HADIS KE-16
Diriwayatkan dari Abu Hurairah
r.a, bahawa ada seorang lelaki telah berkata kepada Nabi Muhammad s.a.w:
“Berilah aku nasihat.” Baginda bersabda: “ Jangan marah.” Maka orang itu
mengulangi (permintaannya) beberapa kali, Nabi menjawab: “ Jangan marah!”
(Hadis Riwayat al-Bukhari)
Hadis di atas menceritakan
tentang nasihat Nabi kepada seorang lelaki iaitu Abu Darda’ r.a. Walaupun hadis
ini dikhususkan kepada orang yang bertanya iaitu Abu Darda’ akan tetapi nasihat
ini sangat berguna untuk umat manusia. Marah merupakan suatu perasaan yang
sangat besar kesannya ke atas diri individu. Apabila seseorang itu tidak mampu
untuk menahan kemarahannya maka akan timbullah pelbagai keburukan. Nabi s.a.w
menasihati umat manusia supaya jangan marah adalah jelas menunjukkan bahawa
sifat marah itu bukanlah perkara yang baik. Berdasarkan nasihat ini juga Nabi
s.a.w menganjurkan supaya umatnya berakhlak mulia seperti penyayang, lemah
lembut dan rendah hati. Nabi s.a.w juga menyarankan supaya umatnya bersabar
dalam menghadapi musibah dan bergaul sesama manusia dengan akhlak yang terpuji.
Dalam mencapai usaha menahan
kemarahan, terdapat beberapa resepi yang dapat dijadikan panduan, antaranya:
·
Berlindung kepada Allah
s.w.t dengan menbaca ta’awuz.
·
Ingat kepada manfaat
menahan marah.
·
Berwudhu’
·
Menukar posisi tubuh dari
berdiri kepada duduk atau duduk kepada baring.
·
Ingat kepada kemarahan
Allah bahawa kemarahan-Nya lebih dari kemarahan kita dan sebagainya.
Terdapat sebuah kisah yang menceritakan
seorang pelayan dengan majikannya tentang menahan kemarahan. Dikisahkan bahawa
seorang pelayan sedang membawa makanan untuk tuannya. Tiba-tiba pelayan itu
tergelincir dan makanan yang dibawanya terjatuh menimpa tuannya. Maka
meledaklah kemarahan tuannya itu, ketika melihat perkara itu pelayan tersebut
berkata: “ Wahai tuan, ingatlah firman Allah s.w.t.” Tuan itu berkata: “ Apa
firman Allah s.w.t itu?” Pelayan tersebut menjawab: “ Allah s.w.t berfirman: :
dan orang-orang yang menahan kemarahannya.” Si tuan berkata: “ Ya, saya sedang
menahan kemarahan.” Pelayan itu berkata: “ dan orang-orang yang memaafkan
orang.” Si tuan berkata: “ Ya, saya telah memaafkan kamu.” Pelayan itu berkata
lagi: “Allah s.w.t menyukai orang-orang yang berbuat baik.” Si tuan menjawab:
“Kamu bebas kerana Allah.” Kemudian tuan itu memberi pelayannya seribu dinar.
Kata Hikmah: “ Marah itu punca
penyesalan.”
NURUL HAJJAR BINTI ATAN
KOMUNIKASI DAN DASAR AWAM
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA