KUALA LUMPUR, 4 April – Mesyuarat Agung Tahunan
Kebangsaan Kali Ke-8 (MATK8) telah berlangsung dengan jayanya di Auditorium
Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya yang dihadiri oleh ikhwah dan akhwat
PEMBINA dari seluruh Malaysia.
Ustaz Ibrahim Mohd Hasan Al-Hafiz selaku Presiden
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) telah menyampaikan sebuah ucapan dasar
presiden yang mengandungi mesej-mesej yang penting untuk para belia Islam.
Sempena tema MATK kali ini iaitu ‘Islam Gagasan Belia
Negara’, Ustaz Ibrahim Mohd Hasan Al-Hafiz mengatakan ia merupakan impian yang
cukup besar namun jika kita tidak impikan hari ini, mana mungkin kita mampu
mengecapinya di kemudian hari.
“Secara umumnya, melalui tema ini, PEMBINA dengan
penuh keinsafan ingin membawa generasi muda hari ini yang merupakan generasi
pewaris negara di masa hadapan, untuk sama-sama mengimpikan negara yang lebih
indah dan gemilang di bawah lembayung ajaran Islam yang tulen,” terang beliau.
“Tema ini mempunyai mafhum yang cukup besar dan
menuntut pengorbanan yang tiada taranya. Seandainya kita beriman dan percaya
bahawa hanyalah Islam yang dapat memberikan penyelesaian kepada semua kemelut
kehidupan manusia sekaligus memberikan ketenteraman dan kesejahteraan jiwa, ia
adalah satu-satunya jalan untuk kita berjaya di dunia ini dan menjamin
keselamatan kita di akhirat nanti, maka apa jua yang menjadi tuntutan untuk
menggapainya akan tetap kita penuhi,” terangnya lagi.
Selain itu, kebelakangan ini ramai pihak telah
mempertikaikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
“Apa yang lebih membimbangkan lagi adalah selama ini
wujud usaha-usaha terancang untuk mendesak Malaysia diiktiraf sebagai sebuah
negara sekular dalam segenap aspek seterusnya memudahkan penularan pelbagai
agenda asing seperti liberalisme, pluralisme, hedonism dan Kristianisasi.”
Syafiqah Zaini,
Wartawan Pembina UKM.
0 comments:
Post a Comment