Hadith akhir zaman – BAHAYA KEMEWAHAN
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a., "Bahawasanya kami sedang
duduk bersama Rasulullah s.a.w. di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus'ab bin
Umair r.a. dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung
dengan kulit. Tatkala Rasulullah s.a.w. melihat kepadanya Baginda menangis dan
menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus'ab ketika berada di
Mekkah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib
Mus'ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang
terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Mekkah). Kemudian Nabi
Muhammad s.a.w. bersabda, "Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti,
pergi di waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi di waktu petang dengan
pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakkan pula satu
hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu sepertimana kamu
memasang kelambu Ka'bah?". Maka jawab sahabat, "Wahai Rasulullah,
tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada di hari ini. Kami akan
menberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari
rezeki". Lalu Nabi s.a.w. bersabda, "Tidak! Keadaan kamu di hari ini
adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu".
Hadith riwayat Tarmizi
Hadith ini menerangkan bahawa umat Nabi Muhammad s.a.w. pada suatu masa
kelak akan mendapat kekayaan dan kelapangan waktu dalam kehidupan. Sebagai
contoh dalam hadis di atas bahawa pakaian kita silih berganti antara pagi dan
petang, makanan yang tidak putus-putus iaitu selepas diangkat satu hidangan
akan datang hidangan yang lain pula dan rumah-rumah yang tersergam indah dengan
bermacam-macam hiasan yang cantik diibaratkan cantiknya kelambu kaabah.
Mungkin
kita akan berkata seperti sahabat baginda pada waktu itu iaitu “tentunya di
waktu itu kami lebih baik daripada hari ini” seterusnya mengatakan bahawa
mereka akan lebih menumpukan kepada ibadah sahaja dan tidak perlu mencari
rezeki lagi. Tetapi Rasulullah s.a.w. menyangkal kerana baginda tahu bahawa keadaan
yang seperti dikatakan oleh mereka tidak akan terjadi, justeru keadaan mereka
pada hari yang mereka lalui sekarang adalah lebih baik dari hari yang mereka
jangkakan itu.
Oleh itu, dapat kita simpulkan bahawa keadaan yang serba kekurangan
adalah lebih baik untuk kita untuk istiqamah dalam beribadah kerana kekurangan
lebih memungkinkan kita untuk beribadah dan memgingati Allah dengan lebih
banyak tanpa lalai dari Allah. Lazimnya kemewahan hidup banyak menghalang kita
dari tunduk kepada Allah dan beribadat kepada Allah seperti yang berlaku zaman
ini. Hal ini disebabkan manusia sering leka dan sibuk mengejar kekayaan dunia
tanpa pernah merasa cukup.
Malah kadangkala apa yang kita miliki melebihi dari
keperluan berbanding dengan kehidupan ketika zaman sahabat, namun ibadat kita
jauh ketinggalan dan kurang daripada mereka. Seharusnya kita mencari harta
dunia pada batas-batas keperluan. Harta yang berlebihan mestilah digunakan
untuk membantu orang lain yang kurang bernasib baik, menderma dan bersedekah kerana
setiap harta yang kita miliki mengandungi harta orang lain.
Oleh sebab itu kita
diwajibkan membayar zakat untuk membersihkan harta seterusnya sebagai saham di
akhirat kelak. Sesungguhnya mencari dunia itu perlu untuk akhirat. Carilah bekalan
untuk akhirat, maka allah akan mencukupkan dunia.
Kumpulan hadis oleh Abu Ali Al-Banjari
Penulis: Siti Norainie Bt Pitri, Pelajar Tahun 2, Jurusan Sains Bahan (UKM), Ahli PEMBINA UKM