Monday 24 March 2014

ANTARA DUA DARJAT: MANUSIA DAN HAIWAN


  Tengah hari itu berjerebu. Ramai yang duduk mengirim pesanan minuman sejuk daripada  pelayan restoran. Karim dan Abu tidak ketinggalan mengirim milo ais dan teh ais. Setelah melabuhkan punggung, Abu ternampak seorang dari kalangan pelanggan restoran yang makan di situ memberi sisa kepala ikan kepada kucing-kucing yang berkeliaran sekitar restoran tersebut.

Abu mula bersuara, “Mesti seronok kan jadi macam kucing? Hari-hari boleh meminta-minta makanan, makanan percuma, hidup bebas tanpa hutang PTPTN, pastu bila besar mengawan, dapat anak,besarkan anak. Kemudian boleh tidur kat mana-mana, dan ulang semula kitaran hidup sampai mati.”

Karim yang masih berpeluh itu membalas, “tu ah, seronok. Hidup happy go lucky  hari-hari. Hidup aman tanpa perang. Tapi kau kena ingat Abu, Allah menciptakan manusia lebih mulia daripada haiwan.”

“Tapi kenapa lebih mulia? Bukankah kedua-duanya makhluk ciptaan Allah?” Balas Abu. “Kerana kita dikurniakan akal, sungguhpun haiwan mempunyai naluri, tetapi tidak boleh mengatasi akal manusia. Meskipun kedua-duanya diberi nafsu oleh Allah, manusia mempunyai akal untuk memandu nafsu ke arah jalan yang diredhai Allah.” Jelas Karim dengan nada yang penuh lemah lembut.

“Teh ais satu, milo ais satu siap.” Pelayan itu memberi minuman kepada mereka. “Terima kasih bang,” Serentak Abu dan Karim membalas.

“Oooo, maknanya kalau kita megikut hawa nafsu, kita lebih rendah daripada haiwan. Tak gitu?” Dengan nada seakan-akan memahami Abu berkata.

“Ya, tentu sekali.” Karim menyambung, “Seperti dalam Surah Al-Furqan ayat 43-44, maksudnya:

Terangkanlah kepadaKu tentang orang-orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya, maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya. Atau apakah kamu mengira bahawa kebanyakan mereka itu mendengar dan memahami, mereka itu tidak lain hanyalah seperti binatang ternak bahkan mereka lebih sesat jalannya dari binatang ternak itu.                 (Al-Furqan,25:43-44)

Kita akan jadi lebih hina sama seperti haiwan ternak atau lebih lagi. Sebab asyik menurut nafsu makan,tidur,seksual dan sebagainya.”

“Tetapi sekiranya kita beriman, darjat kita lebih tinggi daripada malaikat. Kerana malaikat tidak mempunyai nafsu. Peperangan melawan hawa nafsu ini peperangan yang lebih besar dan berterusan, kita seharusnya sentiasa bermujahadah untuk melawan hawa nafsu,” Sambung Karim panjang.


Abu kini memahami bahawa akal manusia lah yang meninggikan darjat manusia melebihi haiwan. Memandangkan dia teringat teori Charles Darwin yang mengatakan manusia berevolusi dari binatang yang lebih rendah tahapnya dalam carta “phylogeny of  life” , dia mula bersuara, “Kalau macam Charles Darwin tu, kan dia berkata-kata menggunakan akal, apa lebihnya kita sebagai orang islam berbanding dia?”

“Oh, lebihnya kita sebagai orang islam adalah kita dikurniakan wahyu dari Allah s.w.t. Banyak ahli sains dari zaman gelap Eropah meninggalkan agama mereka kerana isi kitab mereka telah banyak diselewengkan oleh paderi-paderi mereka. Sedangkan Al-Qur’an yang menjadi pegangan kita ini telah dijanjikan Allah akan kekal sehingga hari kiamat, dan Al-Qur’an tidak mungkin bercanggah dengan hukum-hukum alam. Mana mungkin Kalamullah bercanggah dengan Pencipta sendiri kepada hukum-hukum alam ini? Justeru itu orang yang hanya menggunakan akal sahaja akan sesat, dan yang menurut wahyu Allah akan terpandu ke jalan lurus, walau mereka boleh maju dari segi ilmu dunia,” Karim membalas.

“Tapi,” Abu tertanya-tanya, “Bukankah umat islam yang ada Al-Qur’an di tangan mereka sepatutnya lebih maju berbanding orang barat?”

“Itulah peranan kita sekarang ini, kita kan belajar dalam bidang sains di universiti, kitalah yang akan menaikkan semula sarjana islam dalam bidang sains dan teknologi. Sekarang umat Islam mundur akibat penjajahan pemikiran dari barat, dan  masalah umat  islam sendiri yang tidak menyahut arahan Allah s.w.t. dalam surah Al-‘Alaq ayat satu hingga lima, yakni membaca dan menulis. Sesungguhnya kita masih kurang membaca dan menulis.”

Abu yang hanya mengangguk dari tadi kini semakin faham akan nilai akal dan wahyu yang diberi oleh Allah terhadap manusia. Milo ais yang disedut tadi semakin kurang isipadunya. 

“Weh, dah lambat ni, jom gerak.” Bicara Karim kepada Abu yang sedang asyik menggigit ais. “Aah, wokeh, wokeh.” balas abu dengan mulut penuh dengan ais.

“Mana kau belajar semua yang kau cerita kat aku tadi?” tanya Abu ketika memakai helmet.
“Kat Usrah.” Karim membalas ringkas
“Siapa anjur?”
“PEMBINA”
“Nanti aku follow eh.”
“Ikut  je laa.”
“Insya Allah.”


Najmuddin Bin Mohd Faudzir
Ketua Media PEMBINA UKM
Zoologi/1 UKM

0 comments:

Post a Comment

poster promo ikhwah
picture hosting