Tuesday, 28 April 2015

CERPEN | Tarbiyyah Ini Mengajar Aku



Aku berjalan pantas menuju ke kelas. Meskipun masih lambat lagi kelas akan bermula, aku lebih suka untuk datang awal ke kelas. Sudah seminggu semester baru dibuka. Sudah dua tahun juga aku menuntut di salah sebuah universiti terkemuka negara. Alhamdulillah, sejak aku berada di sini, aku sangat seronok berada di sini. Kedengaran burung-burung menyanyi riang sambil mencari makanan. ‘Burung pun bangun awal’, bisikku di dalam hati. 

“Assalamualaikum Nisa”. Rakan sekuliahku menegur. Aku menjawab perlahan. Memberi senyum padanya. “ Nisa, awak busy tak hujung minggu ni?” Kami sudah sampai di kelas. Suasana masih sunyi. Tidak ramai lagi yang hadir. Aku membuka planner. Melihat-lihat aktiviti hujung minggu yang mungkin telah aku catat. “ Maaf la Shahida. Nisa ada program la sabtu ahad ni. Kenapa?” Aku menunggu reaksi Shahida. “ Ish awak ni Nisa. Sibuknya. Mengalahkan Perdana Menteri. Baru nak ajak awak pergi Mid Valley.” Aku tersenyum nipis. “ Maaf la Shahida. Nisa ada program. Program tu wajib hadir.” “ Em, ye la Nisa. Awak memang macam tu. Kalau ajak pergi mana-mana pun bukannya nak ikut. Awak ni asyik sibuk dengan program je. Tapi saya pelik la dengan awak ni, walaupun awak sibuk dengan program tapi awak still dapat result yang gempak.” Shahida ketawa. Tidak sedar rakan-rakan sekelas sudah memenuhi dewan kuliah. 

Aku masih lagi tersenyum. Tidak kisah dengan apa tanggapan orang lain. Pada aku, dunia aku berbeza dengan mereka. Sejak aku masuk tarbiyyah, aku mulai berubah. Aku sudah tidak seperti dulu lagi. Kalendar mingguanku penuh dengan program-program tarbiyyah. Mabit, mukhayyam, daurah dan mesyuarat organisasi mengisi hari-hari aku di sini selain kuliah dan kajian penyelidikan. Aku bahagia begini. Bahagia di samping sahabat-sahabat yang sama-sama bekerja untuk dakwah. Entahlah. Aku juga tidak tahu bagaimana aku boleh terjebak dengan dunia dakwah dan tarbiyyah ini. Tapi  yang aku pasti, Allah lah yang menggerakkan hatiku untuk berada dalam jalan ini. 

Kelas berjalan seperti biasa. Sesekali kedengaran gelak ketawa rakan-rakan sekelas. Usik-mengusik antara mereka yang kadangkala memeningkan kepala pensyarah yang mengajar. Selesai sahaja kelas, aku terus menuju ke surau. Dhuha masih belum terlambat untuk dilaksanakan. Tenang rasanya bila air wudhuk membasahi wajahku. Sesungguhnya aku percaya, terbukanya pintu rezeki ada pada Dhuha. Aku membelek-belek plannerku. Pukul 2 petang nanti, aku harus berjumpa Dr. Zaimah untuk bertanya tentang topik yang aku tidak faham. 

Perpustakaan Tun Sri Lanang sudah menjadi rumahku yang kedua. Banyak masa yang aku habiskan di sini. Mencari maklumat dan buku-buku yang boleh digunakan sebagai rujukan. Aku suka ke perpustakaan. Sunyi. Tidak ada sesiapa yang menggangu. Aku seolah-olah dalam duniaku sendiri. Dari dulu lagi aku suka pada buku. Selalu aku dengar kata-kata orang, semakin kita banyak membaca, semakin kita terasa bodoh. Ya, ilmu Allah itu luas. Walau apa pun bidang yang kita belajar, jadikan itu sebagai asas untuk kita berdakwah. 

Malam ini aku tiada mesyuarat. Kelas malam juga tidak ada. Aku mendail nombor ibuku. Agak lama juga tidak berangkat. Aku mendail lagi. ‘Oh, mungkin ibu sedang menunaikan solat’. Bisik hati kecilku. Tiba-tiba, telefonku berbunyi. Wajah ibu terpapar pada skrin. Aku tersenyum. Rindu pada ibu. “ Assalamualaikum sayang ibu,” senyumku terus meleret. Aku menjawab salam ibu. Lama kami berbual. Aku bertanya tentang kesihatan ayah. Sejak aku masuk ke sini, kesihatan ayah seolah-olah terganggu. Ayah kerap sakit-sakit badan. Bimbang aku dengan keadaan ayah. Ayah sangat tidak suka ke klinik. Hospital apatah lagi. Waktu aku sedang berbual dengan ibu, ayah di surau. Mendengar pengajian kitab. ‘ Agaknya pukul 10 baru ayah pulang’, bisik hatiku. 

Ibu sebenarnya khuatir dengan aku. Kata ibu, aku terlalu sibuk dengan urusanku sehingga hujung minggu juga aku sukar untuk pulang ke rumah. Padahal rumahku tidaklah jauh sehingga memakan masa dua atau tiga jam. Aku mengeluh. Perbualan sebegini sudah terlalu kerap berlaku. Aku dalam dilema. Tidak tahu bagaimana mahu menerangkan kepada ibu dan ayah. Ibu dan ayah orang yang terpelajar. Sudah tentu mereka tidak mahu aku terlibat dengan mana-mana jemaah yang pada mereka tidak baik. 

“Ibu, angah tahu apa yang angah lakukan. Angah faham apa yang angah sedang perjuangkan. Ibu, angah cuma mohon doa dan restu daripada ibu dan ayah. Angah takut sekiranya angah berjalan di atas muka bumi ini tanpa redha seorang ibu”. Aku menangis di dalam hati. Suka acap kali begitu. Sudah terlalu kerap. ‘ Redhai langkah anakmu ini, ibu’, doaku dalam hati.

“Suka hati angah la. Angah buat perkara baikkan?”, kata-kata ibu buat aku terasa. Aku beristighfar di dalam hati. Mana mungkin seorang anak terasa hati dengan ibunya. Ibu berpenat lelah membesarkan kita, mendidik kita sehingga ke hari ini dengan pengorbanan yang begitu besar. Aku terus beristighfar di dalam hati. Aku tahu, ibu dan ayah sedar akan perubahanku. Perubahan sikapku yang dulunya sangat baran dan suka menengking. Perubahan aku dari segi pakaian dan ibadahku. Kalau dulu, qiamullail tidak ada dalam kamus hidupku. Kalau dulu, Al-Mathurat hanya disebut-sebut tanpa pernah membacanya. Allahu, jahilnya aku sewaktu dahulu. Alhamdulillah, Allah pilih aku untuk berada di atas jalan ini. Jalan yang menuntut aku untuk belajar berkorban dan menguatkan hati.

Hari demi hari. Hidupku seolah-olah bergelumang dengan tarbiyyah dan dakwah. Manusia itu punya pelbagai garam. Menjadi murabbi yang sukses bukanlah perkara yang mudah. Perlu ada ilmu dan skill yang mantap. Karat-karat jahiliyyah harus dibuang walaupun sayang. Dakwah fardiyah perlu dipelajari dan dipraktikkan. Daie itu bukan didatangi, tapi daie itulah yang mendatangi mad’u. Aku tidak mahu menjadi ahli ibadat yang bermain-main, tapi aku ingin bersama-sama dengan mereka yang memperjuangkan agama. Alangkah ruginya kita andai kita sekadar menjadi orang yang bertepuk tangan dan bersorak gembira atas kemenangan Islam dengan memakai wangian yang harum sedang pejuang Islam bermandikan peluh dan darah. 

Selama ini aku tidak pernah menjaga ikhtilat. Meskipun rakan-rakanku bukanlah terdiri daripada mereka yang berstatus lelaki. Sejak aku ditarbiyyah, aku mengenal mana intan, mana permata. Aku sedar, di universiti ini sendiri sukar untuk kita menjaga ikhtilat. Tapi, aku cuba. Aku cuba untuk tidak bermain dengan hati. Friend list aku di facebook semuanya perempuan. Mana-mana lelaki yang ingin menjadi rakanku di facebook, aku tolak tanpa berfikir panjang. Itu caraku. Moga Allah redha dengan usahaku yang sedikit ini. Biarlah aku dianggap sombong, asal hatiku terjaga daripada mainan hati. Kerana aku sedar, syaitan itu tidak pernah berhenti untuk menyesatkan kaum Adam. Alhamdulillah, ramai di antara mereka yang menghormati pendirianku. 

Sudah empat tahun aku berada dalam jalan dakwah dan tarbiyyah ini. Aku mula mengenal erti kehidupan. Aku mula mengenal Tuhanku. Aku mulai faham apa ertinya aku menganut Islam. Aku juga manusia biasa. Kadangkala aku tidak terlepas daripada melakukan dosa. Namun, sampai bila kita harus menunggu untuk berubah ke arah yang baik? Aku percaya, ada sesuatu dalam diriku yang Allah nampak sehingga aku menjadi kader dakwah. Teringat aku akan bicara murabbiahku, ‘Ada sesuatu yang istimewa dalam diri antunna yang Allah lihat’.  Pada aku, tarbiyyah adalah segala-galanya. Tanpa tarbiyyah, bagaimana kita mahu menyambung rantai-rantai perjuangan Rasulullah? Rasulullah dan sahabat baginda berpenat lelah, bersusah payah memastikan syiar Islam tersebar luas, takkan kita hanya ingin menjadi pemerhati? Tidakkah kita mahu syurga yang tertinggi? 

Petang itu, aku kelas seperti biasa. Gembira rasanya bila dapat menziarahi anak usrahku. Mujur pagi tadi anak usrahku tidak ada kelas. Kesempatan itu aku gunakan dengan sebaiknya. Anak usrahku terkejut apabila aku membawa hadiah buatnya. Katanya, hari ini bukan hari kelahirannya. Aku tersenyum. Itu taktik memikat hati. Di dalam kelas, pensyarah masih belum masuk. Aku memerhati keadaan sekeliling. Ada yang bergelak ketawa, ada yang menulis sesuatu dan ada yang berbual kosong. Aku mencapai kitab Allah. Membacanya dengan penuh tertib dan perasaan. Aku isi masaku dengan mengingati Allah. Aku bimbang, jika aku terleka daripada mengingati Penciptaku, syaitan akan masuk ke dalam hatiku dan membisikkan kelalaian kepadaku. 

“ Tahniah Nisa”, ucapan itu aku terima daripada rakan-rakanku pada hari graduasiku. Aku berjaya menamatkan pengajianku di universiti terkemuka ini. Alhamdulillah, aku juga diterima bekerja di sebuah syarikat penerbitan sebelum aku tamat pengajian lagi. Aku kira, semua ini adalah rezeki daripada Allah. Aku juga sedang bertatih untuk menulis bagi menghasilkan karyaku sendiri. Semua ini adalah kasih sayang daripada Allah. Bukan mudah untuk aku berda sehingga ke tahap ini. Semuanya menuntut pengorbanan masa dan harta. Niatku, sebahagian wang yang aku terima hasil titik peluhku akan aku infakkan ke jalan dakwah ini. Moga Allah redha.

Hasil karya,
Nur Sabihah Binti Nawi,
Beliawanis Pembina UKM.

0 comments:

Post a Comment

poster promo ikhwah
picture hosting