Friday, 18 April 2014
Ada Apa dengan Usrah ?
Pernah dengar perkataan usrah ? Kadang-kadang
dengar ada yang sibuk mengajak usrah, ada yang sibuk buat tugasan usrah dan ada
juga yang sibuk pergi ke usrah. Usrah berasal dari bahasa arab yang membawa
maksud keluarga atau dalam kata lain untuk menunjukkan adanya hubungan atau
ikatan persaudaraan sesame manusia. Dari segi harakah islamiyah, satu unit
keluarga yang diikat oleh kesatuan aqidah (kesatuan iman), kesatuan pemikiran
(fikrah), kesatuan kesedaran tentang persamaan sejarah dan nasib dan kesatuan cita-cita
perjuangan untuk berkerjasama dan bantu-membantu memperkukuh jemaah islamiyah.
Usrah juga merupakan salah satu daripada institusi tarbiyah.
Usrah membawa matlamat untuk mencapai seluruh
tujuan keislaman yang mulia bagi kemaslahatan dan kebahagiaan hidup di dunia
dan akhirat. Pada pendapat penulis, usrah memerlukan komitmen dan kesungguhan
kerana Inshallah sesungguhnya mereka yang mengikuti usrah ini mempunyai
matlamat yang sama iaitu mendekatkan diri kepada Allah dan ingin mendapatkan
keredhaanNya.
Sesiapa sahaja yang mengikuti usrah akan
diperkenalkan dengan 3 rukun usrah. Al-Syahid Imam Hassan Al-Banna menjelaskan
3 rukun usrah tersebut iaitu :
1. Al-Ta’aruf ( Berkenalan ) : Berkenalan dan
berkasih sayang dengan semangat cinta kepada Allah serta memahami pengertian
hakikat ukhuwwah ( persaudaraan) sejati di antara satu sama lain.
2. Al-Tafahum ( Bersefahaman ) : Bersefahaman
untuk berpegang kepada kebenaran ; iaitu amal makruf nahi mungkar. Setelah itu,
menasihati antara satu sama lain.
3. Al-Takaful ( Berseimbangan ) : Dasar
memelihara nasib sesama sendiri supaya jangan ada yang terbiar dan terlantar.
Hendaklah sentiasa bertanya khabar sesama sendiri, ziarah menziarahi, dan
menolong di antara satu sama lain.
Bagi mereka yang tidak pernah mengikuti usrah,
anda perlu tahu bahawa usrah ini bukanlah majlis sehala dan kebiasaanya jangka
masa usrah tidaklah terlalu panjang. Sudah menjadi lumrah sistem pendidikan di
negara kita, pendidikan Islam tidak ditekankan di peringkat menengah. Malah, di
peringkat universiti hanya mereka yang mengambil subjek agama sahaja yang akan
belajar tentang agama. Jadi, apa salahnya kita mengorbankan sedikit masa kita
dalam satu minggu untuk duduk sebentar dan mengingati Allah melalui usrah yang
kita ikuti. Jika tidak dapat mengikuti usrah, pilihlah mana-mana majlis ilmu
yang ada.
Suka untuk penulis tekankan di sini, jika
seseorang itu mengikuti usrah bukanlah bermakna dia lebih baik dari orang lain
tetapi sekurang-kurangnya ada yang mengingatkan dan adanya usaha kita untuk dekat
dengan Dia. Sama juga seperti pakaian, tidak bermakna seseorang itu menutup
aurat dia lebih baik dari orang lain, namun harus diingat menutup aurat adalah
WAJIB dan sesungguhnya sebaik-baik pakaian adalah TAQWA.
Penulis ingin memohon maaf dan silap jika ada
yang tidak selesa dengan penggunaan kata dan jika ada kesilapan minta ditegur.
Semoga Allah memberikan taufiq dan hidayah kepada kita.
Nota kaki : PEMBINA juga ada menyediakan usrah
kerana termasuk dalam Pakej Tarbiyah. Hubungi kami jika berminat !
NURUL FARHANAH BINTI AHMAD TERMIZI
Aktivis Pembina UKM Bangi
Jihad Ilmu dan Pengijazahan
"Sesiapa yang
inginkan dunia hendaklah dia berilmu, sesiapa yang inginkan akhirat hendaklah dia
berilmu dan sesiapa yang ingin kedua-duanya hendaklah dia lebih berilmu.”
Jika dirujuk pada petikan
di atas dan hadis nabi, maka akan terserlah banyak kelebihan dan ganjaran yang
Allah sediakan bagi orang yang menuntut ilmu. Banyak hadis nabi yang
membongkarkan fadhilat penuntut ilmu. Ini secara tidak langsung menunjukkan betapa
tingginya kedudukan ilmu dan betapa pentingnya untuk menuntut ilmu. Antara fadhilatnya,
Allah memudahkan jalan bagi penuntut ilmu untuk ke syurga, penuntut ilmu akan dipayungi
oleh para malaikat, diangkat darjatnya lebih tinggi berbanding ahli ibadah yang
jahil, penuntut ilmu dianggap sebagai pejuang Allah, semua penghuni langit dan bumi
akan memohon keampunan buat orang yang sedang menuntut ilmu dan pelbagai lagi ganjaran
yang Allah kurniakan. Ini menunjukkan bahawa Islam amat menitikberatkan soal ilmu
dalam setiap diri manusia.
Nabi pernah bersabda,
“ Sesungguhnya menuntut
ilmu itu adalah fardhu bagi setiap muslim.”
Ilmu yang bermanfaat ialah
segala ilmu yang mendorong dan membimbing manusia untuk melakukan kebaikan serta
mencegah daripada melakukan kejahatan. Ilmu yang tidak bermanfaat pula adalah ilmu
yang tidak dapat membentuk penuntutnya menjadi seorang manusia yang berguna kepada
diri, keluarga, masyarakat, agama serta negara. Ilmu dunia yang terlalu luas
ini memungkinkan manusia tersesat. Oleh kerana itu perlu diimbangi dengan ilmu
agama untuk memilih mana yang benar, mana yang batil dan untuk mengetahui mana
yang halal dan mana yang haram demi menyelamatkan diri dari lembah kebinasaan.
Apabila disebut jihad,
ramai yang akan membayangkan mata pedang, peperangan, senjata dan pertumpahan darah.
Ini sedikit sebanyak telah menyempitkan aspek jihad. Jihad merupakan satu syariat
Islam, sedangkan syariat Islam itu adalah releven pada setiap masa.Tidak mungkin
syariat Islam akan ketinggalan zaman. Maksud jihad dari sudut bahasa adalah bererti
mencurahkan daya dan tenaga kekuatan dalam usaha mencapai suatu matlamat atau cita-cita
sama ada yang mulia dan ideal ataupun tidak. . Manakala jihad ilmu bermaksud
berusaha bersungguh-sungguh untuk berkorban segala usaha dan tenaga demi
meningkatkan ilmu pengetahuan yang dimiliki dan sentiasa berazam menjadikan menuntut
ilmu itu sebagai amalan dalam kehidupan.
Hilmy Bakar Al-Mascaty telah
membahagikan jihad kepada 5 kategori iaitu Jihad Harta, Jihad Jiwa, Jihad
Pendidikan, Jihad Politik dan Jihad Ilmu Pengetahuan. Jika dilihat pada zaman
kemajuan sains dan teknologi sekarang ini, jihad ilmu pengetahuan hamper menyamai
dengan kepentingan jihad di medan peperangan pada zaman lampau. Peperangan zaman
moden tidak hanya menuntut penggunaan senjata sahaja tapi juga lebih mengutamakan
pada ilmu pengetahuan dan teknologi sebagai senjata baru. Lihat saja pada zaman
ini, negara yang menguasai teknologi mampu menguasai dunia seterusnya juga menguasai
negara-negara yang lemah. Oleh itu, seharusnya kita semua sedar bahawa jihad
mempunyai makna yang luas dan meliputi segenap aspek kehidupan manusia.
Merujuk kepada konteks
jihad melalui ilmu ia mengajar pemiliknya kepada pengakuan tentang kedudukan
yang tepat bagi Allah selaku pemilik dan pentadbir alam. Manakala kedudukan manusia
ialah selaku hamba dan khalifahNya di muka bumi. Walaubagaimanapun, system pendidikan
secular dari barat yang telah berjaya membenih masuk sekian lama dalam system pendidikan
di Malaysia telah menghasilkan bunganya. Perhatikanlah hasilnya, dari pendidikan
secular lahir ramai graduan Islam yang dapat melonjakkan produktiviti kepada masyarakat
dan negara tetapi hilang adabnya kepada pencipta dan makhluk-makhluk lain. Inilah
akibat apabila hanya pendidikan duniawi diutamakan, pendidikan ukhrawi diabaikan.
Kepentingan jihad ilmu berlandaskan
syariat Islam akan menjadikan penuntutnya seorang yang berguna kepada masyarakat
sekeliling. Konsep ilmu yang benar bukan sekadar diisi ke dalam akal
fikiran tetapi juga dalam hati nurani manusia sehingga ilmu tersebut dapat dizahirkan
dengan amalan praktikal melalui tingkah laku yang beradab dan berakhlak. Kalau
dilihat pada zaman sekarang, pada setiap tahun akan lahirnya berpuluh-puluh ribu
mahasiswa dan mahasiswi dari pelbagai instititusi pendidikan awam mahupun swasta
di seluruh negara. Jika dilihat pula pada statistic jenayah negara, bilangan jenayah
telah mengatasi bilangan mahasiswa yang bergraduasi. Amat sedih dengan ketidakseimbangan
julat tersebut jika dibandingkan dengan jumlah penuntut ilmu. Ternyata ilmu
yang dipelajari di peringkat kolej ataupun university masih belum cukup untuk mengelakkan
atau mencegah berlakunya perkara mungkar. Atau mungkin juga kerana ilmu yang
dimiliki oleh mahasiswa cetakan institusi pendidikan gagal membantu mereka untuk
menyedarkan masyarakat dalam mengenal erti jenayah seterusnya dapat mengurangkan
kadar jenayah negara.
Saidina Ali r.a pernah menukilkan
katanya yang bermaksud,
“Ilmu itu lebih baik daripada
harta. Ilmu menjagakamu, manakala dengan harta, kamu pula yang menjaganya. Ilmu
itu penghukum (hakim) manakala harta pula akan terhukum. Harta itu akan berkurang
apabila dibelanjakan tetapi ilmu akan bertambah apabila dibelanjakan.
Kesimpulan dari jihad
ilmu pengetahuan yang perlu diketahui bagi setiap mahasiswa ialah telah menjadi
satu kewajipan baginya untuk menuntut ilmu dalam bidang yang dipelajari sesungguh-sungguhnya
walau dalam apa jua bidang sekali pun sama ada bidang sains, teknologi,
perundangan, perubatan, pemakanan, sastera, sejarah, ekonomi, politik, agama
dan bidang lain-lain kerana, secara tidak langsung dia telah menjadi wakil umat
Islam untuk menguasai bidang tersebut. Menjadi satu kesalahan bagi dirinya seandai
dia gagal untuk menghadiri kuliah atau menyiapkan tugasan disebabkan oleh disibukkan
dengan sesuatu perkara yang bukan dalam
bidang sepatutnya dia pelajari.
Sifat ilmu itu seharusnya
melahirkan seorang manusia yang mengikut resmi padi, apabila berisi semakin tunduk.
Begitulah realitinya dengan mahasiswa sekarang apabila melangkah sahaja keluar dari
menara gading selepas pengijazahan, membawa segulung sijil dengan megah tetapi langsung
tidak mengetahui apakah falsafah yang terkandung dalam majlis pengijazahan atau
turut dikenali sebagai konvokesyen.
Majlis pengijazahan adalah
bermakna seorang mahasiswa itu telah berjaya menamatkan pengajiannya. Ia juga adalah
symbol seorang guru mengiktiraf ilmu yang diajar kepada anak muridnya. Majlis pengijazahan
sebenarnya adalah merupakan satu petanda yang amat penting bagi setiap orang
yang menerima dan member ijazahtersebut. Bagi penerima ijazah atau anak murid,
mereka sebenarnya telah dibebani satu tanggungjawab baru iaitu untuk menyampaikan
ilmu yang selama ini telah berpuluh-puluh tahun dituntut semenjak dari zaman kecil
tadika sehinggalah saat pengijazahan terakhir doctor falsafah. Mereka seharusnya
menyumbangkan segala ilmu dengan berbakti semula kepada masyarakat dan menunjukkan
sebagai seorang ahli ilmu dengan contoh akhlak yang soleh bertepatan dengan nilai
ilmu itu sendiri.
Bagi penganugerah ijazah
atau juga dikenali seorang guru pula haruslah berterusan mendidik anak muridnya
dengan sebaik-baiknya kerana guru bertanggungjawab terhadap apa yang diajar oleh
mereka dan apa yang akan diajar oleh anak murid kepada masyarakat. Berat sebenarnya
tanggungjawab seorang guru. Malangnya konvokesyen sekarang sudah tidak difahami
oleh setiap graduan. Mereka menganggap ia hanya sebagai satu majlis untuk bergembira
sambil meraikan kejayaan mereka sebagai seorang mahasiswa yang sudah menamatkan
sukatan pelajaran dan akan berakhir di situ sahaja. Padahal dunia ilmu itu adalah
luas dan langsung tidak akan pernah habis sehinggalah kamu menghirup nafas terakhir
dan yang paling penting adalah tanggungjawab selepas tamat pengijazahan untuk membayar
semula jasa kepada masyarakat di samping tidak lupa pada pinjaman tabung pendidikan.
Amirul Hakimi
Presiden PEMBINA UKM
Thursday, 10 April 2014
Kita Adalah Iron Man!
Saya percaya ramai yang meminati
watak Iron Man terutama dalam movie The Avengers. Bahkan mungkin ada pelajar
sekolah rendah atau sekolah menengah yang menjadikan watak Iron Man atau Tony
Stark ini sebagai idola mereka.
p/s: Siap beli poster dan mainan
Iron Man lagi, walaupun umur sudah mencecah belasan tahun!
Namun, kebanyakan daripada kita
tidak menyedari bahawa kita juga merupakan Iron Man.
HAH? IRON MAN??
Ya, kita adalah Iron Man. Tetapi
ada syaratnya. Anda tidak percaya?
Kita lebih hebat dari Tony
Stark sekiranya kita....
Rata-rata masyarakat, terutama
pelajar yang mengambil subjek atau jurusan kimia mengetahui bahawa besi adalah
logam yang sangat berguna untuk manusia. Contoh yang paling terdekat, emas atau
dalam bahasa saintifiknya Aurum (Au). Emas adalah logam yang sangat bernilai,
bahkan anti inflasi.
Selain itu, besi berani atau
Magnet juga antara logam yang sangat unik, sehingga “diabadikan” dalam sebuah
filem X-Men, iaitu watak Magneto yang mempunyai kuasa magnet. Bahkan senjata
yang digunakan oleh tentera, ataupun pedang sekalipun dibuat daripada logam
atau campuran logam.
TAHUKAH ANDA?
Allah telah mengiktiraf kelebihan
logam di dalam al Quran, bahkan ada surah yang diberi khas nama logam, iaitu
Surah al Hadid (Logam). Firman Allah dalam surah al Hadid,
Terjemahannya ;
“Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa
bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan
bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan,
supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan kami telah menciptakan besi dengan keadaanya mengandungi
kekuatan yang handal serta pelbagai faedah lagi bagi manusia. (Dijadikan besi
dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu
dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah
tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan
mempertahankan agama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal balasan
baiknya tidak kelihatan (kepadanya) ; sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha
Kuasa.”
(Surah al Hadid 57:25)
Begitu manfaatnya besi ini
sehingga Rasulullah s.a.w. mengumpamakan manusia itu ibarat logam dalam sebuah
hadis sohih:
Terjemahannya ;
Dari Abu Hurairah R.anhu
meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. bersabda ;
“Manusia seperti logam, terpilihnya (bergunanya) mereka
semasa jahiliyyah, terpilih (berguna) juga semasa Islam, sekiranya mereka
faham.”
(HR Bukhari)
Tergaru-garu kepala tidak faham?
Baiklah, saya ambil contoh
Saidina Umar al-Khattab r.anhu. Saidina Umar ini masa zaman jahiliyyah, dia
adalah orang yang sangat ternama dikalangan kafir Quraisy. Bahkan jika orang
menyebut nama Umar untuk berlawan, akan ketakutan orang tersebut mendengar nama
Umar.
Namun selepas dia
memeluk Islam, adakah dia mundur? Adakah dia terpinggir?
Sudah pasti tidak! Bahkan dia
memimpin umat Islam dalam berperang dan menjadi Amirul Mukminin yang kedua
selepas Saidina Abu Bakar r.anhu. Sehinggakan Rasulullah s.a.w. pernah bersabda
yang bermaksud,
“Sekiranya Umar melalui satu jalan, maka Syaitan akan melalui jalan
yang lain (kerana tidak berani jalan di laluan Umar atau bertembung dengannya)
(Riwayat al Bukhari)
Dan ada lagi beberapa contoh para
sahabat agung seperti Sumayyah, Khalid
al Walid r.anhu, Saidina Hamzah r.anhu, dan zaman selepas itu seperti Salahuddin al Ayyubi, Sultan Muhammad al
Fateh dan lain-lain. Mereka bukannya ahli fiqh, tetapi mereka faham apa
tuntutan Islam.
Sumayyah r.anha tidak pernah
solat 5 waktu sehari semalam, tidak pernah berzakat, namun dia dikurniakan
syurga atas dasar dia mempertahankan iman dan keyakinannya kepada Allah. Kerana
apa? Kerana dia faham tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim!
Seperti logam, sifat seseorang
manusia (apatah lagi Muslim!) seharusnya mudah dibentuk atau ditempa. Jika elok
acuan, maka elok jugalah produknya. Namun jika sumbing acuan, maka sumbing juga
produknya.
Dengan erti kata lain, kita akan
jadi lebih hebat dari Tony Stark sekiranya kita faham tujuan kita dihidupkan
dan faham apa yang Islam tuntut dari kita sebagai individu Muslim khususnya!
Di mana "Islamic Iron
Man" hari ini?
Sejarah telah membuktikan Islam
telah melakar sejarah agung dengan tinta emas dalam diari peradaban dunia.
Namun zaman itu telah berlalu. Kita sudah kehilangan “Iron Man-Iron Man” agung
yang telah mewarnai sejarah ummat Islam dalam diari peradaban dunia.
Kini sudah tiada lagi Umar al
Khattab,
Kini sudah tiada lagi Umar Abdul
Aziz,
Kini sudah tiada lagi Salahuddin
al Ayyubi,
Kini sudah tiada lagi Sultan
Muhammad al Fateh,
Kini sudah tiada lagi Sultan
Abdul Hamid II,
Kini sudah tiada lagi Hassan al
Banna,
Kini sudah tiada lagi Iron Man
penyelamat ummah. Ummah sedang menanti kemunculan Iron Man baru yang akan hadir
demi membangunkan semula ketamadunan Islam yang telah dirobek diari agung Islam
yang di tulis dengan tinta emas dari kaca mata manusia sejagat.
Maka, siapa yang sanggup menjadi
Iron Man yang seterusnya? Adakah kita? Atau kita sekadar “audiens” dalam
“panggung wayang” yang sekadar menyaksikan kehebatan Iron Man tersebut?
Saya mencabar diri saya dan anda
semua!!
Moga Allah redha
Ahmad Shukery B. Azizan
Aktivis PEMBINA UKM
Friday, 4 April 2014
Daie dan Medium Dakwah
~In
The Name of Allah, The Most Gracious and The Most Merciful~
Assalamualaikum sahabat..
harap awak, enti, antum, dan kome semua di bawah lindungan Allah.. =)
Kini, media merupakan
salah satu metod atau medium yang pada pendapat saya sangat penting.
Terutamanya bagi sasaran dakwah yang kerap duduk di hadapan komputer dan juga
kerap menggunakan internet dalam kehidupan seharian. Jika kita lihat masyarakat
sekarang, kebanyakannya menggunakan saluran internet untuk melakukan tugasan
mereka atau pun berkomunikasi dengan sesiapa sahaja, malah bagi urusan kerja
juga banyak institusi atau badan menggunakan saluran internet untuk berhubung
sesama mereka bagi urusan kerja. Begitu juga dengan pelajar di institusi
pengajian tinggi.
Mengapa saya fokus terhadap internet, kerana melalui internet pelbagai capaian
yang kita boleh perolehi seperti mendengar radio, menonton televisyen dan
sebagainya. Pendek kata, jika ada saluran internet, segalanya boleh dicapai.
Segalanya di hujung jari sahaja. Bagi para da’i, pelbagai metod yang boleh
digunakan bagi meluaskan capaian dakwah mereka dalam ruang lingkup media hari
ini. Antaranya, penyiaran televisyen, radio, kemahiran fotografi, kemahiran
komputer dan lain-lain lagi.
Bagi penyiaran televisyen, pelbagai saluran yang kita sebagai daie boleh kita
ceburi contohnya, sebagai penceramah, ahli panel forum, usrah dan
sebagainya. Bagi bidang penyiaran radio pun begitu juga. Bagi kemahiran
fotografi kita boleh memainkan peranan sebagai jurufoto, edit gambar, dan
‘publish’ pada orang lain. Itu semua merangkumi kemahiran aplikasi computer dan
internet. Untuk kemahiran aplikasi computer juga dengan ganbar yang ada itu
kita boleh masukkan di dalam aplikasi ‘photoshop’ untuk peroleh gambar yang
lebih cantik dan menarik untuk tatapan umum. Selain itu, kemahiran yang penting
juga pada masa kini untuk para daie ialah kemahiran penulisan contohnya,
menulis cerpen, skrip, blog, motivasi dan lain-lain. Semua jenis penulisan itu
boleh dimuatkan sama ada dalam internet atau dijadikan novel atau buku. Yang
penting segalanya tidak lari dari landasan syarak.
Setiap manusia mempunyai minat dan kecenderungan yang berbeza. Begitu juga kita
sebagai daie. Jadi untuk mencapai matlamat sebagai daie, pilihlah bidang yang
sesuai dan kita lebih cenderung padanya atau pilih bidang media yang kurang di
ceburi oleh para daie. Contohnya bidang penulisan skrip. Memandangkan
masyarakat sekarang yang gemar menonton televisyen, pada pendapat saya ini
adalah bidang yang patut para daie rebut dan kuasai untuk menarik minat
masyarakat terhadap cerita yang lebih menampilkan unsur islamik.
Akhir kalam, saya berpendapat kita sebagai daie jangan rasa rendah diri tidak
bertempat. Sampai bila kita mahu berada di takuk lama. Gejala
kristianisasi sentiasa bekerja keras siang dan malam untuk menyampaikan dakyah
mereka. Sejauh mana usaha kita? Mari kita muhasabah diri, apa yang telah kita
sumbang pada agama hari ini? Kita bermula dengan usaha yang kecil kemudian kita
capai benda yang besar. Berilah tumpuan pada bidang media yang kita minati
kemudian asah bakat perlahan-lahan. Insya-Allah suatu hari nanti bakat tersebut
akan dapat digilap dan menjadi sinar pada masyarakat. Sekian, wallahua’lam..
Nur Farah Ain
Bt. Ismail
Biro Tarbiyah
PEMBINA UKM
Dipetik dari blog penulis: http://nukilanhamba.wordpress.com/2013/04/08/akhirnya/
Monday, 24 March 2014
ANTARA DUA DARJAT: MANUSIA DAN HAIWAN
Tengah hari itu berjerebu. Ramai yang duduk mengirim pesanan minuman
sejuk daripada pelayan restoran. Karim
dan Abu tidak ketinggalan mengirim milo ais dan teh ais. Setelah melabuhkan
punggung, Abu ternampak seorang dari kalangan pelanggan restoran yang makan di
situ memberi sisa kepala ikan kepada kucing-kucing yang berkeliaran sekitar
restoran tersebut.
Abu mula bersuara, “Mesti seronok kan
jadi macam kucing? Hari-hari boleh meminta-minta makanan, makanan percuma,
hidup bebas tanpa hutang PTPTN, pastu bila besar mengawan, dapat anak,besarkan
anak. Kemudian boleh tidur kat mana-mana, dan ulang semula kitaran hidup sampai
mati.”
Karim yang masih berpeluh itu
membalas, “tu ah, seronok. Hidup happy go lucky hari-hari. Hidup aman tanpa perang. Tapi kau
kena ingat Abu, Allah menciptakan manusia lebih mulia daripada haiwan.”
“Tapi kenapa lebih mulia? Bukankah
kedua-duanya makhluk ciptaan Allah?” Balas Abu. “Kerana kita dikurniakan akal,
sungguhpun haiwan mempunyai naluri, tetapi tidak boleh mengatasi akal manusia.
Meskipun kedua-duanya diberi nafsu oleh Allah, manusia mempunyai akal untuk
memandu nafsu ke arah jalan yang diredhai Allah.” Jelas Karim dengan nada yang
penuh lemah lembut.
“Teh ais satu, milo ais satu siap.” Pelayan
itu memberi minuman kepada mereka. “Terima kasih bang,” Serentak Abu dan Karim
membalas.
“Oooo, maknanya kalau kita megikut
hawa nafsu, kita lebih rendah daripada haiwan. Tak gitu?” Dengan nada
seakan-akan memahami Abu berkata.
“Ya, tentu sekali.” Karim menyambung,
“Seperti dalam Surah Al-Furqan ayat 43-44, maksudnya:
Terangkanlah kepadaKu tentang orang-orang yang
menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya, maka apakah kamu dapat menjadi
pemelihara atasnya. Atau apakah kamu mengira bahawa kebanyakan mereka itu
mendengar dan memahami, mereka itu tidak lain hanyalah seperti binatang ternak
bahkan mereka lebih sesat jalannya dari binatang ternak itu. (Al-Furqan,25:43-44)
Kita akan jadi lebih hina sama
seperti haiwan ternak atau lebih lagi. Sebab asyik menurut nafsu
makan,tidur,seksual dan sebagainya.”
“Tetapi sekiranya kita beriman,
darjat kita lebih tinggi daripada malaikat. Kerana malaikat tidak mempunyai
nafsu. Peperangan melawan hawa nafsu ini peperangan yang lebih besar dan
berterusan, kita seharusnya sentiasa bermujahadah untuk melawan hawa nafsu,” Sambung
Karim panjang.
“Oh, lebihnya kita sebagai
orang islam adalah kita dikurniakan wahyu dari Allah s.w.t. Banyak ahli sains
dari zaman gelap Eropah meninggalkan agama mereka kerana isi kitab mereka telah
banyak diselewengkan oleh paderi-paderi mereka. Sedangkan Al-Qur’an yang
menjadi pegangan kita ini telah dijanjikan Allah akan kekal sehingga hari
kiamat, dan Al-Qur’an tidak mungkin bercanggah dengan hukum-hukum alam. Mana
mungkin Kalamullah bercanggah dengan Pencipta sendiri kepada hukum-hukum alam
ini? Justeru itu orang yang hanya menggunakan akal sahaja akan sesat, dan yang
menurut wahyu Allah akan terpandu ke jalan lurus, walau mereka boleh maju dari
segi ilmu dunia,” Karim membalas.
“Tapi,” Abu tertanya-tanya,
“Bukankah umat islam yang ada Al-Qur’an di tangan mereka sepatutnya lebih maju
berbanding orang barat?”
“Itulah peranan kita sekarang ini,
kita kan belajar dalam bidang sains di universiti, kitalah yang akan menaikkan
semula sarjana islam dalam bidang sains dan teknologi. Sekarang umat Islam
mundur akibat penjajahan pemikiran dari barat, dan masalah umat
islam sendiri yang tidak menyahut arahan Allah s.w.t. dalam surah Al-‘Alaq
ayat satu hingga lima, yakni membaca dan menulis. Sesungguhnya kita masih
kurang membaca dan menulis.”
Abu yang hanya mengangguk dari
tadi kini semakin faham akan nilai akal dan wahyu yang diberi oleh Allah
terhadap manusia. Milo ais yang disedut tadi semakin kurang isipadunya.
“Weh,
dah lambat ni, jom gerak.” Bicara Karim kepada Abu yang sedang asyik menggigit
ais. “Aah, wokeh, wokeh.” balas abu dengan mulut penuh dengan ais.
“Mana kau belajar semua yang
kau cerita kat aku tadi?” tanya Abu ketika memakai helmet.
“Kat Usrah.” Karim membalas
ringkas
“Siapa anjur?”
“PEMBINA”
“Nanti aku follow eh.”
“Ikut je laa.”
“Insya Allah.”
Najmuddin Bin Mohd Faudzir
Ketua Media PEMBINA UKM
Zoologi/1 UKM
TARBIYAH INI MENGAJARKU
Sebelum aku memasuki alam
universiti, aku sudah membayangkan ujian yang bakal aku hadapi kelak. Ujian
akan hadir dalam berbagai bentuk, di mana aku sendiri pun tidak tahu. Aku tidaklah
terlalu baik kerana aku juga mudah terpengaruh. Namun, itu bukanlah penghalang
aku untuk menjejakkan kaki ke alam universiti. Oleh itu, aku perlu hadapinya. Selepas
sahaja menamatkan alam pembelajaran di matrikulasi, aku bertekad untuk belajar
bersungguh-sungguh di alam universiti nanti. Dekan, itulah matlamat terbesarku.
Minggu orientasi adalah
minggu yang sangat memenatkan. Pelajar-pelajar perlu bangun seawal jam 3.00
pagi. Bukan untuk qiamullail, tetapi adalah untuk perjumpaan rasmi bersama senior, berlatih cheers dan sebagainya. Ku turuti minggu orientasi dengan hati yang
separuh. Tetapi aku bahagia, kerana taraf aku sudah bertukar dari seorang
pelajar sekolah kepada mahasiswa harapan Negara. (Sambil kepala mendongak ke
langit)
Pada suatu hari, aku
menghadapi kesukaran untuk mendaftar kursus. Biasalah, pelajar baru. Resah tak
keruan. Hati ini merasakan kalau aku tidak dapat mendaftar kursus ini, aku tak
boleh nak belajar dah. Tanya kawan, hampa kerana dia juga tidak tahu. Orang
paling dekat untuk aku tuju bantuan ialah kakak ipar aku, kak Siti yang bekerja sebagai pegawai pentadbir di
UNIMAS. Dengan harapan dia tahu bagaimana hendak menyelesaikan masalahku.
Namun, tanggapanku meleset apabila sistem yang dijalankan di UKM adalah berlainan dengan
UNIMAS. Namun, dengan rasa tanggungjawab, dia cuba hubungi seorang rakannya di
UKM untuk membantuku.
Asbab
hidayah Allah
Keesokan harinya, aku
menerima mesej dari seorang insan yang tak ku kenali. Kak Eton? Respon ku yang
pertama, apa agaknya nama penuhnya. Zaiton? Haha. Aku tergelak sendiri. Ada
juga nama orang macam ni pada zaman sekarang. Ah, abaikan! Apa yang penting pada
saat ini ialah, aku boleh minta bantuan dia. Dengan takdir Allah, nasib baik
kak Zaiton ni sanggup tolong aku. Bertubi-tubi soalan aku tanya padanya.
Akhirnya, aku berjaya selesaikan masalah ‘negara’ yang aku hadapi. Senang
sahaja rupanya, buat malu je.
Hari demi hari berlalu,
aku melalui hari perkuliahan macam biasa. Pergi kelas dengan sahabat baikku,
Ain. Tiba-tiba kak Zaiton mesej bertanya khabar. Rupa-rupanya dia nak ‘offer’ nota Fizik dari kawannya.
Pelajar baru, kan. Tapi aku dah dapat agak taktik dia nak ajak aku join usrah.
Takkan terpedaya (sambil tangan bersilang ‘x’).
Usrah. Bukan perkara asing
bagi aku. Abang aku pun ikut usrah. Begitu juga kakak ipar ku. Malah mereka berkahwin
pun atas jalan tarbiyah. Bagi aku, usrah itu poyo. Aku tak nak join usrah, sebab
nanti kena pakai tudung labuh. Tak dapat aku bayangkan yang aku bertudung labuh. Macam ustazah masa sekolah
dulu. Susah nak buat kerja. Kena bajet-bajet baik macam tu. Aku baru sahaja beli
tudung. Tudung Syria yang sangat popular saat itu, ada dua lapis. Dah
masuk universiti, kena berfesyen sikit.
Kami pun berjumpa di
perpustakaan untuk dapatkan nota Fizik yang dijanjikan. Dengan beradab (dah
bagi nota), kami pun berborak sementara kak Zaiton menunggu kawannya, kak Asfa
yang menumpang motor dia. Nilai persahabatan yang dapat kurasai. Aku mulakan perbualan dengan berterus terang.
“Saya tak mahu join usrah tau, hehe”, dengan
selamba aku memulakan perbualan.
Kak Zaiton pun terkejut sebab dia tak cakap apa-apa pun. “Biasa ke
dengar perkataan usrah?”
“Ye, abang saya ikut usrah. Akak
mesti nak ajak saya ikut usrah, kan?”, saja meneka.
“Tak lah”, jawabnya, dengan muka ‘blur’. Oh ok, malunya aku.
Kami pun berbual-bual
sehingga masuk waktu Zohor. Aku pun meminta izin untuk pulang. Satu fakta yang aku
dapat pada hari tersebut ialah nama sebenar kak Eton ialah Halimatun Saadiah,
bukan kak Zaiton. Lega, sedap sikit namanya.
“Nak solat sama?”, pelawanya.
“Tak pelah,kawan saya tengah tunggu”,
fuh! nasib baik ada alasan.
Pengalaman pertama yang indah
Sejak hari itu, kami
semakin akrab. Kak Eton selalu menziarahi ku di bilik, kami solat sama-sama, qiamullial
sama-sama, baca al-quran sama-sama, baca mathurat sama-sama. Tanpa mengajak aku
ke usrah. Pelik! Pada suatu hari, aku bertanyakan
tentang usrah.
“Seronok ke usrah? Semua tudung labuh
tak?”, tanyaku menantikan jawapan, dengan muka sedikit poyo.
“Cuba lah datang sekali, baru boleh
rasa,” hek?
“Bila?” Tanya aku dengan malu-malu.
“Esok jam 6.00 petang di surau
Burhanuddin Helmi.
Pengalaman pertama aku menghadiri usrah ini adalah kali pertama aku merasai sesuatu yang aku sendiri pun tidak tahu
apakah perasaan itu. Kalau nak rasa, kena lah join usrah. Taklah semua orang
tudung labuh. Hal ini membuat aku lebih selesa. Walaupun hanya tiga orang, tapi aku dah
rasa riuhnya dengan kehadiran Kak Tirah yang agak peramah.
Aku ingat itu adalah kali
terakhir aku pergi usrah tapi rupanya ia
merupakan tapak permulaan aku ke alam tarbiyah. Aku mula berjinak-jinak dengan
usrah sejak pertama kali aku join usrah lagi. Tak sabar untuk bertemu dengan
usrah seterusnya.
Itulah titik permulaan aku
berubah. Sedikit demi sedikit. Join
usrah, lazimi bacaan al-Quran, lazimi mathurat, ada jadual mutabaah,
sedaya-upaya bangun malam untuk berqiamullail. Satu perkara “unsangkarable”,
aku mula bertudung labuh. Nikmat apa yang Kau beri ini ya, Allah. Jelas! Tujuan
aku dihidupkan dan apa yang harus aku lakukan adalah, menjadi khalifah dan
beribadah kepada Allah. Apa yang harus dilakukan? Ya, sedarkan yang lain.
Tarbiyah ini mengajarku. Benarlah, bila kita inginkan kebaikan, Allah akan
hantar sahabat yang akan bantu kita menujuNya.
Inilah aku!
Dua tahun berlalu. Kini,
aku merupakan salah seorang aktivis PEMBINA, sayap belia bagi ISMA. Dengan
berbekalkan niat kerana Allah dan kefahaman yang jelas terhadap penggabunganku
dalam jemaah membuatkanku lebih yakin dan bersemangat. Kenapa PEMBINA? Kerana
PEMBINA mempunyai fikrah yang jelas dalam mentarbiyah belia dan membangun jati diri muslim. Matlamat ku kini
telah berubah. Aku mula mengajak rakan-rakan ku ke arah kebaikan dan membangun
umat bersama (ila mardhotillah).
Matlamat yang ingin ku capai dalam pelajaran pula telah berubah daripada meraih
dekan kepada dekan untuk ummah. Jalan ini memang payah tapi akan ku tempuh jua
kerana tarbiyah ini mengajarku tentang Islam sebenarnya.
Wallahu’alam
Petunjuk:
Unsangkarable=
perkara yang tak disangka-sangka
Siti
Asyuhra bt. Abdul Rahman
Biro
Pembangunan Sumber Manusia
PEMBINA UKM
Thursday, 27 February 2014
Anugerah Dekan: Satu Tuntutan Bagi Mahasiswa Islam
BANGI, 26 Feb – “Yang menciptakan mati dan hidup untuk
menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya, jadi kita harus
berusaha bersungguh-sungguh dan menjadi hebat dalam segenap aspek.”
Ulas Dr. Muhammad Faysal Bin Tajurudin di dalam Usrah Umum
bertajuk ‘Kalau Aku Dekan’ yang berlangsung di Kolej Tun Hussein Onn (KTHO),
UKM selepas solat maghrib berjemaah.
Beliau yang merupakan lulusan Sarjana Muda Perubatan di
Mesir dan juga aktivis ISMA turut berkata, “Cara kita dalam membalas jasa
Rasulullah selain mengamalkan sunnahnya, adalah dengan berjuang sehingga
termasuk dalam golongan umat yang terbaik, serta menjadi contoh kepada
masyarakat.”
“Rahsia paling penting dalam berjaya adalah hubungan kita
dengan Allah.”
“Semakin kuat hubungan kita dengan Allah, semakin bertambah
kekuatan untuk belajar dan kita perlu rasa, Allahlah yang memegang kejayaan,
sebaliknya usaha hanyalah asbab sahaja kerana jika Dia tidak mengizinkan, kita
tidak akan berjaya.”
“Barangsiapa menuju ke jalan untuk mencari ilmu, Allah akan
memudahkan jalannya ke syurga”, tambah beliau lagi.
Walaubagaimanapun, indikator kedekanan itu bukan hanya
terletak kepada cemerlang belajar sahaja, malah seseorang itu harus cemerlang
dari aspek rohani, jasmani, emosi dan akhlak.
Beliau turut berkata lagi, untuk cemerlang seseorang itu perlu
bergaul dengan masyarakat atau lebih baik, menjadi pemimpin dalam satu-satu
persatuan supaya kita mampu mempengaruhi masyarakat. Di saat itulah seseorang
itu layak mendapat anugerah dekan.
Beliau juga sempat menyuntik semangat hadirin, supaya pemuda
bangkit dari kegelapan dan lahirkan pemuda yang mempunyai ciri-ciri Islam yang
soleh, berjiwa besar dan bercita-cita tinggi.
Wartawan PEMBINA UKM
Mahasiswa Perlu Sedar, COMANGO Bukan Isu Politik
BANGI, 21 Feb – “Hak Asasi Manusia (HAM) menurut Islam
sangat jauh berbeza dengan Barat iaitu seperti yang dituntut COMANGO.”
Demikian kata aktivis PEMBINA UKM, Hanafi B. Muidnudin
selaku panel ketiga dalam Forum ‘COMANGO Pengkhianat Negara’ yang berlangsung
di Dataran Panggung Seni, UKM.
“Hak asasi yang dituntut oleh COMANGO adalah salah kerana ia
sangat bertentangan dengan syarak Islam, di mana tuntutan-tuntutan yang mereka
bawa ini memang sah menunjukkan kebebasan mereka dalam membuat rujukan tanpa
panduan dan pegangan kepada agama”, tambah beliau lagi.
Saudara Hanafi turut berkata, tuntutan COMANGO yang bersifat
liberal pada hakikatnya memberi mudarat yang sangat besar kepada negara
Malaysia, menghancurkan jati diri pemuda dan pewaris bangsa.
Beliau berkata, pertubuhan-pertubuhan liberal seperti Sister
in Islam (SIS), Institut Kajian Dasar (IKD) dan Islamic Renaissance Front
(IRF) sedang berusaha keras mensasarkan ideologi liberal pada golongan
mahasiswa. Contohnya, IRF yang menganjurkan Forum ‘Homosexual: Rights or
Crime?’ di UIA seolah-olah hendak mempertikai hukum Tuhan yang sudah jelas
jawapannya.
“Jadi, kita sebagai mahasiswa perlu sedar, isu COMANGO ini
bukanlah isu politik yang kita nak bawa, tetapi, ianya adalah isu akidah.
Mahasiswa perlu bangkit kerana masa depan negara bergantung kepada pemuda hari
ini”, ujar beliau kepada hadirin.
Beliau menyeru semua belia dan mahasiswa mencakna isu
COMANGO dan masalah-masalah umat di serata dunia. Beliau berkata jika belia dan
mahasiswa hari ini masih tidak berubah, kemungkinan negara Malaysia akan mundur
dalam masa 10 tahun akan datang.
Wartawan PEMBINA UKM
Wednesday, 26 February 2014
TUNTUTAN COMANGO SEPERTI BUDAK KECIL
BANGI, 21 Feb – ”Kalau kita baca satu persatu tuntutan
COMANGO, mereka seperti budak kecil yang suka mengadu. Mereka
seolah-olah ‘mengada-ngada’ pada UN, menceritakan satu persatu apa yang telah
berlaku dalam Malaysia.”
Demikian komentar oleh Presiden Persatuan Belia Islam
Nasional (PEMBINA), Ustaz Ibrahim Mohd. Hassan sewaktu membaca
beberapa petikan dalam laporan penuh COMANGO ketika berlangsungnya Forum
‘COMANGO Pengkhianat Negara’ di Dataran Panggung Seni, UKM.
“Contohnya, dalam isu kebebasan agama, mereka mengadu bahawa
pihak gereja tidak dibenarkan menggunakan Kalimah Allah dalam ‘Herald Weekly’,
mereka mendakwa larangan ini mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama”
tambah beliau lagi.
Ustaz Ibrahim berkata, tidak dinafikan sememangnya terdapat
beberapa tuntutan COMANGO yang benar-benar memperjuangkan hak asasi manusia
seperti gaji minimum pekerja dan sebagainya. Walaubagaimana pun, beliau
mengingatkan supaya umat Islam perlu memahami tabiat musuh Islam yang tidak
akan menyerang Islam secara terang-terangan, sebaliknya mereka akan menggunakan
muslihat.
Di samping meletakkan tuntutan hak asasi manusia yang
benar, COMANGO juga mengambil kesempatan dengan meletakkan tuntutan
yang mengancam Islam seperti tuntutan kebebasan beragama yang bertujuan
membenarkan orang Islam murtad sewenang-wenangnya.
Beliau turut menyentuh isu NGO yang terlibat dalam COMANGO
ini, antaranya ialah Sisters In Islam (SIS). Perjuangan mereka dalam
menghapuskan hukum syariah ini jelas sewaktu mereka membela kes seorang model
yang beragama Islam, Sri Kartika Dewi. Walaupun Kartika menuntut supaya dirinya
dihukum mengikut syariat, namun golongan SIS tegas menghalang tindakan JAKIM
melaksanakan hukuman terhadap model terbabit.
“Sebenarnya, badan-badan NGO ini menerima dana yang
berpuluh-puluh ribu USD untuk mempromosikan liberal kepada seluruh negara”
“Taktik mereka juga sangat halus, iaitu dengan menggunakan
proksi dalaman untuk bawa agenda barat dalam kalangan masyarakat di Malaysia
supaya orang kita tak nampak ianya adalah sebuah ancaman”, jelas beliau
lagi tentang penyebaran fahaman liberal di Malaysia.
Ustaz Ibrahim juga menyeru kepada seluruh umat Islam
terutamanya golongan belia dan mahasiswa supaya manfaatkan laman media sosial
seperti Facebook dan Twitter untuk menyebarkan maklumat mengenai ancaman
COMANGO terhadap Islam di Malaysia.
Umat Islam Perlu Bersatu Sebagaimana COMANGO Bersatu
BANGI, 21 Feb – “Jika kita ingin melihat masa depan negara
tersebut, lihatlah pemuda-pemudi pada zaman tersebut”, ujar Ustaz Muhammad
Fauzi Asmuni , Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang
merupakan ahli panel di dalam Forum ‘COMANGO Pengkhianat Negara’ yang
berlangsung di Dataran Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Ustaz Fauzi telah menerangkan kedudukan Islam yang kukuh di
Malaysia dari sudut perlembagaan, institusi agama dan pembudayaan. Beliau
menyifatkan tuntutan COMANGO benar-benar mengancam Negara.
Beliau juga menyeru agar masyarakat Islam terutamanya
golongan belia supaya menghadkan masa melayari laman media sosial seperti
Facebook dan Twitter, sebaliknya lebih peka dan serius dalam memahami strategi
jahiliyah yang halus dan penuh muslihat seperti tuntutan COMANGO, yang
merupakan kesinambungan tuntutan IFC sebelum ini.
Beliau berkata Saidina Umar r.a. pernah menyebut, “akan
terungkai rungkaian Islam satu demi satu, apabila lahir dalam Islam satu generasi
yang tidak faham jahiliyah”.
Ustaz Fauzi turut berkata belia sekarang lebih berminat
dengan dua perkara, iaitu politik dan cinta, di mana perkara ini tidak terlalu
berat untuk mereka fikirkan berbanding permasalahan ummah.
“Sedangkan politik itu adalah pengurusan untuk melaksanakan
Islam dalam kehidupan, akan tetapi, orang sekarang ini melihat politik sebagai
sesuatu yang berpuak-puak dan lebih fokus kepada parti politik jika
dibandingkan dengan apa yang diperjuangkan.”
“Umat Islam perlu bersatu sebagaimana COMANGO bersatu!”,
saran Naib Presiden ISMA kepada hadirin yang hadir.
Forum ini dianjurkan bersama oleh Kelab Penyayang UKM, Rakan
Muda IPT dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Cawangan Bangi dalam
Karnival Kembara Islam di UKM. Forum ini telah mendapat perhatian daripada
mahasiswa dan mahasiswi UKM. Kira-kira 100 orang telah menghadiri forum ini
untuk mencakna isu COMANGO.
Wartawan PEMBINA UKM
Thursday, 20 February 2014
Minda Liberal Perosak pemikiran Belia
Terkejut apabila seorang sahabat
memberikan link artikel yang bertajuk ‘Liberalisme, Pluralisme anak muda
semakin melebar’. Kemudian terpampang pula wajah anak muda yang diketengahkan
iaitu Khalid Ismath dan Adam Adli. Apa yang bermain difikiran saya ketika itu,
mereka ini adalah anak muda yang sangat berani. Berani melontarkan ideologi
liberal yang merosakkan. Di sini tiada keraguan yang ingin saya katakan tentang
Khalid Ismath yang terang-terangan mengaku dirinya sebagai pengikut ajaran
sesat Syiah. Manakala Adam Adli yang menjadi anak muda sanjungan parti
pembangkang Pakatan Rakyat yang sering mengungkapkan kata-kata yang berbaur
hasutan.
Malaysia Gazzate telah
menemuramah kedua anak muda ini tentang pandangan mereka terhadap Hak Asasi Manusia
dan perlunya agama lain diberi
kebebasan menyebarkan agama masing-masing. Apa jawapan mereka? Sila baca di
link ini, http://malaysiagazette.com/nasional/liberalisme-pluralisme-anak-muda-semakin-melebar#ixzz2tq1T5dY0
Saya
menulis bukanlah untuk mengulang kembali jawapan-jawapan yang dikatakan ‘minda terbuka’
oleh mereka akan tetapi tujuan saya adalah untuk membangkitkan suara anak muda
Islam yang menolak ideologi dan fahaman liberal yang dicanang-canangkan oleh
mereka berdua. Sungguh tidak adil sekiranya hanya golongan seperti mereka
sahaja yang menyuarakan pendapat sebegitu. Walhal ramai yang sedia maklum, apa
yang dibawa dan diperkenalkan oleh mereka hanyalah sebuah ideologi kotor yang jelas cuba mengaburi pemikiran cetek anak-anak
muda masa kini.
Mengulas sedikit fahaman dan
pendapat yang disuarakan Khalid Ismath iaitu mengapa harus dirisaukan masalah
murtad jika meyakini Islam adalah agama yang benar. Biar saya meletakkan
analogi seperti ini, mengapa kita mengangkat pakaian bila awan sudah mendung
sedangkan kita tahu yang matahari akan muncul, Tuhan akan keluarkan kepanasan
agar pakaian itu kering kembali. Apa yang boleh saya katakan di sini ialah,
sikap percaya pada Islam itu sesuatu yang baik, tapi ini bukan bererti yang
kita boleh menutup mata membiarkan masalah yang mengecam nasib Islam,
memurtadkan penganutnya, dibiarkan begitu saja. Allah menyuruh hamba-Nya
berusaha untuk menegakkan kalimah-Nya, mempertahankan agama-Nya. Bukan sekadar
berdakwah tetapi apabila ummat dalam kemelut dilema untuk dimurtadkan kita
hanya biarkan saja. Tiada usaha di situ. Ibarat kita membawa harta yang banyak
tetapi beg yang kita bawa itu terkoyak. Dan kita hanya membiarkan saja kerana
yakin pada takdir yang kita masih ada rezeki. Tidakkah itu kerja yang sia-sia?
Menyampaikan dakwah tetapi tidak mempertahankan agama. Jika Khalid Ismath
mendakwa orang yang cuba mempertahankan Islam daripada dimurtadkan dengan
memerangi dakyah kristian sebagai takut pada bayang-bayang sendiri.
Seterusnya, beliau juga menyebut
tentang hak kesamarataan di mana agama lain juga mempunyai hak untuk berdakwah,
saya tidak mahu mengulas lanjut tentang hal ini. Tetapi izinkan saya meletakkan
soalan ini untuk pembaca fikirkan. Apakah yang telah kita lakukan untuk
mengekang masalah dakyah kristian yang memurtadkan ummat Islam dengan wang
ringgit, penulisan dan pujukan? Adakah dengan bersangka baik dan teruskan
dengan dakwah itu sahaja mencukupi? Apa yang akan kita jawab pada Tuhan satu
hari nanti bila ditanya tentang usaha kita mengekang masalah ini? Silakan jawab
wahai pembaca budiman. Adakah berbaloi membiarkan begitu sahaja hanya dengan
pegangan yang semua manusia ada hak yang sama rata untuk menyebarkan agama
masing-masing, seperti perjuangan hak kesamarataan yang dilaung-laungkan oleh dua
anak muda ini?
Sama-sama kita fikirkan.
Sebagai belia yang berilmu dan
inteletual, kita hendaklah mendalami dan memahami setiap inci percakapan yang
diutarakan oleh golongan liberal seperti ini. Benar, kita harus berfikiran
terbuka dan mempelbagaikan cara dalam berdakwah akan tetapi bukan dengan cara
memutar-belitkan fakta dan memanipulasikan kisah-kisah Rasulullah untuk hujahan
umum.
Islam itu adalah agama yang benar
dan tiada agama yang diterima di sisi Allah melainkan Islam seperti mana yang
telah dirakamkan di dalam al-Quran, surah ali-Imran ayat 19, firman Allah SWT, yang
bermaksud, “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai)
di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan
Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya)
melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang
kebenarannya (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada
dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat
keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.”
Sabrina Zaifulizan & Nurul Hajjar Atan
Aktivis PEMBINA Bangi















.jpg)








