PEMUDA

Sesungguhnya sesuatu fikrah tu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang mempunyai keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan.

Ahlan Ya Ramadhan

Semoga Ramadhan tahun ni menjanjikan taqwa sebagai matlamat kita!

PEMBINA UKM mengucapkan Salam Maal Hijrah. Perubahan bermula dengan diri kita. Ayuh berubah! Jangan bertangguh lagi!

My Gathering kini tiba! Eksklusif untuk muslimah sahaja. Ya, kem yang penuh dengan aktiviti menyeronokkan, hanya kita-kita sahaja! Daftar segera sebelum 11 December 2012!

JOM SERTAI KAMI!

Meneraju arus mahasiswa.

Imam Hasan Al-Banna

Andai Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir rebah, maka akan ku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, tapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku dan bersama membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan tersergam indah.

JOM! USRAH

Usrah memainkan peranan penting untuk membentuk satu individu mengikut acuan islam sebenar. Selain itu, potensi dapat dibangunkan melalui usrah. Ingin sertai usrah? Hubungi Amirul (0136706079).

Monday, 24 March 2014

ANTARA DUA DARJAT: MANUSIA DAN HAIWAN


  Tengah hari itu berjerebu. Ramai yang duduk mengirim pesanan minuman sejuk daripada  pelayan restoran. Karim dan Abu tidak ketinggalan mengirim milo ais dan teh ais. Setelah melabuhkan punggung, Abu ternampak seorang dari kalangan pelanggan restoran yang makan di situ memberi sisa kepala ikan kepada kucing-kucing yang berkeliaran sekitar restoran tersebut.

Abu mula bersuara, “Mesti seronok kan jadi macam kucing? Hari-hari boleh meminta-minta makanan, makanan percuma, hidup bebas tanpa hutang PTPTN, pastu bila besar mengawan, dapat anak,besarkan anak. Kemudian boleh tidur kat mana-mana, dan ulang semula kitaran hidup sampai mati.”

Karim yang masih berpeluh itu membalas, “tu ah, seronok. Hidup happy go lucky  hari-hari. Hidup aman tanpa perang. Tapi kau kena ingat Abu, Allah menciptakan manusia lebih mulia daripada haiwan.”

“Tapi kenapa lebih mulia? Bukankah kedua-duanya makhluk ciptaan Allah?” Balas Abu. “Kerana kita dikurniakan akal, sungguhpun haiwan mempunyai naluri, tetapi tidak boleh mengatasi akal manusia. Meskipun kedua-duanya diberi nafsu oleh Allah, manusia mempunyai akal untuk memandu nafsu ke arah jalan yang diredhai Allah.” Jelas Karim dengan nada yang penuh lemah lembut.

“Teh ais satu, milo ais satu siap.” Pelayan itu memberi minuman kepada mereka. “Terima kasih bang,” Serentak Abu dan Karim membalas.

“Oooo, maknanya kalau kita megikut hawa nafsu, kita lebih rendah daripada haiwan. Tak gitu?” Dengan nada seakan-akan memahami Abu berkata.

“Ya, tentu sekali.” Karim menyambung, “Seperti dalam Surah Al-Furqan ayat 43-44, maksudnya:

Terangkanlah kepadaKu tentang orang-orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya, maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya. Atau apakah kamu mengira bahawa kebanyakan mereka itu mendengar dan memahami, mereka itu tidak lain hanyalah seperti binatang ternak bahkan mereka lebih sesat jalannya dari binatang ternak itu.                 (Al-Furqan,25:43-44)

Kita akan jadi lebih hina sama seperti haiwan ternak atau lebih lagi. Sebab asyik menurut nafsu makan,tidur,seksual dan sebagainya.”

“Tetapi sekiranya kita beriman, darjat kita lebih tinggi daripada malaikat. Kerana malaikat tidak mempunyai nafsu. Peperangan melawan hawa nafsu ini peperangan yang lebih besar dan berterusan, kita seharusnya sentiasa bermujahadah untuk melawan hawa nafsu,” Sambung Karim panjang.


Abu kini memahami bahawa akal manusia lah yang meninggikan darjat manusia melebihi haiwan. Memandangkan dia teringat teori Charles Darwin yang mengatakan manusia berevolusi dari binatang yang lebih rendah tahapnya dalam carta “phylogeny of  life” , dia mula bersuara, “Kalau macam Charles Darwin tu, kan dia berkata-kata menggunakan akal, apa lebihnya kita sebagai orang islam berbanding dia?”

“Oh, lebihnya kita sebagai orang islam adalah kita dikurniakan wahyu dari Allah s.w.t. Banyak ahli sains dari zaman gelap Eropah meninggalkan agama mereka kerana isi kitab mereka telah banyak diselewengkan oleh paderi-paderi mereka. Sedangkan Al-Qur’an yang menjadi pegangan kita ini telah dijanjikan Allah akan kekal sehingga hari kiamat, dan Al-Qur’an tidak mungkin bercanggah dengan hukum-hukum alam. Mana mungkin Kalamullah bercanggah dengan Pencipta sendiri kepada hukum-hukum alam ini? Justeru itu orang yang hanya menggunakan akal sahaja akan sesat, dan yang menurut wahyu Allah akan terpandu ke jalan lurus, walau mereka boleh maju dari segi ilmu dunia,” Karim membalas.

“Tapi,” Abu tertanya-tanya, “Bukankah umat islam yang ada Al-Qur’an di tangan mereka sepatutnya lebih maju berbanding orang barat?”

“Itulah peranan kita sekarang ini, kita kan belajar dalam bidang sains di universiti, kitalah yang akan menaikkan semula sarjana islam dalam bidang sains dan teknologi. Sekarang umat Islam mundur akibat penjajahan pemikiran dari barat, dan  masalah umat  islam sendiri yang tidak menyahut arahan Allah s.w.t. dalam surah Al-‘Alaq ayat satu hingga lima, yakni membaca dan menulis. Sesungguhnya kita masih kurang membaca dan menulis.”

Abu yang hanya mengangguk dari tadi kini semakin faham akan nilai akal dan wahyu yang diberi oleh Allah terhadap manusia. Milo ais yang disedut tadi semakin kurang isipadunya. 

“Weh, dah lambat ni, jom gerak.” Bicara Karim kepada Abu yang sedang asyik menggigit ais. “Aah, wokeh, wokeh.” balas abu dengan mulut penuh dengan ais.

“Mana kau belajar semua yang kau cerita kat aku tadi?” tanya Abu ketika memakai helmet.
“Kat Usrah.” Karim membalas ringkas
“Siapa anjur?”
“PEMBINA”
“Nanti aku follow eh.”
“Ikut  je laa.”
“Insya Allah.”


Najmuddin Bin Mohd Faudzir
Ketua Media PEMBINA UKM
Zoologi/1 UKM

TARBIYAH INI MENGAJARKU


Sebelum aku memasuki alam universiti, aku sudah membayangkan ujian yang bakal aku hadapi kelak. Ujian akan hadir dalam berbagai bentuk, di mana aku sendiri pun tidak tahu. Aku tidaklah terlalu baik kerana aku juga mudah terpengaruh. Namun, itu bukanlah penghalang aku untuk menjejakkan kaki ke alam universiti. Oleh itu, aku perlu hadapinya. Selepas sahaja menamatkan alam pembelajaran di matrikulasi, aku bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh di alam universiti nanti. Dekan, itulah matlamat terbesarku.

Minggu orientasi adalah minggu yang sangat memenatkan. Pelajar-pelajar perlu bangun seawal jam 3.00 pagi. Bukan untuk qiamullail, tetapi adalah untuk perjumpaan rasmi bersama senior, berlatih cheers dan sebagainya. Ku turuti minggu orientasi dengan hati yang separuh. Tetapi aku bahagia, kerana taraf aku sudah bertukar dari seorang pelajar sekolah kepada mahasiswa harapan Negara. (Sambil kepala mendongak ke langit)

Pada suatu hari, aku menghadapi kesukaran untuk mendaftar kursus. Biasalah, pelajar baru. Resah tak keruan. Hati ini merasakan kalau aku tidak dapat mendaftar kursus ini, aku tak boleh nak belajar dah. Tanya kawan, hampa kerana dia juga tidak tahu. Orang paling dekat untuk aku tuju bantuan ialah kakak ipar aku, kak Siti  yang bekerja sebagai pegawai pentadbir di UNIMAS. Dengan harapan dia tahu bagaimana hendak menyelesaikan masalahku. Namun, tanggapanku meleset apabila sistem yang dijalankan di UKM adalah berlainan dengan UNIMAS. Namun, dengan rasa tanggungjawab, dia cuba hubungi seorang rakannya di UKM untuk membantuku.

Asbab hidayah Allah

Keesokan harinya, aku menerima mesej dari seorang insan yang tak ku kenali. Kak Eton? Respon ku yang pertama, apa agaknya nama penuhnya. Zaiton? Haha. Aku tergelak sendiri. Ada juga nama orang macam ni pada zaman sekarang. Ah, abaikan! Apa yang penting pada saat ini ialah, aku boleh minta bantuan dia. Dengan takdir Allah, nasib baik kak Zaiton ni sanggup tolong aku. Bertubi-tubi soalan aku tanya padanya. Akhirnya, aku berjaya selesaikan masalah ‘negara’ yang aku hadapi. Senang sahaja rupanya, buat malu je.

Hari demi hari berlalu, aku melalui hari perkuliahan macam biasa. Pergi kelas dengan sahabat baikku, Ain. Tiba-tiba kak Zaiton mesej bertanya khabar. Rupa-rupanya dia nak ‘offer’ nota Fizik dari kawannya. Pelajar baru, kan. Tapi aku dah dapat agak taktik dia nak ajak aku join usrah. Takkan terpedaya (sambil tangan bersilang ‘x’).

Usrah. Bukan perkara asing bagi aku. Abang aku pun ikut usrah. Begitu juga kakak ipar ku. Malah mereka berkahwin pun atas jalan tarbiyah. Bagi aku, usrah itu poyo. Aku tak nak join usrah, sebab nanti kena pakai tudung labuh. Tak dapat aku bayangkan yang aku  bertudung labuh. Macam ustazah masa sekolah dulu. Susah nak buat kerja. Kena bajet-bajet baik macam tu. Aku baru sahaja beli tudung. Tudung Syria yang sangat popular saat itu, ada dua lapis. Dah masuk universiti, kena berfesyen sikit.

Kami pun berjumpa di perpustakaan untuk dapatkan nota Fizik yang dijanjikan. Dengan beradab (dah bagi nota), kami pun berborak sementara kak Zaiton menunggu kawannya, kak Asfa yang menumpang motor dia. Nilai persahabatan yang dapat kurasai.  Aku mulakan perbualan dengan berterus terang.

“Saya tak mahu join usrah tau, hehe”, dengan selamba aku memulakan perbualan.
Kak Zaiton pun terkejut  sebab dia tak cakap apa-apa pun. “Biasa ke dengar perkataan usrah?”
“Ye, abang saya ikut usrah. Akak mesti nak ajak saya ikut usrah, kan?”, saja meneka.
“Tak lah”, jawabnya, dengan muka ‘blur’. Oh ok, malunya aku.


Kami pun berbual-bual sehingga masuk waktu Zohor. Aku pun meminta izin untuk pulang. Satu fakta yang aku dapat pada hari tersebut ialah nama sebenar kak Eton ialah Halimatun Saadiah, bukan kak Zaiton. Lega, sedap sikit namanya.
“Nak solat sama?”, pelawanya.
“Tak pelah,kawan saya tengah tunggu”, fuh! nasib baik ada alasan.

Pengalaman pertama yang indah   
       
Sejak hari itu, kami semakin akrab. Kak Eton selalu menziarahi ku di bilik, kami solat sama-sama, qiamullial sama-sama, baca al-quran sama-sama, baca mathurat sama-sama. Tanpa mengajak aku ke usrah. Pelik! Pada suatu hari, aku bertanyakan tentang usrah.

“Seronok ke usrah? Semua tudung labuh tak?”, tanyaku menantikan jawapan, dengan muka sedikit poyo.
“Cuba lah datang sekali, baru boleh rasa,” hek?
“Bila?” Tanya aku dengan malu-malu.
“Esok jam 6.00 petang di surau Burhanuddin Helmi.

Pengalaman pertama aku menghadiri usrah ini adalah kali pertama aku merasai sesuatu yang aku sendiri pun tidak tahu apakah perasaan itu. Kalau nak rasa, kena lah join usrah. Taklah semua orang tudung labuh. Hal ini membuat aku lebih selesa. Walaupun hanya tiga orang, tapi aku dah rasa riuhnya dengan kehadiran Kak Tirah yang agak peramah.

Aku ingat itu adalah kali terakhir aku pergi usrah tapi rupanya  ia merupakan tapak permulaan aku ke alam tarbiyah. Aku mula berjinak-jinak dengan usrah sejak pertama kali aku join usrah lagi. Tak sabar untuk bertemu dengan usrah seterusnya.

Itulah titik permulaan aku  berubah. Sedikit demi sedikit. Join usrah, lazimi bacaan al-Quran, lazimi mathurat, ada jadual mutabaah, sedaya-upaya bangun malam untuk berqiamullail. Satu perkara “unsangkarable”, aku mula bertudung labuh. Nikmat apa yang Kau beri ini ya, Allah. Jelas! Tujuan aku dihidupkan dan apa yang harus aku lakukan adalah, menjadi khalifah dan beribadah kepada Allah. Apa yang harus dilakukan? Ya, sedarkan yang lain. Tarbiyah ini mengajarku. Benarlah, bila kita inginkan kebaikan, Allah akan hantar sahabat yang akan bantu kita menujuNya.

Inilah aku!

Dua tahun berlalu. Kini, aku merupakan salah seorang aktivis PEMBINA, sayap belia bagi ISMA. Dengan berbekalkan niat kerana Allah dan kefahaman yang jelas terhadap penggabunganku dalam jemaah membuatkanku lebih yakin dan bersemangat. Kenapa PEMBINA? Kerana PEMBINA mempunyai fikrah yang jelas dalam mentarbiyah belia dan  membangun jati diri muslim. Matlamat ku kini telah berubah. Aku mula mengajak rakan-rakan ku ke arah kebaikan dan membangun umat bersama (ila mardhotillah). Matlamat yang ingin ku capai dalam pelajaran pula telah berubah daripada meraih dekan kepada dekan untuk ummah. Jalan ini memang payah tapi akan ku tempuh jua kerana tarbiyah ini mengajarku tentang Islam sebenarnya.

Wallahu’alam

Petunjuk:
Unsangkarable= perkara yang tak disangka-sangka

Siti Asyuhra bt. Abdul Rahman
Biro Pembangunan Sumber Manusia
PEMBINA UKM


Thursday, 27 February 2014

Anugerah Dekan: Satu Tuntutan Bagi Mahasiswa Islam


BANGI, 26 Feb – “Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya, jadi kita harus berusaha bersungguh-sungguh dan menjadi hebat dalam segenap aspek.”

Ulas Dr. Muhammad Faysal Bin Tajurudin di dalam Usrah Umum bertajuk ‘Kalau Aku Dekan’ yang berlangsung di Kolej Tun Hussein Onn (KTHO), UKM selepas solat maghrib berjemaah.

Beliau yang merupakan lulusan Sarjana Muda Perubatan di Mesir dan juga aktivis ISMA turut berkata, “Cara kita dalam membalas jasa Rasulullah selain mengamalkan sunnahnya, adalah dengan berjuang sehingga termasuk dalam golongan umat yang terbaik, serta menjadi contoh kepada masyarakat.”

“Rahsia paling penting dalam berjaya adalah hubungan kita dengan Allah.”

“Semakin kuat hubungan kita dengan Allah, semakin bertambah kekuatan untuk belajar dan kita perlu rasa, Allahlah yang memegang kejayaan, sebaliknya usaha hanyalah asbab sahaja kerana jika Dia tidak mengizinkan, kita tidak akan berjaya.”

“Barangsiapa menuju ke jalan untuk mencari ilmu, Allah akan memudahkan jalannya ke syurga”, tambah beliau lagi.

Walaubagaimanapun, indikator kedekanan itu bukan hanya terletak kepada cemerlang belajar sahaja, malah seseorang itu harus cemerlang dari aspek rohani, jasmani, emosi dan akhlak.

Beliau turut berkata lagi, untuk cemerlang seseorang itu perlu bergaul dengan masyarakat atau lebih baik, menjadi pemimpin dalam satu-satu persatuan supaya kita mampu mempengaruhi masyarakat. Di saat itulah seseorang itu layak mendapat anugerah dekan.

Beliau juga sempat menyuntik semangat hadirin, supaya pemuda bangkit dari kegelapan dan lahirkan pemuda yang mempunyai ciri-ciri Islam yang soleh, berjiwa besar dan bercita-cita tinggi.


Wartawan PEMBINA UKM

Mahasiswa Perlu Sedar, COMANGO Bukan Isu Politik


BANGI, 21 Feb – “Hak Asasi Manusia (HAM) menurut Islam sangat jauh berbeza dengan Barat iaitu seperti yang dituntut COMANGO.”

Demikian kata aktivis PEMBINA UKM, Hanafi B. Muidnudin selaku panel ketiga dalam Forum ‘COMANGO Pengkhianat Negara’ yang berlangsung di Dataran Panggung Seni, UKM.

“Hak asasi yang dituntut oleh COMANGO adalah salah kerana ia sangat bertentangan dengan syarak Islam, di mana tuntutan-tuntutan yang mereka bawa ini memang sah menunjukkan kebebasan mereka dalam membuat rujukan tanpa panduan dan pegangan kepada agama”, tambah beliau lagi.

Saudara Hanafi turut berkata, tuntutan COMANGO yang bersifat liberal pada hakikatnya memberi mudarat yang sangat besar kepada negara Malaysia, menghancurkan jati diri pemuda dan pewaris bangsa.

Beliau berkata, pertubuhan-pertubuhan liberal seperti Sister in Islam (SIS), Institut Kajian Dasar (IKD) dan Islamic Renaissance Front (IRF) sedang berusaha keras mensasarkan ideologi liberal pada golongan mahasiswa. Contohnya, IRF yang menganjurkan Forum ‘Homosexual: Rights or Crime?’ di UIA seolah-olah hendak mempertikai hukum Tuhan yang sudah jelas jawapannya.

“Jadi, kita sebagai mahasiswa perlu sedar, isu COMANGO ini bukanlah isu politik yang kita nak bawa, tetapi, ianya adalah isu akidah. Mahasiswa perlu bangkit kerana masa depan negara bergantung kepada pemuda hari ini”, ujar beliau kepada hadirin.

Beliau menyeru semua belia dan mahasiswa mencakna isu COMANGO dan masalah-masalah umat di serata dunia. Beliau berkata jika belia dan mahasiswa hari ini masih tidak berubah, kemungkinan negara Malaysia akan mundur dalam masa 10 tahun akan datang.



Wartawan PEMBINA UKM

Wednesday, 26 February 2014

TUNTUTAN COMANGO SEPERTI BUDAK KECIL


BANGI, 21 Feb –  ”Kalau kita baca satu persatu tuntutan COMANGO, mereka  seperti budak kecil yang suka mengadu. Mereka seolah-olah ‘mengada-ngada’ pada UN, menceritakan satu persatu apa yang telah berlaku dalam Malaysia.”

Demikian komentar oleh Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Ustaz Ibrahim Mohd. Hassan sewaktu membaca beberapa petikan dalam laporan penuh COMANGO ketika berlangsungnya Forum ‘COMANGO Pengkhianat Negara’ di Dataran Panggung Seni, UKM.

“Contohnya, dalam isu kebebasan agama, mereka mengadu bahawa pihak gereja tidak dibenarkan menggunakan Kalimah Allah dalam ‘Herald Weekly’, mereka mendakwa larangan ini mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama” tambah beliau lagi.

Ustaz Ibrahim berkata, tidak dinafikan sememangnya terdapat beberapa tuntutan COMANGO yang benar-benar memperjuangkan hak asasi manusia seperti gaji minimum pekerja dan sebagainya. Walaubagaimana pun, beliau mengingatkan supaya umat Islam perlu memahami tabiat musuh Islam yang tidak akan menyerang Islam secara terang-terangan, sebaliknya mereka akan menggunakan muslihat.

Di samping meletakkan tuntutan  hak asasi manusia yang benar, COMANGO juga mengambil kesempatan dengan meletakkan  tuntutan yang mengancam Islam seperti tuntutan kebebasan beragama yang bertujuan membenarkan orang Islam murtad sewenang-wenangnya.

Beliau turut menyentuh isu NGO yang terlibat dalam COMANGO ini, antaranya ialah Sisters In Islam (SIS). Perjuangan mereka dalam menghapuskan hukum syariah ini jelas sewaktu mereka membela kes seorang model yang beragama Islam, Sri Kartika Dewi. Walaupun Kartika menuntut supaya dirinya dihukum mengikut syariat, namun golongan SIS tegas menghalang tindakan JAKIM melaksanakan hukuman terhadap model terbabit.

“Sebenarnya, badan-badan NGO ini menerima dana yang berpuluh-puluh ribu USD untuk mempromosikan liberal kepada seluruh negara”

“Taktik mereka juga sangat halus, iaitu dengan menggunakan proksi dalaman untuk bawa agenda barat dalam kalangan masyarakat di Malaysia supaya orang kita tak nampak ianya adalah sebuah ancaman”, jelas beliau lagi tentang penyebaran fahaman liberal di Malaysia.

Ustaz Ibrahim juga menyeru kepada seluruh umat Islam terutamanya golongan belia dan mahasiswa supaya manfaatkan laman media sosial seperti Facebook dan Twitter untuk menyebarkan maklumat mengenai ancaman COMANGO terhadap Islam di Malaysia.




 Wartawan PEMBINA UKM

Umat Islam Perlu Bersatu Sebagaimana COMANGO Bersatu


BANGI, 21 Feb – “Jika kita ingin melihat masa depan negara tersebut, lihatlah pemuda-pemudi pada zaman tersebut”, ujar Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni , Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang merupakan ahli panel di dalam Forum ‘COMANGO Pengkhianat Negara’ yang berlangsung di Dataran Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ustaz Fauzi telah menerangkan kedudukan Islam yang kukuh di Malaysia dari sudut perlembagaan, institusi agama dan pembudayaan. Beliau menyifatkan tuntutan COMANGO benar-benar mengancam Negara.
Beliau juga menyeru agar masyarakat Islam terutamanya golongan belia supaya menghadkan masa melayari laman media sosial seperti Facebook dan Twitter, sebaliknya lebih peka dan serius dalam memahami strategi jahiliyah yang halus dan penuh muslihat seperti tuntutan COMANGO, yang merupakan kesinambungan tuntutan IFC sebelum ini.

Beliau berkata Saidina Umar r.a. pernah menyebut, “akan terungkai rungkaian Islam satu demi satu, apabila lahir dalam Islam satu generasi yang tidak faham jahiliyah”.

Ustaz Fauzi turut berkata belia sekarang lebih berminat dengan dua perkara, iaitu politik dan cinta, di mana perkara ini tidak terlalu berat untuk mereka fikirkan berbanding permasalahan ummah.

“Sedangkan politik itu adalah pengurusan untuk melaksanakan Islam dalam kehidupan, akan tetapi, orang sekarang ini melihat politik sebagai sesuatu yang berpuak-puak dan lebih fokus kepada parti politik jika dibandingkan dengan apa yang diperjuangkan.”

“Umat Islam perlu bersatu sebagaimana COMANGO bersatu!”, saran Naib Presiden ISMA kepada hadirin yang hadir.

Forum ini dianjurkan bersama oleh Kelab Penyayang UKM, Rakan Muda IPT dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Cawangan Bangi dalam Karnival Kembara Islam di UKM. Forum ini telah mendapat perhatian daripada mahasiswa dan mahasiswi UKM. Kira-kira 100 orang telah menghadiri forum ini  untuk mencakna isu COMANGO.


Wartawan PEMBINA UKM

Thursday, 20 February 2014

Minda Liberal Perosak pemikiran Belia




Terkejut apabila seorang sahabat memberikan link artikel yang bertajuk ‘Liberalisme, Pluralisme anak muda semakin melebar’. Kemudian terpampang pula wajah anak muda yang diketengahkan iaitu Khalid Ismath dan Adam Adli. Apa yang bermain difikiran saya ketika itu, mereka ini adalah anak muda yang sangat berani. Berani melontarkan ideologi liberal yang merosakkan. Di sini tiada keraguan yang ingin saya katakan tentang Khalid Ismath yang terang-terangan mengaku dirinya sebagai pengikut ajaran sesat Syiah. Manakala Adam Adli yang menjadi anak muda sanjungan parti pembangkang Pakatan Rakyat yang sering mengungkapkan kata-kata yang berbaur hasutan.

Malaysia Gazzate telah menemuramah kedua anak muda ini tentang pandangan mereka terhadap Hak Asasi Manusia dan perlunya agama lain diberi kebebasan menyebarkan agama masing-masing. Apa jawapan mereka? Sila baca di link ini, http://malaysiagazette.com/nasional/liberalisme-pluralisme-anak-muda-semakin-melebar#ixzz2tq1T5dY0

Saya menulis bukanlah untuk mengulang kembali jawapan-jawapan yang dikatakan ‘minda terbuka’ oleh mereka akan tetapi tujuan saya adalah untuk membangkitkan suara anak muda Islam yang menolak ideologi dan fahaman liberal yang dicanang-canangkan oleh mereka berdua. Sungguh tidak adil sekiranya hanya golongan seperti mereka sahaja yang menyuarakan pendapat sebegitu. Walhal ramai yang sedia maklum, apa yang dibawa dan diperkenalkan oleh mereka hanyalah  sebuah ideologi kotor yang  jelas cuba mengaburi pemikiran cetek anak-anak muda masa kini.

Mengulas sedikit fahaman dan pendapat yang disuarakan Khalid Ismath iaitu mengapa harus dirisaukan masalah murtad jika meyakini Islam adalah agama yang benar. Biar saya meletakkan analogi seperti ini, mengapa kita mengangkat pakaian bila awan sudah mendung sedangkan kita tahu yang matahari akan muncul, Tuhan akan keluarkan kepanasan agar pakaian itu kering kembali. Apa yang boleh saya katakan di sini ialah, sikap percaya pada Islam itu sesuatu yang baik, tapi ini bukan bererti yang kita boleh menutup mata membiarkan masalah yang mengecam nasib Islam, memurtadkan penganutnya, dibiarkan begitu saja. Allah menyuruh hamba-Nya berusaha untuk menegakkan kalimah-Nya, mempertahankan agama-Nya. Bukan sekadar berdakwah tetapi apabila ummat dalam kemelut dilema untuk dimurtadkan kita hanya biarkan saja. Tiada usaha di situ. Ibarat kita membawa harta yang banyak tetapi beg yang kita bawa itu terkoyak. Dan kita hanya membiarkan saja kerana yakin pada takdir yang kita masih ada rezeki. Tidakkah itu kerja yang sia-sia? Menyampaikan dakwah tetapi tidak mempertahankan agama. Jika Khalid Ismath mendakwa orang yang cuba mempertahankan Islam daripada dimurtadkan dengan memerangi dakyah kristian sebagai takut pada bayang-bayang sendiri.

Seterusnya, beliau juga menyebut tentang hak kesamarataan di mana agama lain juga mempunyai hak untuk berdakwah, saya tidak mahu mengulas lanjut tentang hal ini. Tetapi izinkan saya meletakkan soalan ini untuk pembaca fikirkan. Apakah yang telah kita lakukan untuk mengekang masalah dakyah kristian yang memurtadkan ummat Islam dengan wang ringgit, penulisan dan pujukan? Adakah dengan bersangka baik dan teruskan dengan dakwah itu sahaja mencukupi? Apa yang akan kita jawab pada Tuhan satu hari nanti bila ditanya tentang usaha kita mengekang masalah ini? Silakan jawab wahai pembaca budiman. Adakah berbaloi membiarkan begitu sahaja hanya dengan pegangan yang semua manusia ada hak yang sama rata untuk menyebarkan agama masing-masing, seperti perjuangan hak kesamarataan yang dilaung-laungkan oleh dua anak muda ini?

Sama-sama kita fikirkan.

Sebagai belia yang berilmu dan inteletual, kita hendaklah mendalami dan memahami setiap inci percakapan yang diutarakan oleh golongan liberal seperti ini. Benar, kita harus berfikiran terbuka dan mempelbagaikan cara dalam berdakwah akan tetapi bukan dengan cara memutar-belitkan fakta dan memanipulasikan kisah-kisah Rasulullah untuk hujahan umum.

Islam itu adalah agama yang benar dan tiada agama yang diterima di sisi Allah melainkan Islam seperti mana yang telah dirakamkan di dalam al-Quran, surah ali-Imran ayat 19, firman Allah SWT, yang bermaksud, “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.”



Sabrina Zaifulizan & Nurul Hajjar Atan
Aktivis PEMBINA Bangi

















Wednesday, 29 January 2014

Silat: Belia Muslim Kuat Lebih Dicintai Allah


Bangi, 27 Jan – “Silat merupakan seni mempertahankan diri nusantara dan telah menjadi warisan dari satu generasi ke satu generasi sejak zaman dahulu lagi. Dengan silat, kita mampu membina jati diri dengan tertanamnya sifat cintakan agama, bangsa dan tanah air.”

Demikian kata Najimuddin Bin Mohd Faudzir, aktivis PEMBINA UKM dan juga peserta silat dalam Kejohanan Pencak Silat Taming Sari terbuka IPT dan jemputan antarabangsa baru-baru ini di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), UKM. Beliau bertanding dalam perlawanan kategori A, berat 40 -50 kg.

“Silat juga mampu menguatkan tubuh badan kita di samping mendisiplinkan diri kita. Bukankah muslim yang kuat itu lebih dicintai Allah.” ujar beliau.

Najimuddin turut berkata, sebagai seorang ‘daie’ dan juga mahasiswa, membahagikan masa antara silat, akademik dan dakwah tidaklah begitu sukar sebenarnya jika bijak menguruskan dan mengoptima masa. Hal ini demikian kerana latihan silat hanya berjalan dua kali seminggu, pada hari Selasa & Rabu. Hujung minggu pula boleh dimanfaatkan untuk program dakwah bersama badan Islam. Beliau tidak bersetuju dengan alasan mahasiswa yang tidak dapat aktif berdakwah kerana sibuk dengan akademik dan aktiviti dalam kampus atau sebaliknya.

“Bagi mengimbangkan (tawazun) antara dakwah, aktiviti sosial & akademik adalah tidak mustahil walaupun tidak dinafikan ada cabarannya. Apa yang paling penting ialah kita harus memilih keutamaan dalam hidup kita. Yang kedua, kita perlu sentiasa mentajdid (memperbaharui) niat bila berhubung sesuatu perkara. Hal ini untuk mengelakkan diri daripada terjebak dengan perkara-perkara yang membazirkan masa” jelas Najimuddin.

Pada masa sama, beliau juga menjelaskan bahawa setiap potensi yang ada pada diri individu tidak perlu dilenyapkan begitu sahaja atau terus menjadi pasif apabila terlibat dengan badan dakwah. Seharusnya seorang ‘daie’ perlu mengembangkan potensinya yang sedia ada kerana itu juga adalah sebahagian aset untuk berdakwah.

Najimuddin merupakan seorang mahasiswa dan aktivis PEMBINA UKM yang aktif menjalankan aktviti usrah dan beraktivisma bersama PEMBINA. Beliau juga aktif bersilat dan pernah menyertai SUKEM 2013 pada bulan Oktober lepas.


Wartawan PEMBINA Bangi

Tuesday, 21 January 2014

‘Kem Khalifah Muda’ Melahirkan Beliawanis Berjiwa Kental


HULU SELANGOR, 17 Jan – Bagi mengisi masa lapang pelajar UKM pada cuti semester ini, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UKM menganjurkan mukhayyam, khas kepada mahasiswi yang bertemakan ‘Kem Khalifah Muda (KEM)’, bertempat di Rasa, Hulu Selangor. Perkhemahan ini bertujuan membentuk ciri-ciri khalifah dalam jiwa peserta, di samping melahirkan muslimah yang berjiwa kental dalam mengharungi pelbagai cabaran.
 
Para peserta bertolak ke tempat program dengan menaiki KTM, bagi melatih mereka berdikari serta merancang perjalanan mengikut masa yang ditetapkan. Peserta juga diuji untuk berhadapan dengan masyarakat apabila mereka diberikan penanda buku untuk disampaikan kepada penumpang KTM.

Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam ini, bukan sahaja diisi dengan aktiviti yang berbentuk kerohanian mahupun menguji ketahanan fizikal serta jiwa, seperti aktiviti explorace dan sentuhan qalbu(muhasabah), malah turut mendedahkan para peserta kepada isu-isu semasa yang menjadi ancaman kepada umat Islam kini.

“Sepanjang program ini, saya memperoleh banyak manfaat, antaranya, dapat meningkatkan pengetahuan dan kefahaman dalam isu semasa, seperti COMANGO dan isu Kalimah Allah.”

“Selain itu, program ini berjaya menambahkan keyakinan saya untuk berdakwah kepada masyarakat.”

Ujar seorang daripada peserta KEM, Norasyima Bt. Zaki. Selain itu, Ummu Sulaim yang juga peserta program, berpendapat bahawa pentingnya individu muslim dalam menyampaikan dakwah.

“Kem ini adalah satu inisiatif untuk menyedarkan seseorang itu akan peranannya sebagai individu muslim dalam menyebarkan dakwah.”

“Apa yang kita lihat sekarang, masyarakat mengehadkan kerja dakwah itu hanya kepada pendakwah dan mereka yang mengkhusus dalam bidang agama sahaja, sedangkan ini adalah peranan sebenar kepada setiap umat Islam.”


Antara aktiviti utama yang lain adalah, 5 rencah 5 rasa, Idola Khalifah, Ledakkan Potensi Dirimu (LDK), Tahajjud Cinta (Qiamullail), dan Duduk Membangun Iman, iaitu slot pengisian yang disampaikan oleh aktivis ISMA, Dr. Irfan. 



Wartawan PEMBINA UKM

TARBIYAH DZATIYAH ASAS PEMBENTUKAN KHALIFAH


HULU SELANGOR, 18 Jan – “Manusia mempunyai dua tujuan hidup di atas muka bumi ini, iaitu beribadah kepada Allah dan menjadi khalifah dengan cara menegakkan hukum-hakam serta memakmurkan bumi.”

Kata Dr. Irfan, aktivis ISMA, dalam slot ‘Duduk Membangun Iman’ sewaktu program ‘Kem Khalifah Muda (KEM)’ di Rasa, Hulu Selangor.

“Pembentukan khalifah bermula dengan membentuk individu muslim dan dari langkah pertama ini, matlamat seterusnya dapat dicapai, iaitu melahirkan keluarga muslim, masyarakat muslim, kerajaan Islam, Daulah Islam (negara yang mengamalkan nilai-nilai Islam), empayar Islam, dan akhirnya membentuk ustaziatul ‘alam.”

Sehubungan dengan itu, peserta didedahkan dengan kepentingan tarbiyah dan dakwah dalam usaha membentuk khalifah yang berkualiti.

“Seorang khalifah perlu melalui proses tarbiyah dan melibatkan diri dalam gerak kerja dakwah.”

“Bermula dengan tarbiyah dzatiyah, iaitu mendidik diri sendiri tanpa mengharapkan naqibah mahupun teman seperjuangan, seterusnya memantapkan ilmu, turun ke medan dakwah dan seterusnya berdakwah dan sampaikan fikrah kepada organisasi dan mahasiswa dengan cara mentajmik.”


Menurut beliau lagi, seorang khalifah bukan sahaja perlu memantapkan ilmu fardhu ain seperti aqidah, sirah, ibadah, quran dan sunnah, serta feqah, malah perlu cakna isu semasa supaya berjaya menjadi Islam yang profesional.


Wartawan PEMBINA UKM

Monday, 13 January 2014

Fahaman Feminisme Melanggar Acuan Syariat



Wanita masih keliru, mana yang benar dan mana yang palsu. Sifat ingin memimpin dan menjadi penguasa dunia semakin membuak-buak di dalam kalbu sehingga sanggup menggadaikan pegangan yang menjadi bekalan sejak 1400 tahun dahulu lagi. Dewasa ini, wanita berlumba-lumba mengejar pangkat dan harta. Wanita bersengkang mata berusaha menjadi lebih hebat daripada lelaki dan wanita bersungguh-sungguh ingin mencapai kuasa yang setaraf dengan lelaki. Apakah itu salah di sisi syariat Islam?

Telah banyak hal ini diperbincangkan bahkan menjadi perdebatan antara ahli akademik dan agamawan tentang peranan dan tanggungjawab sebenar seorang wanita Islam. Rentetan sejarah mencatatkan ketinggian wanita itu diangkat oleh Islam daripada kemelut jahiliyah yang menghitam. Wanita ketika zaman jahiliyah sungguh hina, jijik dan dituduh pembawa bala kematian kepada keluarga. Namun apabila cahaya Islam datang, wanita Islam menjadi mulia dan diangkat martabatnya setara dengan lelaki. Kesetaraan apakah yang diangkat oleh Islam terhadap wanita dengan lelaki? Di dalam al-Quran sendiri, Allah telah mengkhususkan satu surah khas untuk kaum wanita iaitu Surah an-Nisa. Allah juga mencatatkan di dalam al-Quran tentang keserataan pahala dan amalan yang diberikan kepada wanita sama seperti lelaki iaitu, pahala membuat amal kebajikan, berdakwah, menuntut ilmu dan banyak lagi.

Walau bagaimanapun, apa yang menyedihkan hari ini, wanita semakin hilang rasa malu, wanita semakin hilang rasa izzah (bangga) dengan ketinggian mereka yang diangkat oleh Islam. Setiap inci hukum syariat dipertikaikan oleh mereka sehingga seolah-olah Islam sudah tidak adil lagi. Acuan fahaman liberal yang sedang diseludup masuk oleh barat ke dalam pemikiran wanita semakin membatasi ketinggian syariat. Bahkan hal ini telah menjadi normalisasi dalam masyarakat. Hukum menutup aurat dibahaskan, hukum mentaati suami diperdebatkan, dan hak memiliki harta menjadi untaian pertikaian. Apakah ini suatu perkara yang ‘normal’ pada pemikiran wanita Islam yang sebenar?

Barat, telah membawa fahaman liberalisme dengan menjadikan feminisme sebagai alat pertikaian. Sedikit rentetan sejarah tentang liberal feminism  bermula dari kurun ke 19 lagi, Elizabeth Cady Stanton antara feminist yang sungguh aktif memperjuangkan feminisme dari segi pendidikan dan hak-hak wanita yang sangat tidak adil ketika itu. Kemudian pada kurun ke 20 pula, di Amerika Syarikat, Betty Friedan antara pejuang feminisme moden yang kental dalam memperjuangkan hak wanita bekerja. Friedan menjadi pencetus kepada pemikiran feminisme moden kerana dia merasakan wanita yang telah berkahwin dan bekerja sangat terbeban dengan tanggungjawab untuk menjaga anak dan sebagainya, sedangkan lelaki tidak menanggung beban sebanyak itu. Selain itu, Friedan juga tidak bersetuju dengan John Stuart Mill yang mengatakan, wanita sepatutnya memilih untuk bekerja atau menjadi suri rumah sepenuh masa. Pada pandangan Friedan, hal itu sungguh tidak adil bagi wanita. (Sumber: Women in Feminism and politics; New Directions Towards Islamization)

Belajar daripada sejarah. Itu ungkapan yang acapkali dilafazkan akan tetapi sejauh mana kita melihat ia sebagai pengajaran yang harus diambil iktibar. Ya, sejarah itu adalah sejarah dari barat. Tetapi adakah kita sedar bahawa sejarah feminisme yang berlaku di Amerika Syarikat pada kurun ke 20 itu telah berlaku di negara kita hari ini, bahkan lebih buruk lagi? Pergerakan feminisme Malaysia yang hangat memperjuangkan feminisme hari ini adalah Sister In Islam (www.sisterinislam.org.my) yang cuba bertopengkan dengan menggunakan nama Islam tetapi dasar pemikiran mereka adalah acuan barat bukan Syariat. Sedarkah kita, Sister In Islam yang berjuang dengan membawa nama Islam tetapi pejuang-pejuangnya adalah wanita-wanita yang tidak mengamalkan amar maaruf nahi mungkar. Ayat-ayat al-Quran diputar-belitkan dengan menggunakan logik akal dan hukum Islam dijadikan bahan sendaan.



Baru-baru ini, berkenaan isu COMANGO (gabungan NGO-NGO) Sister In Islam telah menjadi salah sebuah NGO yang terlibat dalam menandatangani UPR oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB berkenaan dengan Hak Asasi Manusia yang perlu dituntut di dalam sesebuah negara. Apa yang menyedihkan antara tuntutan hak asasi itu adalah secara terang-terangan bertentangan dengan Islam seperti kebebasan murtad, menghalalkan seks songsang, membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada kristian dan banyak lagi. Apakah ini masih belum jelas dengan agenda yang sedang dibawa untuk merosakkan Islam?



Ini bukan suatu tuduhan. Bukan juga satu stereotaip yang melampau terhadap golongan ini, akan tetapi apa yang harus kita lakukan adalah cakna dan mengambil tahu serta memahami fahaman feminisme yang sedang menyerang pemikiran kita hari ini. Apakah cukup hanya tahu dan cakna? Sudah tentu tidak, tugas kita adalah dengan menyampaikannya kepada orang lain supaya penyebaran maklumat yang bercanggah dengan syariat Islam diketahui umum. Isu ummat wajib digembar-gemburkan kerana kita tidak mahu saudara kita yang terlepas pandang tentang isu ini terkontang-kanting di dalam arus kejahilan. Usah biarkan jiwa dan minda kita menjadi selari dengan pegangan mereka tetapi selarikan diri kita dengan perisai syariat supaya dapat menepis fahaman-fahaman seumpama ini.

Wallahu alam




Nurul Hajjar Binti Atan

Aktivis PEMBINA
Team Media PEMBINA UKM

Monday, 6 January 2014

ZON BELIAWANIS: KEM KHALIFAH MUDA

[PAKEJ TARBIYAH DAN REKREASI]

Jom sertai beliawanis PEMBINA UKM dalam pengembaraan sejauh 80km dengan menaiki komuter!
# Kem yang sarat dengan pelbagai aktiviti menarik yang mencabar kekuatan mental dan fizikal, mencungkil bakat yang terpendam dalam diri beliawanis dan membangun kekuatan iman melalui aktiviti yang mendidik jiwa.
# Tiket pergi disediakan!

Jangan lepaskan peluang anda!!!!!!

Tarikh : 17-19 Jan 2014 (Jumaat-Ahad)
Tempat : Rasa, Hulu Selangor
Yuran : RM 35 (AHLI)
RM 45 (BUKAN AHLI)
Hubungi : Solehah (013-3270573)



poster promo ikhwah
picture hosting