Thursday 25 April 2013

KEWAJIPAN MENGUNDI




Bahang PRU 13 mulai terasa. Di sana sini kelihatan bendera-bendera setiap parti berkibar-kibaran. Adakah timbul persoalan di dalam fikiran anda untuk mengundi dengan menilai berdasarkan parti atau calon. Ataupun kadang-kadang sesetengah masyarakat tidak mengendahkan suasana ini dan merancang tidak ingin mengundi.

Pada hakikatnya, menurut Ustaz Abdul Halim Abdullah sebagai ketua biro dakwah isma pusat, mengundi dalam pilihanraya adalah suatu proses penting dalam perjalanan negara dan pelaksanaan syarak itu sendiri. Ia adalah salah satu penentu dalam membina sesebuah negara dan umat. Membuat pemilihan dalam sesuatu pilihanraya adalah satu bentuk persaksian. Oleh itu tidak boleh seseorang muslim itu mengambil upah dalam mengemukakan persaksiannya. Pernyataan ini dikuatkan dengan hujah dalam Firman Allah swt bermaksud,      “Dan tegakkanlah persaksian itu kerana Allah” (surah At-Talaq: 2).

Terlibat dalam pilihanraya pula adalah wajib di segi syarak dan di segi kenegaraan. Tujuan mengundi ialah untuk memilih yang terbaik yang akan bekerja untuk kebaikan dan kebahagiaan umat, menyatukan dan membangunkan mereka di kedua-dua aspek moral dan material, menyelesaikan permasalahan dan menjauhkan umat dari kepincangan dan bahaya. Adalah wajib memberi undi kita kepada mereka yang mengajak ke arah mengembalikan keagungan dan kepimpinan umat ini, mengembalikan struktur dan kedudukan umat Islam di tengah-tengah umat di dunia. Jika tidak ada calon seperti itu, maka dipilih calon yang terbaik yang ada, yang mahu menyebarkan kebaikan, membanteras mudharat dan kerosakan masyarakat, menjaga amanah dan menjalankan tanggungjawab. Adapun memberi undi di atas asas kabilah dan asabiah calon tanpa mengenali hal keadaannya, maka ini adalah amalan yang tidak sihat.

Jika kita melihat realiti masyarakat sekarang, mereka lebih melihat kepada blok-blok politik kepartian tanpa meneliti pemimpin atau calon yang akan meneraju mereka. Oleh itu, saya menyeru kepada semua generasi khususnya para mahasiswa yang akan mewarisi kepimpinan Negara akan datang supaya bukakan minda anda dan jauhi ketaasuban kepartian. Anda perlu mengubah pemikiran dengan memilih dan mengundi calon yang akan menjadi pemimpin akan datang adalah seorang muslim yang berwibawa tanpa memandang kepada parti.

Para pewaris Negara sekalian,

Allah telah berfirman dalam al-Quran berkaitan larangan memilih pemimpin yang tidak mempertahankan agama. Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Maidah ayat ke-57 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman!Janganlah kamu menjadikan pemimpinmu orang-orang yang membuat agamamu menjadi bahan ejekan dan permainan, (iaitu) di antara orang-orang yang kafir (orang musyrik). Dan bertakwalah kepada Allah jika kamu orang-orang beriman.”

Dalam surah An-Nisa’ juga turut menerangkan mengenai kepimpinan iaitu dalam ayat 139 yang bermaksud:

“(iaitu) orang-orang yang menjadikan orang kafir sebagai pemimpin dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Ketahuilah bahawa semua kekuatan milik Allah.”

Hujah al-Quran dikuatkan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
 “Barang siapa yang melantik seorang lelaki untuk mengurus dan memerintah satu kaum sedangkan ada di kalangan mereka yang Allah lebih redha daripada lelaki tersebut, sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman” (Hadis riwayat dari Ibnu Abbas).


Oleh itu, berdasarkan hujah al-Quran dan hadis Rasulullah tersebut, maka kita sebagai seorang muslim menjadi kewajipan kita memilih pemimpin yang beragama Islam dan berpegang teguh kepada ajaran Islam. Selain itu, pemimpin tersebut perlu berakhlak, amanah dan menjaga kesejahteraan Negara.

Kesimpulannya, mengundi dalam pilihan raya adalah wajib bagi kita sebagai rakyat untuk memilih pemimpin yang bakal memimpin Negara kita. Mengundi adalah persaksian kita dan penentu kepada masa depan depan Negara. Sekiranya kita percaya dan berpegang teguh dengan al-Quran dan Sunnah, maka kita pasti memilih pemimpin yang diredhai Allah. Jauhilah permusuhan dan bukalah minda kita. Fikir dan telitilah dengan sebaik-baiknya.

rujukan:
1. http://www.ismaweb.net/v4/2010/05/allah-melaknat-jual-beli-undi-pilihanraya/ustaz Abdul Halim
2. www.arusbaru.my/kewajipan mengundi calon muslim berwibawa.



Siti Nor Azizah Bt Abdul Majid
Bendahari PEMBINA UKM
Pengajian Arab dan Tamadun Islam

poster promo ikhwah
picture hosting