Sunday, 20 October 2013
HIMMAH 2.0 : Kepimpinan Yang Perlu Dilahirkan
Semalam (19/10/2013) saya menghadiri sebuah nadwah atau
Himpunan Mahasiswa 2.0 yang dianjurkan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)
di UPM. Menghadiri sebuah himpunan yang dihadiri oleh batang tubuh yang
berusaha untuk mencari redha ilahi, membuatkan saya terasa kerdil di sisi
mereka semua.
Ibarat seekor semut hitam bersama dengan
sekumpulan besar singa dan harimau.
Terasa ingin saya karang dan kongsikan setiap
perkara yang saya dapat. Rasanya jika saya dapat kongsikan setiap detik
tersebut, mungkin saya dapat membuat sebuah buku agaknya.
Tetapi cukup untuk saya kongsikan beberapa
perkongsian mengenai kepimpinan yang di sampaikan oleh al fadhil Dr Aznan
Hasan, seorang alim yang sangat saya kagumi. Bukan hanya saya kagumi ilmu yang
mencurah-curah dari beliau, malah saya sosok batang tubuhnya yang mana beliau
amat lantang apabila bersuara cukup membuat saya terpana.
Kepimpinan Adalah Pengaruh
Menurut seorang sarjana barat (saya terlupa
namanya), leadership atau
kepimpnan adalah seseorang yang mempunyai kekuatan pengaruh (yang bukan erti
kata memerintah) yang mampu untuk mengumpulkan kekuatan orang lain bagi
menyelesaikan sesuatu misi.
Dengan erti kata lain, kepimpinan adalah pengaruh.
Perkara ni dah dijelaskan oleh Saidina Umar al
Khattab yang dinaqalkan oleh Ibn Qayyim al Jauziyyah, yang mana beliau
menyebutkan (lebih kurang mafhumnya) ;
“Aku hendak seseorang lelaki jika sekiranya dia
berada dalam sekelompok manusia dan ia bukan ketua kelompok itu tetapi dia
seolah-olah ketua kumpulan itu, tetapi sekiranya dia seorang ketua, dia seolah
seperti salah seorang dari kita”
Kepimpinan Yang Ada Dalam Setiap Batang Tubuh
Saya masih ingat lagi tegasan yang dibuat oleh Dr
Aznan yang mana beliau dengan lantang memberitahu bahawa setiap batang tubuh
ahli PEMBINA kena sedar dan faham bahawa mereka adalah PEMIMPIN!
Samada pemimpin melalui jawatan atau pemimpin
melalui teladan.
Jadi apa yang perlu dilakukan sebagai pemimpin?
Ini antara poin yang ditegaskan
oleh Dr Aznan, apa yang perlu dilakukan ialah :
1. Kena faham tuntutan PRIORITI atau keutamaan.
Ibn Qayyim pernah menyatakan bahawa syaitan
akan berusaha menyesatkan manusia tanpa putus asa secara berperingkat atau
“bervisi” (tambahan saya) iaitu ;
1) Menyesatkan manusia hingga kafir. Jika tidak
mampu, mereka akan,
2) Menyesatkan manusia hingga mengamalkan atau
melakukan perkara bida’ah.
3) Jika tidak mampu lagi, mereka akan menyesatkan
sehingga manusia melakukan dosa besar.
4) Tetapi jika masih tidak mampu lagi, mereka akan
menyesatkan dengan membuat manusia berterusan dengan dosa kecil.
5) Jika masih tidak mampu lagi, mereka akan
menyesatkan dengan menggalakkan manusia melakukan perkara mubah (harus).
Contohnya seperti makan dengan berlebihan, melalaikan dengan bermain game, dan
sebagainya.
6) Dan senjata yang terakhir sekali di mana hampir
setiap duat (pendakwah) tewas dengan godaan ini adalah dengan mereka
menyesatkan manusia dengan meletakkan atau menentukan
aulalwiyyat (keutamaan) yang salah!
2. Bekerja secara berjemaah.
3. Bekerja dalam circle
of influence (pengaruh persekitaran seperti kawan-kawan, adik
beradik dan sebagainya)
4. Memberi contoh melalui teladan
5. Memberi inspirasi kepada orang lain
6. Bersifat optimistik dan konfiden
7. Bergerak dan bekerja dengan ilmu
Dan yang terakhir sekali adalah mesti proaktif!
Apa Dakwah PEMBINA?
Dakwah yang memberi maksud (secara umum) adalah
seruan. Ya, apa seruan PEMBINA?
Dakwah PEMBINA adalah dakwah Islamiyyah. Dakwah
Islamiyyah adalah dakwah yang menyeru manusia kepada Allah dan meninggalkan
segala jahiliyyah dan kebatilan samada dari sudut akidah (termasuk ideologi),
syariah dan akhlak. Dakwah Islamiyyah bukan dakwah yang pragmatis (mengikut
sesuatu tanpa prinsip), tetapi ia adalah dakwah prinsip yang bersifat
akomodatif (memberi ruang atau acuan untuk faham).
Masih terngiang-ngiang pesanan Dr Aznan yang mana
beliau menyatakan, dalam dakwah PEMBINA dan ISMA, kita tidak mahu “pak turut”
(mengikut tanpa ilmu) dan taksub. Kita seorang yang taat dalam bentuk yang
faham dan proaktif.
Untuk menghasilkan taat itu, kita kena ada
ilmu. Dan untuk ada ilmu itu, kita kena faham sesuatu perkara dengan
sungguh-sungguh!
Bangkitlah dengan HIMMAH!
Himmah ini bukan sekadar akronim untuk Himpunan
Mahasiswa, malah ia adalah perkataan arab yang memberi makna “semangat yang
berkobar-kobar”. Tetapi sebenarnya ia memberi maksud lebih dari semangat,
sesuatu yang sukar untuk saya gambarkan dengan perkataan melayu.
Saya teringat kata-kata Umar al Khattab ,
“Janganlah kamu mengecilkan himmah kamu, kerana
aku tidak nampak kemuliaan pada orang yang mempunyai himmah yang lemah”
Dan sebuah kata-kata dari Ibn Qayyim untuk
renungan ikhwah dan akhwat sekalian,
“Di antara tanda-tanda orang yang mempunyai
kesempurnaan akal adalah orang yang tinggi himmah, tetapi tanda-tanda orang
yang lemah akalnya adalah orang yang hina.”
Moga PEMBINA mampu meneraju arus mahasiswa!
Moga Allah redha.
Ahmad Syukery Azizan
Aktivis PEMBINA
HIMMAH 2.0
“MC: HIMMAH!
Peserta: PEMIMPIN UMMAH!”
Meremang hati ini tatkala
mendengar seruan yang disahut oleh lebih 1000 peserta HIMMAH. Terasa membahang
hingga ke urat nadi. Mungkin itulah semangat bakal pemimpin ummah. Tidak cukup
dengan itu, ditambah dengan seruan “PEMBINA! (MC): KAMI PEMIMPIN YANG HEBAT!
(Peserta)”. Sejujurnya, mulut ini sukar untuk menuturkan kalimah tersebut
apatah lagi melaungkannya dengan penuh semangat. Namun, benarlah suasana itu
mampu mempengaruhi kita untuk turut serta bersemangat.
Tetapi, disebalik laungan itu,
terbit satu perasaan “Mampu ke aku nak jadi pemimpin ummah? Pemimpin yang
hebat? Eeee, tak mungkin.” Itulah bisikan syaitan durjana yang sememangnya
menjadi agenda mereka untuk mencampakkan rasa ragu dalam diri setiap Muslim.
Mana mungkin mereka akan berdiam diri melihat kita bersemangat menegakkan agama
Allah. Lebih-lebih lagi apabila mendengar laungan 1000 orang pemimpin muda.
Sudah tentu makhluk ‘bertanduk’ itu bagai cacing kepanasan.
Semakin nakal si durjana menarik
kita jauh daripadaNya, semakin nakal juga kita harus melawan arus itu, lantas
merebut peluang untuk bersama-sama lebih dekat denganNya. Ya, kita perlu main
tarik tali sampai mereka jatuh tersungkur kalau boleh.
Sepanjang program berlangsung,
terdapat tiga pidato dan tiga kertas kerja yang dibentangkan, serta forum yang
dibarisi panelis yang hebat. Pidato yang paling menarik perhatian saya ialah
“Anda Harapan Negara” yang disampaikan oleh saudara Azlan Wildan. Pidato yang
disampaikan penuh emosi yang seiring dengan ritma muzik latar. Pembentangan
kertas-kertas kerja mahupun forum turut saya rasakan dapat menyedarkan akan
kepentingan kepimpinan dalam diri individu.
Walaupun seseorang itu tidak
dilantik sebagai pemimpin secara formal, namun cukup dengan pengaruh yang boleh
dibawa dalam kelompok masyarakat. Sesuatu yang paling berharga yang saya dapat
dalam HIMMAH ini ialah, kita tidak perlu takut atau teragak-agak sekiranya
diberi tugas untuk memimpin. Mengapa tidak kita sahut cabaran itu dan rasakan sendiri
bagaimana tugas pemimpin itu. Seperti kata-kata Hassan Al-Banna,
“Jika di hadapanmu ada segenggam gula pasir dan segenggam garam,
bagaimana anda dapat membezakannya? Kita harus merasai kedua-duanya, kerana
dengan merasainya, kita akan dapat membezakannya.”
Sekiranya kita menolak dengan
alasan ‘tak bersedia’, persoalannya kenapa? Takut? Pernahkah kita berada dalam
situasi itu? Sekiranya tidak, layakkah kita berkata sebegitu? Bak kata panelis
forum, saudara Norzafry Norhalim yang mengamalkan prinsip ‘swim and swing’.
Saya juga pernah beberapa kali menolak untuk berada dalam barisan kepimpinan.
Namun, sekiranya bukan kita, siapa lagi? Kita sibuk menginginkan pemimpin yang
bagus tetapi kita tidak pernah berusaha untuk menjadi seperti itu. Sibuk
mengharap pada orang lain, lupa melihat diri sendiri.
Semoga semangat ini berterusan
dan sematkan keberanian dalam diri. Jangan sampai suatu saat, musuh-musuh kita
berkinja, bertepuk tangan melihat kejatuhan umat Islam sedang kita dalam
keadaan leka. InsyaAllah sama-sama lahirkan pemimpin ummah yang berwibawa!
Bagaimana?
Semuanya bermula daripada KITA!
Ayuh!
Maisarah Shahrain
Media dan Promosi PEMBINA UKM
HIMPUNAN MAHASISWA 2.0 (HIMMAH 2013)
UPM, 19 Oktober – Debaran yang ditunggu-tunggu telah tiba
saat HIMMAH 2.0 memulakan acaranya yang bertemakan ‘Aktivisme dan Kepimpinan’.
Bertempat di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti
Putra Malaysia (UPM), seramai 1000 mahasiswa hadir dalam majlis yang dianjurkan
oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA). Kehadiran ini juga bermakna
mereka adalah pemimpin ummah.
Majlis dimulakan dengan sesi menghangatkan suasana oleh saudara
Hasan Syahidi selaku ‘Informal Master of Ceremony (MC)’. Ternyata aura dan
semangatnya dapat dirasakan oleh hadirin yang berada di dalam dewan apabila
suara mahasiswa berjaya menggegarkan dewan ini. Majlis diteruskan dengan ucapan
aluan oleh pengarah, disusuli ucaptama oleh Presiden PEMBINA, Ustaz Ibrahim
Hassan. Setelah itu, video ditayangkan seterusnya, merasmikan HIMMAH 2013.
Agenda himpunan ini diteruskan lagi dengan video kemunduran umat
Islam. Kemudian, diteruskan dengan persembahan pidato oleh saudara Azlan Wildan
yang berjaya mencuri perhatian para hadirin. Seterusnya, hadirin dibentangkan
dengan kertas kerja pertama oleh Ustaz Fauzi Asmuni yang bertajuk ‘Kepentingan
Penguasaan Islam dalam Pertembungan Tamadun’. Hadirin memberikan tindak balas
yang baik sekali apabila ramai yang bertanyakan soalan dalam sesi soal jawab.
Begitulah himpunan ini diteruskan, di mana video, pidato, dan
pembentangan kertas kerja silih berganti. Pidato kedua disampaikan oleh saudara
Aidil Idham bertajuk ‘Kita Adalah Harapan Ummah’ setelah hadirin dipertontonkan
dengan video motivasi dan diperdengarkan dengan pembentangan kertas kerja kedua
oleh Encik Iqbal Hakim iaitu, ‘Beraktivisme dan Memimpin Suatu Tuntutan
Muslim’. Kemudian, hadirin dihiburkan dengan persembahan oleh Fetya yang
menyampaikan lagu rasmi PEMBINA, HIMMAH (Sujud Merdeka), dan Obor Semangat. Setelah
itu, Ustaz Dr Aznan membentangkan kertas kerja yang ketiga, ‘Transformasi
Minda: Kita Adalah Pemimpin’.
Majlis ditangguh sebentar pada jam 1.30 petang bagi memberi
ruang kepada para hadirin untuk solat dan makan tengah hari, serta membeli-belah
di gerai-gerai yang dibuka di dalam dewan. Kemudian, majlis diteruskan pada jam
2.20 petang dengan pidato ketiga oleh saudari Saidah bt. Suharto – Kemunduran
Umat Islam Tinggal Kenangan. Setelah itu, forum mengambil-alih dengan barisan
panelis hebat iaitu Norzafry Norhalim, Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal, dan Farah
Alina Abdul Aziz bersama moderator, Azril Hanafi.
Majlis ditutup dengan pembacaan Resolusi HIMMAH 2013 oleh
Ustaz Salman Abdul Rahman. Semoga dengan himpunan ini, dapat membakar semangat
anak muda, belia seumpamanya dalam menerajui arus kepimpinan pada zaman ini.
HIMMAH - Pemimpin Ummah!
Maisarah Binti Mohd Shahrain
Wartawan PEMBINA UKM
Pengorbanan…..
Ibadah Korban
Perayaan besar bagi umat Islam
selain Hari Raya Aidilfitri adalah Hari Raya Aidiladha atau disebut juga Hari
Raya Haji. Korban atau dalam bahasa arabnya ‘Udhiyyah’ merupakan ibadah sunat
muakkad, ibadat yang sangat digalakkan bagi setiap orang Islam yang sempurna
akal, cukup umur dan berkemampuan. Ibadah korban menjadi wajib sekiranya ia
adalah nazar.
Kenapa ia juga
disebut Hari Raya Haji? Hal ini kerana ibadah korban mempunyai waktu-waktu yang
tertentu untuk dilaksanakan iaitu pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah dan pada
tarikh-tarikh ini umat Islam sedang melaksanakan rukun Islam kelima, ibadah
haji. Dalil yang menunjukkan bahawa ibadah korban mempunyai kedudukan yang
tinggi adalah:
Firman Allah SWT dalam surah Al-Kauthar ayat 2, “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu
semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”
Tidak semua binatang boleh
dijadikan korban. Binatang yang boleh dibuat korban adalah:-
- Unta yang telah berumur lima tahun
- Lembu atau kerbau yang telah berumur dua tahun
- Kambing biasa yang telah berumur dua tahun
- Biri-biri yang telah berumur satu tahun atau sudah berganti gigi
Peristiwa Nabi
Ibrahim diperintahkan untuk menyembelih Nabi Ismail merupakan permulaan syariat
bagi ibadah korban. Daripada Zaid bin Arqam, dia berkata: Suatu hari, sahabat
Rasulullah SAW bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu?”
“Ia sunnah bapa kamu, Ibrahim.”
Mereka berkata, “Apa yang kami
peroleh daripadanya wahai Rasulullah?”
“Bagi setiap helai rambut ada
kebajikannya.”
Mereka berkata, “Bagaimana pula
dengan bulunya wahai Rasulullah?”
“Bagi setiap helai bulu ada
kebajikannya.” (Riwayat Ahmad)
Pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS
Dalam surah As-Saffat dari ayat
102 hingga 110, kisah Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS telah
diabadikan.
Atas dasar
ketaqwaan, seorang bapa sanggup mengorbankan anak yang sekian lama dinantikan
kehadirannya, juga merupakan anak tunggal yang dikasihinya. Demikian juga Nabi
Ismail, sanggup mengorbankan nyawanya dalam mentaati perintah Allah SWT. Betapa
hebatnya dua figura ini, berkorban demi rasa cinta kepada Allah. Kecintaan
mereka kepada Allah melebihi daripada segala-galanya.
Firman Allah SWT, “Maka ketika
anak itu sampai (pada umur) sanggup berusaha bersamanya (Ibrahim) berkata,
‘Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka
fikirkanlah bagaimana pendapatmu!’ Dia (Ismail) menjawab, ‘Wahai ayahku!
Lakukanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu, insya Allah engkau akan
mendapatiku termasuk orang yang sabar.” (Surah As-Saffat:102)
Pengorbanan jiwa
amatlah sukar bagi manusia seperti kita tetapi keimanan yang mantap dan sifat
ketaqwaan yang ada dalam diri Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail membolehkan mereka
redha dan taat melaksanakan tugas yang diberi. Sirah aqung ini dapat dijadikan
contoh keikhlasan yang unggul dalam melaksanakan perintah Allah. Kesan daripada
keikhlasan dalam diri kedua-dua Nabi yang mulia ini, Allah memberi mereka
seekor kibas bagi menggantikan Nabi Ismail sebagai korban.
Allah SWT berfirman, “Setelah
kedua-duanya berserah diri (menjunjung perintah Allah), dan Nabi Ibrahim
merebahkan anaknya atas pelipis(nya), lalu Kami panggil dia, ‘Wahai Ibrahim!
Sungguh, engkau telah membenarkan mimpi itu.’ Sungguh, demikianlah Kami memberi
balasan kepada orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu
ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar;
dan Kami kekalkan baginya dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian,
‘Salam sejahtera kepada Ibrahim.’ Demikianlah Kami membalas orang-orang yang
berusaha mengerjakan kebaikan.” (Surah As-Saffat: 103-110)
Ibadah korban
membentuk keluhuran diri manusia. Ia mendidik manusia dengan sifat ikhlas, suka
bersedekah, bersyukur dan mengeratkan hubungan persaudaraan antara umat Islam
itu sendiri. Pengorbanan perlu dilakukan untuk sesuatu yang dicintai. Seperti
pengorbanan ibu bapa mencari rezeki untuk anak-anaknya, pengorbanan seorang
pelajar untuk berjaya dan pengorbanan orang yang beriman untuk menggapai
keredhaan Allah dan syurga-Nya.
Kejayaan Seorang Pelajar dan Da’i
Untuk berjaya, seorang pelajar
juga perlu melakukan pengorbanan. Pengorbanan masa, tenaga, wang ringgit, emosi, kerehatan dan keinginan. Pengorbanan
masa daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah dan keseronokan yang berlebihan seperti main
game, menonton drama korea, dan melepak. Ilmu itu seperti cahaya. Mana mungkin
cahaya dapat melepasi satu benda yang legap. Jadi, jika kita sering melakukan
perbuatan yang boleh menggelapkan hati,
pasti sukar untuk ilmu menembusinya. Tempoh masa 24 jam perlu digunakan
sebaiknya untuk keperluan diri, belajar dan untuk orang lain juga. Seorang da’i
perlu bijak membahagikan masanya.
Tenaga dan wang
ringgit turut dilaburkan demi mencari ilmu. Kepenatan dalam menuntut ilmu pasti
dibayar dengan kejayaan jika pelajar bersungguh-sungguh menunaikan amanah
tersebut. Sebagai seorang da’i, kepenatan dalam urusan dakwah adalah
kenikmatan! Akademik dan dakwah perlu seiring kerana kedua-duanya adalah
kewajipan. Tanpa pengorbanan, sukar mendapat kejayaan. Selain itu, pengorbanan juga
memerlukan keikhlasan hati. Tanpa rasa ikhlas, pengorbanan adalah sia-sia.
Nursaidatulakmal Binti Mohd Puaad
Naib Presiden PEMBINA UKM
Pandangan Mahasiswa UKM terhadap program simposium MEGA
PUTRAJAYA, Sabtu –Tercatat satu sejarah
bertempat di Dewan Sri Siantan Presint 3 Putrajaya pada 28 September, berlangsungnya satu wacana ilmiah
bertajuk Simposium Mendepani Agenda Asing : Melayu Dalam Krisis Kepimpinan anjuran bersama Ikatan Muslimin Malaysia, ISMA
dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA).
Simposium ini menampilkan beberapa
tokoh yang hebat iaitu Presiden ISMA-Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman, YDP
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)-Dr Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki, Penulis
Dan Pengkaji Sejarah Persatuan Arkeologi Malaysia- Puan Zaharah Sulaiman dan
Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Mohd Nizam Mahshar.
Selain itu turut menampilkan Ketua
Unit Kajian Syiah ISMA, Ustaz Mohamad Ismail, Penganalis Muslim Moderate dan Projek
Pengamerikaan, Ustaz Mohamad Hazizi Bin Ab Rahman dan Pengkaji Ilmu Perbandingan
Antara Agama, Ustaz Shaharuzzaman Bistamam.
Objektif utama simposium ini ialah
untuk membongkar agenda asing dalam usaha mencairkan pegangan Islam sejati seperti Syiah,
Muslim Moderat dan juga ancaman kristianisasi. Tajuk yang menjadi perhatian ialah Konspirasi
(Penghapusan Bangsa Melayu: Fokus Agenda
Nam Tien), (Agenda Perluasan Pengaruh Syiah: Ancaman Kepada Malaysia), (Ancaman Globalisasi Ekonomi : Fokus AFTA & TPPA), (Peng’Amerika’an
Ke atas Dunia Islam dan Gerakan Mengkristiankan Malaysia: Satu Usaha Terancang) dan (Krisis Kepimpinan
Melayu: Nasib Melayu Di tangan Siapa?)
Berikut merupakan ulasan dari beberapa mahasiswa UKM.
Berikut merupakan ulasan dari beberapa mahasiswa UKM.
“ Merujuk kepada pembentangan hari
ini, memang jelas menampakkan agenda musuh-musuh Islam untuk menghancurkan
Islam adalah dilakukan secara terancang. Sebagai contoh ialah isu TPPA yang
sama sekali ingin melemahkan ekonomi umat Islam yang ratanya adalah usahawan
yang bertaraf sederhana. Modal perniagaan
usahawan sederhana tidaklah tinggi sangat jika ingin dibandingkan dengan pelabur
eropah yang mempunyai modal yang tinggi. Orang yang mempunyai modal yang tinggi
dia akan menguasai ekonomi.”
“ Berkenaan dengan slot krisis kepimpinan, masalah kepimpinan yang berlaku di Malaysia ini adalah berpunca daripada sikap sesetengah pemimpin itu sendiri. Sebagai seorang pemimpin Islam, sepatutnya mereka mengutamakan hal-hal yang berkaitan dengan umat Islam terlebih dahulu berbanding perkara-perkara lain. Hal ini demi memelihara agama Islam terus tertegak dan tidak dipandang lekeh oleh masyarakat bukan Islam.Pemimpin yang tidak berwibawa ini tidak kiralah daripada pihak kiri atau kanan hanya mementingkan parti dan sokongan pengundi sahaja tanpa merisaukan hal ehwal Islam. Inilah antara salah satu sebab Islam dipermainkan oleh musuh-musuhnya.”
“ Pada pendapat saya, dialog
tentang agenda asing ini amat penting untuk diketahui oleh semua orang termasuk
juga mahasiswa kerana isu-isu yang dibahaskan adalah isu-isu semasa. Pendedahan
dalam simposium ini banyak membuat saya membuka mata dan mula berfikir tentang apa
yang bakal terjadi pada masa hadapan sekiranya kita tidak berusaha mempertahankan
hak istimewa orang Melayu di Malaysia dan juga Islam sebagai agama persekutuan.
Kita harus mula berfikir apakah cara yang dapat kita lakukan untuk bagi menyedarkan
masyarakat tentang agenda musuh bagi menjatuhkan kita. Malah dalam masa yang
sama kita harus mula memperkukuh jati diri Muslim dengan mengikuti
program-program yang membina peribadi Muslim. Semoga forum seperti ini dapat diteruskan
lagi pada masa akan datang dan berharap forum ini juga dilakukan di semua IPTA
dan IPTS agar semua mahasiswa di luar sana sama-sama dapat mengetahui tentang
agenda musuh yang sedang menyerang tanpa kita sedari.”
Pembina UKM berpendirian bahawa isu-isu
yang dibentangkan dalam simposium tersebut mesti diambil peduli oleh semua umat
Islam tidak kiralah sama ada golongan pekerja berkolar putih, golongan masyarakat
awam termasuk juga golongan mahasiswa kerana isu yang dibentangkan merupakan isu
yang jelas mengancam Islam. Umum mengetahui mahasiswa adalah bakal pemimpin negara
masa hadapan. Andai mahasiswa tidak terdedah dengan ancaman ini, kemungkinan kepimpinan
negara akan datang diwarisi oleh pemimpin yang mempunyai pegangan Islam yang
cair.
Link video :http://www.mobtv.my/VOD-Simposium_Mendepani_Agenda_Asing_Melayu_Dalam_Krisis_Kepimpinan.html
Thursday, 3 October 2013
DEBARAN HIMPUNAN MAHASISWA (HIMMAH) 2013
Apa itu HIMMAH?
Program HIMMAH 2.0 merupakan
lanjutan dari HIMMAH yang telah dilaksanakan tahun 2012 bertempat di Kompleks
Rakan Muda Klang. Antara resolusi HIMMAH 2012 adalah menjadikan program ini
sebagai program tahunan yang mengumpulkan semua ahli PEMBINA seluruh Negara.
Program ini secara konsisten bertujuan menjelaskan halatuju, matlamat dan
agenda PEMBINA bersifat semasa.
“Perkataan
‘Himmah’ digunakan untuk membayangkan maksud kehendak untuk mencapai suatu objektif
tertentu.Manusiasecara psikologinya sentiasa menghendaki sesuatu yang baru. Cita
rasa dan kehendak yang sentiasa berubah dan baru adalah sifat normal bagi setiap
insan. Sebaliknya jika seseorang itu tidak memperbaharui keinginannya atau tidak
ada keinginan, dia dianggap sebagai bermasalah dan dia mungkin menghidapi penyakit
kemurungan” – Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman, Presiden ISMA.
Apa objektif HIMMAH?
HIMMAH untuk siapa?
HIMMAH diadakan untuk semua ahli PEMBINA dan bukan ahli yang bergelar mahasiswa. Kami mensasarkan seramai 2000 orang mahasiswa yang akan hadir ke program ini. Sekiranya anda mahasiswa IPT, andalah yang kami cari!
Maklumat lanjut tentang HIMMAH 2013:
Sila layari laman sesawang:
Untuk pendaftaran: http://pembina.com.my/daftar-himmah2013/
Untuk testimoni HIMMAH yang lepas: http://www.youtube.com/watch?v=paOfIJnSfQc
Semoga Program ini dapat berlangsung dengan jayanya.
"MENERAJU ARUS MAHASISWA"
Wednesday, 2 October 2013
ISU MESIR: KERANA KITA BERSAUDARA
BANGI, 25 September – “Jika
kamu membuka Mesir, ambillah ahlinya sebagai tentera. Sesungguhnya mereka
adalah sebaik-baik tentera di dunia dan mereka sentiasa berada di perbatasan
sehingga hari kiamat.”
Program Jom Bina Hati (JBH) kini kembali lagi dengan siri
pertamanya untuk sesi 2013/2014. Program ini telah diadakan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia dengan dihadiri oleh lebih 40 orang mahasiswi UKM. Dengan itu, pihak penganjur telah menjemput aktivis PEMBINA, saudari Fatin
Halil yang merupakan seorang pelajar Sarjana Syariah di Universiti Kaherah,
Mesir bagi menyampaikan pengisian. Beliau membuka tirai bicaranya dengan hadis di atas yang terdapat di
dalam kitab Al Mu'talif wal Mukhtalif.
“Tujuh fakta yang anda perlu tahu mengenai sosio-politik
Mesir.” Dengan fakta-fakta yang dikemukakan ini, hadirin dibongkarkan dengan
isu yang terjadi di Mesir. Adakah kejatuhan Morsi disebabkan oleh kebangkitan
rakyat ataupun konspirasi dunia?
“Bermula dengan Revolusi 12 Januari 2011,
tentera memilih untuk mengundurkan Mubarak dan menghadapkannya ke mahkamah
setelah gagal meredakan keadaan dengan pelantikan Umar Sulaiman sebagai
Timbalan Presiden. Setelah itu, berlangsungnya pilihanraya Presiden yang
melibatkan proksi Majlis Tentera dan puak Islamis. Akhirnya kemenangan berpihak
kepada puak Islamis di mana Dr. Morsi meraih kemenangan 52% ke atas Ahmad
Syafiq yang memperoleh undian sebanyak 48%.”
“Hayat pemerintahan presiden Morsi
hanya berlangsung selama setahun sahaja iaitu sehingga 3 Julai 2013. Di mana,
penggulingannya telahpun dirancang sejak pelantikannya sebagai presiden pada 30
Jun 2012. Kemuncaknya berlangsung dua bulan sebelum penggulingannya. Pada waktu
terbabit, minyak disembunyikan, elektrik dipotong, gandum disembunyikan, harga
barang dan keadaan jalan raya dalam keadaan teruk. Berikutan ini, Morsi
dijadikan ‘kambing hitam’ atas semua masalah.”
“Tanggal 30 Jun 2013 (genap
setahun pemerintahan Morsi), penentang Morsi berdemonstrasi di Dataran Tahrir,
manakala penyokong Morsi berada di Medan Rabaah. Bilangan mereka lebih ramai
daripada penentang. Sementara itu, Ahmad Baradaie, Syeikh Al-Azhar, Ahmad Taib
dan Ketua Gereja, Tawadros bertemu General Sisi untuk menyampaikan kononnya
hasrat umat Mesir. General Sisi memberi tempoh 48 jam untuk Morsi meletakkan
jawatan disusuli dengan keengganan Morsi dan penangkapannya pada 3 Julai 2013.
Majlis Tentera mengambil alih dan melantik Adli Mansur sebagai Presiden dan
Baradaie sebagai Timbalan Presiden, serangan terhadap Sinai dan terowong Gaza
serta penangkapan pemimpin berpengaruh.”
Kesan daripada kronologi ini,
ribuan dibunuh dan mayat mereka yang syahid di Rabaah dibiar membusuk oleh
tentera walaupun Rabaah hanya 15 minit dari tanah perkuburan. Kejatuhan Morsi
dikaitkan dengan Kerajaan Askar Tawadros, pengaruh Syiah, hubungan Amerika-Israel-Tentera
Mesir. Konspirasi semakin jelas dengan pembebasan Mubarak dari segala tuduhan
yang pernah dilaporkan saat penggulingannya. Hal ini ditambah pula dengan pihak
tentera yang mengubah jalan cerita. Oleh itu, jelas berlaku konspirasi demi
menjatuhkan Islam. Justeru, hadirin diseru untuk memahami Islam yang sebenar
dan Wasatiy, memberi sumbangan dari segi pemikiran dan amal, dan paling utama umat
Islam perlu bersatu.
Semoga program ini berjaya membina
hati anak-anak muda dan seterusnya melahirkan generasi hebat pada masa akan
datang. Bersama meneraju arus mahasiswa!
Maisarah Shahrain
Wartawan PEMBINA UKM
Wednesday, 18 September 2013
RAHSIAKU KINI MILIKMU
PUTRAJAYA, 14 SEPTEMBER – PEMBINA UKM telah menganjurkan program
‘Rahsiaku Kini Milikmu’ bertempat di Masjid Besi, Putrajaya. Program yang
disertai oleh 50 orang pelajar perempuan tahun satu UKM ini bertujuan menjalin ukhuwah
antara pelajar tahun satu dan pelajar senior, selain memberi pendedahan kepada pelajar
tahun satu tentang kehidupan di Institut Pengajian Tinggi (IPT) serta berkongsi
rahsia kejayaan di dunia dan di akhirat.
Program bermula
dengan senaman ringkas dan diteruskan dengan sesi perkenalan setiap AJK
Program. Lagu tema ‘Sebuah Pertemuan’ dinyanyikan bersama-sama bagi menjalin kemesraan
antara peserta dan juga AJK program. Kemudian, peserta mengisi borang maklumat rakan-rakan
mereka dalam sesi taaruf. Sesi ini memberi peluang kepada peserta berkenalan di
antara satu sama lain dan mencari titik persamaan antara mereka.
Program
diteruskan lagi dengan slot perkongsian yang diberi tajuk ‘Langkah Bermula:
Sebagai Seorang Mahasiswa’ oleh Prof.Nor Bahiah binti Misran, pensyarah Fakulti
Kejuruteraan dan Alam Bina, UKM. Prof Bahiah berkongsi rahsia kejayaan beliau mendapat
gelaran profesor seawal umur 36 tahun dan cara-cara mengatasi halangan untuk berjaya
di IPT. Prof juga mengajak para peserta mengikuti program-program yang dapat menjana
kemahiran di samping menyertai usrah kerana program-program seperti ini dapat membantu
seseorang itu mendapat kejayaan dunia dan akhirat.
Seterusnya, slot ‘Bersama
PEMBINA’ disampaikan oleh Naib Presiden PEMBINA UKM, saudari Saidatul Akmal.
Slot ini bertujuan memperkenalkan PEMBINA, fokus – fokus
PEMBINA, dan aktiviti-aktiviti yang ditawarkan oleh PEMBINA.
Aktiviti ‘Pop
Kuiz’ menjadi selingan sebelum menyambung slot seterusnya. Soalan-soalan berkaitan
ibadah, sirah, akhlak dan PEMBINA adalah antara yang ditanya kepada peserta. Seramai
19 orang peserta berjaya menjawab soalan dan mendapat hadiah. Slot yang
terakhir ialah ‘Sharing is Loving’ di mana pelajar dibahagikan kepada enam kumpulan
dan setiap kumpulan disertai dua atau tiga orang senior. Slot ini melibatkan perkongsian
antara senior kepada junior. Akhir sekali, sesi bergambar diadakan dan juga makan
tengah hari bersama-sama. Program ini berakhir selepas solat zohor.
Majoriti peserta memberikan pandangan yang baik tentang program ini dan
berharap dapat menyertai program-program PEMBINA pada masa akan datang. PEMBINA
berharap program ini dapat memberi pendedahan awal tentang kehidupan di IPT dan
manfaat rohani kepada siswi khususnya pelajar UKM untuk menongkah arus di zaman
serba mencabar ini.
NURSAIDATUL AKMAL MOHD PUAAD
Naib Presiden PEMBINA UKM
Saturday, 7 September 2013
PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH DALAM BIBLE VERSI BAHASA MELAYU DI MALAYSIA : KESAN DARI SUDUT SYARAK DAN PERUNDANGAN DI MALAYSIA
23:09:00
PembinaUKM
Zaman ini terdapat banyak pihak
atau aktivis seluruh dunia yang mula bergerak secara aktif menuntut hak dan
kebebasan mereka secara mutlak di negara masing-masing. Dan Malaysia juga tidak
terkecuali daripada terikut rentak gelombang gerakan ini. Banyak pihak mula
berdiri untuk menyuarakan serta menuntut hak dan kebebasan secara mutlak dengan
menggunakan alasan kebebasan bersuara dan hak demokrasi. Antara yang disuarakan
adalah LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual, Transeksual), hak persamaan gender,
penggunaan kalimah Allah dan sebagainya. Dan antara isu yang mendapat respon
daripada pelbagai pihak adalah isu penggunaan kalimah Allah dalam tulisan dan
bible versi bahasa Melayu.
Isu ini mula
dibincangkan secara meluas setelah pada Pengarang akhbar Herald-The Catholic
Weekly, Paderi Lawerence Andrew menyatakan bahawa pihak Kementerian Dalam
Negeri (KDN) telah memperbaharui permit penerbitan akhbar itu tanpa larangan
menggunakan kalimah Allah pada 31 Disember 2007. Namun, kerajaan menegaskan
bahawa larangan itu masih lagi kekal. Kemudian, pada 3 Januari 2008, kabinet mengekalkan larangan bagi semua
agama kecuali Islam daripada menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar
masing-masing. Sebelum ini Kabinet telah memutuskan keputusan yang sama dalam
mesyuarat pada 18 Oktober dan 1 November 2006.Kemudian
pada 19 Mac 2008, Gereja Katolik telah
memohon di Mahkamah Tinggi untuk melakukan semakan kehakiman terhadap larangan
penggunaan kalimah Allah. Dan pada 5 Mei 2008, Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan
Kuasa-Kuasa Khas) telah membuat keputusan membenarkan permohonan Gereja Katolik
untuk membuat semakan kehakiman larangan tersebut dalam penerbitan mingguan
Herald-The Catholic Weekly. Akhirnya, pada 31 Disember 2009, Hakim Datuk Lau
Bee Lan telah memutuskan untuk membenarkan Titular Roman Catholic Archbishop of
Kuala Lumpur menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mingguannya, Herald –
The Catholic Weekly.
Dan yang terbaru, pada 25 Disember 2012, Lim Guan Eng telah membuat suatu
kenyataan untuk menggesa kerajaan membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam
kitab bible versi bahasa Melayu dalam perutusan Hari Krismas. Oleh itu,
penulisan ini dibuat bukan sekadar memenuhi tuntutan tugasan subjek Sistem
Pemerintahan Islam, tetapi ia juga sebagai satu analisa ringkas berhubung kesan
penggunaan kalimah Allah dalam bible versi Bahasa Melayu pada hukum Syara’ dan
perundangan Malaysia.
* PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH DARI KACA MATA
ISLAM
# Allah Sebagai Nama Khas
Kalimah ‘Allah’ adalah kata nama
khas berasal daripada Bahasa Arab. Ia tidak boleh digunakan dalam bentuk atau
makna-makna lain. Menurut nahu Arab, kalimah ini tidak boleh diumum, dikecil,
dilelaki, diperempuan atau diterbitkan nana-nama lain daripadanya. Kalimah
Allah adalah bebas dari segi struktur nahu dan maknanya dari segala
korupsi. Kita tidak boleh memanipulasikannya dengan apa cara sekalipun
dalam bahasa asalnya. Dari segi struktur linguistik, kalimah ‘Allah’ lebih
superior daripada apa jua perkataan
apa jua bahasa dalam memelihara dan mempertahankan makna
ke-Esaan dan keunikan satu-satunya Tuhan yang layak disembah. Oleh
itu, umat Islam tidak sekali-kali menterjemahkan ‘Allah’ kepada apa jua bahasa
melainkan dikekalkan lafaznya yang asal iaitu ‘Allah’.
Penegasan nama Allah sebagai nama
khas juga sangat jelas dalam al-Quran. Contohnya dalam surah al-Ikhlas ayat
1-4, Allah berfirman yang bermaksud ;
“Katakanlah : “Dia-lah Allah, Yang
Maha Esa, Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia
tidak beranak dan tiada pula diperanakkan, dan tidak ada seorangpun yang setara
dengan Dia.”
[Al-Ikhlas 112:1-4]
Dalam
menafsirkan ayat ini, Ibn Kathir dan para mufassirin
yang lain mengatakan bahawa Allah adalah nama khas kepada Zat Allah (ism ‘alam li zhat Allah) dan ia adalah
nama yang luhur (al ism al-a’zam).
Oleh kerananya Ibn Kathir mengatakan : “dan tidak diberikan nama ini kepada
seorangpun dalam bentuk pengesahan kecuali kepada Allah azza wajalla kerana hanya Dia-lah yang sempurna dalam sifat dan
perbuatan”. Ibn Kathir juga menegaskan bahawa ayat tersebut turun untuk
menyanggah dakwaan orang Yahudi, Nasrani, dan kafir Quraysh yang telah
menyekutukan Allah.
Tambahan lagi,
hakikat bahawa kalimah Allah ini adalah nama khas juga telah disepakati oleh
ulama terdahulu. Imam Fakhr al-Din
al-Razi dalam al-Tafsir al-Kabir
mengatakan ;
“Yang terpilih bagi kami bahawa
lafaz ini (Allah) adalah nama khas (ism
‘alam) bagi Allah Ta’ala dan ia bukanlah perkataan yang dapat dipecahkan (mushtaq) sama sekali. Ini adalah
pandangan al-Khalil (seorang yang berautoriti dalam bahasa) dan Sibawayh, dan
majoriti pandangan ulama’ usul dan Fuqaha”.
Ibn ‘Ashur dalam
Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir juga menegaskan bahawa nama Allah adalah nama
khas. Dan ia juga turut dinyatakan oleh Ibn Manzur dalam kamusnya Lisan al-Arab
dimana beliau menyatakan nama Allah yang teragung (ism Allah al-Akbar). Ia
bukanlah daripada nama yang dipecahkan (memiliki akar kata) menjadi kata kerja
(seperti nama Allah yang lain, al-Rahman dan al-Rahim boleh menjadi rahima yang
bermaksud mengasihi).
# Masyarakat Jahiliyyah Menyebut Allah.
Terdapat beberapa ayat al Quran
yang menyebut secara jelas menceritakan tentang masyarakat Arab Jahilyyah
menggunakan kalimah ‘Allah’ bagi merujuk kepada Tuhan yang menciptakan alam.
Antaranya
adalah ;
“Dan sesungguhnya jika engkau
(wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang
menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab:
"Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah"
(sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak
mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid
dan pengertian syirik).”
[Luqman 31:25]
Bertanyalah kepada mereka (yang
musyrik itu): "Siapakah Yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan
bumi? Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? Dan siapakah
yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan
benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan siapakah pula yang mentadbirkan
urusan sekalian alam? "(Dengan pertanyaan-pertanyaan itu) maka mereka
(yang musyrik) tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata: "Allah
jualah yang menguasai segala-galanya! "Oleh itu, katakanlah: "(Jika
kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?
[Yunus 10:31]
Dan sesungguhnya jika engkau (wahai
Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menurunkan
hujan dari langit, lalu Ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah
matinya?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah
(wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan
pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami
(hakikat tauhid dan pengertian syirik).
[Al-‘Ankabuut 29:63]
Ayat-ayat di
atas menunjukkan bahawa perkataan Allah telah digunakan oleh masyarakat Arab
jahiliyyah di dalam keadaan mereka syirik. Namun demikian, perlu kita memahami
bahawa apabila orang Arab jahiliyyah menyebut Allah, mereka secara langsung
memahami dan meyakini bahawa Allah itu Esa, Allah itu Tunggal, Allah itu Zat
yang mencipta, Zat yang menurunkan rezeki dan sebagainya. Mereka tidak
mensyirikkan Allah dari sudut Rububiyyah dan sifat Allah sebagai pencipta
tetapi mereka mensyirikkan Allah dari sudut hakimiyyah dan perundangan di mana
mereka menyembah berhala kerana beranggapan bahawa berhala itu akan mendekatkan
diri mereka kepada Allah.
Ini dijelaskan oleh Allah dalam al
Quran,
“… Dan orang-orang musyrik yang
mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil
berkata): "Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka
mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya",…”
[Az-Zumar 39:3]
“…Mereka (yang kami sembah itu)
ialah pemberi-pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah…"
[Yunus 10:18]
* PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH DALAM BIBLE
VERSI BAHASA MELAYU
# Kesan Dari Sudut Syarak
Terdapat beberapa ulama’ yang mengharuskan
bukan Islam termasuk Kristian untuk menggunakan kalimah Allah. Namun bagaimana
pula jika kalimah diimplimentasikan di dalam bible versi bahasa Melayu? Jika
digunakan di dalam bible versi bahasa Melayu, ia sekaligus merosakkan terus
makna kalimah Allah tersebut.
Firman Allah yang bermaksud ;
Demi
sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah
ialah salah satu dari tiga tuhan". Padahal tiada Tuhan (yang berhak
disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari
apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara
mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[Al-Maaidah 5:73]
Ayat di atas
dengan tegas menyatakan bahawa Allah menafikan golongan yang menyatakan Zat-Nya
itu satu oknum daripada tiga oknum (Triniti). Malah Allah menganggap mereka
sebagai kafir. Ini dengan terang bermakna perkataan ‘Allah’ yang keluar dari
lidah golongan Kristian itu adalah sia-sia dan tiada nilai di sisi Allah kerana
ia tidak merujuk kepada kalimah Allah yang sebenar. Sebagaimana yang kita sedia
maklum bahawa Allah itu bersifat Esa,
tidak beranak dan tidak diperanakkan seperti mana yang Allah jelaskan
dalam al Quran,
“Katakanlah : “Dia-lah Allah, Yang
Maha Esa, Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia
tidak beranak dan tiada pula diperanakkan, dan tidak ada seorangpun yang setara
dengan Dia.”
[Al-Ikhlas 112 : 1-4]
Imam
Al-Qurtubi menafsirkan seruan Al-Qur’an yang bermaksud:
“…Jika mereka tidak berhenti dari apa yang
mereka katakan itu, pasti orang-orang yang kafir di antara mereka akan ditimpa
siksaan yang pedih…”
dengan
berkata: “((jika mereka tidak berhenti…)) tidak berhenti daripada berkata
tentang triniti tersebut, mereka akan disiksa di dunia dan di akhirat”.
Dengan
erti kata lain, sekiranya orang Kristian mahu kalimah Allah digantikan atau
ditukar kepada Jesus, atau kepada God ataupun Lord, mereka seolah menghina dan
merendah-rendahkan keesaan Allah yang telah dinyatakan di dalam al Quran dan
cuba melanggar syarak.
Ada
juga pihak yang menyatakan bahawa penggunaan kalimah Allah dalam bible versi
bahasa Melayu telahpun digunapakai di negara Timur Tengah, di Indonesia bahkan
di Malaysia Timur sendiri sejak 50 tahun lalu. Persoalan di sini, adakah apa
yang berlaku di Sabah, Sarawak, Indonesia dan negara-negara lain itu betul dan
selamat, lalu hendak dihujahkan boleh guna di Semenanjung Malaysia?
Jawapannya
tidak, kerana di sana ada satu
kaedah syarak,
“ al-urful fasid la yughaiyiru
haqqaiqas syar’ie.”
Maknanya, uruf yang rosak tidak
akan mengubah hakikat syarak yang merupakan suatu yang ditunjukkan di
dalam Al-Quran.Mana-mana penggunaan, uruf ataupun kebiasaan tetapi kebiasaan
yang merosakkan tetap tidak akan mengubah hakikat syarak. Walaupun telah
diamalkan selama 10 kurun tetapi apabila syarak tidak membenarkan, maka ia
tetap tidak boleh walau apa jua cara sekalipun.
# Kesan Dari Sudut Perundangan Malaysia
Mengikut perundangan Malaysia,
perlu difahami bahawa hanya Islam sahaja satu-satunya agama yang disebut
di dalam Perlembagaan Persekutuan. Tiada agama lain disebut secara spesifik di
dalam Perlembagaan Persekutuan melainkan hanya disebut sebagai boleh diamalkan
dalam keadaan aman dan harmoni dalam negara sahaja. Ini adalah jaminan
Perlembagaan bahawa pengamalan agama lain oleh orang bukan Islam dibenarkan
tertakluk kepada Perkara 11(4) iaitu berkaitan sekatan penyebaran agama bukan
Islam kepada orang Islam.
Umat Islam
adalah umat majoriti di negara kita. Perkara 3(1) Perlembagaan
Persekutuan menyatakan Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi
agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian
Persekutuan. Makna ‘boleh diamalkan dengan aman dan damai’ ialah agama lain
selain agama Islam boleh diamalkan di mana-mana bahagian Persekutuan selagi ia
tidak menghakis kedamaian dan keamanan agama bagi Persekutuan iaitu Islam.
Inilah kedudukan istimewa Islam.
Kedudukan istimewa Islam ini
bolehlah di fahami kerana terdapat peruntukan-peruntukan yang lain yang memberi
kelebihan kepada Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana yang termaktub di
dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, antaranya
a) Perkara 11(4) Perlembagaan
Persekutuan yang memperuntukkan bahawa negeri-negeri boleh mewartakan
undang-undang menghalang orang-orang bukan Islam menyebarkan dakyah agama
mereka kepada orang Islam Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang persekutuan boleh mengawal
atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara
orang-orang yang menganuti agama Islam.;
b) Perkara 12(2) Perlembagaan
Persekutuan yang memperuntukkan Kerajaan Persekutuan diberikuasa untuk mengurus
dan menghulur bantuan kepada institusi Islam seperti masjid, sekolah agama dan
juga bagi tujuan pembagunan syiar Islam;
c) Perkara 74(2) Perlembagaan
Persekutuan pula memperuntukkan Kerajaan Negeri berkuasa membuat undang-undang
bagi mentadbir urusan agama Islam.
d) Perkara 121(1A) Perlembagaan
Persekutuan juga telah memberi pengiktirafan kepada Mahkamah Syariah untuk
mendengar kes-kes dan persoalan mengenai agama Islam dan Mahkamah Sivil tidak
boleh campurtangan, membatalkan ataupun tidak menghiraukan keputusan Mahkamah
Syariah.
Jika kalimah
Allah bebas digunakan dalam penerbitan umum termasuk di dalam bible versi
bahasa Melayu, ia memberi kesan yang amat ketara terhadap orang Islam walaupun
ia di edarkan di kalangan orang bukan Islam. Disana akan timbul persoalan,
apakah jaminan ianya tidak akan diedarkan kepada orang Islam? Penerbitan
tersebut tidak hanya diedarkan di gereja sahaja. Sekaligus ia akan memberi
kemungkinan tinggi untuk menggugat kedamaian dan keamanan agama bagi
Persekutuan.
Ditambah pula
kewujudan Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam Di Kalangan Orang
Islam yang digubal berdasarkan Perkara 11(4) tidak mempunyai signifikan secara
realitinya. Enakmen ini telah wujud di beberapa negeri sejak berpuluh tahun
namun masih tidak dilaksanakan. Malah ada negeri yang telah meluluskan enakmen
ni masih tidak mewartakan dan memberi tarikh pelaksanaannya. Empat buah negeri
pula iaitu Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak masih belum
menggubal undang-undang yang sama walaupun mantan Perdana Menteri Tun Abdullah
Ahmad Badawi sendiri semasa menjadi Perdana Menteri telah berjanji dan
mengarahkan negeri-negeri ini menggubal undang-undang tersebut. Sememangnya
kepentingan agama Islam akan tergugat sama ada dari sudut peruntukan
undang-undang, mahupun dalam masyarakat Malaysia.
# Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa
Kebangsaan
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis
Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5
- 7 Mei 2008 telah membincangkan Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap
Penggunaan Kalimah Allah. Muzakarah telah memutuskan bahawa lafaz Allah
merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh
digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain.
Secara tuntasnya, setiap anggota
masyarakat perlu memperkukuhkan penghayatan Islam dalam diri dan keluarga
masing-masing selain menyokong keputusan muzakarah Fatwa Kebangsaaan. Media
pula hendaklah membantu menjadikan mana-mana tokoh ilmuwan Islam sebagai role
model dan bukan artis.
Para ulama pula perlu sepakat
menghalang penggunaan nama Allah bagi terjemahan di dalam bible versi
Melayu.Manakala pihak kerajaan juga perlu segera melaksanakan Enakmen Kawalan
Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam dan bagi negeri-negeri
yang belum menggubal undang-undang tersebut hendaklah berbuat demikian dengan
kadar segera.
Majlis Raja –Raja Melayu sebagai
ketua agama negeri-negeri juga perlu membuat ketetapan yang tegas
berkaitan dengan perkara ini selaras dengan sumpah jawatan baginda
mempertahankan Islam pada setiap masa. Malah Yang Di Pertuan Agong
menurut Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan juga boleh merujuk ke
Mahkamah Persekutuan bagi pentafsiran Perkara 3.
* RUJUKAN
1. Mohd Aizam bin Mas’od. 2008. Hujah Menolak
Penggunaan Kalimah ‘Allah’ Oleh Kristian. Jurnal Penyelidikan JAKIM Bil. 21.
2. Prof. Madya Dr. Khalif Muammar. 2011. Isu Nama
Allah : Mengapa Orang Bukan Islam Tidak Berhak Menggunakan Nama Allah. www.muftiwp.gov.my/v1/doc/Isu_Nama_Allah.pdf
3.Md. Asham B. Ahmad. 2008. Antara Nama dan Hakikat.
Institut Kefahaman Islam Malaysia. http://www.ikim.gov.my/index.php/ms/utusan-malaysia/8053-antara-nama-dan-hakikat
(Mei 2008)
4.Wan
Ahmad Fayhsal. 2013.In the Name of God: Disentangling the confusion
in reaffirming the correct understanding of the name ‘Allāh’. http://hakim.org.my/blog/?p=501
5. Zainul Rijal Abu Bakar. 2010. Penghakiman Kes
Kalimah Allah Memberi Kesan Terhadap Agama Persekutuan.http://membelaislam.wordpress.com/2010/01/02/penghakiman-kes-kalimah-allah-memberi-kesan-terhadap-agama-persekutuan/
6. Zaharuddin Abd Rahman. 2010. Larangan Kristian
Guna Nama Allah : Ulasan Ringkas. http://www.zaharuddin.net/senarai-lengkap-artikel/3/900-larangan-kristian-guna-nama-allah--ulasan-ringkas.html.
7. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.
2008. Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah. http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/isu-tuntutan-penganut-kristian-terhadap-penggunaan-kalimah-allah
8. Mohamad Zamri bin Mohamed Shapik. 2010. Penggunaan Kalimah Allah Di Kalangan
Masyarakat Bukan Islam. http://ulamadaily.blogspot.com/2010/07/penggunaan-kalimah-allah-di-kalangan.html
9. Akhbar Sinar Harian. 2012. DAP mahu Pusat benar
guna kalimah ALLAH. http://www.sinarharian.com.my/nasional/dap-mahu-pusat-benar-guna-kalimah-allah-1.115162
10. Muhammad Fauzi Asmuni. 2013. Ceramah Isu
Penggunaan Kalimah Allah. http://www.youtube.com/watch?v=SoNTmixOVYo
Hasil Kertas Kerja
AHMAD SHUKERY B. AZIZAN
Aktivis PEMBINA


















.jpg)

