Pernah tak terhirup sup yang amat panas. Panasnya sampai ke kerongkong. Kalau 'nasib baik' lidah pun terasa seperti melecur. Nak makan pun rasa tak selesa. Tapi sekejap je, InsyaAllah lepas sehari dua, lidah akan pulih.
Tapi tu kalau terhirup sup panas. Kalau terpaksa makan buah Zaqqum?
(Ingatlah), sesungguhnya pokok Zaqqum,(Buahnya) menjadi makanan bagi orang yang berdosa (dalam neraka).(Makanan ini pula panas) seperti tembaga cair, mendidih dalam perut, Seperti mendidihnya air yang meluap-luap panasnya.
Surah Ad-Dukhan 44:43-46
Buah Zaqqum adalah makanan bagi mereka yang mendustakan Hari Kebangkitan dan juga Hari Pembalasan. Tempatnya sudah tentulah di neraka jahanam. Kita mempercayai akan berlakunya hari kiamat, namun adakah kepercayaan kita itu selari dengan amalan kita sebagai seorang Islam?
Nabi Muhammad ﷺ menangis
Rasulullah pernah bertanyakan perihal neraka kepada Jibril:
“Ya Jibril, jelaskan kepada aku bagaimana sifat neraka jahanam?”
Jawabnya:
“Ketika Allah menjadikan Jahanam, ia dinyalakan selama 1,000 tahun sehingga warnanya bertukar putih. Kemudian dinyalakan lagi sehingga 1,000 tahun sehingga warnanya hitam dan ia tidak pernah padam. “Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak, jika ia terbuka walaupun hanya sebesar lubang jarum, seluruh penduduk dunia akan terbakar kerana kepanasannya!
“Jika baju ahli neraka digantung antara langit dengan bumi, manusia di dunia akan mati kerana panasnya dan jika satu pergelangan daripada rantai yang disebut dalam al-Quran itu diletakkan di atas bukit, ia akan cair sehingga ke bawah bumi yang ketujuh.
“Neraka jahanam sangat dalam dan perhiasannya daripada besi. Minuman untuk penghuninya campuran air panas dan nanah manakala pakaian mereka diperbuat daripada potongan api. Api neraka mempunyai tujuh pintu.
“Setiap pintu itu pula mempunyai bahagian tertentu daripada lelaki dan perempuan.”
Jibril juga telah menerangkan perihal 7 pintu api neraka serta golongan yang duduk di pintu-pintu tersebut.
Namun Jibril terdiam apabila sampai kepada pintu yang ketujuh sehingga Rasulullah bertanya:
“Mengapa kau tidak beritahu siapa yang akan menduduki pintu ketujuh?”
Jibril menjawab:
“Dalamnya adalah umatmu yang berdosa besar dan mati sebelum sempat bertaubat”.
Rasulullah pengsan apabila mendengar jawapan Jibril itu. Jibril kemudian meletakkan kepala Rasulullah pada pangkuannya hingga Baginda sedar dan bersabda:
“Ya Jibril, aku begitu risau dan sedih. Adakah akan ada seorang daripada umatku yang akan masuk neraka?”
Jawabnya: “Ya, iaitu orang yang berdosa besar daripada kalangan umatmu.”
Rasulullah kemudian menangis, begitu juga dengan Jibril. Baginda kemudian masuk ke dalam rumahnya dan tidak keluar kecuali untuk pergi bersembahyang.
****************
Dasyat bukan api neraka? Sehinggakan Baginda Rasulullah turut risau dan sedih akan nasib umatnya yang akan menghuni neraka.
Mungkin sekali sekala tidak mengapa untuk lidah kita melecur dek kerana terhirup sup yang amat panas.
Sebagai peringatan, kepanasan di neraka jauh lebih hebat.
Nabi Muhammad ﷺ;bersabda: "Kamu boleh menyebut tentang neraka sesukamu, maka tiada kamu menyebut sesuatu melainkan api neraka itu jauh lebih ngeri dan lebih keras daripadanya."
Pencinta Haiwan
Sains Haiwan, UKM