Thursday 17 May 2012

Hak asasi manusia dalam Islam


PENGENALAN


Hak Asasi Manusia adalah asas kepada kewujudan manusia dan kewujudan bersama manusia. Hak Asasi Manusia bersifat sejagat tidak boleh dibahagikan dan saling bergantungan. Aliran Hak Asasi Manusia adalah deklarasi yang diwujudkan bagi membela Hak Asasi Manusia dalam kehidupan. Contohnya hak untuk mendapat pendidikan, hak bersuara, hak pekerjaan dan banyak lagi. Meskipun Hak Asasi Manusia kelihatan seperti membela nasib manusia, namun begitu padanya ada yang bercanggah dengan Islam.


Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat pada tahun 1948 telah menjadi titik tolak kebangkitan isu yang berkaitan dengan hak asasi manusia di peringkat antarabangsa. Pengisytiharan ini telah dipelopori oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang keahliannya terdiri daripada negara-negara merdeka di seluruh dunia. Selain perisytiharan ini, Kovenan Antarabangsa Hak-hak Sivil dan Politik 1966 dan Kovenan Hak-hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan 1966 merupakan dua lagi dokumen utama yang mendasari isu hak asasi manusia seluruh dunia.


Peralihan zaman telah menyaksikan perbezaan persepsi antara hak asasi manusia dari satu tamadun ke tamadun yang lain. Di satu pihak terdapat unsur individualistik yang dilihat lebih mementingkan hak individu dan bersifat bertentangan dengan hak ramai. Di satu pihak yang lain pula terdapat semangat komuniti yang tinggi yang mementingkan hak ramai daripada hak individu.

HAK DAN TANGGUNGJAWAB

Majlis Islam di Malaysia telah mengisytiharkan Perisytiharan Islam terhadap Hak Asasi Manusia yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah. Syariat Islam adalah syariat unggul yang mengatasi segala sistem perundangan lain. Hal ini haruslah diyakini setiap manusia yang memperjuangkan kalimah “La Ilaha Illallah”.


Syariat Islam merangkumi kepentingan manusia di dunia dan juga di akhirat. Ia membincangkan sekecil-kecil masalah dalam lingkaran keluarga dan individu hinggalah kepada masalah yang lebih besar seperti masalah negara dan dunia amnya. Kehidupan yang berlandaskan syariat Islam akan menghasilkan masyarakat yang tersusun secara seimbang dan terimbang. Hak yang layak dinikmati oleh seseorang adalah imbalan kepada tanggungjawabnya yang dilaksanakan dengan sempurna. Sebarang aduan mengenai kezaliman oleh seorang individu Muslim menujukkan bahawa terdapat pengabaian segolongan yang lain dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka. Allah SWT pernah berfirman;


"Dan langit dijadikannya (berbumbung) tinggi, serta Ia mengadakan undang- undang dan peraturan neraca keadilan.supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan. Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang." (Surah Ar-Rahman: 7-9)

Tuntutan ayat ini turut dihuraikan oleh hadis Rasulullah :


"Setiap orang daripada kamu adalah pengelola. Ia bertanggungjawab terhadap orang di bawah kelolaannya. Pemimpin negara pengelola dan bertanggungjawab terhadap (rakyat) di bawah kelolaannya. Suami pengelola keluarga. Dia bertanggungjawab mengelola keluarganya. Isteri juga pengelola di rumah suaminya. Ia bertanggungjawab terhadap apa yang di bawah kelolaannya. Pembantu rumah juga pengelola terhadap barangan rumah majikannya. Ia bertanggungjawab terhadap apa yang di bawah kelolaannya. Setiap kamu (sebenarnya) adalah pengelola dan bertanggungjawab terhadap apa yang di bawah kelolaannya."


Hadis di atas jelas menerangkan bahawa setiap individu itu telahpun dibekalkan dengan tanggungjawab masing-masing yang sekiranya dipikul dengan baik, akan melicinkan perlaksanaan tugas individu lain. Rasa tanggunjawab ini haruslah bermula daripada unit yang paling kecil dalam negara iaitu keluarga sehinggalah kepada unit yang paling besar iaitu pemerintah negara. Justeru masalah tuntutan hak yang tidak relevan dapat dielakkan sekiranya setiap individu menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan kesedaran keagamaan yang tinggi dan rasa takwa yang mendalam terhadap Allah sebagai pencipta.


Di sini suka untuk diingatkan bahawa perjuangan untuk memantapkan penghayatan terhadap hak asasi manusia adalah suatu perjuangan yang sukar dan berpanjangan. Ia memerlukan sistem pendidikan yang menekankan aspek hak asasi manusia itu sendiri serta sistem tarbiyah yang unggul terutamanya bagi kumpulan masyarakat atau pemimpin atau parti yang berfahaman kebangsaan. Hal ini bagi mengelakkan terbiaknya liberalisme yang melampau, sekularisme, sifat ganas, undemocratic dan sifat anti-kemanusiaan.


Oleh itu, usaha memperkasa kefahaman dan penghayatan agama melalui alat sebaran am, pendidikan dan sebagainya adalah suatu kemestian dan kewajipan demi mengelakkan tindakan ganas di luar kawalan pihak penguasa dan juga rakyat dalam menuntut sesuatu hak yang pada dasarnya terjadi akibat dari pengabaian sesetengan pihak terhadap tanggungjawab yang diamanahkan.


Penulis: Nani Rahayu Mohd Radzuan (UKM Bangi)

poster promo ikhwah
picture hosting