Wednesday 15 February 2017

CERPEN: ANDAI INI TAKDIRKU



Ketika kaki ini melangkah, ia lemah. Ketika ia berpijak di bumi yang penuh ranjau ini, rasanya berat di mana hati yang merasa beban. Ya, aku terasa beban. Kenapa? Kenapa? Kenapa? Berulangkali aku memikirkannya dan aku sudah dapat jawapannya.

Aku ‘penat’ dengan sandiwara dunia ini. Yakni, dek perihal manusia kini penuh dengan hati yang kejam! Kerana bermacam-macam yang diisi untuk diri sendiri. Aku ‘letih’ dengan tingkah laku manusia di zaman yang berbaur cacian ini. Aku lelah memikirkan semua ini. Terkadang, aku terasa seperti ingin lari. Lari jauh daripada manusia, lari daripada dunia ini. Namun aku tahu semua ini hanya sia-sia. Aku tidak mampu menolak takdir yang terukir untuk aku ini.

Perancangan Yang Maha Mengetahui. Ya, aku tahu Dia merencanakan sesuatu yang lebih baik daripada sangkaan aku. Aku sedar, aku harus menerima semua ini dengan hati yang terbuka. Tetapi, kengkadang suara hati ini berbisik untuk mengendahkan semua itu. Ya, aku berhak untuk bahagia. Jika manusia boleh kejam terhadap diri aku, aku juga boleh kejam terhadap mereka! Salahkah kerana aku tidak mampu untuk berfikiran seperti mereka?

Ketidaksempurnaan. Ya, aku dilahirkan tidak sempurna akal. Aku mengalami kecacatan akal fikiran dan tidak boleh berfikiran dengan baik sejak kecil lagi. Alhamdulillah, syukur kepada Allah, di sebalik kekurangan ini masih ada yang mahu menerima diri ini. Cuma, segelintir daripada mereka masih tidak mahu untuk menerima kekurangan aku.

Kejam. Ya, mereka yang kejam terhadap kekurangan aku. Mereka yang telah mentertawakan aku dengan kelemahan yang ada pada diri aku. Adakah aku tidak berhak untuk merasa bahagia tanpa cacian dan pandangan keji mereka itu? Aku juga punya hak untuk bahagia. Kenapa manusia terlalu mementingkan kesempurnaan fizikal tetapi hati yang satu itu tidak dapat dijaga dengan sempurna? Kenapa mereka mengeji aku yang kurang cerdik ini? Pandai! Pintar! Bijak! Tidak sama sekali, kata-kata ini yang diucap mereka itu namun sebaliknya. Kata-kata mereka itu masih meresap dan melekat pada dinding hati ini.

Akal. Kerana akal, mereka mentertawakan aku kerana aku tidak seperti mereka. Mereka menghina aku kerana tiada upaya melakukan perkara yang mereka anggap ‘kacang’. Namun, adakah mereka tahu beban yang aku tanggung saat ini?

Yang memahami. Cuma mak dan abah yang memahami aku. Orang yang paling banyak bersabar dengan aku. Mereka menjaga aku sejak aku lahir. Hingga aku sudah cukup dewasa untuk melihat erti sebenar dunia ini dari perspektif seorang insan. Terima kasih emak dan abah kerana memberikan aku cukup sempurna kasih sayang dan didikan agama.

Setiap kali aku hampir gusar dan putus asa dek kerana cacian mereka terhadap aku, mak dan abah akan menyuruh aku untuk berwudhuk. Kata mereka, wudhuk itu bukan sahaja diperlukan untuk sah solat tetapi boleh juga untuk merawati dan meredakan hati yang sakit dan penuh hiba. Benar. Disaat aku mengambil wudhuk, hati aku tenang setenang air laut dalam sehingga aku terbuai jauh melupakan hinaan terhadap aku. Bertambah tenang lagi pabila aku menghamparkan sejadah, bersujud kepada-Nya, bercakap dengan-Nya di dalam solat.

Di dalam doaku tersimpul satu harapan. Ya Allah, aku ingin redha dengan ketentuan ini. Andai ini takdirku, biarlah aku menerimanya dengan hati yang ikhlas. Kuatkan aku untuk menghadapi ujian dunia ini. Aku tahu, penat ini akan membuahkan hasil apabila aku pergi meninggalkan dunia ini suatu hari nanti. Aku ingin berada di syurga, bersama-sama orang yang aku sayang. Dan aku yakin Allah akan memakbulkan doa hamba-Nya yang kerdil ini. Kerana doa yang termakbul terletak pada keyakinan dan ketakwaan seorang hamba terhadap pencipta-Nya.

Hari ini, aku diuji. Dengan berbekalkan keimanan yang aku andaikan senipis kulit bawang, yang kadangkala turun dan naik. Aku masih berdiri walaupun terkadang goyah. Lalu tangan ini memohon, meminta, dan merayu kepada-Nya agar dimakbulkan doaku ini. Doa seorang pendosa tanpa noktah.terlalu banyak dosanya hingga dirinya berasa hina sebagai seorang hamba-Nya.

Namun, Allah itu Maha Pengampun, Maha Mengasihani. Alhamdulillah. Dia memakbulkan doa yang aku panjatkan bersama satu harapan bahawa Dia pasti akan memakbulkan doaku. Dia pasti akan makbulkan doa hamba-Nya yang sentiasa percaya akan kekuasaan-Nya. Maka, pesanku doa itu senjata untuk orang orang yang beriman kepada-Nya. yakinlah bahawa Dia sentiasa ada disisimu. Suka ataupun duka.

Nor Faziera Hamid, Merah, Universiti Malaysia Kelantan.

0 comments:

Post a Comment

poster promo ikhwah
picture hosting