Kota Madinah hari ini heboh. Satu persoalan menganggu
fikiran orang ramai. Benarkah Khalifah Umar Al Khattab telah gila? Ramai yang
sudah menyaksikan sendiri mertua Rasulullah ini berkelakuan seperti orang kurang waras.
Adakah kerana dosa-dosa lampau yang membuatkan Khalifah Umar menjadi begitu?
Bukankah dulu beliau menyembah berhala, minum arak, membunuh bukan menjadi
perkara besar baginya. Bahkan anak perempuannya sendiri ditanam hidup-hidup.
Mungkin masa lalunya yang mendera jiwa Khalifah Umar. Bukan
sedikit yang menyaksikan tingkah pemimpin ini yang berkelakuan tidak normal.
Tidak jarang yang melihat Umar tiba-tiba menangis sendirian selepas usai solat. Lalu kemudiannya tertawa
terbahak-bahak, walhal tidak ada hal yang lucu.
Dari sekalian sahabat, Abdul Rahman Auf termasuk yang paling
akrab dengan Umar. Tersinggunglah
perasaan sang sahabat bila mendengar tuduhan terhadap rafiqnya itu. Kelihatan
wajahnya murung, apa lagi bila hampir semua orang di Madinah mempercayai khabar
itu; menganggap Khalifah Umar sudah benar-benar gila. Lebih jauh lagi,
kredibiliti Umar sebagai khalifah mula dipertikaikan.
Hari ini, Khalifah Umar kelihatannya semakin pelik
perilakunya. Suatu ketika Umar sedang memimpin solat Jumaat. Semasa beliau
sedang berkhutbah di mimbar, tiba-tiba sahaja Umar bertempik lantang.
“Hai pasukan, bukit itu,bukit itu!”
Mendengar keanehan itu, hadirin pun terkejut.
Terpinga-pinga. Seruan Umar ternyata
tidak selari dengan isi khutbah yang sedang disampaikan.
“Wah, khalifah sudah benar-benar sudah tidak waras” kata
beberapa jemaah ketika selesai solat Jumaat hari itu.
Hal itu tidak terjadi pada Abdul Rahman Auf. Semakin sedih
dan murunglah hatinya bila mendengar sahabat akrabnya dituduh begitu. Dia tidak
berani menuduh Umar gila dan seharusnya dia perlu jelas penyebab Umar berteriak
sedemikian. Lalu dengan penuh rasa ingin tahu, beliau mendatangi Umar
Radiyallahu anhu.
“Amirul Mukminin, sebelum saya bertanya, saya memohon maaf
seandainya Tuan tersinggung” kata Ibnu Auf berhati-hati menutur bicara.
“Jangan bimbang. Katakan saja apa yang ingin kau sampaikan”
Umar menjawab tenang.
“Begini Amirul Mukminin, pada saat khutbah tadi, mengapa
tiba-tiba sahaja tuan berseru lantang sambil menatap ke tempat yang jauh?”
“Begini sahabatku, aku telah menghantar pasukan beberapa
hari yang lepas. Mereka memikul tugas untuk membanteras pengacau. Ketika berkhutbah,
aku melihat pasukan itu mendapat kesulitan. Mereka dikepung musuh dari segala
penjuru. Satu-satunya lokasi yang dapat dijadikan benteng pertahanan mereka
ialah satu bukit di belakang mereka. Oleh itu aku berseru, bukit itu! Bukit
itu!”
Dahi Abdul Rahman berkerut. Apa benar ungkapan Umar ini.
Bahkan dia punya kesangsian mendengar penjelasan Umar. Namun rasa tidak percaya
ini tidak diungkapkan kepada Umar.
“Seperkara lagi, mengapa Tuan suka menangis dan tertawa
sendirian apabila selesai solat?”
“Aku menangis kerana teringatkan dosa-dosaku sebelum memeluk
Islam. Aku pernah menanam anak
perempuanku hidup-hidup. Anak perempuanku yang masih kecil. Aku sangat sedih
apabila teringatkan anak yang masih kecil itu” beritahu Umar.
“Lalu apa yang membuatkan tuan tertawa?”
“Aku teringat akan kebodohanku . Bagaimana tidak, aku
membuat patung berhala daripada kurma, lalu aku menyembahnya seperti Tuhan. Satu
ketika aku lapar, lalu, aku memakannya.” Ujar Umar r.a sambil tersenyum.
Sambil mengukir senyum dan jiwa yang lapang, Ibnu Auf pun
berlalu. Namun ada satu perkara yang masih menganggau fikirannya. Dia belum
dapat memastikan ucapan Umar mengenai ucapan yang dikirimnya, atau Khalifah Umar
benar-benar tidak waras? Sungguh tidak
masuk akal Umar dapat melihat keadaan pasukan dari jauh.
Selang beberapa ketika, pasukan kembali ke Madinah. Mereka tersenyum berseri-seri
dengan kibaran panji kemenangan.
Keesokan harinya komandan pasukan bercerita. Di hadapan orang
ramai,dia melukiskan kedahsyatan peperangan yang mereka alami.
“Kami dikepung oleh tentera musuh. Rasanya tidak ada harapan
untuk dapat keluar dari kepungan musuh dengan selamat.”
“Lalu, apa yang terjadi? “ tanya seorang yang berada di
situ.
“Tentera musuh semakin mara. Kami diserang dari segala
sudut. Dalam masa yang singkat barisan pasukan kami menjadi kucar-kacir. Sampai
tibalah ketika waktu solat Jumaat tiba. Saat itulah kami mendengar seruan ‘Bukit
itu, Bukit itu! Bukit tu!”
Sejenak komandan terdiam. Orang ramai saling berpandangan
dan teringat akan seruan Umar ketika solat Jumaat tempoh hari.
“Tiga kali kami mendengar seruan itu dengan begitu jelas. Serta
merta kami berlari ke arah bukit tersebut, dan berlindung di sebalik bukit
tersebut. Bukit itu dijadikan benteng oleh kami. hal demikian membenarkan kami
menghadapi serangan musuh dari bahagian hadapan sahaja. Akhirnya, kami dapat
menguasai keadaan."
Kini, Abdul Rahman bin Auf mengerti. Dia mengangguk penuh
kekaguman. Demikian juga dengan orang ramai. Mereka yang dulunya menuduh Umar
tidak siuman,kini kembali memuji dan menyanjungi beliau.
Penulis: Zubaidah Abd. Rahman (UKM)