HULU SELANGOR, 17 Jan – Bagi
mengisi masa lapang pelajar UKM pada cuti semester ini, Persatuan Belia Islam Nasional
(PEMBINA) UKM menganjurkan mukhayyam,
khas kepada mahasiswi yang bertemakan ‘Kem Khalifah Muda (KEM)’, bertempat di
Rasa, Hulu Selangor. Perkhemahan ini bertujuan membentuk ciri-ciri khalifah
dalam jiwa peserta, di samping melahirkan muslimah yang berjiwa kental dalam
mengharungi pelbagai cabaran.
Para peserta bertolak ke tempat
program dengan menaiki KTM, bagi melatih mereka berdikari serta merancang
perjalanan mengikut masa yang ditetapkan. Peserta juga diuji untuk berhadapan
dengan masyarakat apabila mereka diberikan penanda buku untuk disampaikan
kepada penumpang KTM.
Program yang berlangsung selama
tiga hari dua malam ini, bukan sahaja diisi dengan aktiviti yang berbentuk
kerohanian mahupun menguji ketahanan fizikal serta jiwa, seperti aktiviti explorace
dan sentuhan qalbu(muhasabah), malah turut mendedahkan para peserta kepada isu-isu
semasa yang menjadi ancaman kepada umat Islam kini.
“Sepanjang program ini, saya
memperoleh banyak manfaat, antaranya, dapat meningkatkan pengetahuan dan
kefahaman dalam isu semasa, seperti COMANGO dan isu Kalimah Allah.”
“Selain itu, program ini berjaya
menambahkan keyakinan saya untuk berdakwah kepada masyarakat.”
Ujar seorang daripada peserta
KEM, Norasyima Bt. Zaki. Selain itu, Ummu Sulaim yang juga peserta program,
berpendapat bahawa pentingnya individu muslim dalam menyampaikan dakwah.
“Kem ini adalah satu inisiatif
untuk menyedarkan seseorang itu akan peranannya sebagai individu muslim dalam
menyebarkan dakwah.”
“Apa yang kita lihat sekarang,
masyarakat mengehadkan kerja dakwah itu hanya kepada pendakwah dan mereka yang
mengkhusus dalam bidang agama sahaja, sedangkan ini adalah peranan sebenar
kepada setiap umat Islam.”
Antara aktiviti utama yang lain
adalah, 5 rencah 5 rasa, Idola Khalifah, Ledakkan Potensi Dirimu (LDK),
Tahajjud Cinta (Qiamullail), dan Duduk Membangun Iman, iaitu slot pengisian
yang disampaikan oleh aktivis ISMA, Dr. Irfan.
Wartawan PEMBINA UKM
0 comments:
Post a Comment