Kita sering kali mendengar perkataan
warga emas dalam bualan masyarakat. Warga emas yang dimaksudkan ialah warga
tua. Betul tak ? Tapi pada saya maksudnya lain.
Nak tahu apa tak apa yang saya
maksudkan ? Kalau nak tahu, ayuh ikut
bersama-sama saya melayari bahtera warga emas ini.
Baiklah, warga emas yang maksudkan di sini ialah orang
muda.
Warga Emas orang muda ? Biar betul !
Betul lah.
Usia emas ialah usia muda. Kenapa
saya berkata begitu ? Ini kerana apa yang
dimiliki oleh seorang pemuda itu, tidak
ada pada golongan atau warga lain.
Ada empat perihal yang diperkatakan
oleh Hassan Al-Banna berkenaan ciri pemuda yang tidak apa pada orang lain. Empat ciri tersebut ialah keimanan, keikhlasan,
semangat dan usaha.
Malah, terdapat satu potongan hadis Nabi S.A.W
berkenaan rebutlah lima perkara sebelum lima perkara. Salah satunya ialah ‘Muda
sebelum Tua.’ Kenapa muda sebelum tua juga diperkatakan sedangkan perkara hidup
sebelum mati sudah cukup menyimpulkan keseluruhan kehidupan manusia? Ini kerana
pentingnya memanfaatkan usia muda.
Dalam era modenisasi ini, kita lihat
bagaimana pemuda kita memanfaatkan masa dalam kehidupannya? Adakah berada pada
tahap yang baik atau sebaliknya? Saya
berpandangan keadaan pemuda pada hari ini semakin menuju ke arah yang buruk
kerana banyak gejala sosial yang berleluasa,
budaya ‘couple’, dan budaya
hiburan yang melampau.
Pernah suatu ketika, ditanyakan
kepada seorang pemuda berkenaan lafaz syahadah,
pertanyaan tersebut dibalas dengan jawapan ‘tidak tahu’. Apabila ditanyakan
pula soal rukun iman, juga ‘tidak tahu’.
Ini baru seorang, bagaimana pemuda yang lain? Adakah mereka sama atau lebih baik
atau lebih menyedihkan lagi.
Suatu kata-kata yang sehingga hari
ini terpahat di fikiran saya ialah ‘untuk melihat generasi akan datang, maka
lihatlah generasi hari ini’. Bagaimanakah keadaan generasi hari ini?
Usia muda seharusnya diisikan dengan
hal-hal atau amal-amal kebaikan yang banyak. Bukannya dipenuhi dengan perkara
mungkar. Makanya, beruntunglah orang
yang usia mudanya lagi dipilih oleh Allah untuk menempatkan dirinya dalam
kehidupan dakwah dan tarbiyyah iaitu dikelilingi oleh biah solehah.
Bila mana kita berada dalam
persekitaran tarbiyyah yang betul, ianya
akan membentuk kepercayaan dan tindakan kita terhadap Islam yang sebenar.
Contohnya kisah Ashabul Kahfi, golongan muda yang lari bersembunyi dari
kekejaman pemerintah pada waktu itu, demi menyelamatkan akidah mereka.
Dari kisah itu, Allah menurunkan
dalam surah Al-Kahfi ayat 13, yang bermaksud: "Kami ceritakan kepadamu
(wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu
orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka
dengan hidayah petunjuk."
Bukan sekadar kisah Ashabul Kahfi
tetapi Allah juga telah membawakan kepada kita kisah-kisah para rasul dan nabi
yang pada usia mudanya sudah diterima amanah, dugaan dan segala macam kepayahan
hidup. Akan tetapi kehebatan mereka menjangkaui realiti masyarakat pada ketika
itu.
Contohnya kisah Nabi Ibrahim yang
berselisih faham dengan ayahnya sendiri dalam soal ketuhanan sehinggakan beliau
disisih oleh ayahnya. Nabi Yusuf turut mendapat cubaan yang hebat iaitu
disisihkan oleh adik-beradiknya, dijadikan hamba, difitnah oleh wanita dan juga
dimasukkan dalam penjara. Apatah lagi nabi kita iaitu Nabi Muhammad yang sejak
dari kecilnya telah banyak dugaan yang dihadapi. Walau bagaimanapun tanda kasih
dan sayang Allah, Allah telah memberikan wahyu, mukjizat dan kelebihan kepada
rasul-rasul dan nabi-nabiNya.
Wahai warga emas, wahai pemuda! Adakah
kamu ingin dihanyuti nikmat duniawi
semata-mata?
Masihkah lagi kamu ingin menempah ke lembah binasa? Masihkah lagi
kamu ingin mengikuti jalan yang sesat selamanya?
Bangunlah! Jangan biarkan dirimu dibayangi
mimpi. Jangan biarkan masa emasmu ini tenggelam dalam sepi. Teruskan perjalanan
membina kekuatan diri dan mencari identiti dirimu yang sebenar.
Siapa lagi
kalau bukan dirimu? Kamu lah pemudah yang bakal mewarisi pemerintahan dunia
kerana pemuda hari ini adalah cerminan kepimpinan akan datang.
Muhammad Firdaus Hamdan,
Timbalan Presiden PEMBINA UKM.
Timbalan Presiden PEMBINA UKM.
0 comments:
Post a Comment