Wednesday, 6 November 2013
TAHUN BARU, HIDUP BARU
Alhamdulillah,
pada ketika ini kita telah memasuki tahun baru Hijrah. Dan waktu ini adalah
saat paling tepat untuk merenung kembali arah hidup kita, terutama yang
berkaitan dengan prinsip dan nilai yang menjadi asas aktiviti kita. Begitu juga
persepsi dan sudut pandangan kita dalam melihat kehidupan ini. Bukan mustahil, panduan hidup kita selama ini sebenarnya
salah atau kabur, sehingga menyebabkan berbagai permasalahan hidup yang
menyeksa diri kita sendiri.
Niat kita, hidup kita
Sering kali kita mendengar tentang hadis Nabawi yang
pertama yang diriwayatkan dari Amirul Mukminin Abu Hasfh ‘Umar bin al-Khathab
r.a, ia berkata:
“Aku
mendengar Rasulullah SAW bersabda, : “Sesungguhnya setiap amal itu tergantung
dari niatnya, dan sesungguhnya seseorang itu hanya mendapatkan sesuai dengan
apa yang diniatkannya. Barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya,
maka hijrahnya(dinilai) kepada Allah dan Rasul-Nya, dan barang siapa hijrahnya
kerana dunia yang hendak diraihnya atau kerana wanita yang hendak dinikahinya,
maka (hakikat) hijrahnya itu hanyalah kepada apa yang menjadi tujuan
hijrahnya”. Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.
Jelaslah di
sini menunjukkan niat seseorang sangat penting kerana ia akan menentukan
perjalanan kehidupan kita. Dan Allah memperlakukan kita sesuai dengan niat
kita. Tidak
terkira berapa banyak orang yang sengsara dalam mengharungi bahtera hidup ini
lantaran keliru memasang niat di awal perjalanan.
Orang yang
“tersalah niat” dalam mencari harta akan hidup bagai hamba sahaya. Ia melihat
wang dan kekayaan sebagai tujuan utama sehingga senantiasa dibayangi kefakiran
dan takut miskin.
Orang yang
“tersalah niat” dalam belajar menghabiskan hidupnya untuk perkara yang sia-sia.
Ia membuang energi untuk mengejar ijazah, bukan untuk menimba ilmu.
Padahal selembar kertas hanya memberikan kemuliaan palsu, bukan hakiki. Kaum
Muslimin khasnya, dan masyarakat dunia amnya, kita seharusnya memuliakan
seseorang kerana sumbangan yang diberikan, bukan kerana ijazah yang dipegang.
Orang yang
“tersalah niat” dalam berdakwah akan hidup dalam kebencian. Masyarakat
membencinya dan ia membenci mereka. Hakikat dakwah adalah simpati yang lahir
dalam hati lalu mendorongnya untuk menyelamatkan manusia daripada kesesatan dan
kebinasaan. Jika dakwah berakhir dengan kebencian, mesti ada yang salah dalam
motif dan niat awal dakwah tersebut.
Pakar Dunia, Jahil Akhirat
Dan yang
paling rosak adalah orang yang “tersalah niat” , bahkan “tidak punyai niat”
dalam menjalani kehidupan di muka bumi ini. Orang seperti ini tidak sedar arah
dan tujuan hidupnya. Bagi mereka hidup ini tidak lain setakat silih berganti
siang dan malam. Tidak ada hisab yang harus dipersiapkan dan tidak ada misi
yang akan dilaksanakan.
Hidup
seperti ini adalah hidup manusia yang tertutup mata hatinya. Mereka sangat
pandai dalam urusan dunia, namun sangat jahil tentang urusan akhirat. Sifat
seperti ini ada pada orang kafir namun sayangnya sifat ini turut berlaku dalam
kalangan profesional Muslim pada masa ini. Keadaan ini digambarkan oleh Imam
Hasan al-Basri sebagai berikut: “Kerana kepandaiannya, salah seorang daripada
mereka mampu mengetahui kadar emas hanya dengan mengetuk dengan jari. Namun, ia
tidak boleh melakukan solat dengan benar.” (Disebut oleh Ibn Kathir dalam
tafsirnya).
Orang yang lurus niatnya
Bagi
orang yang “lurus niatnya”, hidup ini adalah pentas untuk membuktikan kehambaan
dan penyerahan dirinya kepada Allah SWT. Dengan yakin ia berkata: “Sesungguhnya
solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah , Tuhan semesta
alam.”(Surah al-An’am 6:162)
Ucapan ini
kemudiannya dipraktikkan dalam setiap percakapan dan perlakuan yang ia lakukan
setiap hari. Bagi orang seperti ini, hidup hanya bermakna apabila ia digunakan
untuk memperoleh kebahagiaan akhirat. Setiap kali bekalan akhiratnya bertambah, hatinya
bergembira meskipun simpanan dunianya berkurangan. Hidup orang ini sentiasa
dalam ketenangan dan kebahagiaan di bawah naungan tawakal dan bersangka baik
kepada Allah SWT.
Konsep
kejayaan bagi orang seperti ini bukan diukur pada kekayaan atau jawatan, apatah
lagi pada ijazah atau ramainya pengikut. Namun, kejayaan hakiki ialah apabila
seseorang itu mampu menggunakan kekayaan,jawatan,ijazah dan karismanya untuk
melaksanakan hukum Allah SWT di muka bumi. Inilah kejayaan hakiki yang perlu
kita cita-citakan bersama.
Hijrah
Nah, pada awal tahun baru ini mari kita renungi sejenak
dan ajukan beberapa soalan asas berkenaan dengan hidup kita. Adakah niat dan
visi yang kita pegang selama ini benar? Ke manakah arah hidup kita selepas ini?
Apa ukuran kejayaan yang menjadi ukuran kita? Dan yang lebih penting, apakah target
yang mesti kita raih selama puluhan tahun hidup kita di dunia ini?
Setiap orang mesti mempunyai jawapan yang berbeza-beza.
Tulis jawapan anda besar-besar dan tampalkan di dinding bilik anda. Apabila
anda melakukannya, anda sebenarnya telah
selangkah menuju redha Allah. Terpulang kepada diri , apakah masih ingin
meneruskan perjalanan hijrah ini atau berhenti di tengah jalan. Wallahu a’lam.
#edited from solusi isu no.27
Nor Syamimi Che
Johari
Bendahari
PEMBINA UKM
TUMPAS
Tanah gersang kini subur
Hari ini aku menangis
Hati yang dulu kering kini basah
Aku tumpas.
Hidup aku indah
Dengan kuasa, pengaruh, harta
Pangkat, wanita..
Ah, itu makanan aku!
Sebutlah apa sahaja
Semua aku mampu beri
Kekayaan yang kusangka abadi.
Sungguh,
TakdirNya jualah yang berkuasa
Lenyap, lupus, pupus segala yang ada
Ujian datang bertimpa-timpa
Tak mampu aku tepis
HAHAHA…
Tawa sinis kuzahirkan
Mencela diri yang lupa asal usulnya
Aku tenggelam dalam lautan permata
Hanyut dalam arus kegemilangan
Terdampar di persisiran
Kalah pada nafsu, kabut dalam syariat.
Ya Rabb,
Kembalikan aku pada landasanMu
Agar gerabak yang membawaku
Menuju destinasiMu
Ya, aku tumpas
Tumpas pada keagunganMu
Ujian sebagai teguran
Kau buka mataku
Hatiku Kau sentuh
Syukur, terima kasih Allah!
Maisarah Shahrain
Media&Promosi PEMBINA UKM
Monday, 4 November 2013
HIJRAH, INILAH MASANYA!
Dunia hari ini menyaksikan pertembungan yang amat dahsyat dan kritikal dalam sejarah peradaban ketamadunan sesebuah generasi. Baik dari sudut akidah, ibadah dan akhlak yang tidak pernah luput lebih-lebih lagi aspek jenayah.
Jika
hari ini kita melihat hanya disebabkan perbezaan satu hari pada awal Muharram menjadikan
kita bertelagah, usah cerita bagaimana mahu mendepani krisis seperti yang
berlaku di negara luar seperti bumi Palestin, Syria, Mesir dan sebagainya.
Jika
hari ini kita menyaksikan PRK Dun Sg. Limau mahupun PRK di kampus universiti,
hanya disebabkan perbezaan fahaman parti akhirnya kita disibukkan dengan
kelalaian percakaran lantas terabai isu addin ini. Itu yang menjadikan para
mahasiswa terkinja-kinja mencedok dan meniru gaya sampah ini.
Jika
hari ini kita dihidangkan dengan pelbagai rasa gula-gula di seluruh jaringan
media sosial, ianya cukup membuatkan para musuh agama kita bertepuk tangan
bergembira.
Jadi
apa lagi sebenarnya yang kita mahu? Semuanya telah kita turuti dek kerambangan
mata kita untuk memilih mana yang hak mana yang tidak. Mahasiswa hari ini lesu.
Saya tidak nampak ke mana hala tuju mereka kepada negara selepas ini.
Huh!
Justeru,
bersempena dengan hari yang mulia dalam bulan yang mulia ini, kami dari
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UKM menyeru seluruh mahasiswa sama ada
di dalam mahupun di luar negara agar sama-sama kita menyambut baik kehadiran
tahun baru dalam Hijrah ini sebagai batu loncatan kepada amal kehidupan harian
kita.
Letakkan
matlamat dan azam pada tahun baru ini untuk menjadi 1000 kali lebih jauh kehadapan
berbanding sebelum ini. Tinggalkan jahiliah, kekeruhan mahupun perangai ‘lama’
, dan kita junjung, kita julang kemurnian cahaya hidayah yang indah di depan
mata.
Akhir
kalam, kami mendoakan agar pengorbanan dan kesanggupan diri kalian untuk berubah
hari ini bakal menjadi nadi utama serta pencorak masa depan dunia Islam ini.
Semoga kita dapat bertemu pada hari Asyura yang mendatang tanggal 10 Muharram
nanti, mengambil ibrah dari kisah agung sirah para umat terdahulu.
Salam
Maal Hijrah buat semua.
“Membangun
Arus Mahasiswa”
Ketua Biro PSM
PEMBINA UKM
Wednesday, 30 October 2013
Puisi: Tanpa Dia?
Duhai hati,
alangkah sunyi tanpa Dia,
alangkah punah tiada Dia,
alangkah binasa juga tanpa Dia.
Duhai hati,
benarkah ada bahagia,
benarkah ada gembira,
tanpa Dia yang mencipta?
Duhai hati,
bila senang, kau lupa Dia,
bila suka, kau tinggalkan Dia,
bila duka, kau cari Dia,
adakah itu sifat yang sebenarnya?
Tarbiyah itu,
suatu entiti,
bukan fantasi,
tapi realiti.
Tarbiyah itu,
perlu dicari,
perlu diamati,
dan perlu dihargai.
Dakwah itu,
sambungan tugas para nabi,
memperjuang agama yang hakiki,
Onak dan liku tiada henti,
balasan syurga sedia menanti.
Wahai ikhwah dan akhawat,
jika kau bergelar pendakwah,
gegarkan hujah,
tegakkan wasilah,
dan jadilah pemimpin ummah.
Nurul Hajjar Atan
Aktivis PEMBINA
Lirik: Tetap Mengharap padaMu
Aku menyedari akan dosaku
Tapi aku sering
mengulanginya
Terasa kesal atas
kesalahanku
Tapi aku yakin akan
keampunanMu
Engkau di sana kan
selalu menunggu
Yang selalu ada di
setiap waktuku
Sering mendengar
rintihanku
Untuk setiap masa dan
waktu
Selangkahku cuba mendekatiMu
Semakin dekat Kau
menghampiri
Dari setiap sudut zat
kewujudanMu
Kau selalu ada untuk
hambaMu
Tak akan pernah hilang
rasaku
Cinta yang membawa dalam
hatiku
Bagai mata yang tak
terpejam
Aku tetap mengharapkanMu
Engkau di sana kan selalu menunggu
Yang selalu ada di setiap waktuku
Sering mendengar rintihanku
Untuk setiap masa...
Tak akan pernah hilang rasaku
Cinta yang membawa dalam hatiku
Bagai mata yang tak terpejam
Aku tetap mengharapkanMu
Aku tetap MengharapkanMu
Aku tetap MengharapkanMu
Aku kan tetap MengharapkanMu...
Lagu original Nomad: Tetap Menantimu
Nurul Hajjar Atan
Aktivis PEMBINA
Tuesday, 29 October 2013
Sakit Penghapus Dosa
Kadang-kadang rasa ingin putus asa untuk berusaha mengubati
penyakit yang menimpa diri. Bahkan timbul tanda tanya mengapa diri ini diuji
sedemikian. Pelbagai cara dan ikhtiar telah dilakukan, baik dari segi rawatan
moden atau rawatan kampung. Terbit rasa kasihan kepada orang-orang yang telah
banyak berkorban serta ambil berat terhadap diri.
Namun, pernahkah kita sedar bahawa sakit itu boleh
menghapuskan dosa-dosa kita. Mungkin dengan sakit jugalah Allah ingin menegur
kita agar tidak terus terlalai dan terleka dengan dunia semata. Mungkin kita
lupa bahawa Allah telah berfirman :
“Dan apa jua bencana, kesakitan yang
menimpa kamu, maka ia adalah daripada tangan-tangan kamu sendiri ( dari
perbuatan salah dan dosa) dan ( dalam pada masa yang sama dikenakan bencana dan
sakit itu) Allah mengampunkan sebahagian besar dosa-dosa kamu”
( Surah Asy-Syura :30)
Bukankah sakit itu juga hasil daripada perbuatan kita
sendiri? Sama ada kita sedar ataupun tidak, mungkin kita terlupa untuk meminta
kepada Pencipta kita. Lupa untuk berdoa dan meminta kesembuhan dariNya.
"Apabila seorang hamba mukmin sakit, maka Allah mengutus
4 malaikat untuk datang padanya."
Allah memerintahkan :
1. Malaikat pertama untuk mengambil
kekuatannya sehingga menjadi lemah.
2. Malaikat kedua untuk mengambil rasa
lazatnya makanan dari mulutnya
3. Malaikat ketiga untuk mengambil
cahaya terang di wajahnya sehingga berubahlah wajah si sakit menjadi pucat.
4. Malaikat keempat untuk mengambil
dosanya
Tatkala
Allah akan menyembuhkan hamba mukmin itu, Allah memerintahkan kepada malaikat pertama,
kedua dan ketiga untuk mengembalikan kekuatannya, rasa lazat, dan cahaya di
wajah hambanya. Namun untuk malaikat keempat, Allah tidak memerintahkan
untuk mengembalikan dosa-dosanya kepada hamba mukmin. Betapa Allah sangat
menyayangi hamba-hambanya.
Usah rasa kesal dan berputus asa dengan sakit yang menimpa.
Adakalanya dengan sakit,kita akan lebih mengingati Allah dan melakukan
kebaikan. Berbaik sangka dengan Allah adalah yang sebaiknya. Tanamkan azam
untuk sentiasa meminta pertolongan dariNya disamping berusaha.
Solehah Azaman
Aktivis PEMBINA
Solehah Azaman
Aktivis PEMBINA
Friday, 25 October 2013
PERUTUSAN TAHNIAH BUAT MPP UKM 2013/2014
- Beribu tahniah dan sekalung takziah PEMBINA UKM ucapkan kepada setiap calon MPP UKM yang menang bertanding pada pilihanraya kampus sesi 2013/2014 kali ini. Syabas kepada setiap pemimpin muda. Kepada calon yang tewas bukan bermakna tewas seluruhnya. Kalian juga sebenarnya adalah pemimpin kerana sudah berani ke hadapan untuk sanggup memikul tugas sebagai pemimpin.
- PEMBINA UKM mengingatkan kepada setiap ahli MPP UKM yang dipilih oleh mahasiswa/i UKM agar berkhidmat dengan penuh amanah, adil, dan rasa penuh bertanggungjawab. Setiap MPP perlu untuk lebih terkehadapan dalam usaha untuk melonjakkan nama UKM di persada antarabangsa di samping tidak lupa untuk merealisasikan setiap manifesto yang telah dilafazkan.
- Kesemua 27 orang ahli MPP UKM kali ini perlu memulakan satu sejarah baru sebagai satu kumpulan pimpinan mahasiswa yang kesemua ahli MPP dapat bekerjasama antara satu sama lain tanpa mengira wakil dari calon GMUKM atau Aspirasi Mahasiswa. MPP UKM perlu membuktikan bahawa walau berbeza kumpulan, setiap MPP boleh bekerjasama dalam perkara yang boleh menyumbang kepada nama baik UKM. Tunjukkan pimpinan anak muda sekarang membawa arus perubahan baru yang lebih baik untuk politik akan datang. Ini juga adalah bertepatan dengan suruhan Islam yang menyuruh setiap umat Islam untuk sama-sama menolong kearah kebaikan dan tidak menolong kearah kejahatan.
- Di samping membawa isu kebajikan mahasiswa, MPP UKM juga sepatutnya cakna isu semasa kerana isu serangan pemikiran pada masa kini banyak mensasarkan golongan mahasiswa sebagai target utama penyebaran ideologi sesat. Antara ideologi sesat yang dimaksudkan ialah fahaman liberalisme, hendonisme, pluralisme, sosialisme, syiah dan LGBT.
- Andai MPP tidak mampu mengetengahkan isu serangan pemikiran ini, maka sebenarnya MPP telah gagal untuk memanfaatkan sepenuhnya kedudukan mereka untuk melindungi kebajikan warga kampus. Malah MPP juga gagal untuk membuat suatu perubahan yang baru yang sejak kebelakangan ini hanya mengikut skrip dan modul pentadbiran yang sama dengan sesi-sesi yang lepas. Kebajikan bukanlah sekadar soal material seperti masalah internet, masalah ketiadaan air, yuran kolej mahal dan sebagainya tetapi juga meliputi isu keintelektualan dan prinsip agama Islam yang syumul bagi setiap warga. PEMBINA UKM berharap akan ada pelan tindakan untuk memberi pencerahan dari pihak MPP UKM untuk menyedarkan masyarakat kampus tentang agenda barat yang telah sekian lama rancak untuk menghancurkan Islam.
- PEMBINA UKM mengucapkan selamat bertugas kepada semua MPP UKM sesi 2013/2014. Laksanakan mandat yang diserahkan dengan sebaiknya. Terbitkan dari dalam diri perasaan memimpin masyarakat kampus sebagai satu minat yang mendalam bukan merasakan ia sebagai satu tugasan yang membebankan. Berkhidmatlah dengan penuh keadilan kepada semua warga kampus.
Tuesday, 22 October 2013
Pilihanraya Kampus : Undi Atau Tidak Undi?
Esok (23/10/2013)
akan bermulanya pengundian calon sempena Pilihanraya Kampus di UKM. “Acara” ini
menjadi tradisi hampir setiap tahun bagi memilih pucuk pimpinan PMUKM dari
kalangan mahasiswa/i (izinkan saya menggunakan istilah PMUKM selain daripada
MPPUKM kerana saya lebih selesa dengan PMUKM).
Mahasiswa/i yang
bertanding majoritinya mewakili dua entiti yang berpengaruh di UKM, iaitu
Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) dan Aspirasi UKM serta calon bebas (bebas dari entiti
GMUKM dan Aspirasi UKM).
Saya menulis bukan
untuk mengulas mengenai hala tuju politik kampus UKM, mengenai Aspirasi mahupun
GMUKM, kerana sudah ramai tokoh-tokoh yang mengulas mengenai isu ini,
termasuklah dua orang sahabat saya, Saudara Khalid B. Jimat (Pengasas Kelab
Sahabat Aqsa UKM) dan Saudara Abdillah (Pengasas Kelab Rakan Siswa IZISH). Tetapi
saya ingin memberi sedikit komentar saya mengenai kepentingan turun mengundi
untuk mahasiswa/i di UKM.
Kenapa Perlu Mengundi?
Sepanjang
pengalaman saya menuntut di UKM, Alhamdulillah saya tidak pernah terlepas untuk
mengikuti perkembangan pilihanraya kampus dan tidak terlepas untuk mengundi.
Kenapa saya bersusah payah untuk turun mengundi?
Sebenarnya tidak
susah pun untuk turun mengundi, pergi ke lobi kolej masing-masing atau di
pusanika, kemudian ikut prosedur yang di suruh, buang undi, dan boleh pergi ke mana-mana
yang anda suka.
Tetapi kenapa
perlu mengundi?
Saya tidak mahu
membahaskannya dari segi hukum fiqh atau apa jua jenis hukum. Saya mahu berkongsi
dari aspek mahasiswa itu sendiri berdasarkan pengalaman saya sendiri. Turun
mengundi adalah salah satu aspek pembelajaran luar kuliah yang mana ia sebagai
salah satu simulasi kepada pengundian Pilihanraya Umum Malaysia kelak.
Jika di kampus
kita sudah tidak mahu mengambil tahu hal ehwal kampus atau paling kurang turun
mengundi, bagaimana pula dengan perkara yang lebih besar?
Undi Siapa? Aspirasi? GMUKM? Atau Bebas?
Ini antara
persoalan yang bermain di minda saya semasa berhadapan kertas undi satu ketika
dulu.
Saya keliru, nak
undi siapa?
Sebab itu diadakah
minggu berkempen agar calon mahasiswa/i yang bertanding dapat mengenalkan diri
masing-masing dan apa yang cuba mereka bawa.
Pada pandangan saya, pilih CALON yang kita yakin mampu membawa kebaikan
bersama untuk mahasiswa dan universiti. Bukan sekadar retorika tetapi
praktikal.
Lihat manifesto
yang cuba dibawa oleh calon-calon, mana yang dirasakan relevan dan praktikal.
Selain itu, lihat juga kemampuan calon. Saya menyeru agar kita keluar dari
kepompong “memilih berdasarkan parti”.
Saya tidak mahu
untuk melihat PMUKM seolah “dikuasai” oleh satu pihak. Tetapi biarlah ada wakil
dari kedua-dua belah pihak seperti sebelum ini, dan menjadi lebih baik, iaitu
tidak wujud blok antara kedua-dua pihak untuk bekerjasama.
Ayuh kita doakan
moga setiap calon yang menang esok dapat memberikan khidmat yang terbaik kepada
mahasiswa/i dan universiti. Moga UKM terus mara kehadapan dalam mengilham
harapan mencipta masa depan.
Ahmad Shukery
Azizan
Aktivis PEMBINA
Cakna ancaman COMANGO terhadap kita!
Isu COMANGO. Saya pun baru saja ikuti perkembangannya sejak beberapa minggu lalu.
Apabila membaca sebanyak mungkin fakta dan tuntutan yang dikemukakan, darah
saya menyirap sehingga ke hulu kepala. Tangan saya sudah “menggatal” untuk
menaip mengenai isu ini, tetapi saya
tangguhkan dulu untuk melihat respon dan “ngauman” suara Gerakan Mahasiswa yang
menentang isu ini.
Hari demi
hari, minggu demi minggu saya terus menanti. Dan lusa (24/10/13) akan
berlangsungnya proses semakan berpenggal (UPR) di Majlis Hak Asasi Manusia
(HRC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva. Tetapi masih tiada lagi
sebarang tanda-tanda suara mereka naik ke pentas dan mengaum menentang hal ini.
Samada dari pihak Pro-Mahasiswa ataupun Aspirasi.
Saya sebagai
mahasiswa sungguh kecewa.
Yang terus
menerus respon isu ini adalah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), PEMBELA, MACMA,
JAKIM, Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), YADIM, Yayasan Nassar
dan beberapa lagi NGO yang namanya kurang dikenali.
Persoalan
yang bermain diminda saya, di mana suara Gerakan Mahasiswa? Sudah serak?
Ataupun mungkin sekarang sedang berlangsung pilihanraya kampus (PRK), maka isu
ini seolah “tidak relevan” untuk diperjuangkan?
Isu COMANGO Untuk Dummies.
COMANGO
adalah singkatan kepada Coalition of
Malaysia NGO’s in the UPR Process atau bahasa Malaysianya Gabungan NGO-NGO
Hak Asasi Manusia adalah sebuah gerakan yang menuntut beberapa tuntutan semasa
berlangsungnya proses semakan berpenggal (UPR) di Majlis Hak Asasi Manusia
(HRC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland.
COMANGO di
anggotai sekitar 54 pertubuhan-pertubuhan yang menganggap diri mereka sebagai
pejuang Hak Asasi Manusia iaitu seperti Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), SIS
Forum (Sister In Islam) dan Merdeka Seksualiti.
Apa Itu UPR?
Situasi hak
asasi manusia di negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN)
diteliti masyarakat antarabangsa melalui mekanisme unik Majlis Hak Asasi
Manusia (HRC) yang memantau dan menilai rekod hak asasi manusia dan menangani
pencabulan hak asasi manusia.
Mekanisme ini
dikenali sebagai “Universal Periodic Review” atau UPR (Semakan Berkala Sejagat)
yang harus ditempuhi setiap 192 negara anggota PBB setiap empat tahun.
Proses UPR
ini memberi peluang kepada semua negara anggota untuk mengisytiharkan tindakan-tindakan
yang telah diambil untuk memperbaiki keadaan hak asasi manusia dan untuk
mengatasi cabaran dalam menikmati hak asasi manusia. Empat puluh lapan negara
dinilai setiap tahun dalam tiga sesi yang berbeza.
Ulasan yang
dijalankan oleh kumpulan kerja UPR yang terdiri daripada 47 ahli HRC adalah
berdasarkan laporan nasional yang disediakan oleh kerajaan yang sedang
menjalani semakan, maklumat yang terkandung di dalam laporan hak asasi manusia
oleh pakar dan kumpulan bebas (seperti prosedur khas, Badan-badan perjanjian
hak asasi manusia dan lain-lain entiti PBB) dan maklumat daripada pihak
berkepentingan yang lain, termasuk institusi hak asasi manusia kebangsaan dan
pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
UPR akan
menilai sejauh mana negara yang disemak menghormati hak kewajipan manusia yang
ditetapkan dalam Piagam PBB, Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia, instrumen hak
asasi manusia yang ditandatangani sesebuah kerajaan, janji dan komitmen
sukarela yang dibuat kerajaan (dasar hak asasi manusia nasional dan/atau
program yang dilaksanakan), dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang
terpakai.
Malaysia
menerima 62 cadangan dalam laporan hasil, yang termasuk, antara lain,
ratifikasi triti antarabangsa, kajian semula undang-undang yang sedia ada dan
sistem kehakiman, dasar-dasar negara dan strategi hak asasi manusia, hak
ekonomi, sosial dan budaya, hak asasi manusia golongan mudah terjejas, pekerja
asing dan pemerdagangan orang.
Malaysia
menolak 22 cadangan dan tidak menyatakan komen pada 19 cadangan. Respons kepada
19 perkara yang tidak diberi komen telah disediakan pada Jun 2009, bersempena
dengan pembentangan laporan hasil UPR mengenai Malaysia, di Sesi Biasa Majlis
Hak Asasi Manusia ke-11
Apa Tuntutan COMANGO Dalam UPR?
Malaysia
semakin menghampiri sesi UPR pusingan kedua pada 24 Oktober 2013 di Majlis Hak
Asasi Manusia, Geneva. Terdapat beberapa laporan yang dihantar secara
berasingan kepada majlis tersebut oleh badan-badan seperti Becket Fund for
Religious Liberty, Human Rights Watch, Amnesty International, Majlis Peguam,
International Commission of Jurists dan lain-lain NGO hak asasi manusia, tetapi
isi kandungan laporan COMANGO (iaitu gabungan NGO-NGO Malaysia dalam proses
UPR) membentuk sebahagian besar tuntutan yang terkandung di dalam dokumen-dokumen
yang menjadi asas rujukan rekod hak asasi Malaysia pada pusingan kali ini.
Tetapi sangat
dikesali bahawa COMANGO mengambil kesempatan untuk memanipulasi sesi semakan
ini dengan memberikan persepsi yang salah tentang Malaysia, khususnya berkaitan
kedudukan sebenar pencapaian hak asasi manusia (HAM).
COMANGO juga
mengemukakan beberapa tuntutan berbahaya yang ternyata bertentangan dengan
realiti budaya dan sejarah masyarakat Malaysia, serta pada hakikatnya
menzahirkan percubaan mereka untuk mengikis kedudukan istimewa Islam sebagai
agama negara seperti yang termaktub di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan
Persekutuan.
Di antara
tuntutan-tuntutan berbahaya di dalam laporan tersebut adalah:
i. Perenggan
1: Malaysia dituntut untuk menandatangani
dan memeterai International Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR).
Contoh unsur berbahaya yang terkandung dalam ICCPR terdapat pada Perkara 18
iaitu berhubung hak kebebasan beragama.
Lihat komentar berikut: “The Committee observes that the freedom to
“have or to adopt” a religion or belief necessarily entails the freedom to
choose a religion or belief, including the right to replace one’s current
religion or belief with another or to adopt atheistic views, as well as the
right to retain one’s religion or belief…”. Implikasi penerimaan ICCPR ini
bakal mengizinkan pemurtadan berlaku
secara berleluasa.
ii. Perenggan
6.8 berkenaan tuntutan untuk Malaysia menandatangani dan memeterai
International Covenant on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination
(ICERD) yang didakwa “menyediakan rangka kerja undang-undang untuk mengadaptasi
obligasi antarabangsa ke dalam undang-undang domestik”.
Pematuhan
terhadap ICERD ini hanya akan menyebabkan Malaysia mengikut telunjuk dan acuan sekular Barat yang memaksakan penafsiran
istilah racism atau perkauman ke atas sesuatu negara berdaulat.
Hal ini mengenepikan tindakan-tindakan domestik yang pada hakikatnya mengambil
kira realiti dan sejarah serta aspek keagamaan dan sosio-budaya tempatan.
Justeru tidak sepatutnya diberikan label negatif dan bersifat stereotaip
khususnya oleh media yang berniat jahat terhadap sesebuah negara.
iii. Malaysia
ditekan untuk mengiktiraf hak-hak
berlandaskan SOGI – Sexual Orientation & Gender Identity iaitu hak-hak
LGBTIQ (Lesbian, Bisexual, Gays, Transgender, inter-sexed &
queer-persons). Dakwaan-dakwaan kononnya golongan ini dinafikan hak-hak
mereka ditimbulkan pada perenggan 6.1.1 dan 6.1.2 laporan tersebut. Terdapat
juga tekanan-tekanan untuk menghapuskan
seksyen 377A Kanun Kesiksaan berhubung jenayah liwat.
iv. Malaysia
juga dipaksa tunduk pada kandungan
di dalam Prinsip-prinsip Yogjakarta 2006 yang memberikan kebebasan mutlak kepada mereka yang mempraktikkan amalan seks songsang.
Sekiranya hak-hak LGBT ini diizinkan, maka langkah pertama yang mesti dilakukan
Kerajaan Malaysia ialah menghapuskan undang-undang berhubung kesalahan jenayah
liwat.
Ini adalah
langkah yang membuka ruang untuk
pengenalan undang-undang perkahwinan sesama jenis yang setakat ini telah
dibenarkan di 14 buah negara seluruh dunia, dan negara jiran Thailand sedang
menimbangkan untuk memperkenalkan undang-undang yang sama.
v. Perenggan
6.2 mendakwa bahawa Perkara 153
Perlembagaan Persekutuan berkenaan hak-hak istimewa kaum Melayu adalah bersifat
perkauman dan diistilahkan sebagai ‘alat politik’. Ini bersalahan dengan
kontrak sosial dan juga ciri-ciri utama yang membentuk Perlembagaan
Persekutuan.
vi. Perenggan
9 mempersoalkan Enakmen-enakmen Kesalahan Jenayah Syariah, dan khususnya
perenggan 9.5 mendesak pemansuhan atau
pindaan terhadap kesalahan-kesalahan jenayah syariah dan enakmen-enakmen yang
didakwa ”mengganggu hak peribadi.”
vii.
Perenggan 10 mewujudkan kekeliruan-kekeliruan terhadap isu kebebasan beragama
di Malaysia. Di antaranya termasuk kes
tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian yang sudah diputuskan
secara muktamad oleh Mahkamah tertinggi di Malaysia. Laporan tersebut juga mempersoalkan larangan terhadap penganut
ajaran syiah menyebarkan fahaman mereka dalam kalangan orang Islam. Selain
itu, hak seorang bapa beragama Islam
untuk mengislamkan anak-anak di bawah umur UMUR juga dijadikan isu hak asasi
manusia.
Saya
ringkaskan secara mudah tuntutan yang memberi ancaman kepada kedaulatan
perlembagaan Malaysia malah lebih dari itu iaitu memberi ancaman kepada Islam
di Malaysia.
1. Menuntut
untuk kebebasan jenayah murtad.
2. Memaksa
tafsiran “racism” mengikut kerangka liberal-demokratik Barat.
3. Memaksakan
pengiktirafan terhadap LGBT.
4.
Menghapuskan seksyen 377A Kanun Kesiksaan berhubung jenayah liwat.
5. Malaysia
dipaksa tunduk untuk mengiktiraf kebebasan mutlak yang mana memberi keizinan
untuk perkahwinan sejenis dan menghapuskan seksyen kesalahan liwat.
6. Mendesak
untuk menghapuskan hak-hak istimewa orang Melayu.
7. Mendesak
untuk pemansuhan atau pemindaan terhadap enakmen-enakmen kesalahan jenayah
Syariah.
8. Mewujudkan
kekeliruan-kekeliruan terhadap kebebasan beragama di Malaysia.
Apa Kita Boleh Buat Untuk Menentang?
Isu tuntutan
COMANGO ramai tidak ambil peduli, malah tidak tahu pun apa tuntutan COMANGO.
Ahli politik dan sebahagian aktivis Mahasiswa pun kebanyakkannya diam membisu, seolah isu ini isu picisan. Mungkin ada yang diam sebab tidak pernah tahu pun kewujudan tuntutan ini.
Ahli politik dan sebahagian aktivis Mahasiswa pun kebanyakkannya diam membisu, seolah isu ini isu picisan. Mungkin ada yang diam sebab tidak pernah tahu pun kewujudan tuntutan ini.
Sekarang
sudah jelas mengapa tuntutan COMANGO ini berbahaya. Kalau ia dirasakan sekadar
“biasa-biasa” sahaja, atau menganggap itu hak mereka, maka ada sesuatu masalah
pada diri sebagai seorang Muslim dan Melayu.
Apa yang kita
boleh buat ketika dan saat ini hanyalah berdoa kepada delegasi Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan
Berkala Sejagat (Muslim UPRo) yang diketuai oleh Naib Presiden Persatuan Peguam
Muslim Malaysia (PPMM) Azril Mohd Amin akan berada di Geneva sejak bermula
proses semakan 24 Oktober sehingga ia tamat pada bulan November.
Kita
tidak mampu untuk menyertai delegasi tersebut, tetapi sekurang-kurangnya kita
cakna dan menunjukkan solidariti kita kepada delegasi ini serta mengirimkan doa
agar mereka menang dengan hujah mereka di sana.
Saya mewakili PEMBINA khususnya PEMBINA UKM mengutuk dan menentang sekeras-kerasnya tuntutan COMANGO ini.
Moga umat Islam tidak menjadi mangsa “korban” oleh pihak tidak
bertanggungjawab..
Ahmad Shukery
Azizan
Aktivis
PEMBINA cawangan UKM.













