Wednesday 16 May 2012

Ibunda Siti Hajar: Kisah kekuatan cinta, iman dan pengorbanan





Menurut Qissah al-Anbiya’, Hajar adalah puteri kepada raja Maghribi, keturunan Nabi Saleh a.s. Ayahnya dibunuh oleh Firaun Dzu al-Arasy dan Hajar ditawan sebagai hamba. Hajar dijadikan pemimpin para hamba wanita di istana dan berkuasa mengatur segala urusan di istana Firaun pada ketika itu. Nasib para hamba ketika itu sangat hina kerana mereka dikerahkan untuk melakukan keja-kerja berat dan bagi hamba wanita pula kesemuanya terpaksa menjadi bahan pemuas nafsu serakah  Firaun yang begitu biadap. Mujur Hajar dilindungi Allah daripada perkara yang terkutuk seperti itu. Hajar selalu berdoa agar Allah melindunginya dan menjaga maruahnya supaya terlepas daripada genggaman Firaun laknatullah.  Bermulanya kisah pertalian Hajar bersama Nabi Ibrahim a.s. ialah pada suatu ketika dikisahkan seorang wanita rupawan telah datang ke Mesir. Wanita tersebut ialah Sarah yang merupakan isteri kepada Nabi Ibrahim a.s.

            Hajar menjadi hadiah yang diberikan Firaun kepada Sarah dan Ibrahim kerana kemurkaan Firaun terhadap Sarah melalukan sesuatu sehingga Firaun mengarahkan seorang hamba untuk keluar daripada istana tersebut bagi mengelak segala kecelakaan. Hajar begitu gembira dan bersyukur kerana Allah telah memakbulkan doanya untuk mendampingi Ibrahim dan terlepas daripada kekejaman Firaun. Pertama kalinya Hajar melihat Ibrahim ketika di istana menyebabkan dia terpesona dek kekacakan wajah Ibrahim. Pada ketika itu juga, Hajar tidak mengetahui bahawa Sarah merupakan isteri kepada Ibrahim. Rahsia itu disembunyikan kerana kebijaksanaan Ibrahim dalam mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku apabila berhadapan dengan Firaun.

            Selama hidup bersama Sarah dan Ibrahim, Hajar tidak pernah dilayan sebagai seorang hamba. Sarah begitu menyayanginya dan menganggap Hajar sebahagian daripada keluarga mereka. Allah menguji kehidupan Sarah dengan kelemahannya yang tidak mampu untuk melahirkan zuriat. Setiap hari Sarah dibelenggu dengan kerisauan kerana suaminya pasti menginginkan keturunan. Setelah berfikir panjang, Sarah telah membuat keputusan yang sangat memeranjatkan iaitu meminta suaminya, Ibrahim mengahwini Hajar bagi memperoleh zuriat. Pada mulanya Ibrahim menolak akan tetapi Sarah tetap berkeras dan meminta dengan alasan yang relevan mengapa beliau memilih Hajar sebagai isteri kedua Ibrahim.

            Selepas berkahwin, Sarah sangat gembira melihat kebahagiaan yang dirasai oleh suaminya. Lebih-lebih lagi apabila mendapat tahu berita mengenai kehamilan Hajar. Akan tetapi sebagai seorang wanita, beliau juga mempunyai perasaan cemburu di kala melihat Ibrahim begitu mesra di samping Hajar. Tambahan lagi, apabila semua orang-orang kampung berbicara soal dirinya yang tidak mampu menjadi seorang wanita yang sempurna. Sarah mula merasakan bahawa beliau tidak mampu hidup terus dalam keadaan begitu. Setelah Hajar melahirkan zuriat keturunan Ibrahim yang diberi nama Ismail, Sarah merasa lebih tergugat dan kedudukannya sebagai isteri pertama Ibrahim semakin rendah. Orang-orang kampung juga cuba menghasut supaya menyingkirkan Hajar supaya Sarah dapat menjalani kehidupannya bersama Ibrahim seperti sedia kala.

            Pada suatu malam Sarah menceritakan kesedihannya kepada suaminya Ibrahim dan meminta agar menjauhkan Hajar darinya. Ibrahim dalam keadaan yang keliru hanya mampu berdoa agar Allah memberinya petunjuk supaya dapat membuat keputusan yang benar. Kemudian, dek kerana cintanya yang mendalam terhadap Sarah, Ibrahim mengikuti kehendak isteri pertamanya itu dan membawa Hajar dan Ismail untuk keluar dari negara Palestin. Pada ketika itu, Sarah berasa amat bersalah akan tetapi beliau tidak mampu melihat kebahagiaan Hajar dan Ismail terus berada di hadapan matanya. Setibanya di tengah-tengah padang pasir yang tandus, Ibrahim berkata kepada Hajar, “ aku tinggalkan kalian di sini. Lembah ini sering dilalui kafilah yang datang dari Yaman atau Palestin.

            Sekali lagi, Hajar terpaksa hidup bersendirian. Ketika itu, beliau sempat mengenang kehidupannya semasa remaja yang penuh dengan tawa riang kemudian kebahagiaan itu di renggut oleh raja yang zalim dan menyebabkan kematian ayahnya. Kemudian, beliau tinggal bersama Firaun dalam keadaan terseksa dan kini di tinggalkan suami bersama anaknya yang masih kecil di tengah-tengah padang yang tandus. Hanya Allah yang tahu betapa peritnya kehidupannya dan beliau hanya mampu berdoa agar Allah melindungi dan memberikan kekuatan kepada diri dan anaknya yang masih kecil itu.



Penulis: Nurul Hajar (UKM Bangi)

poster promo ikhwah
picture hosting