Thursday 16 May 2013

Bila Sudah Jatuh Hati: 1 Mesej Received



“1 message received” tertera di handphone murah 2nd hand saya. Tak lama pastu, masuk lagi “message”. Saya pun membuka dan memerhatikan satu persatu isi kandungan sms. Bila dibuka inbox email dan FB, lebih kurang perkara yang sama yang saya terima daripada rakan-rakan saya dari Mesir dan luar negara sendiri. Belum campur panggilan telefon dan lain2 yang saya hadapi.

“Ustaz, hati saya dah kering. Baca Quran pun tak rasa apa-apa. Solat pun tak khusyuk. Tolong saya ustaz”.

“Saya rasa saya tak layak untuk dakwah ini. Saya takut bila grad dan kerja nanti ustaz. Sekarang teori boleh la. Kalau ikhwah tak jaga saya, saya confirm saya hanyut dengan kerjaya!”

“Dakwah kita sekarang terlalu sibuk. Saya tidak boleh tidur malam memikirkan perkara ni. Hubungan dengan ikhwah dah macam syarikat. Kering. Kering. Kering. Adakah ikhwah masih lagi ikhwah?

“Urusan perkahwinan saya bermasalah ustaz. Saya rasa macam ditipu je oleh ikhwah!”

“Ustaz, bagaimana kita hendak pastikan suasana ruhi dan ukhawi dalam meeting dan pengurusan dakwah kita ya? Sekarang suasana kering-kering je. Semua bekerja nak mengejar2. Rindu saat basah-basah dahulu. Ada ke zaman Hasan al-banna istilah kering-basah?”

“Geram saya tengok ikhwah di kawasan saya. Semua benda tak jalan. Takkan semua benda saya nak buat dan saya yang nak mulakan. Penatlah saya!”

“Saya rasa kami dianak-tirikan oleh pimpinan. Terkontang-kanting kami kat sini. Tolonglah! Tolonglah!”

Dan bermacam-macam lagi CURHAT (curahan hati, istilah pendakwah Indonesia) yang saya hadapi akhir-akhir ini. Semoga Allah memberi saya kekuatan untuk terus mendengar dan membantu permasalahan yang dihadapi pendakwah-pendakwah muda yang bersemangat untuk terlibat di dalam perjuangan menegakkan kalimah Allah di dunia ini. Terima kasih kerana sudi berkongsi.

Pelbagai luahan yang bercampur-campur emosi. Marah, sedih, linangan air mata, tekanan dan meninggi suara yang lahir daripada mereka. Kadang-kadang berdesing juga telinga ni. InsyaAllah, teruskan begini sahabat-sahabatku. Itu petanda bahawa hati kita semua masih hidup. Amin. Hati yang faham dan nampak kekurangan untuk menuju ke arah lebih baik. Beginilah bila anda sudah jatuh hati pada dakwah ini. Beruntunglah anda semua!

Sepanjang pengalaman saya yang cetek atas Jalan Dakwah ini dan melihat teman2 dan senior2 saya yang saya perhatikan keaktifan mereka, idealisme seorang mahasiswa dalam membawa cita-cita dan harapan sangat penting. Hal ini yang menjadikan mereka inginkan kesempurnaan dan kepuasan dalam sesuatu perkara. Lonjakan ini sangat penting kerana ia antara faktor yang menjaga konsisten atau tidak kita dalam beramal.



Saya amat susah hati jika melihat ramai mahasiswa/mahasiswi generasi Muda ini yang terlalu cepat menjadi Syeikh (orang tua) sebelum tiba masanya. Lebih selesa duduk di rumah dan hanya bergerak bila diperlukan. Seronok ke jadi orang tua ya?

Matlamat apa yang kita nak raih?

Saya amat minat bersukan. Saya amat mengagumi Lionel Messi, ThieryHenry dan Nicol Ann David. Mereka berjaya mendapat pelbagai gelaran bertara dunia dan merangkul bermacam2 kejuaraan yang berprestij. Matlamat mereka jelas dan mereka benar2 berusaha sedaya upaya dlm menjayakan cita-cita tersebut. Perkara ini perlu dicontohi kita dalam amal dakwah yang kita lakukan seharian. Namun, satu perkara yang perlu diingat dan diulang sentiasa. Dalam semua kerja-kerja dan jerih payah yang kita lakukan, kembalikan urusan tersebut pada Allah. Pokok dakwah kita adalah Allah s.w.t, Allah s.w.t, Allah s.w.t. Tiada yang lain. Mengajak kawan-kawan dan di dalam masa yang sama menanam di dalam diri kita hakikat ketundukan kita kepada Allah. Kita bekerja atas jalan dakwah ini untuk meraih kemenangan dalam perjuangan. Ya, Kemenangan! Kemenangan!



Pasukan Malaysia berjaya mempertahankan pingat emas acara bola sepak dalam Sukan SEA di Indonesia baru2 ni. Saya orang Shah Alam dan peminat pasukan bola sepak Selangor. Terkenang zaman 90an dulu ketika Selangor yang terkenal sebagai The Red Giants membolot 3 Kejuaraan Piala Malaysia berturut2 pada 1995,1996 dan 1997. Bandar Shah Alam akan sesak dan bising kerana berpusu-pusu penyokong memenuhi Stadium Shah Alam. Nama2 seperti Mehmet Durokovic, Zainal Abidin Hasan, Rusdi Suparman dan Christopher Kiwomya masih segar dalam ingatan. Tak lama selepas itu, arena bola sepak negara kembali sunyi dengan permainan hambar pemain2 liga tempatan dan terlalu banyak tangan politik di dalam bola sepak tempatan. Hatta saya sendiri dah malas nak ambil tahu dan mengutuk2 setiap kali Malaysia beraksi. Namun, sejak 2009 saya kembali mengikuti semula pasukan Harimau Muda yang berjaya menunjukkan aksi yang benar2 memukau!

Namun, definisi kemenangan bagi kita berbeza dengan kefahaman kemenangan orang lain. Kemenangan yang diajar oleh para Nabi dan sahabat. Kemenangan kita dijelaskan Syed Qutb:

Kemenangan yang paling bernilai di sisi Allah ialah kemenangan jiwa atas materialistik, kemenangan akidah menghadapi sakit dan sengsara, kemenangan iman menempuh badai fitnah. Di dalam kisah pembunuhan beramai-ramai di dalam Ashabul Ukhdud (walapun secara kasar ia menunjukkan kekalahan Islam dan kemenangan Musuh-musuh Islam), nyata sekali kemenangan orang-orang beriman itu mengalahkan perasaan takut dan sakit; kemenangan mengatasi godaan-godaan duniawi, kemenangan menghadapi fitnah, kemenangan kehormatan umat manusia di sepanjang zaman. Inilah kemenangan sejati! (Maalim Fit Toriq)

Ya, itulah erti kemenangan yang hakiki. Kemenangan dalaman yang amat tinggi nilainya. Bila kita memahami perkara ini dengan baik. Maka kita akan berusaha sedaya upaya memelihara diri kita daripada menjadi bakaran api neraka. Kita akan melawan supaya hati kita tidak rosak. Mengelakkan jiwa kita daripada dirosakkan oleh pandangan wanita, masa kosong yang tidak bermanfaat dan hari-hari yang lesu.

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan (Surah Tahrim:6)

Sedikit persoalan!

Kita ambil sedikit masa sebentar…tanya soalan2 ini pada diri kita dan jawab dengan jujur tanpa perlu menghalakan pada orang lain. Dalam kesibukan dakwah kita seharian….

Bilakah masa terbaik yang kita berikan untuk membaca al-Quran?
Berapa lama mata kita tidak mengalirkan airmata kerana mengenang dosa kita?
Adakah kita merasa berat untuk menadah tangan selepas solat?
Sudah berapa lama dahi kita tidak diletakkan di atas sejadah pada waktu malam ketika manusia lain nyenyak tidur?
Apa yang kita lakukan ketika mendengar seruan azan?
Sudah ada jawapan? Simpanlah dan jadikan ia rahsia antara kita dengan Allah s.w.t. Junaid al-Baghdadi sewaktu ditanya: Mengapa aku merasa manusia menjauhkan diri daripada dakwahku?

Beliau menjawab:
Lihatlah apa yang bercampur baur di dalam hati mu.

Syeikh Ahmad ar-Rasyid berpesan pada pendakwah:

Setiap dakwah yang mahu istiqamah dalam jalannya menuju Allah, hendaklah melangkah melalui istiqamah. Istiqamah pintunya ialah mihrab (ar-Raqaiq)

Takutlah kita semua akan hadis yang diungkapkan oleh Rasulullah s.a.w ini:

“Sesungguhnya aku mengenali segolongan manusia dari umatku yang akan datang pada hari Kiamat dengan kebaikan sebesar gunung Tihamah yang putih lalu Allah menjadikannya debu-debu yang berterbangan. Mereka merupakan saudara-saudara kamu dari bangsa kamu sendiri, mengerjakan ibadah di malam hari seperti kamu juga, TETAPI mereka adalah golongan yang apabila bersendirian mereka melakukan perbuatan-perbuatan yang diharamkan. (Riwayat Ibnu Majah)

Berpijak di bumi nyata….

Saya akan berkongsi sedikit tips yang saya kutip atas perjalanan ini daripada para Murobbi yang menunjukkan teladan terbaik atas Jalan ini:

1. lakukan amalan harian (bacaan al-Quran, solat sunat, qiamullail, zikir dan lain2) sehingga Allah s.w.t merasa kasihan melihat amalan kita. Inilah yang ditanam pada generasi awal ketika Qiamullail diwajibkan.

2. pilihlah masa yang paling terbaik dalam hari kita untuk duduk membaca al-Quran, menghayati dan memikirkan makna-maknanya. Masalah kita adalah kita membaca al-Quran untuk dihabiskan semata-mata

3. Keluarlah bersusah-payah menyampaikan kebaikan. Berkenalan dengan orang-orang baru samada bangsa sendiri atau bangsa asing spt Arab, Inggeris dan lain2. Rajinkan mulut bersembang dan tutuplah pertemuan tersebut dengan hadiah daripada hadis Nabi s.a.w atau ayat Quran.

4. Beramal dalam lapangan masing-masing dengan penuh bersungguh-sungguh. Curahkan kreativiti dan tenaga kita secara optimum. Bekerja seolah-olah Hari Kiamat esok hari. Bekerja sehingga kita tertidur dalam kerja2 kita.

5. Kita sangat takut untuk berkata, “Saya yang buat ini”… “ Saya dah habiskan banyak duit saya”… “Saya dah korbankan macam-macam…” dan “Saya…saya…saya…”. Bila kita buang perkataan ini pasti kita akan rasa kerehatan dan ketenangan yang mendamaikan dalam kehidupan kita.

Dengan ini, jika gabungan (Roh yang hidup + Dakwah/Tarbiyah yang bersungguh) ini dilakukan, nescaya kita akan dapati pelbagai idea datang mencurah2, pelbagai jalan keluar untuk masalah kita dan bermacam-macam penyelesaian datang daripada arah yang tidak disangka2!

Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya dijadikan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan sesiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Dia (Allah) akan mencukupkannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu. (Surah at-Tolaq:2-3)

Asas Kerajaan Nabi Daud a.s

Nabi Daud a.s sentiasa bertasbih pada waktu petang dan pada waktu pagi ketika terbit matahari, lalu Allah swt mempermudahkan gunung-ganang sehingga dapat bertasbih bersama-sama baginda. Allah swt berfirman dalam surah Sod ayat 18-20:

إِنَّاسَخَّرْنَاالْجِبَالَمَعَهُيُسَبِّحْنَبِالْعَشِيِّوَالإْشْرَاقِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah mudahkan gunung-ganang turut bertasbih memuji Kami bersama-sama dengannya; pada waktu petang dan ketika terbit matahari.”

Lalu Allah swt mengurniakan kepada baginda suatu kurniaan yang amat besar yang difirmankan oleh Allah selepas itu:

وَشَدَدْنَامُلْكَهُ

Maksudnya: “Dan Kami kuatkan kerajaannya…”

Sesuatu dakwah yang mendakwa dirinya sebagai dakwah Islam tidak akan teguh kekuasaannya dan akan dapat dikalahkan jika para pendokongnya tidak melakukan tasbih pada waktu petang dan pada waktu pagi (ketika terbit matahari).

Lagu Kedamaian Seorang Mukmin

Biarlah kata-kata As-Syahid Sayyid Qutb menutup tulisan ini, mengambarkan betapa damai dan rileksnya jiwa orang beriman setelah memahami tabiat sebenar perjuangan dakwah dan tarbiyah mereka:

Sesungguhnya lapangan perjuangan bukanlah terhad di dunia dan bumi ini sahaja. Para saksi terhadap perjuanganmu dan jerih payah mu bukanlah hanya umat mahusia yang hidupnya terbatas dalam lingkungan generasi tertentu sahaja. Para malaikat dan penghuni langit pun sebenarnya pun menyaksikan setiap aktiviti-aktiviti kehidupan dunia, mereka menjadi saksi atas segala kejadian dan aktiviti itu, juga peranan membuat perhitungan dan statistik mengenai nilai kejadian itu. Para malaikat penghuni langit bertugas menyediakan tempat tinggal yang selesa untuk orang beriman berlipat ganda lebih baik daripada ruangan dan tempat tinggal yang dapat dibuat oleh penduduk bumi. Dan adalah pujian dan markah yang, diberi oleh para malaikat penghuni langit itu lebih bernilai daripada pujian seluruh penghuni dunia ini.Kerana di sana, akhirat jualah tempat kesudahannya! (Bab Inilah Jalannya)



Saat-saat akhir sebelum as-Syahid Sayyid Qutb dibawa ke tali gantung. Berjalan mendapatkan rindu kekasihnya. Setelah bertahun-tahun diseksa di dalam penjara. Masa yang dinanti telah tiba. Selamat Tinggal Dunia yang penuh pancaroba dan ujian yang tidak pernah padam. Selamat tinggal hai dunia yang penuh melalaikan!

~baru-baru ni, baru saya faham kenapa as-Syahid Sayyid Qutb begitu tenang menyerahkan lehernya di tali gantung…..biarpun beliau diberi peluang dibebaskan daripada hukuman tersebut, tetapi beliau tetap menolak!


Ustaz Izzuddin bin Selamat merupakan graduan Universiti Al-Azhar, Mesir dalam jurusan Tafsir di Fakulti Usuluddin dan Dakwah. Kini dia sedang menyambung pengajiannya di American Open University dalam jurusan yang sama. Bercita-cita melihat Islam kembali dihayati dalam kehidupan masyarkat. Menjunjung pemikiran Hassan Al-Banna dan Syed Qutb. Beliau menggemari pendekatan yang terbuka, kreatif, dinamik, rasional dan idea di luar kotak dalam menyampaikan mesej-mesej Islami tanpa melintasi sempadan syariat.


Artikel dari Isma Australia: http://www.ismaaustralia.com/bila-sudah-jatuh-hati-1-message-received/

poster promo ikhwah
picture hosting