PEMUDA

Sesungguhnya sesuatu fikrah tu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang mempunyai keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan.

Ahlan Ya Ramadhan

Semoga Ramadhan tahun ni menjanjikan taqwa sebagai matlamat kita!

PEMBINA UKM mengucapkan Salam Maal Hijrah. Perubahan bermula dengan diri kita. Ayuh berubah! Jangan bertangguh lagi!

My Gathering kini tiba! Eksklusif untuk muslimah sahaja. Ya, kem yang penuh dengan aktiviti menyeronokkan, hanya kita-kita sahaja! Daftar segera sebelum 11 December 2012!

JOM SERTAI KAMI!

Meneraju arus mahasiswa.

Imam Hasan Al-Banna

Andai Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir rebah, maka akan ku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, tapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku dan bersama membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan tersergam indah.

JOM! USRAH

Usrah memainkan peranan penting untuk membentuk satu individu mengikut acuan islam sebenar. Selain itu, potensi dapat dibangunkan melalui usrah. Ingin sertai usrah? Hubungi Amirul (0136706079).

Sunday, 25 September 2016

CERPEN I HIDAYAH ITU MILIK ALLAH


Dalam mencari keredhaan manusia, perlu mencari keredhaan-Nya dahulu. Itulah ayat yang disemat di dalam lubuk hati Putri. Sebak dan sendu terasa hatinya bila dapat meluahkan segalanya kepada yang Maha Mengetahui.
Hidupnya dahulu sentiasa dikelilingi orang yang tidak pernah melihat agama sebagai sesuatu yang tiada ukurannya jika dibandingkan dengn harta benda. Pernah suatu ketika, ibu dan bapanya pulang ke rumah dengan keadaan yang tidak waras akal fikirannya disebabkan oleh minuman yang telah jelas haram di dalam Al-Quran. Melihat yang demikian dia lantas terus memeluk erat kedua ibu bapanya sambil berdoa kepada-Nya supaya mereka meninggalkan perbuatan yang dilaknat itu. Walaupun dia jahil tentang identitinya sebagai seorang muslim, dia masih lagi boleh berfikir baik dan buruk sesuatu perkara.
Bagaikan tersedar dari lena yang panjang sambil dibuai dengan alunan muzik, ketika itulah dia telah dikejutkan dengan suatu perasaan aneh yang tidak dapat digambarkan. Perasaannya, di mana dia menginginkan belajar tentang agama yang dia tidak pernah ambil peduli sebelum ini. Akan tetapi, dia masih terasa kosong tanpa kehadiran keluarga di sisi dalam perjalanan menuju Ilahi.
Ibu bapanya masih seperti dahulu dan tidak dapat menerima perubahan puteri tunggal mereka  itu. Sudah berbuih mulutnya berusaha menasihati kedua ibu bapanya, namun perkara yang sama kerap berulang. Putri telah redha akan ketentuan ini, namun dia tidak pernah mengalah untuk memohon hidayah kepada-Nya.
Sehingga, suatu hari, kedengaran sayup suara kedua ibu bapanya mengalunkan bait-bait daripada Al-Quran yang diajar oleh seorang ustaz. Terduduk tanpa kata dia dibalik pintu yang dikuak sedikit itu. Kini, mereka telah bersama-sama berada dalam jalan perjuangan agama yang penuh panca roba ini tanpa menoleh kebelakang walaupun seringkali diungkit kisah silam mereka, dimaki dan dicaci.
Tidakkah kita ingin hidup seperti keluarga Putri masa kini? Ramai yang berkata, “aku tak kuat”, “aku tak mampu”, “kau boleh la keluarga kau baik-baik”. Jangan! Jangan sama sekali berputus asa sebelum mencuba. Bukankah kita telah diajar untuk tidak putus asa? Sejak bayi, kita telah jatuh berkali-kali, namun kita cuba bangkit walaupun dalam keadaan menangis.
Betapa cekalnya kita dahulu, adakah kita mahu kalah dengan bayi yang masih tidak tahu apa-apa? Jangan disebabkan ego diri kita sendiri membuatkan kita sombong kepada Tuhan kita. Jangan patah semangat, cuba lihat kembali. Adakah kita terpelihara dari segala ujian sebelum ini?
Jangan pernah mengatakan “engkau tak rasa apa yang aku rasa”, ya! Ini kerana dia telah merasakan sesuatu ujian yang lebih hebat daripada dirimu wahai saudaraku. Di sini rumus mudahnya,
Ujian dari Allah = Iman
Apa maksudnya? Jika bertambah ujian, maka makin tinggi keimanan seseorang. Ini kerana Allah ingin melihat apakah benar kita ini seorang hamba yang taat ataupun hanyalah sekadar ingin mendapatkan sesuatu. Jangan risau, Allah tak akan membebani hamba-Nya dengan ujian yang tidak tertanggung. Jadi sabarlah walaupun seberat manapun ujian hidup kita. Jika kita merasakan hidup ini berat, fikirkanlah bagaimana umat zaman dahulu yang lagi berat ujiannya.


Nur Nadirah Binti Yohyi
Biro Rekreasi PEMBINA UKM.

Thursday, 15 September 2016

CERPEN I APLIKASI PENGORBANAN




“Cepat kejar!” pekik satu suara yang berada di keliling orang ramai.

Dalam sekelip mata, keadaan telah menjadi riuh-rendah. Beberapa orang pemuda yang berbadan sasa berusaha sebaik mungkin mendapatkan apa yang ingin dihajati. Keadaan yang sepatutnya berjalan lancar telah melewati masa bagi menyelesaikan perkara yang telah terjadi tanpa diduga. Debu tanah kering yang mula naik ke kepala telah menyebabkan orang ramai mula berpecah mencari tempat yang selesa.

“Atuk, bagaimana? terasa sakit?” Tanya Rozmi yang mula mendapatkan datuknya yang sedang menepuk-nepuk belakang orang tua itu yang sedikit kotor selepas tubuhnya terbaring ke tanah disebabkan oleh satu daya tolakan yang kuat. Mujur sebilah parang tajam yang terlepas dari genggaman Tok Mat tidak terpelanting mengenai orang ramai.

“Alhamdulillah, aku tiada apa-apa. Memang liat benar binatang ni nak dikerjakan.” Ujar Tok Mat sambil menghela nafas. Tok Mat mencapai parangnya dan terus melabuhkan punggungnya di sebuah pangkin yang berhampiran. Sebaik sahaja terlihat datuknya sedang duduk, seorang kanak-kanak yang memakai baju bergambar “Super Man” mula merapati datuknya dengan mempunyai tujuannya yang tersendiri.

“Atuk, kenapa semua orang nak ganggu lembu itu? Lembu tu bukannya kacau orang. Kalau dia tidak kacau kita, kenapa kita nak kacau dia?” Tanya Safwan seolah-olah berasa tidak puas hati akan apa yang sedang dilakukan oleh orang-orang kampung. Belum sempat Tok Mat membuka mulut, Rozmi yang berada di sisi Tok Mat itu mula mengusik adiknya.

“Kamu selalu leka di dalam kelas semasa cikgu sedang mengajar. Sekarang sudah tidak tahu apa itu korban dan mula menuduh yang bukan-bukan. Alamatnya, memang jadi super hero nak selamatkan lembu!” Rozmi gelak sendirian.

“Janganlah! Adik tak kacau abang pun.” Marah Safwan lalu menepis tangan abangnya yang mengusut-gusut rambutnya yang pendek itu. Safwan sedar, tingginya yang hanya mencecah paras pinggang abangnya itu pasti tidak akan mampu dilawannya. Dia hanya mampu mengelak apabila Rozmi ingin menyakatnya.

“Sudah-sudahlah. Baik-baik lembu yang nak dikorbankan, kamu berdua pula yang terkorban nanti. Tak baik bergaduh. Pergaduhan hanya akan mendatangkan mudarat pada diri kamu.” Tegur Tok Mat.

Kedua-dua cucu Tok Mat itu terdiam seketika dan memohon maaf atas keterlanjuran yang dilakukan di hadapan datuknya. Pastinya mereka takut apabila datuknya itu mula naik darah.

“Rozmi, kamu tahu kenapa kita perlu membuat korban?” Tanya Tok Mat.

“Cikgu ada beritahu semasa dalam kelas bahawa korban ini pada mulanya berlaku semasa zaman Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail. Allah telah memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih anaknya itu melalui mimpi Nabi Ibrahim. Perintah Allah terhadap baginda sangat berat untuk dilaksanakan. Walau bagaimanapun, Nabi Ismail sendiri meyakinkan bapanya supaya menjalankan perintah Allah tersebut. Atas keikhlasan dan kesetiaan dalam menjalankan perintahNya, Allah S.W.T. telah menggantikan Nabi Ismail dengan haiwan ternakan sebagai korban. Betul tak, atuk?”

“Betul, pandai cucu atuk. Kalau kita tahu sahaja tapi tak aplikasikan dan dalam kehidupan diri kita, tidak bergunalah ilmu yang kita peroleh macam pepatah Arab ada kata ilmu tanpa amal umpama pohon tak berbuah.” Kata Tok Mat sambil menghadapkan wajahnya ke arah kedua-dua orang cucunya itu.

“Aplikasi yang ada dalam handphone tu?” Tanya Safwan sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal itu.

Rozmi dan Tok Mat tergelak seketika. Manakala Safwan pula hairan apabila mendapat tindak balas yang sedemikian di atas soalan yang dilontarkan.

“Maksud aplikasi yang atuk katakan tadi adalah perbuatan dan amalan yang kita lakukan dalam kehidupan harian kita sama ada kerap kali atau jarang ataupun makna lain sebagai satu pengorbanan.” Rozmi membetulkan kefahaman adiknya.

Safwan hanya tersenyum sinis. Dirinya yang baru sahaja setahun jagung dan mula memasuki alam persekolahan perlu banyak yang dia pelajari dan ketahui.

“Berkorban itu tidak semestinya kita membeli seekor lembu atau haiwan ternakan lain lalu kita sembelih tetapi berkorban itu meliputi segala hal, sedangkan kalau kita nak minum air pun ada situasinya dianggap korban.” Terang Tok Mat sambil mengusap janggutnya yang sudah berwarna putih.

“Eh, minum air pon dikira berkorban?” Tanya Rozmi dengan reaksi muka yang ingin tahu.

“Ada satu kisah ketika mana tentera Muslim sedang berperang. Apabila keadaan telah menjadi sedikit tenang, ada seorang Muslim ini ingin meminum air yang dibawanya. Belum sempat diminum air tersebut, tiba-tiba dia terdengar satu suara meminta air. Maka dia terus ke arah suara itu dan dijumpai seorang tentera yang berada dalam keadaan tenat. Belum sempat tentera yang berada dalam keadaan tenat itu tadi minum, terdengar pula satu suara lain meminta air. Maka tentera ini tadi menyuruh pemilik air itu untuk memberi air tersebut kepada pemilik suara yang mereka dengar tadi. Apabila sampai sahaja ke arah tentera yang kedua ini, belum sempat diberi minum, terdengar pula satu suara lain yang meminta air. Hal yang sama turut berlaku dalam keadaan tersebut. Sehinggalah apabila pemilik air ini datang kepada pemilik suara berkenaan, didapati pemilik suara itu sudah syahid. Maka beliau berpatah balik sehinggalah kepada orang yang mula-mula dijumpainya meminta air dan kesemuanya syahid.”

Rozmi dan Safwan seolah-olah sudah dipukau oleh Tok Mat apabila mendengarkan kisah yang diceritakan kepada mereka.

“Oh, begitu rupanya. Bagaimana pula kalau Safwan pergi belajar di sekolah, perkara itu dianggap berkorban juga?” Tanya Safwan sambil memandang tepat ke arah wajah yang sudah mula berkedut.

“Benar, wahai cucuku. Kamu dianggap berkorban masa dan jiwa. Ibu bapa kamu yang bekerja mencari nafkah, lagi besar pengorbanan mereka. Mereka mencari rezeki untuk membesarkan kamu, memberi kamu makan, membelikan kamu pakaian dan memberikan yang terbaik untuk kamu berdua. Jadi sebagai seorang anak kamu berdua wajib menghormati ibu bapa kamu dan berbuat baik terhadapnya.” Jelas Tok Mat yang cuba memberikan kefahaman kepada kedua-dua cucunya itu.

“Jika kamu ingin mengaplikasikan pengorbanan dalam hidup kamu, kamu hendaklah mempunyai sikap terbuka, ikhlas dan yang paling penting adalah tidak bersikap pentingkan diri dan bangga diri. Istiqamah dalam amalan adalah merupakan kunci kejayaan yang terbesar dalam aplikasi pengorbanan buat diri kamu.” Tambah Tok Mat.

Rozmi tunduk seketika, dia sedar bahawa adiknya adalah amanah yang dititpkan dari kedua orang tuanya. Dia sepatutnya banyak memberikan tunjuk ajar dan bimbingan kepada Safwan bukannya cuba mentertawakan dan memperlekehkan adiknya itu. Manakala Safwan pula yang mula merindui ibu bapanya, merasakan satu anugerah yang terindah jika dia dapat berbuat baik dan berbakti kepadanya.

“Insya-Allah, selepas ini Rozmi akan membimbing Safwan dan mengajar perkara yang baik. Rozmi dan adik akan berusaha berbuat baik kepada ibu dan ayah.”

“Jika kamu benar-benar faham dan dapat aplikasikan istilah pengorbanan dalam diri kamu, insya-Allah, Allah akan sentiasa tolong dan merahmati kamu.” Jelas Tok Mat sambil mengukir senyuman.

“Tok Mat, kita dah dapat tangkap lembu yang lari tadi. Sekarang ni semuanya sudah diikat dan dipegang dengan kuat, hanya tinggal disembelih lembu itu.” Kata seorang pemuda yang datang ke arah Tok Mat dengan berpakaian agak buruk sebagai persiapan menyembelih dan seterusnya melapah  binatang korban tersebut.

“Jom!” Sahut Safwan yang lebih bersemangat seolah-olah dia pula yang ingin menyembelih haiwan tersebut.

Tok Mat mencapai parangnya dan tersenyum melihat gelagat cucunya itu.    

TAMAT~

Yusre Zulhamize Bin Zainuddin
Biro Tarbiyyah PEMBINA UKM

poster promo ikhwah
picture hosting