PEMUDA

Sesungguhnya sesuatu fikrah tu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang mempunyai keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan.

Ahlan Ya Ramadhan

Semoga Ramadhan tahun ni menjanjikan taqwa sebagai matlamat kita!

PEMBINA UKM mengucapkan Salam Maal Hijrah. Perubahan bermula dengan diri kita. Ayuh berubah! Jangan bertangguh lagi!

My Gathering kini tiba! Eksklusif untuk muslimah sahaja. Ya, kem yang penuh dengan aktiviti menyeronokkan, hanya kita-kita sahaja! Daftar segera sebelum 11 December 2012!

JOM SERTAI KAMI!

Meneraju arus mahasiswa.

Imam Hasan Al-Banna

Andai Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir rebah, maka akan ku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, tapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku dan bersama membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan tersergam indah.

JOM! USRAH

Usrah memainkan peranan penting untuk membentuk satu individu mengikut acuan islam sebenar. Selain itu, potensi dapat dibangunkan melalui usrah. Ingin sertai usrah? Hubungi Amirul (0136706079).

Friday, 29 March 2013

Di Sebalik Duri Jalanan

Di Sebalik Duri Jalanan



Kenapa ada golongan manusia sanggup bersusah payah melakukan kebaikan padahal perbuatan baik itu acapkali tidak mendapat balasan baik di dunia?

Kadang-kadang terasa ingin menyerah kalah dan tidak sanggup meneruskannya. Adakah kita pernah tertanya bahawa perbuatan kita akan di nilai oleh Allah s.w.t sama ada baik ataupun buruk? Perasaan yang tidak asing lagi bagi insan bernama manusia. Manusia yang sering berbolak balik hatinya. Manusia yang sering kali lupa akan tujuan dia dihidupkan di bumi dan perlu sentiasa di ingatkan.

Apabila iman rapuh, manusia akan mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan saudara Islamnya yang lain. Iman itu sesungguhnya berkadar terus dengan kasih sayang. Apabila iman mantap, pasti persaudaraan dan kasih sayang turut mantap.

Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara” – Al-Hujurat 49:10

Dan dalam menghadapi kehidupan dunia, manusia akan di uji. Ujian datang dengan banyak cara. Ada yang diuji dengan kemiskinan, bala bencana, ketakutan dan juga kekayaan. Setiap yang bernama manusia itu, tidak akan terlepas daripada ujian Allah saat hidup di muka bumi ini.
Cuma ujian bagi setiap insan berbeza dengan insan yang lain. Ada kalanya dalam melakukan perkara kebaikan pun kita akan di uji. Ada kalanya kita ditimpa musibah. Sesungguhnya Allah tidak akan membebani sesuatu kaum itu melainkan mereka mampu menghadapinya.

Bagaimana untuk menghadapi ujian yang datang. Sabar adalah kunci kehidupan yang tenteram. Musibah yang hadir tidak akan menggugat sekelumit iman yang tertanam di dalam hati. Rasulullah s.a.w bersabda:

..Dan apabila dia tertimpa kesusahan, dia sabar, maka yang demikian itu sangat baik baginya.” (Riwayat Muslim)

Seterusnya yakinlah akan ada hari pembalasan kelak dan setiap perbuatan yang dilakukan akan ditimbang. Sesungguhnya jalan menuju ke syurga dipagari dengan kesusahan dan jalan ke neraka dipenuhi dengan kesenangan.

Setiap kebaikan walau sebesar zarah akan mendapat pembalasan. Janji Allah bagi setiap kebaikan ialah pahala dan syurga serta keampunan-Nya pada hari akhirat. Biarlah manusia dan dunia tidak memberi pujian, ganjaran dan penghargaan tetapi Allah pasti akan membalasnya di ‘sana’.

Siti Solehah Bt Azaman
Aktivisme PEMBINA
UKM

Sebuah Pertemuan #Bhg 1


SEBUAH PERTEMUAN



Dari kejauhan, mataku mencari-cari bayangan ‘kak Fatimah’. Langkah terus dihayun ke arah kafe, tempat perjumpaan seperti yang dijanjikan semalam. ‘Kak Fatimah’. Tergelak bila teringat nama itu. Hanya aku yang memanggilnya dengan nama itu tapi tanpa pengetahuannya. Wajahnya seiras senior di sekolahku, sangat seiras dan pertemuan dengannya semalam menjadi sebab mengapa diri ini keluar pagi-pagi menuju ke kafe D yang mengambil masa 10 minit berjalan kaki dari blokku.

*********************************************************************************
“Akak dah nak balik ke?” tanyaku sewaktu terserempak dengan ‘Kak Fatimah’ di lorong wing B. Fasi-fasi sudah mula sibuk untuk pulang setelah hampir seminggu menguruskan minggu orientasi kami. Aku jangka begitu juga ‘kak Fatimah’.
Senyuman berbalas senyuman. “A’ah, akak dah nak balik. Siapa nama ni?”
“Insyirah” jawabku dan “Iman Sofia” jawab rakanku.
“Nama akak siapa?” tanya Iman.
“Nama akak Hidayah. Panggil kak Dayah je,” ujarnya sambil tersenyum.
“Nak nombor telefon Insyirah dan Iman boleh?” tanya kak Fatimah a.k.a kak Hidayah.

*********************************************************************************

“Insyirah!” Ada suara memanggil. Kelihatan seorang perempuan berjaket melambai-lambai tangannya ke arahku.
Ada beberapa orang perempuan selain kak Hidayah di situ dan aku rasa mereka adalah pelajar matrik juga, sama denganku. “Kak Dayah,” aku menyahut panggilannya tadi dan menghulurkan tangan kepadanya. Kami bersalaman.
“Ini kak Nur, Dia yang akan bawa usrah nanti,” ujar kak Hidayah sambil tangan kanannya ditujukan kepada sesusuk tubuh. Senyuman ikhlas kak Nur disambut mesra olehku.

*********************************************************************************

Lagu ‘Open Your Eyes’ tiba-tiba memecah kesunyian. Telefon bimbitku bergetar. Itu tandanya ada yang menelefonku. ‘Siapalah agaknya yang call ni?’ Aku mencapai telefon dan melihat ke skrin telefon. Tertera tulisan ‘Hq-kak Nur’. Cepat-cepat aku menekan butang untuk menjawab panggilan.
“Assalamualaikum Insyirah.” Kudengar nada ceria dihujung sana.
“Waalaikumussalam kak Nur,” jawabku gembira.
“Sobahannur!”
“Alhamdulillah………”
“Eh…”
“…….Sobahul khoir,” balasku.
Ketawanya kedengaran. “Akak ingatkan Insyirah nak jawab Alhamdulillah sihat.”
“Hari ni macam biasa ye ada usrah. Dalam pukul 12.30 nanti akak sampai. Kita makan dulu dan solat zohor berjemaah baru buat usrah ye. Akak dah beritahu yang lain juga. Datang ye,” ujar kak Ummi.

‘Alamak assignment banyak ni. Tutorial pun tak siap lagi. Macam mana ni?’ Hatiku berat untuk pergi kerana banyak kerja yang perlu disiapkan. Tinggal hari ini sahaja, esok sudah mula kelas.

“Ermm.. kak Nur, saya tak dapat pergilah kak.” Rasa serba salah ingin memberitahunya.
“Kenapa? Ada apa-apa hal ke?” tanya kak Ummi.
“Saya nak siapkan assignment. Banyak lagi tak siap.”
“Oh ye ke. Nak kena hantar next week ye? Ok akak janji hari ini kita buat usrah sekejap je. Lepas solat kita buat dalam 1 jam je. Bolehkan Insyirah?” Pertanyaannya mengharapkan aku bersetuju. Hatiku seperti diikat. Dan akhirnya, “Ok kak.”

Bukan sekali sahaja aku pernah berniat untuk tidak datang ke usrah tapi berkali-kali. Memang berat untuk tinggalkan homework yang menimbun. Lagi berat hatiku untuk ke usrah bila waktu peperiksaan semakin hampir. Walaupun niat untuk tidak ke usrah sentiasa ada tapi aku gagahkan juga untuk ke sana. Tak sanggup menolak ajakan kak Nur setiap minggu. Setiap kali datang ke usrah, ayat ini sentiasa diulangnya, ‘Mari kita tajdid niat, sama-sama refresh niat. Antunna datang usrah kerana Allah bukan kerana kasihan pada akak sebab akak datang dari jauh, bukan untuk saja-saja mengisi waktu lapang, bukan atas rasa keterpaksaan.’ Sangat tersentuh dengan ayat itu. Niat perlu sentiasa diperbetulkan.

                                                                                                                       akan bersambung..............

Monday, 11 March 2013

JBH#2-ANTARA AKU DAN 'DIA'



BANGI, 6 Mac – Program Jom Bina Hati kali ini menjemput aktivis PEMBINA, Ustazah Wan Anisah bagi membincangkan tajuk ‘Antara Aku dan Dia’. Beliau menyifatkan ‘aku’ dan ‘dia’ merujuk kepada hubungan antara manusia dengan Pencipta. Manusia sebagai khalifah Allah berperanan untuk mengabdikan diri kepada Allah serta menjalankan segala perintah dan menjauhi laranganNya.

Sebelum beliau mengupas dengan lebih lanjut tajuk ini, hadirin diperkenal kan dengan perkataan aqada yang bermaksud ikatan yang kukuh. Hubungan Pencipta dengan manusia diikat dengan aqidah. Aqidah itu sendiri bermaksud, kepercayaan dan keyakinan yang teguh akan kewujudan Allah S.W.T dan sifat-sifat kesempurnaanNya berdasarkan dalil naqli dan aqli.

“Terdapat empat aspek dalam ilmu aqidah iaitu Ar-Rububiyyah, Al-Uluhiyyah, As-Sam’iyyah dan An-Nubuwwah. Jika tiada salah satu, maka tidak lengkaplah aqidah seseorang.”

Hadirin juga dihidangkan dengan maklumat-maklumat yang dipetik daripada buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam. Bagi menghuraikan perhubungan manusia dengan Allah, beliau mengambil tiga sifat asas yang seharusnya ada pada diri seorang muslim. Antaranya, muslim di sudut aqidah, ibadah dan akhlak.

“Manusia perlu berusaha mengenal nama-nama dan sifat-sifat Allah seperti hadis Rasulullah: Allah mempunyai 99 nama, 100 kurang satu, tidakseorangpun menghafaznya kecuali beliau akan masuk Syurga. Allah itu ganjil dan menyukai perkara yang ganjil.”

“Akhlak perlu ada dalam ibadah supaya ibadah kita tidak akan jadi retorik.”
Maka, sifat-sifat ini harus ada dalam diri setiap muslim supaya penggabungan dirinya ke dalam agama Islam merupakan penggabungan yang sah dan benar. Firman Allah di dalam surah Al-Hajj ayat78 :

“Dia telah menamakan kamu sekalian orang-orang muslimin dari dahulu dan (begitu pula) dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas segenap manusia.”

Sebelum menutup bicara, beliau berkata, “Akhlak adalah method dakwah yang paling berkesan. Sebagai buktinya, ramai sahabat tertarik dengan Islam kerana akhlak Nabi. Sehinggakan Aisyah mengakui akhlaknya Nabi akhlak Al-Quran.”

“Akhlak adalah keinginan manusia, bukan fitrah. Maka, akhlak perlu dibentuk dan dipupuk.”
Program yang diadakan di bilik kuliah 3a506 Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan ini merupakan program mingguan yang mengetengahkan tajuk-tajuk yang menarik berkenaan perubahan ke arah menjadi muslimah yang lebih sempurna.

PEMBINA berharap program ini dapat memberi manfaat rohani kepada siswi khususnya pelajar UKM untuk menongkah arus di zaman serba mencabar ini.


Maisarah binti Mohd Shahrain
Beliawanis PEMBINA UKM

Friday, 8 March 2013

JBH #1-PERLU KE JADI BAIK?



“Jangan pernah takut untuk jadi baik, kerana Allah akan utuskan kepada kita orang yang baik-baik.”

Itu antara kata-kata Pn. Zatil sewaktu program mingguan anjuran PEMBINA UKM ;Jom Bina Hati.

Penyataannya itu menjawab persoalan yang juga tajuk untuk minggu ini iaitu Perlu ke Jadi Baik?
Program yang dikhaskan untuk siswi sahaja ini Berjaya mengumpulkan seramai 60 orang pelajar siswi seluruh UKM.

Puan Zatil menjelaskan lagi, tiada istilah ‘terlewat’ untuk mencari keampunan dari Allah kerana Allah Maha Pengampun.

“Kita mempunyai pilihan dalam kehidupan ini” jelas beliau sambil membacakan makna surah As-Syams

“Maka Dia mengilhamkan kepadanya(jalan) kejahatan dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntung orang yang mensucikan (jiwa)nya. Dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya. (Kaum) Tsamud telah mendustakan (rasulnya) karena mereka melampaui batas(zalim).”

( 91:8-11)

Oleh itu, pilihlah dengan meletakkan iman di hadapan nafsu.
Dalam situasi hari ini, masyarakat melihat seseorang yang berpakaian menurut syariat itu seolah-olah pelik dan dianggap kolot oleh segelintir masyarakat ataupun dikatakan tidak mengikut peredaran zaman. “Pelik” atau istilah Arabnya ghuraba telahdisabdakan oleh Rasulullah saw yang bermaksud

"Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang orang yang asing".

HR Muslim

“Jangan takut menjadi pelik sekiranya pelik kamu itu benar”
Itu antara nasihat PuanZatil kepada kami yang sempat saya rakamkan

Dapat disimpulkan di sini bahawa mereka yang ingin berubah kini berhadapan dengan segelintir masyarakat yang sepertinya mendiskriminasi perubahan individu kearah kebaikan sehinggakan mereka takut untuk berubah. Tetapi, keazaman yang kuat untuk berubah perlu ada supaya kita tidak mudah berpatah semula apabila diuji.

Program yang diadakan di bilik kuliah 3a506 Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan ini merupakan program mingguan yang mengenengahkan tajuk-tajuk yang menarik berkenaan perubahan kearah menjadi muslimah yang lebih sempurna.

PEMBINA berharap lebih program ini dapat memberi manfaat rohani kepada siswi khususnya pelajar UKM untuk menongkah arus di zaman serba mencabar kini.

Maisarah binti Mohd Shahrain,
Beliawanis PEMBINA UKM,

ADAKAH KAU LUPA?


Adakah kau lupa?

Ingatkah kita, bahawa hari ini genap 89 tahun keruntuhan Khilafah Islamiyyah, iaitu Daulah Turki Uthmaniah pada 3 Mac 1924 dulu?

Ingat?

Lupa?

Atau,

“Eh, baru tahu la. Tak terfikir pula ada khalifah dulu. Ingatkan dalam buku teks je.”

Garu kepala.

Bagaimana boleh runtuh?

Alhamdulillah, saya diberi kekuatan oleh Allah untuk mengkaji beberapa faktor bagaimana Khilafah Turki Uthmaniyyah ini boleh runtuh dengan begitu tragis dan sadisnya, walaupun sebelum itu Khilafah ini pernah menjadi mimpi ngeri bagi negara Eropah khususnya kaum Nasrani dan Yahudi.

Banyak faktor yang menyumbang ke arah keruntuhan khilafah, daripada ;

1. Kelemahan kepimpinannya (tanpa saya menafikan bahkan saya kagum dan terinspirasi sumbangan khalifah terakhir Turki Uthmaniah, iaitu Sultan Abdul Hamid II antaranya mengenai isu mempertahankan tanah Palestin)

2. Konspirasi dan perancangan rapi musuh-musuh Allah (antaranya Lawrence Arabia)

3. Pemberontakan dan pengkhianatan dari dalam Turki (gerakan Al-Ittihad wal Taraqqi, gerakan Turki Muda, Mustafa Kamal, dan lain-lain),

4. Penyelewengan fatwa daripada sebahagian ulama’ ketika itu,

5. Pergaduhan dan perpecahan antara umat Islam (Penentangan orang Arab ke atas Khalifah dan lain-lain),

6. Sehinggalah kelemahan akidah dan iman kaum muslimin itu sendiri.


Persoalan di sini, salah siapa?

Musuh-musuh Allah?

Pemerintah?

Ulama’?

Orang Arab?

Orang Turki?

Jawapannya, tak perlu salahkan sesiapa!

Saya yakin dan percaya, 95% orang yang hidup ketika zaman itu sudah meninggal dunia. Bahkan mungkin kesemuanya. Biarlah mereka dengan urusan mereka di hadapan Allah. Tamat sudah kehidupan mereka, maka usah kita sibuk persalahkan mereka walaupun mereka bersalah.

Yang paling penting sekali, tanya pada diri kita,

“Apa aku dah lakukan untuk hidupkan kembali Khilafah Islam?”

Mari mulakan dari sekarang!

Selepas keruntuhan secara rasmi Khilafah Islam ketika itu, maka ramai umat Islam yang memahami Islam menangis tak berirama. Bumi seolah-olah bergegar menangisi keruntuhan Khilafah Islam. Langit seolah-olah menjerit kesedihan.

Di celah-celah kesedihan umat serta tangisan bumi dan langit, muncul seorang Ulama Agung, Syarkib Arsalan menggariskan langkah ;

“Kita wajib memulakan usaha Islam dari bawah; iaitu melalui tarbiyah individu. Apalah gunanya mengadakan muktamar yang menghimpunkan orang-orang yang lemah, tidak mempunyai keinginan sendiri, dan tidak mampu melaksanakan satu keputusan atau resolusi. Apakah faedah berbuat demikian? Adakah kamu mahu mengumpulkan angka-angka kosong?”

Kata-kata ini lahir semasa menjawab beberapa pertanyaan tentang muktamar dan perhimpunan yang diadakan untuk memilih Khalifah yang baru. Tetapi beliau sangat memahami kaedah kebangkitan umat ini.

Kekalahan umat Islam tika dan saat itu bukan saja kalah dari segi pemerintahan dan Khilafah, bahkan lebih teruk dari itu, iaitu kekalahan akidah dan iman kaum Muslimin seluruh dunia!

Ya, walaupun pahit, itulah yang kita alami satu ketika dahulu walaupun Khilafah telah memayungi dunia selama beratus-ratus tahun!

Dan hari ini, genap sudah 89 tahun keruntuhan khalifah. Pelbagai usaha di lakukan demi meninggikan semula kalimah Allah di muka bumi ini, antaranya gerakan Ikhwanul Muslimin, Jamaat Islami, Tabligh, Salafi, Jamaah an Nur dan pelbagai lagi. Masing-masing mempunyai cita-cita yang sama, meninggikan kalimah Allah sehingga hilanglah fitnah ke atas agama Allah ini.

Terjemahan : “Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.”
(Surah al Baqarah 2 : 193)

Jadi apa yang perlu kita lakukan terutama generasi Gen-Y ni?

Mari sama-sama kita menyahut seruan Syeikh Syarkib Arsalan iaitu tarbiyah individu atau dengan erti kata lain, kita islah diri kita menjadi mukmin sejati selaras dengan saranan al Quran dan as Sunnah!

Antaranya ;

1. Menuntut ilmu agama Islam sedalam mungkin dan sefaham yang mungkin bagi memahami kehendak Allah dan Rasul-Nya terhadap umat Islam.

2. Menguasai sebaik mungkin bidang yang kita ada samada bidang sains, sastera, komputer, atau lain-lain, dan kemudian salurkan ke semua kemahiran kita untuk kebangkitan Islam.

3. Mengamalkan setiap ilmu yang dipelajari sama ada secara bersendiri mahupun berkumpulan (berjemaah). Hindarkan dari mencerca amalan orang lain (selagi mana tidak bercanggah dengan syara’)

4. Memahami agenda dan jenis serangan musuh-musuh Islam seperti Humanisme, Sekularisme, Liberalisme, Hedonisme, dan lain-lain.

5. Menjadi agen penerangan kepada orang ramai tentang bahaya ancaman-ancaman musuh-musuh Islam dan ideologi sesat, serta menyeru kaum Muslimin agar kembali mengamalkan Islam yang syumul selaras dengan al Quran dan as Sunnah (dakwah dan tarbiyyah).

6. Menjadi agen penyatu atau pendamai sekiranya terdapat sahabat-sahabat kita yang Muslim ataupun kaum muslimin bergaduh dan berselisih. Sahutlah seruan Allah dalam al Quran,

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

                                                                                                                                (Al Hujurat,49:10)

7. Mengambil berat isu-isu semasa terutama berkaitan umat Islam seperti di Palestin, Syria, Mali, dan sebagainya.

8. Tunjukkan akhlak Islamiyah seperti mana yang di tunjukkan oleh Rasulullah saw tidak kira dalam apa jua situasi samaada sedang berdebat, bermuamalat, dan sebagainya.

9. Dan terakhir sekali (sebenarnya bukan akhir sekali), sentiasa istiqomah dalam beramal dan sentiasa bersama kumpulan atau gerakan yang memperjuangkan Islam.


Sebenarnya banyak lagi langkah yang boleh dilakukan, cuma ini antara cadangan saya kepada diri saya dan orang lain. Usah kita keluarkan pelbagai langkah dan solusi, tetapi satu perkara pun kita tidak lakukan.

Jadi bila kita hendak lakukannya?

Lakukan sekarang!



سيروا على بركة الله
Seeru ala barakatillah!

Moga amal diterima Allah.


Ahmad Shukeri Bin Azizan
PRESIDEN PEMBINA UKM

Tuesday, 18 December 2012

SUDUT PANDANG BARU MAHASISWA


Sebelum ini mahasiswa sentiasa dikaitkan isu kelesuan beraktivisme. Kini mahasiswa telah berubah 180 darjah dengan bertindak secara agresif pada tempatnya. Penyakit kelesuan mahasiswa perlu ditangani dengan sebetulnya kerana mahasiswa adalah pelapis pimpinan negara pada masa hadapan. Jika tersalah cara mengajarnya akan melahirkan bakal pemimpin yang tidak berkredibiliti, tidak amanah, tidak dapat tangani masalah, tidak amanah dan pelbagai lagi ciri yang tidak sepatutnya ada. Punca berlakunya perkara sedemikian berpunca kerana tersalah sudut dan kesempitan sudut pandang mahasiswa yang hanya terikat kepada pegangan 3K iaitu kafe, kuliah, katil. Ciri-ciri ini melahirkan mahasiswa yang langsung tidak nampak nilainya pada mata masyarakat.

Di sini dinyatakan beberapa sudut pandang baru yang seharusnya ada dalam diri setiap yang bergelar mahasiswa.

Mahasiswa adalah pemimpin pada hari ini

Mahasiswa sering dikaitkan sebagai pemimpin pada masa hadapan. Namun satu sudut pandang baru yang lebih tepat adalah mahasiswa juga adalah pemimpin pada hari ini yang mana untuk memimpin generasi intelektual sebaya dengan mereka. Sifat kepemimpinan perlu dilatih sejak dari awal lagi bukan menunggu hari esok, nescaya akan terlewat lah untuk melahirkan pemimpin yang berkualiti. Sabda Rasulullah s.a.w ,“ Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan ditanya tentang apa yang telah mereka lakukan.” Pengaruh mahasiswa sebagai golongan intelektual yang tidak bersifat individualistik harus digunakan sebaik mungkin untuk memimpin masyarakat kembali kepada kefahaman Islam yang sebenar di samping mahasiswa sendiri mesti mempunyai kefahaman Islam yang jelas terlebih dahulu.

Mahasiswa perlu membina kesarjanaan

Kekuatan ilmu merupakan faktor yang penting dalam menjana pembangunan negara. Oleh itu, mahasiswa sebagai rakan pembangunan negara perlu membina kesarjanaan dalam diri mereka. Kesarjanaan yang dimaksudkan ialah kemampuan mahasiswa bersaing berbekalkan ilmu untuk menampung keperluan negara pada masa akan datang. Mahasiswa harus menguasai pelagai bidang ilmu bukan sekadar satu sudut sahaja. Ini tidak bermakna peranan mahasiswa dalam memimpin masyarakat disisihkan tetapi harus diselarikan.

Mahasiswa pencorak kerajaan akan datang

Bangsa belia pada zaman kini semakin agresif dan berani. Inilah yang sepatutnya ada dalam diri setiap orang mahasiswa iaitu berani menyuarakan pendapat mereka dalam setiap perkara yang dilakukan dan ingin dilakukan oleh pihak kerajaan. Ini bertepatan kerana mahasiswa adalah bangsa intelektual yang tiada kepentingan politik dan sudah pastinya di bahu merekalah pemerintahan akan dipikul pada masa akan datang.

Gerakan mahasiswa perlu bersifat dinamik

Ada pepatah menyebut bahawa “mahasiswa adalah anak kepada masyarakat, dan setiap anak harus memberi manfaat kepada ibu bapanya (masyarakat).” Tenaga mahasiswa tidak seharusnya hanya berkisar tentang isu dalam universiti sahaja, tetapi perlu diperbanyakkan program-program yang mendekatkan mahasiswa dengan masyarakat supaya membentuk satu ikatan keprihatinan. Program kemasyarakatan yang dimaksudkan tidaklah cukup dengan khidmat sosial sahaja bahkan lebih dari itu. Mahasiswa perlu terlibat melampaui sudut politik, ekonomi, sahsiah dan pelbagai lagi. Antara contohnya ialah membantu masyarakat memahami Islam dengan lebih baik bukan dari sudut akhirat semata-mata tetapi meliputi dunia sekali.

Mahasiswa Islam mesti berpegang pada jati diri Islam sejati

Perkara yang paling penting bagi setiap orang Islam ialah mereka mesti menyedari bahawa mereka adalah seorang Islam dan wajib mentaati perintah Allah. Merujuk pada zaman sekarang, perkara sebaliknya yang berlaku. Didapati bahawa masalah sosial tidak pernah surut dalam masyarakat dan terus melenyapkan sifat akhlak mulia dalam diri pemuda-pemudi. Seluruh umat Islam tidak harus sekadar menyedarinya tetapi perlu membuat perubahan dalam masyarakat agar setiap umat Islam dapat mengembalikan jati diri Islam yang sejati. Tanpa ingin menunding jari, mahasiswa juga berperanan dalam perkara ini dan perlu juga membangunkan Islam dalam diri mereka terlebih dulu. Hassan Hudaibi pernah berkata, “ Tegakkan Islam dalam diri kamu, nescaya Islam akan tertegak dalam Negara kamu.”

Disunting dari kertas kerja himmah 2012

Amirul Hakimi
Pelajar Tahun 2 Sains Bahan
Fakulti Sains dan Teknologi 

Saturday, 15 December 2012

'Feed with Deen' Ajak Mahasiswa Kuatkan Iman Kepada Hari Akhirat


BANGI – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengajak mahasiswa bersama-sama meningkatkan iman dengan hari akhirat melalui penganjuran kuliah maghrib yang dikenali 'FEED WITH DEEN' di sini.
Kuliah yang mengupas isi kandungan Surah An-Naba’ telah diadakan pada Isnin lalu dan telah disampaikan oleh aktivis ISMA Daerah Hulu Langat, Ustaz Mohd Firdaus Salleh Hudin.
Kuliah yang dijadualkan berjalan 2 minggu sekali ini telah diadakan di Surau Kolej Pendeta Za’ba UKM dan telah dihadiri oleh mahasiswa dan mahasiswi UKM.
Ustaz Mohd Firdaus yang juga graduan Fakulti Usuluddin Universiti Al-Azhar, Mesir telah menceritakan perihal hari akhirat dan balasan bagi golongan beriman dan orang kafir yang terdapat dalam Surah An-Naba’ berpandukan tafsiran yang dibuat oleh Sayyid Qutb dalam kitabnya Fi Zilal Quran.
Kuliah maghrib ini juga berjaya memperkenalkan PEMBINA UKM kepada mahasiswa yang hadir.

Usrah Mega Bukan Sekadar Usrah Biasa



BANGI – PEMBINA UKM telah mengadakan satu aktiviti kerohanian bersifat santai yang dikenali sebagai ‘Usrah Mega’. Kehadiran mahasiswa-mahasiwa dari pelbagai fakulti dalam usrah ini menunjukkan usrah masih relevan di kampus dan sangat diperlukan oleh mahasiswa sebagai sumber motivasi untuk memperbaiki jati diri dan meningkatkan kualiti hidup sebagai seorang mahasiswa muslim.

‘Usrah Mega’ ini menampilkan saudara Mohamed Nor Sazalim, seorang akauntan di MARA Kuala Lumpur untuk menyampaikan tazkirahnya yang bertajuk ‘Pengaruh & Kepimpinan’. Beliau telah menerangkan bahawa pentingnya mahasiswa mempunyai pengaruh dan sifat kepimpinan dalam diri sendiri untuk membentuk jati diri yang kukuh berdasarkan nilai-nilai islami supaya tidak terpengaruh dengan budaya dan aliran pemikiran negative seperti hedonisme, sekularisme, liberalisme, pluralisme, syiah dan lain-lain.

Ia selari dengan karakter Rasulullah S.A.W yang diletakkan oleh Michael H. Hart dalam bukunya berjudul ‘The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History’ sebagai pemimpin paling berpengaruh di dunia. Secara tidak langsung, ‘Usrah Mega’ mengajak mahasiswa mencontohi akhlak dan kepimpinan Rasulullah S.A.W serta menjadikan baginda sebagai ikon terunggul untuk menjadi orang yang berpengaruh dalam komuniti masing-masing.

Sepanjang usrah ini dijalankan, mahasiswa diajukan beberapa soalan dan diberikan 2 biji gula-gula sebagai hadiah bagi jawapan yang betul. Ini bertujuan bagi mengelakkan mahasiswa tertekan atau bosan serta merasa terhibur dengan tazkirah yang disampaikan.

Thursday, 13 December 2012

Muslihat Liberalisasi Terbongkar!




BANGI - Sejak kebelakangan ini, terdapat pelbagai usaha dan cubaan oleh sesetengah individu dan NGO pro-liberal yang dilihat semakin rancak mempromosi ideologi liberalisme secara terbuka kepada masyarakat Islam di Malaysia terutamanya golongan belia.

Atas sikap peduli ummah, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Cawangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengadakan suatu majlis ceramah “Liberalisme: Ancaman Kesejahteraan Ummah” bertempat di Surau Kolej Pendeta Za’ba, UKM. Ceramah ini bertujuan membongkarkan apa itu liberalism dan bahayanya pada aqidah umat Islam.

Dalam majlis ceramah ini, penceramah iaitu saudara MuhamadAiman Bin Ahmad Fauzi yang juga merupakan AJK Informasi PEMBINA, telah membongkarkan muslihat di sebalik ideologi liberalism. Menurut saudara Aiman, ciri-ciri puak liberal ialah menolak hadis, menggalakkan konsep kebebasan, membangkitkan isu hak asasi melebihi hukum agama dan menolak konsep jihad.

Secara keseluruhannya, ceramah ini dapat memberi kesedaran kepada mahasiswa dan mahasiswi yang hadir supaya tidak terpedaya dengan muslihat liberalisme. Secara tidak langsung, ceramah ini juga dapat memperkenalkan PEMBINA di rantau UKM.

Tuesday, 11 December 2012

Takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd Asyraf Aminuddin




PEMBINA Cawangan Bangi turut merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd Asyraf Aminuddin yang telah terlibat dalam satu kemalangan di simpang empat menuju ke Fakulti Agrobio, UPM pada pagi tadi (10.12.12). Beliau merupakan pelajar tahun 2, Fakulti Pertanian di UPM dan adalah salah seorang ahli PEMBINA yang berdaftar di bawah Cawangan Bangi.
Beliau telah meletakkan azam yang tinggi untuk berbakti kepada keluarga, agama serta  masyarakat semasa mendaftarkan diri menjadi ahli PEMBINA. Kata-kata beliau yang telah dirakamkan semasa mendaftar menjadi ahli PEMBINA “Saya ingin menjadi ahli pembina kerana : Allah s.wt ( ingin membina dan membetulkan diri seterusnya keluarga dan saudara-saudara Islam yang lain dalam hal-hal agama).” Semoga terus menjadi semangat kepada kita semua.
Sesungguhnya daripada Allah kita datang, kepada Dia jualah kita kembali.
Innalillahiwainnailaihirrajiun.
Al- Fatihah.

SUMBER: PEMBINA BANGI

Monday, 10 December 2012

'Makan Angin' bersama di Sungai Sendat




ULU YAM - PEMBINA UKM telah berjaya menganjurkan satu aktiviti santai iaitu ‘Makan Angin‘ atau dikenali juga sebagai jaulah. Jaulah ini hanya melibatkan peserta lelaki sahaja.

Kali ini, PEMBINA UKM membawa ke satu tempat yang menarik iaitu Hutan Lipur Sungai Sendat Ulu Yam Selangor. Objektif jaulah kali ini ialah untuk merapatkan hubungan antara ahli PEMBINA Cawangan UKM dan juga peserta yang hadir. Para peserta yang menyertai jaulah kali ini melibatkan pelajar asasi sains pintar, pelajar ijazah dan juga pelajar sarjana.

Selain itu, jaulah ini juga adalah adalah saranan daripada Saidina Umar r.a. yang mana kita tidak akan mengenali seseorang itu selagi kita belum pernah bermusafir dengannya.

Tuntutan hak dari segi fizikal dan minda para peserta telah diberikan dengan kepuasan bermandi sungai dan air terjun. Namun begitu, hak bagi hati setiap orang Islam tidak pernah diabaikan. Seusai puas bermandi dan sebelum bersiap untuk pulang, peserta mengerjakan dahulu solat sunat dhuha tanda sujud ingatan dan patuh seorang hamba kepada Maha Agung. Tidak pernah lupa untuk mengabdikan diri walau di mana berada. Selain itu, sedikit tazkirah bertajuk “Hati orang yang beriman” telah disampaikan oleh Muhammad Danial, seorang usahawan dan juga aktivis PEMBINA.

Sekali lagi syukur dipanjatkan ke hadrat Allah Taala dengan penganjuran jaulah kali ini berjaya mencapai objektif program dan semua peserta pulang dengan keadaan selamat dan gembira walaupun kepenatan.

Saturday, 8 December 2012

PEMBINA Sepakat Tolak Liberalisme!



Mungkin ramai yang apabila ditanya apa itu liberalisme,mereka tidak mampu menghuraikannya dengan baik malah ada juga yang mungkin pertama kali mendengar perkataan liberalisme. Oleh sebab itu,tidak hairanlah jika generasi pada hari ini ada yang makin jauh kehidupannya dengan Pencipta. Mereka tidak sedar bahawa fahaman ini kian menular hebat tanpa mereka mengetahuinya dan sebab itulah kita perlu mengetahui dengan lebih teliti apa itu liberalisme.

Liberalisme adalah satu fahaman yang bertunjangkan hak kebebasan individu dengan mengenepikan pandangan agama. Fahaman ini menekankan hak peribadi serta kesamarataan peluang. Fahaman ini datangnya daripada barat dengan mementingkan suara sendiri tanpa berpandukan apa-apa sumber. Sebagai seorang individu yang beragama, kita harus memandang berat perkara ini kerana hidup muslim yang bertaqwa adalah hidup berpandukan al-quran dan as-sunnah. Gaya hidup dan cara fikir fahaman ini secara keseluruhannya harus ditolak oleh kita yang mengaku sebagai Islam.Fahaman ini dibawa oleh mereka iaitu pendokong dan penganut Islam Liberal yang menjadikan ideologi liberalisme sebagai pegangan mereka dan mula menyampaikan ideologi-ideologi kufur yang bertuhankan selain Allah dengan menempelkan ideologi-ideologi ini pada Islam. Mereka hanya mengunakan Islam itu untuk mengaburi mata-mata kita sedangkan mereka mempunyai misi yang lebih besar dari itu iaitu agenda Kristianisasi yang sangat halus. Kristianisasi ini bukanlah semata-mata mengkristiankan orang Islam, tetapi sudah cukup dengan mengeluarkan orang Islam daripada pegangan mereka yang asal.

Ekoran daripada fahaman ini, pelbagai masalah akidah makin berlaku di kalangan orang Islam. Sebagai contoh,isu kedatangan Irsyad Manji ke Malaysia untuk mempromosikan buku tulisannya yang bertajuk “Allah,Liberty and Love”. Irsyad ManjI secara terang-terangan berani menyatakan suaranya mengenai kebebasan dalam hubungan LGBT iaitu Lesbian, Gay, Bisexual and Transgender. Berikut adalah satu bukti kuat bahawa agenda barat sudah berani masuk ke Malaysia dan sedang berusaha meneruskan rencana mengelirukan pemikiran orang Islam.

Puak-puak ini secara mudahnya mengambil potongan ayat al-quran dan menterjemahkan dengan mengikut kehendak dan kemahuan sendiri. Mereka memutar-belitkan tafsiran ayat-ayat al-quran sehingga ada yang terpengaruh dengan pemikiran mereka. Contoh pertama,konsep “Islam Moderate” telah diperkenalkan oleh puak-puak tersebut dengan mengambil potongan ayat daripada surah al-Baqarah iaitu ayat ke 143 yang ada menyebut perihal “umat pertengahan”. Jika diteliti dengan dalam,ayat ini bukanlah seperti yang mereka tafsirkan namun tujuan mereka menyalah tafsirkan cuma satu iaitu mahu menyiramkan ideologi yang salah itu kepada kita. Kesannya,jika kita tidak mahu keluar dari kepompong sendiri dengan hanya duduk belajar ilmu dunia untuk peperiksaan, kita bakal terpengaruh. Ya,kita perlu berubah mulai sekarang dengan mulai cakna isu dunia, isu dunia Islam.

Ayuh anak muda! Kita perlu buka mata. Islam itu agama yang sangat luas pengertiannya bahkan besar nikmatnya. Di celah-celah itu, Allah memudahkan beberapa perkara supaya kita tidak terasa berat untuk memikulnya. Namun, setelah itu bersyukurlah atas segala-galanya. Jangan sampai Allah tarik semula nikmat itu barulah kita mahu buka mata. Mungkin isu Liberalisme ini dianggap isu yang agak berat untuk dihadam namun jika isu itu mampu mengugat keimanan, langkah pencegahan perlu dilaksana. Ayuh anak muda! Mula bergerak sekarang,perlahan-lahan tetapi konsisten.

Munirah binti Ismail
Sains Sekitaran
Aktivis Pembina UKM

poster promo ikhwah
picture hosting