Monday 19 August 2013

Why-Not-Me, atau, Why-Me?

                                         

Sebagaimana di dalam pasukan tentera mempunyai A-Team yang menjadi sebuah kumpulan elit yang benar-benar terlatih, sebegitulah sebuah pasukan amal jamaie di dalam gerakan dakwah.
A-Team di dalam ketenteraan menjalani misi khusus yang sukar, menjadi nukleus penggerak dan sentiasa merancang dan bekerja bersama-sama. Pasukan amal jamaie dalam dakwah juga sayugianya cantik tersusun dalam perancangan dan amal.

A004
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” [As-Saff 61:4]

Untuk bergerak dalam kumpulan dengan susun atur yang kemas, memerlukan latihan bertahun-tahun. Satu pasukan akan terdiri daripada pelakar idea, pentadbir, pelaksana, pemotivasi, peneliti, dan pengkritik. Boleh jadi sebahagian peranan itu dimainkan oleh seorang individu, boleh jadi setiap satu orang memegang satu watak sahaja. Kesemuanya memainkan peranan penting dalam menjayakan sesebuah visi dan misi mengikut tempoh yang diberi.
Dalam pada menjayakan projek-projek dakwah, pembahagian tugas adalah sesuatu yang sangat penting. Lebih penting lagi, memilih orang yang sesuai dengan tugasan tersebut. Dan para qiyadah biasanya akan berhadapan dengan kerenah ikhwah akhawat yang bermacam ragam pada masa genting ini.
***
Antara dilema para penggerak amal dakwah pada saat diberi tugasan adalah gagal di langkah pertama lagi, iaitu gagal yakin dengan kemampuan diri sendiri untuk melunaskan tanggungjawab tersebut. Ini bukan bermakna kita menyeru kepada sikap over-confident yang boleh membawa kepada sifat busuk hati (riya’, ujub dan sebagainya), tetapi lebih menyarankan agar kita menjadi “The Why-Not-Me Person”. Bukan “The Why-Me Person”.

“The Why-Not-Me Person” adalah orang yang berani.
Boleh jadi dia seorang yang over confident, tetapi kadang-kadang dia memilih untuk memiliki kepercayaan kepada diri sendiri. Selagi dia punya percaya diri, dia akan menolak momentum dirinya agar mencapai par yang dimatlamatkan.
Sesekali masa, tersadung langkah juga. Tapi lebih baik berlari, tersadung dan bangkit semula, jika dibanding dengan melangkah perlahan yang tak sampai ke tujuan, semata-mata risaukan terjatuh di tengah jalan. Ragu-ragu tetap ada, tetapi tanggungan yang ada telah menolak dirinya untuk bergerak.
من تحرق تحرك
Barangsiapa yang ‘terbakar’, dia akan bergerak.


Dia tidak memilih tugasan, tetapi sekali dia dipilih untuk menyiapkan tugasan, dia akan melakukannya. By hook, or by crook.


“The Why-Me Person” 
Orang yang selalu bertanyakan dirinya “Why Me?” ketika disua tugasan, kebiasaannya bersikap ragu-ragu dengan dirinya sendiri.

Sama ada bimbangkan ketidakmampuan diri memikul amanah yang berat atau merasakan tugasan tersebut kurang sesuai dengan keadaan dirinya. Orang yang gemar bersikap sebegini lebih banyak berfikir sebelum bergerak. Dari satu sudut, ia bagus untuk ada sifat berhati-hati mengambil tugas menurut kemampuan peribadi, tetapi dari sudut yang lain, orang ini jarang memenangi perlumbaan amal.
Motivasi dalam diri perlu diperkuat lagi. Vitamin-vitamin semangat perlu didatangkan dari sumber eksternal, barulah “The Why-Not-Me Person” boleh berfungsi lebih laju.
Kesimpulannya, dalam kalangan pemuda dakwah, kita perlu ramaikan lagi “The Why-Not-Me Person”. Memfungsikan diri kita pada tempat dan masanya yang sesuai, adalah kewajipan, bukan lagi pilihan.
Kepada yang gemar mengelak dari amal, sama-sama kita beringat…
A095
“Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman – selain daripada orang-orang yang ada keuzuran – dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar.” [An-Nisaa' 4:95]

***

Hassan al-Banna telah berkata:
“ Saya mahu berterus terang betul-betul dengan kamu kerana tiada guna lagi saya berselindung.
Medan cakap tidak sama dengan medan khayal. Medan amal pula bukan medan cakap. Medan jihad tidak sama pula dengan medan amal. Medan jihad yang betul tidak sama pula dengan medan jihad yang silap.
Ramai yang mudah berkhayal namun tidak semua apa yang terbayang di kepala mampu diungkapkan dengan kata-kata. Ramai yang mampu bercakap namun hanya segelintir daripadanya yang mampu bertahan ketika beramal. Ramai di kalangan segelintir ini yang mampu beramal namun hanya segelintir sahaja di kalangan mereka yang mampu memikul bebanan jihad yang sukar dan amal yang nekad.
Para mujahid yang kecil jumlahnya ini mungkin juga akan tersilap jalan dan tidak menepati sasaran jika tidak dipelihara oleh Allah. Kisah Talut menjelaskan apa yang saya katakan ini.
Oleh itu, siapkanlah dirimu, bawalah ia dengan tarbiyyah yang betul, ujian yang ketat dan ‘test’ lah diri dengan amal, kerja-kerja yang berat, tidak disukai dan sukar. Kekanglah ia dari segala nafsu, adat dan kebiasaan yang biasa dilakukan oleh jiwa.”

Disediakan oleh:
Nabilah Mohd Yaakob
Ketua Wanita ISMA Jordan

poster promo ikhwah
picture hosting