"Kau bila nak berubah?"
"Nantilah.."
ujar saya sambil memandang pinggan yang sudah kosong. Pinggan sahabat saya itu
juga telah licin. Kami baru saja selesai menikmati hidangan tengah hari. Saya
terdengar lafaz syukur dari bibirnya. Dia memandang wajah saya, tampang,
bila mendengar jawaban saya tadi.
"Kau nak
tunggu bila?"dia tak jemu memujuk. Bukan hari ini saja. Sudah lama. Tak
cukup dengan lafaz jelas, dia berkias. Saya faham semua ayatnya. Saya sangat
faham. Tapi..
"Aku nak
berubah lah ni.. Tunggu lah bila aku dah betul-betul bersedia."
"Ya..hari tu,
kau cakap nak berubah masa bulan Ramadhan, sekarang dah maulid pun, apa
cerita?"
"Kan
aku cakap, aku tak sedia lagi.." saya menegaskan kembali ayat saya
sebentar tadi. dengan nada suara terkawal.
Saya hormatkan
dia, dia memang tak jemu untuk suruh saya berbuat kebaikan, dan yang penting
berhijrah. Apa pun, dia tak boikot saya, sekalipun saya tahu, saya dan dia
sangat berbeza. Tengoklah sekarang, dia baru belanja saya makan. Jadi, saya tak
berhasrat untuk mempertikaikan ayatnya atau melawan kata-katanya. dia nak
berkawan dengan saya sudah cukup baik. Dia memang seorang yang bersahaja, dan
mungkin agak kasar, yang penting, sikapnya kena dengan jiwa saya.
"Tengok
IC sekejap!" suruhnya tiba-tiba.
"Ha?"
saya dah terpinga-pinga. Apa, dia ingat saya ini PATI kah?
"Tunjuk saja,
Mykad kau.."katanya separuh mendesak.
Saya segera
mengeluarkannya...
"Kau tengok
ni!"
Ketika itu saya
mengagak, yang dia ingin saya memastikan perkataan Islam yang tertera di kad
berwarna biru itu.Halah..klise sangatlah..
"Mana?"
ujar saya bena-tak bena.
"Tengok
nombor ni.. baca." jari telunjuknya tepat pada deretan nombor di bahagian
atas kad itu.
"890122-08-8***"
ujar saya,mengikut saja rentaknya.
"Kau tahu ni
nombor apa?"
"Tarikh lahir
akulah!" saya sudah bengang. Berani berani dia seolah memperbodohkan
mahasiswa seperti saya!
"Oh, tarikh
lahir kau.. Kau tengok betul-betul atas kad ni.. tengok.." suaranya juga
sudah naik satu oktaf. Hairannya saya menurut saja suruhannya itu. Memerhati
seluruh permukaan kad kecil itu. Seolah baru hari ini saya menatap kad yang
sudah lebih sedekad bersama saya itu.
"Cuba kau
cari, ada tarikh mati kau?"
Saya tersentak.
Terdiam. Rasa seperti degup jantung terberhenti.
Mungkin ayat ini
dituturkan dengan nada yang tidak setinggi penyanyi opera cina. Atau leteran
yang selalu saya dengar dari ibu saya bila saya pulang lewat sehingga santak
maghrib ketika kecil dahulu. Tapi suara yang SANGAT BERSAHAJA ini berjaya
menyentap jantung saya. Mengejutkan saya dari lena yang panjang.
"Cuba cari
tarikh mati kau" suara itu seakan dimain semula diminda. Berkali-kali,
sekalipun dia sudah lama berlalu. Aduh, saya rasa macam baru saja dilempang.
Mati. Satu perkara
pasti yang kita tak tahu bila. Tarikh lahir semua orang tahu, tapi tarikh mati,
siapa tahu? Siapa tahu? Kecuali Yang Maha Tahu?
Jadi, apa yang
saya tunggu? Menangguh-nangguh dari berbuat kebaikan? Menangguh dari berhijrah?
Menandakan tarikh-tarikh sesuai untuk berubah? Bagaimana kalau maut hadir
sebelum sempat saya berbuat apa-apa? Saya nak bentangkan apa pada Allah? Allah,
tiba-tiba saya rasa malu. Saya tidak akan bersedia untuk berubah jika
saya tidak menyediakan diri saya untuk berubah. hanya menunggu rasa
'betul-betul sedia' datang sendiri. tidak! saya harus SELALU SEDIA DAN BERUBAH!
Allah.. Ampunilah
hambaMu ini..Aku mahu berubah HARI INI, aku mahu bertaubat HARI INI, aku mahu
dekat denganMu HARI INI,kerana tarikh matiku tiada dalam IC!
(catatan diari
imaginasi, namun selalu berlaku pada manusiawi)
Penulis: Zubaidah
Abd. Rahim (UKM)