Friday 17 October 2014

JEMAAH: Pilihan di Tangan Anda


Jika kita mengikuti perkembangan dakwah di Malaysia, kita dapat lihat terdapat bermacam-macam jemaah atau persatuan islamiah yang diwujudkan oleh individu atau kumpulan tertentu bagi membantu kaum muslimin untuk memperkukuhkan fahaman islamiah dalam diri mereka. Namun begitu,terdapat juga jemaah atau persatuan yang berselindung disebalik nama Islamik tetapi sebenarnya membawa ideologi songsang yang boleh menyesatkan umat islam.

Sesebuah jemaah atau persatuan yang diwujudkan pasti mempunyai matlamat tersendiri yang ingin dicapai. Jika ditelusuri kembali sejarah silam, bermulanya penubuhan jemaah islamiyah terawal adalah datangnya dari semenanjung tanah arab iaitu bermula dari Mesir. Dimana jemaah pertama yang diwujudkan adalah jemaah Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Imam Syahid Hassan Al-Banna. Tujuan utama beliau menubuhkan jemaah Ikhwan Muslimin  ini adalah untuk membantu masyarakat Islam di Tanah Arab pada ketika itu yang semakin jauh dari ajaran Islam yang sebenar walaupun mereka hidup di tanah yang lahirnya ramai para nabi dan para solihin. Disebabkan berlakunya penaklukan dari warga asing ke atas Tanah Arab  menyebabkan banyak fahaman atau ideologi luar yang dibawa masuk ke Semenanjung Tanah Arab lantas mencairkan nilai-nilai Islam dalam diri kaum muslimin pada ketika itu.

            Disebabkan semangat yang tinggi untuk membantu menegakkan kembali syiar Islam di bumi anbiya ini maka Imam AS-Syahid Hassan Al-Banna merasa bertanggungjawab untuk membantu menyedarkan kembali masyarakat sekitar Semenanjung Tanah Arab supaya kembali mengamalkan ajaran Islam yang sebenar. Lantas,beliau menubuhkan sebuah harakah (gerakan) islamiyah bagi mempersatukan kembali umat Islam pada ketika itu. Walaupun telah sedekad lalu harakah ini ditubuhkan namun ia masih bertahan hingga ke hari ini malahan ahli jemaahnya juga semakin bertambah dan telah mampu bertebaran di serata Tanah Arab.

Daripada sejarah penubuhan harakah islamiyah yang terkenal sehingga ke hari ini, terdapat banyak pengajaran yang dapat kita pelajari daripada kisah tersebut. Antaranya ialah kefahaman yang benar-benar mantap dari peringkat pimpinan hinggalah ke anak buah memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu mengemudi jemaah yang dibawa. Ahli jemaah harus faham mengapa mereka perlu berada dalam sesuatu jemaah, bukan hanya mengikut somborono sesuatu jemaah itu. Mereka juga harus faham matlamat sebenar yang ingin dibawa oleh jemaah tersebut.

Selain itu, nilai tarbiyah atau didikan yang hebat dari pimpinan membantu menghasilkan  anak-anak buah yang sama-sama hebat serta memahami kepentingan dan tugas yang perlu mereka lakukan bagi membantu mengislahkan masyarakat. Sekiranya didalam sesuatu jemaah itu mengajarkan anak buahnya perkara yang tidak elok maka akan terhasilnya individu-individu yang turut mempunyai akhlak yang tidak elok. Perkara sebegini adalah sangat perlu dielakkan terutamanya memburukkan jemaah lain. Sekiranya jemaah tersebut merasakan jemaahnya hebat ia tidak perlu memburukkan jemaah lain kerana perbuatan tersebut mencerminkan bahawa didikan yang diberikan kepada ahlinya adalah satu didikan yang tidak elok,dimana ia sanggup memburukkan saudara seislamnya sendiri bagi menutup kesalahan yang dilakukan. Jelas disini bahawa jemaah seperti ini lah yang tidak perlu diikuti kerana mereka tidak mahu bersama-sama membantu individu yang ingin menegakkan syiar Islam malahan ingin menjatuhkan individu atau jemaah itu pula.

Disebabkan terdapat pelbagai jemaah islamiyah di Malaysia yang masing-masing membawa agenda tersendiri membuatkan ada hati-hati suci yang tidak mahu tersilap langkah dalam mendapat pentarbiyahan yang sebenar. Lantas menjadikan hati-hati ini keliru memilih jemaah yang mana satukah yang harus diikuti. Perlu difahami bahawa Allah swt tidak melihat kepada jemaah apa yang kita ikuti tetapi Allah melihat apakah yang telah kita lakukan untuk membantu umat sewaktu berada dalam jemaah A atau B. Sekiranya kita masuk ke dalam jemaah yang paling hebat sekalipun tetapi kita tidak mampu untuk menyumbang walau sedikit sewaktu berada dalam jemaah tersebut maka tiada nilai sedikit pun jemaah yang hebat itu pada pandangan Allah.

            Tidak kisah jemaah apapun yang ingin dimasuki tetapi yang paling penting adalah jemaah tersebut betul-betul dapat membawa kita kepada Allah dan Rasul. Jemaah yang benar-benar membawa kita kepada Allah dan Rasul adalah jemaah yang mempunyai pegangang akidah yang benar iaitu berpegang dengan akidah ahli sunnah wal jamaah kerana sekiranya jemaah yang diikuti tidak mengikuti akidah yang benar dan terpengaruh dengan ideologi-ideologi liberalism, sekularisme dan lain-lain lagi maka tiada nilai jemaah yang hebat itu. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Orang Yahudi terpecah menjadi 71 golongan dan orang Nasrani terpecah menjadi 72 golongan, adapun umatku akan terpecah menjadi 73 golongan." (HR Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Tirmidzi, Nasai’ dan Ibnu Majah). Dalam riwayat lain ditambahkan: “... kesemuanya berada dalam neraka kecuali golongan yang tetap berpegang teguh pada ajaranku dan ajaran para sahabatku.”  Jelaslah daripada hadis ini bahawa,akidah yang benar sangat penting kerana sekiranya jemaah yang diikuti membuatkan seseorang itu terpesong dari akidah yang sebenar maka sia-sia sahaja pengorbanan yang dia lakukan sewaktu berada dalam jemaah tersebut.
Wallahu a’lam.


Nor Syamimi Che Johari

Ketua Beliawanis Pembina UKM 

0 comments:

Post a Comment

poster promo ikhwah
picture hosting