Saturday 17 March 2012

Surah Al-Kahfi Ayat 1-8

  

“Segala pujian kepada Allah yang telah menurunkan kitab Al Quran kepada hamba Nya dan tidak menjadikan padanya ajaran yang berbelit-beli. Sebuah kitab yang lurus untuk memberi amaran keseksaan yang amat keras dari sisi Allah dan memberi berita gembira kepada orang mukminin yang mengerjakan amalan soleh bagi mereka ganjaran pahala yang baik …………….dan sesungguhnya ketika Qiamat kelak, Kami akan jadikan segala apa yang ada di atas bumi ini tanah rata yang keras dan tandus”. [ayat 1-8.]

18:1 

Ayat ini bemula dengan menonjolkan sifat lurus dan tegas didalamnya memuji Allah S.W.T yang menurunkan kitab suci al Quran kepada hamba Nya.Di dalamnya mengandungi ajaran yang lurus lagi istiqamah, tidak berbelit-belit dan tidak menyeleweng malah tidak bertujuan mencari helah dan tidak berusaha untuk menipu bahkan bertujuan “untuk memberi amaran yang amat keras dari sisi Allah”.

Sejak ayat pertama lagi sudah nyata garis-garis sifatnya yang jelas, tidak ada sebarang kekeliruan, tidak ada sebarang kesamaran dan kerumitan dalam aqidah. Segala pujian hanya kepada Allah S.W.T yang telah menurunkan al Quran.Muhammad adalah hamba Allah. Semua makhluk adalah hamba Nya belaka. Allah S.W.T sama sekali tidak mempunyai anak dan tidak mempunyai sekutu.

Al Quran tidak membawa sebarang ajaran yang berbelit-belit. Ajarannya adalah “qayyiman”. Konsep istiqamah al Quran dijelaskan dengan;

Menafikan sifat berbelit-belit dalam ungkapan “laa i’waja fihi”
Menegaskan sifat kelurusan dalam ungkapan “qayyiman”


18:2 
18:3
18:4 


Tujuan penurunan Al Quran amat jelas sekali dengan firman Nya “untuk memberi amaran keseksaan yang amat keras dari sisi Allah dan memberi berita gembira kepada orang mukminin yang mengerjakan amalan soleh bagi mereka ganjaran pahala yang baik” [ayat;2.]

Suasana amaran yang amat keras itu merangkumi seluruh penjelasan ayat ini.Bermula amaran secara umum dan diikuti amaran secara khusus. Ini dapat diperhatikan dalam firman Allah;

Amaran umum “untuk memberi amaran keseksaan yang amat keras dari sisi Allah” [ayat;2]
Amaran khusus “dan untuk memberi amaran kepada orang-orang yang telah berkata bahawa Allah mempunyai anak” [ayat;4]


Di antara dua amaran itu diselit pula dengan berita gembira kepada orag-orang yang beriman dengan firman Allah

“yang mengerjakan amalan-amalan soleh” [ayat;2.]

Ikatan inilah yang menjadikan iman mempunyai bukti-bukti yang amali bersandarkan realiti yang kuat.

Selepas itu al Quran mula menjelaskan manhaj yang salah, yang mereka ambil dalam memutuskan persoalan yang amat besar dan amat penting dalam kehidupan mereka iaitu ‘isu aqidah’ dengan firman Allah ;

18:5 

“Sebenarnya mereka tidak mempunyai sebarang ilmu pengetahuan mengenai perkataan itu dan datuk nenek mereka juga tidak mempunyai ilmu” [ayat;5]

Alangkah keji dan buruknya perbuatan mereka meluahkan perkataan itu, tanpa berpandukan ilmu pengetahuan, malah secara sangkaan yang melulu. Perhatikan firman Allah yang bermaksud;

“Alangkah besar kata-kata yang terkeluar dari mulut mereka sedangkan apa yang dikatakan mereka tidak lain, melainkan hanya dusta semata-mata”. [ayat;5]

Semua perkataan dalam susunan ungkapan ayat ini dan semua bunyinya dalam pertuturan adalah saling berkait rapat untuk membesar-besarkan kejilikan perkataan yang mereka ucapkan. Ini dapat kita perhatikan perkataan;

Perkataan “Kaburat” untuk menunjukkan kepada pendengar betapa besar dan jeliknya perkataan itu sehingga memenuhi suasana. Perkataan itu juga sebagai tamyiz dengan ungkapan “kaburat kalimatan” untuk menambah tekanan bagi menarik perhatian mereka. Ia menjadikan perkataan itu terlepas keluar dari mulut mereka secara spontan dan terburu-buru.


Perkataan “takhruju min afwaahihim” kata-kata ini memyumbang bunyi yang istimewa dalam membesarkan kejilikan kata-kata yang terkeluar dari mulut mereka. Ini kerana orang yang melafazkan “afwaahihim” akan membuka mulutnya untuk menyebut mad pada potongan pertamanya “afwaa..” kemudian menyebut dua Ha’ yang berturut-turut menyebabkan seluruh mulut dipenuhi dua Ha’ sebelum ditutup mulut kerana mematikan huruf Mim diakhir perkataan “afwaahihim”. Semua susunan dan bunyi ayat ini menggambarkan maksud dan suasana.


Perkataan “In yakuuluuna illaa kaziban” Ini adalah satu kenyataan yang tegas melalui penafian ‘an nafi’ dan pengecualian ‘al istisnaa’. Pemilihan kata “In” bukan “maa” kerana “in” bunyi mati yang keras dan jelas. Sedangkan “ma” mempunyai bunyi lembut sebab mad. Tujuan pemilihan itu adalah untuk menambahkan kekerasan kecaman dan menegaskan pembohongan yang amat besar.


Ayat 6 seakan-akan ayat teguran. Allah S.W.T berbicara dengan Rasulullah s.a.w yang sedang kesedihan kerana kaumnya mendustakan al Quran, menolak hidayah dan memilih jalan yang membawa mereka pada kebinasaan. Allah berfirman kepada Rasulullah s.a.w yang bermaksud;

18:6 

“Mungkin engkau hendak membunuh dirimu kerana dukacita terhadap perbuatan mereka yang tidak mahu beriman dengan al Quran” [ayat;6]

Maksudnya mengapa engkau hendak membunuh dirimu kerana sedih dan berdukacita terhadap mereka yang tidak beriman pada al Quran. Memang sepatutnya kamu tidak wajar bersedih dan berdukacita terhadap mereka. Biarkan mereka begitu, kerana Kami telah menjadikan semua keindahan dan kenikmatan yang ada di atas bumi ini, termasuk harta kekayan dan anak –anak sebagai ujian dan cubaan, siapakah di antara mereka dan penghuni-penghuni nya yang melakukan amalan-amalan yang baik di dunia ini. Mereka wajar menerima nikmat dunia dan wajar pula menerima nikmat di akhirat kelak. Firman Allah yang bermaksud;

18:7 

“Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, untuk kami menguji mereka, siapakah di antara mereka yang lebih baik amalannya”. [Ayat;7]

Hanya Allah S.W.T sahaja yang mengetahui siapakah mereka? Allah tetap akan membalas setiap perbuatan dan amalan yang telah dilakukan oleh para hamba Nya dalam kehidupan dunia ini. Al Quran tidak menyebut apa-apa tentang mereka yang tidak mengerjakan amalan-amalan yang baik kerana pengertian itu dapat difahami dengan jelas melalui ungkapan “li nabluwa hum aiyuhum ahsanu amalan”.

Penyudah bagi keindahan dan perhiasan dunia telah pun ditetapkan. Bumi akan menjadi kosong, semua penghuninya akan hancur dan binasa. Bumi akan jadi tandus, gersang, keras dan kering kontang menjelang hari Qiamat. Firman Allah yang bermaksud;

18:8 

“dan sesungguhnya Kami akan jadikan segala apa yang ada di atas bumi ini menjadi tanah tandus lagi kosong”. [Ayat;8]

Pada ungkapan dan pemandangan ayat ini mebayangkan satu keadaan yang dahsyat. Perkataan “juruzan” menggambarkan pengertian tandus dengan bunyi perkataan itu sendiri. Begitu juga perkataan “saie’dan’ menggambarkan pemandangan tanah yang keras dan kontang.






Penulis: Halimatun Saadiah (UKM)

poster promo ikhwah
picture hosting