang ‘x’).
Usrah. Bukan perkara asing
bagi aku. Abang aku pun ikut usrah. Begitu juga kakak ipar ku. Malah mereka berkahwin
pun atas jalan tarbiyah. Bagi aku, usrah itu poyo. Aku tak nak join usrah, sebab
nanti kena pakai tudung labuh. Tak dapat aku bayangkan yang aku bertudung labuh. Macam ustazah masa sekolah
dulu. Susah nak buat kerja. Kena bajet-bajet baik macam tu. Aku baru sahaja beli
tudung. Tudung Syria yang sangat popular saat itu, ada dua lapis. Dah
masuk universiti, kena berfesyen sikit.
Kami pun berjumpa di
perpustakaan untuk dapatkan nota Fizik yang dijanjikan. Dengan beradab (dah
bagi nota), kami pun berborak sementara kak Zaiton menunggu kawannya, kak Asfa
yang menumpang motor dia. Nilai persahabatan yang dapat kurasai. Aku mulakan perbualan dengan berterus terang.
“Saya tak mahu join usrah tau, hehe”, dengan
selamba aku memulakan perbualan.
Kak Zaiton pun terkejut sebab dia tak cakap apa-apa pun. “Biasa ke
dengar perkataan usrah?”
“Ye, abang saya ikut usrah. Akak
mesti nak ajak saya ikut usrah, kan?”, saja meneka.
“Tak lah”, jawabnya, dengan muka ‘blur’. Oh ok, malunya aku.
Kami pun berbual-bual
sehingga masuk waktu Zohor. Aku pun meminta izin untuk pulang. Satu fakta yang aku
dapat pada hari tersebut ialah nama sebenar kak Eton ialah Halimatun Saadiah,
bukan kak Zaiton. Lega, sedap sikit namanya.
“Nak solat sama?”, pelawanya.
“Tak pelah,kawan saya tengah tunggu”,
fuh! nasib baik ada alasan.
Pengalaman pertama yang indah
Sejak hari itu, kami
semakin akrab. Kak Eton selalu menziarahi ku di bilik, kami solat sama-sama, qiamullial
sama-sama, baca al-quran sama-sama, baca mathurat sama-sama. Tanpa mengajak aku
ke usrah. Pelik! Pada suatu hari, aku bertanyakan
tentang usrah.
“Seronok ke usrah? Semua tudung labuh
tak?”, tanyaku menantikan jawapan, dengan muka sedikit poyo.
“Cuba lah datang sekali, baru boleh
rasa,” hek?
“Bila?” Tanya aku dengan malu-malu.
“Esok jam 6.00 petang di surau
Burhanuddin Helmi.
Pengalaman pertama aku menghadiri usrah ini adalah kali pertama aku merasai sesuatu yang aku sendiri pun tidak tahu
apakah perasaan itu. Kalau nak rasa, kena lah join usrah. Taklah semua orang
tudung labuh. Hal ini membuat aku lebih selesa. Walaupun hanya tiga orang, tapi aku dah
rasa riuhnya dengan kehadiran Kak Tirah yang agak peramah.
Aku ingat itu adalah kali
terakhir aku pergi usrah tapi rupanya ia
merupakan tapak permulaan aku ke alam tarbiyah. Aku mula berjinak-jinak dengan
usrah sejak pertama kali aku join usrah lagi. Tak sabar untuk bertemu dengan
usrah seterusnya.
Itulah titik permulaan aku
berubah. Sedikit demi sedikit. Join
usrah, lazimi bacaan al-Quran, lazimi mathurat, ada jadual mutabaah,
sedaya-upaya bangun malam untuk berqiamullail. Satu perkara “unsangkarable”,
aku mula bertudung labuh. Nikmat apa yang Kau beri ini ya, Allah. Jelas! Tujuan
aku dihidupkan dan apa yang harus aku lakukan adalah, menjadi khalifah dan
beribadah kepada Allah. Apa yang harus dilakukan? Ya, sedarkan yang lain.
Tarbiyah ini mengajarku. Benarlah, bila kita inginkan kebaikan, Allah akan
hantar sahabat yang akan bantu kita menujuNya.
Inilah aku!
Dua tahun berlalu. Kini,
aku merupakan salah seorang aktivis PEMBINA, sayap belia bagi ISMA. Dengan
berbekalkan niat kerana Allah dan kefahaman yang jelas terhadap penggabunganku
dalam jemaah membuatkanku lebih yakin dan bersemangat. Kenapa PEMBINA? Kerana
PEMBINA mempunyai fikrah yang jelas dalam mentarbiyah belia dan membangun jati diri muslim. Matlamat ku kini
telah berubah. Aku mula mengajak rakan-rakan ku ke arah kebaikan dan membangun
umat bersama (ila mardhotillah).
Matlamat yang ingin ku capai dalam pelajaran pula telah berubah daripada meraih
dekan kepada dekan untuk ummah. Jalan ini memang payah tapi akan ku tempuh jua
kerana tarbiyah ini mengajarku tentang Islam sebenarnya.
Wallahu’alam
Petunjuk:
Unsangkarable=
perkara yang tak disangka-sangka
Siti
Asyuhra bt. Abdul Rahman
Biro
Pembangunan Sumber Manusia
PEMBINA UKM
0 comments:
Post a Comment