Wednesday 24 October 2012

Setiap Amalan Bergantung Pada Niat

Diriwayatkan dari Amirul Mu’minin Abu Hafsh ‘Umar bin Khaththab Radhiyallahu ‘anhu, ia berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan setiap orang hanya memperolehi apa yang ia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya kerana Allah dan RasulNya maka hijrahnya itu kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang ia akan perolehinya atau kerana perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu kepada apa yang ia hijrahkan kepadanya”.

 Hadith ini menunjukkan salah satu prinsip dalam agama Islam, dimana atas prinsip itulah Islam berdiri tegak.

  Rasulullah s.a.w telah menyatakan didalam hadith ini, bahawa semua perbuatan yang disyariatkan Islam memerlukan kepada kewujudan niat. Semua perkataan dan perbuatan setiap mukmin tidak sah dan tidak diterima tanpa adanya niat, kerana niat adalah merupakan dasar dan ukuran bagi semua perbuatan dan perkataan.

  Setiap perbuatan itu dinilai baik selagi mana niatnya baik, dan sebaliknya setiap perbuatan itu dinilai buruk selama mana niatnya itu buruk. Maka apabila niatnya baik dan perbuatannya itu pula sesuai dengan tuntutan syariat, maka perbuatan itu diterima. Tetapi jika perbuatan baik dengan niat yang buruk, atau perbuatan buruk dengan niat yang baik dan perbuatan itu tidak disyariatkan maka perbuatan tersebut tidak diterima.


    Kebiasaannya kita mendengar ayat ‘setiap amal perbuatan itu bergantung kepada niat’ dan ternyata niat dalam melakukan ibadah itu penting. Dan tidak kira perbuatan seharian kita sekalipun, jika diniatkan kerana Allah s.w.t maka perbuatan kita diterima dan mendapat ganjaran yang setimpal dengannya.

   Sebab timbulnya hadith ini:

Diceritakan pada zaman Rasulullah s.a.w, ketika itu Rasulullah ingin berhijrah dari Makkah ke Madinah, kemudian ada seorang lelaki yang akhirnya ikut berhijrah ke Madinah tetapi dengan niat agar lamarannya diterima oleh Ummu Qais. Maka lahirlah hadith ini.

   Riwayat Ath-Thabrani dengan para perawinya yang dipercayai, dari Ibnu Mas’ud Radhiyallahu ‘anhu, ia berkata: “Di kalangan kami terdapat seorang lelaki yang melamar seorang perempuan yang bernama Ummu Qais, tetapi perempuan tersebut menolaknya kecuali jika lelaki itu sedia berhijrah, maka lelaki itupun berhijrah dan menikahinya. Maka kami menamainya Muhajir Ummu Qais”.

    Intisari hadith:
- Ikhlas berbuat sesuatu kerana Allah s.w.t dan berwaspada daripada sikap menunjuk-nunjuk dan mencari populariti.
-Niat itu tempatnya dihati. Adapun melafazkan niat di lisan itu tidak ada tuntutan dalam syariat.
- Pekerjaan seseorang itu tidak sah apabila tidak disertai dengan niat.
- Tidak boleh berniat dalam semua ibadah kecuali apabila ibadah itu disyariatkan.

Kesimpulannya disini, marilah kita sama-sama mengikhlaskan niat kita kerana Allah s.w.t semata-mata dalam melakukan amal ibadah dan perbuatan seharian kita. Allah s.w.t Maha Mengetahui segala rahsia yang tersembunyi dan Dia Maha Rahsia. Allah s.w.t akan memberi balasan kepada setiap pelaku perbuatan. Apabila perbuatan itu baik, maka baiklah pula balasannya. Tetapi jika perbuatan itu buruk, maka buruklah pula balasannya.


 Sumber rujukan: Syarah Hadith 40 Imam An-Nawawi Penyusun: Muhammad Bukhari


Oleh: Siti Solehah Binti Azaman
          FEP (UKM)

poster promo ikhwah
picture hosting