Tuesday 7 April 2015

Generasi Muda Pewaris Negara






KUALA LUMPUR, 4 April – Mesyuarat Agung Tahunan Kebangsaan Kali Ke-8 (MATK8) telah berlangsung dengan jayanya di Auditorium Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya yang dihadiri oleh ikhwah dan akhwat PEMBINA dari seluruh Malaysia.

Ustaz Ibrahim Mohd Hasan Al-Hafiz selaku Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) telah menyampaikan sebuah ucapan dasar presiden yang mengandungi mesej-mesej yang penting untuk para belia Islam.

Sempena tema MATK kali ini iaitu ‘Islam Gagasan Belia Negara’, Ustaz Ibrahim Mohd Hasan Al-Hafiz mengatakan ia merupakan impian yang cukup besar namun jika kita tidak impikan hari ini, mana mungkin kita mampu mengecapinya di kemudian hari.

“Secara umumnya, melalui tema ini, PEMBINA dengan penuh keinsafan ingin membawa generasi muda hari ini yang merupakan generasi pewaris negara di masa hadapan, untuk sama-sama mengimpikan negara yang lebih indah dan gemilang di bawah lembayung ajaran Islam yang tulen,” terang beliau.

“Tema ini mempunyai mafhum yang cukup besar dan menuntut pengorbanan yang tiada taranya. Seandainya kita beriman dan percaya bahawa hanyalah Islam yang dapat memberikan penyelesaian kepada semua kemelut kehidupan manusia sekaligus memberikan ketenteraman dan kesejahteraan jiwa, ia adalah satu-satunya jalan untuk kita berjaya di dunia ini dan menjamin keselamatan kita di akhirat nanti, maka apa jua yang menjadi tuntutan untuk menggapainya akan tetap kita penuhi,” terangnya lagi.

Selain itu, kebelakangan ini ramai pihak telah mempertikaikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

“Apa yang lebih membimbangkan lagi adalah selama ini wujud usaha-usaha terancang untuk mendesak Malaysia diiktiraf sebagai sebuah negara sekular dalam segenap aspek seterusnya memudahkan penularan pelbagai agenda asing seperti liberalisme, pluralisme, hedonism dan Kristianisasi.”

“Di sini saya ingin menegaskan satu seruan yang jelas bahawa PEMBINA adalah sebuah gerakan pemuda yang ingin bersama-sama membawa perubahan di dalam masyarakat ke arah sebuah negara Islam Malaysia yang lebih harmoni dan sejahtera berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah yang menaungi dan memberi perlindungan kepada segenap lapisan masyarakat.”

Syafiqah Zaini,
Wartawan Pembina UKM.

0 comments:

Post a Comment

poster promo ikhwah
picture hosting